Isnin, 17 Jun 2013

Khalid Samad

Khalid Samad


Mengalah Bukan Kalah

Posted: 17 Jun 2013 01:24 AM PDT

Sdr Arul PSM ada menulis respon yang panjang lebar terhadap tulisan saya menerusi email. Banyak yang diceritakan berhubung rundingan PSM dan PKR serta isu-isu berkaitan. Dia minta saya siarkannya dalam blog saya. Saya mohon maaf kerana tidak dapat berbuat demikian. Ini kerana saya tidak mahu blog saya dijadikan medan perbalahan di antara PSM dan PKR pula. Yang saya tulis selama ini, samada berhubung Semenyih atau Kota Damansara, adalah sebagai pengajaran yang perlu diambil dari pengalaman ini. Bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak.

Maka saya kira memadailah dengan saya menyiarkan komen Sdr Arul yang pertama, supaya pembaca tahu ada penjelasan dan perkiraan lain, yang sebahagian dari mana saya sendiri tidak tahu.

Tetapi walau apa pun penjelasan dan perkiraan yang dibuat, masalah yang dihadapi sekarang ialah PRU ke 14 dan apa yang perlu dilakukan untuk menentukan satu lawan satu di semua kawasan. Tugas inilah yang kita amanahkan kepada pimpinan, ia itu berusaha sedaya upaya supaya tidak lagi berlaku 3 penjuru.

Dalam mengusahakan matlamat 'satu lawan satu' ini, maka sudah pasti akan ada yang perlu 'mengalah' dan 'bertolak ansur'. Tetapi, mengalah itu tidak bererti kalah dan bertolak ansur tidak bererti menggadaikan prinsip. Tidak semestinya hanya dengan cara bertanding di sesuatu kerusi sahaja yang mampu memastikan matlamat tercapai secara jangka-masa panjang. Yang paling penting bagi saya ialah BN ditewaskan supaya rakyat dibebaskan dari kongkongan. Kongkongan ini dikenakan ke atas kita seluruh rakyat Malaysia; samada PAS, PKR, DAP dan juga PSM!

Oleh itu, jika tidak bertanding sekalipun, maka tidak bererti kita tidak dibenarkan bergerak di kalangan masyarakat untuk membina kekuatan sokongan terhadap perjuangan kita. Asalkan yang menang akan bersama kita dalam perjuangan untuk membebaskan rakyat dari kongkongan yang kita semua hadapi sejak dahulu lagi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang