DUN BUKIT PAYONG |
- Permohonan maaf
- 15 Adun Pakatan Rakyat Terengganu angkat sumpah
- Petisyen BN K'tan kelakar, kata Ustaz Azhar Idrus
- Jentera perang siber BN dakwa mereka dilayan seperti kelas kedua
Posted: 16 Jun 2013 04:51 AM PDT PEMBERITAHUAN Assalamualaikum Admin Blog Bukit Payong memohon maaf dan keampunan atas kegagalan mengemaskinikan blog selama sebulan atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan. Saya benar-benar berharap agar pengunjung dapat terus bersama Blog Bukit Payong bagi mendapatkan berita-berita setempat di Bukit Payong, serata negeri, negara dan juga kenyataan-kenyataan media isu-isu terkini dari YB Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah. InsyaAllah blog ini akan cuba memantapkan lagi operasinya bagi merapatkan lagi jurang komunikasi antara YB dan rakyat Bukit Payong dimana sahaja anda berada |
15 Adun Pakatan Rakyat Terengganu angkat sumpah Posted: 16 Jun 2013 04:30 AM PDT Petikan : Harakahdaily KUALA TERENGANU: Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu iaitu 14 dari PAS dan 1 dari PKR secara rasmi mengangkat sumpah jawatan bagi mesyuarat pertama penggal ke-13 di Dewan Wisma Darul Iman hari ini. Adun PAS yang pertama mengangkat sumpah ialah Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam) diikuti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Rhu Rendang), Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Batu Buruk), Satiful Bahari Mamat (Paka), Alias Razak (Bukit Tunggal). Diikuti pula Adun PKR Azan Ismail (Bandar), Adun PAS, Mohd Nor Hamzah (Bukit Payung), Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang), Ariffin Deraman (Alor Limbat), Hanafiah Mat (Cukai), Ridzuan Hashim (Teluk Pasu), Hishamuddin Abd Karim (Tepoh), Wan Hapandi Wan Nik (Sura), Hilmi Harun (Manir). Terakhir mengangkat sumpah ialah Alias Harun (Rantau Abang). Majlis bermula jam 9.30 pagi dengan bacaan panggilan notis panggilan mesyuarat . Seterusnya majlis diteruskan dengan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan iaitu Mohd Zubir Embong. Seramai 32 Adun mengangkat sumpah hari ini. Pada Pilihan Raya Umum Ke13 (PRU13) pada 5 Mei lalu BN berjaya membentuk kerajaan dengan kemenangan 17 kerusi Dun manakala 15 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat. |
Petisyen BN K'tan kelakar, kata Ustaz Azhar Idrus Posted: 16 Jun 2013 03:57 AM PDT Petikan : Malaysiakini Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan petisyen BN Kelantan mengaitkan beliau sebagai punca kekalahan BN di negeri itu pada PRU13 lalu sebagai kelakar. Sebaliknya, dalam reaksinya, penceramah agama popular itu berkata, perkara itu langsung tiada kena mengena dengannya kerana kenyataan berhubung 'Haram jatuhkan kerajaan Islam' yang dimainkan PAS dalam kempen pilihan raya bukan kenyataan peribadinya, tetapi daripada al-Quran. "Saya rasa kelakar sebab tiada kena mengena. Bukan saya berceramah (tetapi) ada dalam buku-buku agama (berkaitan), haram kita jatuhkan apa sahaja bernama Islam. Tidak boleh," katanya kepada Sinar Harian semalam. Azhar berkata, sekiranya kenyataan dibuat cenderung mempengaruhi rakyat tidak menjatuhkan kerajaan Kelantan, mungkin BN boleh mempertimbangkan untuk menjadikan beliau sebagai alasan. "Kalau (kaitkan) benda itu saya rasa bukan. Itu dalam al-Quran. Yang boleh buat petisyen (kalau) saya kata 'jangan jatuhkan kerajaan Kelantan' tetapi (saya) tidak kata begitu. (Saya kata) jangan jatuhkan kerajaan Islam," katanya. Mengulas lanjut, Azhar yang turut dikenali dengan akronimnya UAI sekali lagi menegaskan, apa-apa sahaja perkara yang berbentuk Islamik tidak patut dihalang dan haram sama sekali menjatuhkannya. |
Jentera perang siber BN dakwa mereka dilayan seperti kelas kedua Posted: 16 Jun 2013 03:40 AM PDT Petikan : The Malaysian InsiderKUALA LUMPUR, 16 Jun — Unit Media Baru (UMB) yang menjalankan tugas perang siber Barisan Nasional (BN) mendakwa dilayan seperti kelas kedua, kata pengerusinya Tun Faisal Ismail Aziz, sambil mempertahankan mereka tidak wajar dipersalahkan kerana prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-13 lalu. Tun Faisal berkata tidak adil hanya pihak mereka dipersalahkan kerana dikatakan memainkan peranan, sebaliknya mempersoalkan sikap pemimpin atasan yang lebih mementingkan blogger-blogger upahan yang mementingkan wang. "Jangan bila ada peruntukan, beri pada orang lain. Bila mesyuarat, panggil orang lain. Bila makan-makan ajak orang lain. Bila jalan sana sini ajak orang lain. Bila ada maklumat bagi pada orang lain. Bila operasi turunkan orang lain. Bila buat latihan, bayar orang lain atau guna modul yang bukan cadangan UMB. "Tetapi bila gagal, salahkan UMB. Banyak cantik...," tulis Tun Faisal dalam laman blognya tunfaisal.blogspot.com tetapi tidak merujuk secara khusus terhadap individu yang dimaksudkannya. Tun Faisal juga mendedahkan UMB sering dijadikan "kambing hitam" oleh blogger upahan apabila berlaku sesuatu kegagalan dalam sesuatu misi walhal kumpulan tersebut menerima arahan dan peruntukkan daripada pihak atasan. "UMB sering dijadikan scapegoat oleh pihak tertentu untuk menafikan kegagalan mereka," kata beliau. "Mereka akan terus menyalahkan UMB sebagai jentera parti. Mereka akan kata kami bukan jentera parti, apa jentera parti buat? Sedangkan arahan dan peruntukan diberikan kepada mereka, bukan kepada jentera parti," tambahnya lagi. Disamping itu, Tun Faisal juga mempertahankan blogger-blogger yang berada dalam UMB sebagai individu yang berpengalaman diperingkat akar umbi dan memahami keadaan semasa, bukannya seperti blogger upahan yang disifatkannya sebagai mereka yang seronok sendiri walaupun mempunyai pengalaman dan pengaruh yang luas di alam maya. "Jelasnya mereka ini mempunyai pengikut dan kekuatan tersendiri; dan yang paling penting, mereka bukan bukan menulis, berfacebook atau bertweet hanya dari dalam bilik, sebaliknya mereka orang yang masak dengan pengalaman operasi di lapangan. Terdapat kira-kira 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, dengan 64 peratus terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 dan 34 tahun, menurut sumber Socialbakers yang merupakan sebuah syarikat pemantau media sosial. Dua puluh sembilan peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun. Malahan, "Tsunami Politik" pada Pilihan Raya 2008 lalu juga dikatakan berpunca daripada peranan media baru yang terdiri daripada Facebook, Twitter, blog dan banyak lagi, dimana menyaksikan BN hilang majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen dan hilang empat negeri kepada PR sebelum Perak jatuh kembali ke pangkuan mereka pada tahun 2009. Sebahagian daripada kekalahan itu telah dikaitkan dengan BN meninggalkan laman web media sosial pada tahun 2008 apabila bilangan pengundi celik internet semakin bertambah. Susulan keputusan mengejutkan tersebut, pemimpin atasan kerajaan pemerintah mula menyedari tentang peranan media baru tersebut dan telah membelanjakan jutaan wang untuk memperkuatkan jentera siber mereka pada pilihan raya 5 Mei lalu. Walaubagaimanapun, keputusan sebaliknya yang berlaku apabila BN masih gagal menyaingi kekuatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang lebih ke depan dalam perang siber dimana ia sendiri diakui oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sebelum Pilihan Raya 2013 lalu. Selepas pilian raya 5 Mei lalu, BN mengekalkan kuasa untuk mentadbir negara selepas memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen. PR berjaya menambahkan tujuh kerusi menjadikannya 89. Buat pertama kali BN hilang undi popular semenjak tahun 1969 walaupun masih kekal memerintah negara. Penganalisis politik berpendapat rakyat Malaysia lebih menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat, yang menyebabkan ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk mendengar kata pengundi, dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, menyaksikan penjualan akhbar semakin merosot dan tontonan di televisyen semakin berkurangan. |
You are subscribed to email updates from DUN BUKIT PAYONG To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan