Selasa, 2 Julai 2013

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Usul Memansuhkan Akta Hasutan 1948

Posted: 02 Jul 2013 07:31 AM PDT

KENYATAAN MEDIA
2 Julai 2013
UNTUK SEBARAN SEGERA

Menanti Pelaksanaan Janji Datuk Seri Najib – Usul Memansuhkan Akta Hasutan 1948

Hampir setahun lalu, pada 11 Julai 2012, dalam sebuah majlis makan malam Pejabat Peguam Negara, DS Najib Tun Razak telah mengumumkan keputusan kerajaan bahawa Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Lanjutan daripada ucapan beliau juga dimuatkan pengakuan bahawa "umum menganggap Akta Hasutan 1948 sebagai alat Kerajaan untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan. Walaupun anggapan sedemikian adalah tidak berasas sama sekali, kita perlu menghapuskan persepsi tersebut. Lantaran itu, peruntukan-peruntukan baru ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran keadilan."

Malangnya, umum masih ternanti-nanti pelaksanaan kata-kata Datuk Seri Najib, malah terkedu dengan tindakan undang-undang ke atas aktivis serta ahli politik Pakatan Rakyat, menggunakan Akta Hasutan pasca PRU 13 yang pada awalnya diganding dengan tawaran peribadi "Pendamaian Nasional."

Penahanan Haris Ibrahim, YB Tian Chua, Datuk Tamrin Ghafar, Adam Adli, Dato Husam Musa – kesemuanya menggunakan Akta Hasutan secara siasatan serta pendakwaan terpilih (selective prosecution), sementara personaliti dan institusi lain yang parah meniup api kebencian seperti Datuk Mohd Noor Abdullah, Datuk Ibrahim Ali dan Utusan Malaysia dibiarkan tanpa sebarang tindakan mahupun siasatan hanya mendedahkan hipokrasi pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, menyambung pengumuman Datuk Seri Najib yang tidak mampu dilaksanakan, saya telah mengusulkan sebuah Rang Undang-Undang Ahli Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Hasutan (Pemansuhan) 2013. Langkah ini diharap dapat menamatkan era penyalahgunaan Akta Hasutan 1948 menerusi pemansuhannya sekaligus dalam usaha melaksanakan islah dan reformasi yang tulen demi Malaysia yang lebih baik. Rang Undang-Undang untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 telah saya hantar ke pejabat YBhg Setiausaha Dewan Rakyat semalam.

Akta Hasutan 1948 adalah merupakan sebuah warisan peninggalan kolonialis British -yang mewujudkan akta ini di Tanah Melayu sedang rakyat rancak membincangkan masa depan sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka; tatkala pejuang-pejuang anti-penjajah seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam dan yang seangkatan dengan mereka hebat menyemarakkan semangat merdeka.

Umum pasti bertanya, mengapa pihak Kerajaan belum menepati janji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948? Setahun sudah berlalu, dengan hakikat bahawa tanpa Akta Hasutan, sudah wujud undang-undang sedia ada yang mencukupi dalam menangani usaha-usaha untuk mendatangkan mudarat kepada masyarakat. Secara khusus, seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang berkait fitnah jenayah (criminal defamation) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memadai dalam menangani cabaran sedia ada – asal prinsip utama adalah tidak sekali-kali menyalahgunakan undang-undang sedia ada demi kepentingan politik.

Akhir kata, saya pasti Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan apa yang mungkin untuk memastikan Rang Undang-Undang Hasutan (Pemansuhan) 2013 berhasil menerusi laluan perbahasan di Parlimen oleh mana-mana speaker pilihan Barisan Nasional, dan seterusnya persetujuan kesemua Ahli Parlimen yang bernaung di bawah Presiden UMNO dan Barisan Nasional. Mandat popular 47 peratus BN mengharuskan Datuk Seri Najib meneliti permintaan PR yang mewakili 51 peratus mandat popular rakyat Malaysia, apatah lagi bila menyahut pelaksanaan janji beliau sendiri.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
and Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat

Tiada ulasan:

Nuffnang