Jumaat, 7 Jun 2013

Khalid Samad

Khalid Samad


Respon Akhir: Isu Kota Damansara

Posted: 06 Jun 2013 07:18 PM PDT

InsyaAllah ini merupakan penulisan saya yang terakhir berkenaan isu KD. Hasil dari teguran dan pandangan saya berhubung isu KD, maka bermacam maklum balas dan cerita dongeng juga kedengaran berhubung diri saya. Maka saya akan cuba jelaskannya di sini. Di antaranya adalah seperti berikut:

1. KS Diminta Keluar PAS dan Jadi Ahli PKR Kerana Tidak Wala' dan Thiqah

Saya kira Zahid Hamidi dan Noh Omar pun akan turut berbangga dengan kenyataan sebegini.

Pendirian saya terhadap isu KD berdasarkan hujjah yang saya kemukakan. Kalau tidak setuju sekali pun, kemukakanlah hujjah balas bukan kenyataan kurang bijak sepertimana yang biasa dibuat pemimpin UMNO. Jika ingin ikut lojik hujjah sebegini, Qadi Syuraih sepatutnya diisytihar oleh Saidina Ali sebagai orang pro-Yahudi dan tidak wala' dan thiqah kepada Khalifah! Atau Saidina Umar diisytiharkan oleh Amr Al-Aas sebagai pro-Qibti dan dituntut letak jawatan.

Yang ingin dibincangkan adalah berkenaan strategi yang silap, yang mendatangkan natijah yang buruk serta imej PAS yang terpalit hasil tindakan bertanding di KD bukan soal wala' dan thiqah, pro PKR atau sebaliknya. Sebenarnya saya sangat pro PAS bersama PR.

Tulisan saya tidak langsung dituju pada mana-mana individu. Saya lebih minat bincang APA yang silap dari SIAPA yang silap.

2. KS Ingin Jatuhkan Ulama dan Presiden!

Ini pun satu kenyataan rambang yang tidak bertanggung-jawab. Tulisan saya tidak berniat untuk menyalahkan sesiapa tetapi saya inigin semua akui tindakan berkenaan silap dan tidak sepatutnya berlaku dan jangan sekali-kali diulangi. Masalahnya sekarang, hingga hari ini, masih ada yang pertahankan sebagai tindakan tersebut sebagai wajar. Sedangkan PR kalah dan BN menang! Dan 3 natijah buruk lagi yang diakui umum.

Kaedah hujjah ini pun, minta maaf, sebiji macam UMNO. Sama dengan hujjah UMNO bahawa PR ingin jatuhkan kuasa politik Melayu! Orang cakap lain dia cakap lain. Orang cakap mengenai penyelewengan, rasuah dan sikap keduniaan yang merosakkan Melayu maka kepimpinan politik Melayu perlu ditukar! Dari UMNO maka tukar kepada PAS. Dia cakap konspirasi ingin jatuhkan Melayu. Sedangkan kita mahu selamatkan Melayu, dunia akhirat, insyaAllah.

Begitu juga apabila diceritakan kelemahan yang perlu diakui dan diperbetulkan supaya PAS lebih kukuh dan dihormati semua. Khususnya untuk Selangor. Mereka cakap kita mahu jatuhkan Presiden, tidak wala' dan thiqah. Orang cakap lain, dia cakap lain. Apa ni?

Sudahlah, cukuplah dengan budaya memfitnah sebegini. Tidak perlulah kita ikut kaedah UMNO yang suka memomok-momokkan rakyat sehingga isu sebenar tenggelam. Cukuplah kita ada satu UMNO di Negara ini. Bincang isu yang dikemukakan, tidak perlu ditokok-tambah dengan macam-macam rempah dan perisa!

Rempah perisa terhebat, ada seorang sampai isytiharkan saya sebagi 'assasin ulama'! Tidak takut dosa ke orang ini?

3. KS Berkempen Untuk Hadapi Pemilihan Parti

Kalau berhasrat untuk kempen pemilihan, maka adalah jauh lagi mudah untuk saya puji dan sokong sahaja apa yang di lakukan pimpinan. Semua disalahkan pada PKR dan DAP dan puji melambung-lambung pimpinan PAS. Tidak akan diserang dan difitnah bermacam-macam sebegini.

Tetapi saya tidak ambil peduli soal pemilihan parti dalam muktamar akan datang. Kerja saya sebagai pimpinan ialah membetulkan parti sekiranya tersilap dan memimpin kearah yang menguntungkan parti. Bukan sibuk jaga jawatan dan kedudukan. Kalau tidak dipilih kali ini pun tidak mengapa. Saya tidak kebulur jawatan pun. Tapi sekurang-kurangnya saya sudah cuba tunaikan tanggung jawab saya sebagai salah seorang pimpinan.

4. KS Hanya Tegur PAS Tidak Tegur PKR

Saya pimpinan PAS. Saya betulkan jemaah saya. Kalau PKR buat silap, biar pimpinan PKR tegur dan perbetulkan. Kalau PKR tidak tegur maka imej parti mereka yang akan jatuh di kaca mata rakyat. Itu masalah mereka bukan masalah saya. Takkan saya juga yang kena perbetulkan PKR? Sejak bila saya jadi pimpinan parti mereka?

5. Kota Damansara Tidak ada Kesan Kepada Kawasan Lain

Dongeng ini pun agak menarik. Kota Damansara dianggap bagaikan DUN yang di bawah tempurungnya yang tersendiri. Apa yang berlaku di situ ahli PKR dan PSM serta penyokong-penyokong mereka dan pengundi atas pagar di seluruh negara tidak akan ambil tahu dan tidak ambil kisah! Saya tidak tahu dari mana datangnya tanggapan mereka bahawa Kota Damansara itu begitu terpisah dari suasana politik seluruh Negara. Tapikan sudah kata. Dongeng!

Hakikatnya saya sendiri menerima panggilan dari ramai yang marah dengan apa yang berlaku dan bertanya mengapa ianya berlaku dan apa tindakan PAS. Turunnya Dato Mustapha Ali telah menyelamatkan sedikit sebanyak suasana di Selangor. Saya tidak tahu sejauh mana kekalahan di Parlimen Sg. Besar (399 undi majoriti BN) dan Parlimen Kuala Selangor (460 undi majoriti BN) adalah kesan dari apa yang telah berlaku di KD.

6. Hanya KS Sahaja Marah, PKR Pun Tidak marah!

Cerita dongeng sebegini tidak perlu saya jawab sebenarnya. Orang PKR merasa terbela apabila ada pimpinan PAS menyatakan kebenaran dalam kes KD. Mereka serah pada pimpinan PAS untuk betulkan PAS. Sama sahaja apabila anak kita buat nakal. Apabila diadukan kepada kita sebagai ayah, maka diserah pada kita untuk betulkan. Sila baca perkara 4 di atas.

7. Dialog Perbahasan KS dan Pro KD

Saya ingin buat dialog mudah supaya yang ingin terus pertahankan KD sedar betapa tidak bermutunya penghujjahan mereka. Telah disebut di atas tetapi dalam bentuk dialog perbahasan mungkin lebih jelas. Ianya seperti berikut:

KS: "Bertanding di KD strategi yg tidak betul. Natijahnya buruk".
Pro KD: "KS nak jatuhkan ulama'! KS nak jatuhkan ulama'!"

KS: "Ianya salah dari sudut akhlak sekiranya kita sudah bersetuju".
Pro KD: "KS adalah assassin ulama'! KS ular daun!"

KS: "Patut contohi Dusun Tua dan Taman Medan".
Pro KD: "KS nak tunjuk hero nak kempen untuk muktamar".

KS: "Kalau PAS dan PKR buat begini pada PRU 14 maka BN akan menang…"
Pro KD: "KS lebih baik masuk PKR! KS bongkah ais yang besar! Pro Anwar"

Tidak nampakkah betapa lekehnya tahap dan kualiti penghujjahan tuan-tuan semua? Isu sebenar tidak dijawab dan dimulakan kata-kata fitnah. Tapi kalau masih tidak nampak maka saya tidak mampu menolong tuan-tuan. Ini bukan masalah buta mata tetapi buta hati. Maaf kerana saya terpaksa nyatakan sebegitu.

Dalam soal mahu jatuhkan ulama', harap semua selidik sejarah terlebih dahulu. Siapakah yang membawa usul kepimpinan ulama' pada muktamar PAS tahun-tahun awal dan pertengahan 80an? Janganlah buat pertuduhan membuta tuli.

Ini sahajalah yang ingin saya bentangkan berhubung isu KD. Semoga ianya mendatangkan manfaat kepada yang ingin mencari kebaikan.

Saksikan ya Allah bahawa saya telah memberi nasihat dan teguran ikhlas kepada pimpinan saya!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang