Isnin, 27 Mei 2013

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


UMNO Bukan Lagi Suara Majoriti Melayu

Posted: 26 May 2013 10:48 PM PDT

Umno bukan lagi suara untuk majoriti Melayu kerana 3.57 juta orang Melayu tidak mengundi parti itu dalam pilihan raya umum yang lalu, kata Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Beliau berkata, di Semenanjung, lebih ramai pengundi Melayu yang menolak BN berbanding pengundi Cina.

"Berapa ramai orang Cina tidak menyokong Umno? 80 peratus dari 2.84 juta? Itu hanya 2.27 juta. 2.84 juta adalah 30 peratus dari pengundi di Semenanjung seramai 9.45 juta.

"Orang Melayu yang menolak Umno dalam PRU13 ini lagi ramai. Di Semenanjung jumlah pengundi ialah 9.45 juta. 70 peratus darinya Melayu yakni sekitar 6.62juta.

"Umno dan BN memperolehi 4.35 juta undi. Jika 70 peratus dari nya Melayu, pengundi Melayu berjumlah 3.05 juta. Ini bermakna di Semenanjung sahaja, 3.57 juta orang Melayu tidak menyokong Umno!" tulis beliau dalam blognya, sakmongkol.blogspot.com, yang juga dipaparkan di Malaysia Chronicle.

Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Umno Pekan seterusnya mempersoalkan, mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan para pemimpin Umno marahkan Cina?

"Kerana mahu menutup pekong sendiri?" soal beliau lagi.

Mohd Ariff menyelar Najib yang menyalahkan "tsunami Cina" kerana kegagalannya mendapat undi popular.

Dalam pilihan raya lalu, ketika Pakatan Rakyat mendapat 5.489 juta undi atau 50.3 peratus sokongan, BN hanya mendapat 5.220 undi sahaja atau 46.8 peratus sokongan.

Beliau mempersoalkan, adakah tindakan menyalahkan "tsunami Cina" itu merupakan langkah pertama Najib mahu menonjolkan dirinya lebih Melayu dari Melayu lain?

"(Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyidin (Yassin) sudah nampak Melayunya dari awal lagi dengan menyatakan bahawa dia Melayu dahulu baru Malaysia. Najib yang kian terdesak nampaknya mesti menonjolkan dirinya lebih Melayu dari Melayu yang lain.

"Sebab itu dia membisu seribu bahasa sementara dikeliling nya, satu persatu munculnya kenyataan-kenyataan perkauman dari penyokong-penmyokong Umno", katanya.


- Harakah Daily

ADUN Sri Serdang Mengaku Berlaku Blackout

Posted: 26 May 2013 10:40 PM PDT


 

ADUN Seri Serdang Noor Hanim Ismail menuntut timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar memohon maaf kerana mendakwa gambar mengenai kejadian lampu padam di satu pusat pengiraan undi yang tersebar di Internet merupakan satu lakonan.

Wakil rakyat PAS itu mendakwa, kejadian tersebut sememangnya sememangnya berlaku pada 5 Mei lalu di Sekolah Kebangsaan Serdang, dan dirakam oleh ejen penjumlahan undi dari parti tersebut.

"Gambar tersebut dengan jelas menampakkan logo SPR di tepi kotak kiraan undi yang digunakan.

"Sewaktu kejadian itu berlaku, wakil calon kami juga telah berusaha membekalkan lampu suluh ke bilik kiraan undi tersebut bagi memastikan proses kiraan undi berjalan dengan lancar.

"Saya menafikan bahawa terdapat wartawan di lokasi kejadian kerana yang ada hanya ketua tempat mengundi, petugas SPR, wakil calon dan anggota polis yang bertugas," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Wan Ahmad, seperti dilaporkan The Star Online semalam, yang mendakwa gambar berkenaan merupakan satu lakonan yang dibuat sebelum pilihan raya.

Wan Ahmad dalam laporan tersebut mendakwa, gambar tersebut disebarkan di Internet untuk menunjukkan bahawa kejadian lampu padam di pusat pengiraan undi itu benar-benar berlaku.

Menurut Wan Ahmad, gambar tersebut, menunjukkan kakitangan SPR mengira kertas undi dengan menggunakan lampu suluh, namun tidak kakitangan berkenaan tidak memakai pakaian seragam SPR

Noor Hanim bagaimanapun bertegas bahawa kejadian tersebut benar-benar berlaku.

"Bagaimana beliau sendiri tidak tahu pakaian rasmi petugas-petugas SPR berwarna kelabu pada hari tersebut.

"Saya juga berasa hairan kerana beliau juga tidak kenal kotak bekas kiraan undi yang digunakan oleh pihak SPR sendiri," katanya.

Jelasnya, gambar berkenaan juga menunjukkan logo SPR di bekas yang digunakan untuk mengira undi.

"Oleh itu, saya menyarankan agar pihak SPR khususnya Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan kenyataan tanpa membuat kajian yang mendalam dan mengambil ringan isu yang dibangkitkan oleh rakyat.

"SPR sebagai badan rasmi yang menguruskan pilihanraya ini mesti dilihat profesional, adil dan telus serta tidak berpihak kepada mana-mana parti," katanya.


malaysiakini

Ucapan Dasar Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Posted: 26 May 2013 09:44 PM PDT

Kongres Nasional KEADILAN 2013
Ucapan Dasar Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail



Saudara-saudari anggota parti yang dihormati,

Selamat datang ke Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat Ke-9 pada tahun ini. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah SWT kerana diberi peluang dan kesempatan untuk berkumpul di sini. Kita juga merasa cukup bertuah kerana sekali lagi diraikan sebagai tetamu di negeri Selangor Darul Ehsan. Selepas melalui pelbagai cabaran di medan perang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, kita berkumpul kembali di sini – bermuhasabah, memperkemas dan mempersiapkan parti untuk menghadapi pertempuran baru di masa akan datang.


Kita juga merakamkan jutaan terima kasih atas kesudiaan Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan YAB Dato' Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana sudi meraikan kita di sini. Setinggi-tinggi tahniah di atas perlantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal keduanya.


Alhamdulillah, kejayaan mempertahankan Negeri Selangor membuktikan bahawa usaha Pakatan Rakyat pada penggal yang lalu – mengangkat ekonomi negeri, melakukan pelbagai perubahan, menambahbaik pengurusan dan menaiktaraf kebajikan rakyat – telah berjaya mempertahankan negeri Selangor di bawah teraju Pakatan Rakyat.
 

PRU13: Mandat dirampas lantaran kecurangan SPR

Pada 5 Mei yang lalu, rakyat sudah membuat keputusan yang jelas. Keputusan yang disaksikan seluruh dunia – bahawa 51% rakyat Malaysia telah memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat. Mandat ini semestinya mewakili suara dan aspirasi rakyat yang menaruh harapan dan impian untuk melihat Malaysia yang lebih baik, lebih adil dan lebih berdaya saing.


Walaupun rakyat berdepan dengan proses pilihan raya yang tempang, akses media yang berat sebelah ditambah pula dengan liputan berunsur fitnah dan propaganda jahat serta penyalahgunaan jentera dan agensi-agensi kerajaan oleh Barisan Nasional, namun rakyat tetap bangkit melawan dan membuat perubahan di peti undi. Hasilnya, Barisan Nasional telah dihukum dan hanya meraih sokongan dari 47% rakyat, menjadikan mereka sebuah kerajaan minoriti yang mana keabsahan (legitimacy) mereka boleh dipertikai dan dipersoalkan. Rentetan dari perkembangan ini, integriti dan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sewajarnya dipersoalkan!


Sesungguhnya mandat yang telah diberikan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU baru-baru ini telah dinafikan dan 'dirampas' oleh Barisan Nasional lantaran kecurangan SPR yang mengkhianati proses pilihan raya. Pelbagai bukti penyelewengan yang dilakukan oleh SPR telah berjaya dikenalpasti dan kini dikumpulkan oleh satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Pengarah Strategi parti, YB Rafizi Ramli. Penggunaan dakwat hitam kekal yang kononnya mampu bertahan pada jari pengundi selama lima (5) hari ternyata satu pembohongan. Banyak laporan yang diterima bahawa dakwat hitam tersebut tidak berkesan dan ada pengundi yang mendakwa dakwat tersebut hilang sebaik saja dibasuh beberapa minit selepas mengundi!


Dakwat kekal yang tidak kekal ini adalah bukti jelas bahawa proses PRU13 yang dikendalikan oleh SPR adalah tidak telus dan dicemari dengan penipuan. Tujuan asal penggunaan dakwat kekal ini dilaksanakan sebetulnya adalah untuk mengelakkan pengundian berulang akibat ketidakyakinan rakyat terhadap kewibawaan dan ketelusan daftar pemilih SPR. Namun apa yang berlaku, dakwat hitam yang dikatakan kekal bertahan selama lima (5) hari ini rupa-rupanya hanya indah khabar dari rupa! Lebih mengejutkan adalah alasan-alasan dangkal yang diberikan oleh pihak SPR untuk menutup penipuan ini kononnya botol dakwat tersebut perlu digoncang terlebih dahulu sebelum digunakan.


Selain itu, kita juga turut mendapat bukti tentang kes di mana jumlah kertas undi yang berada di dalam peti undi selepas pengundian adalah lebih banyak dari jumlah kertas undi yang dikeluarkan pada peringkat awal. Ini berlaku di kerusi Parlimen Balik Pulau yang ditandingi oleh calon KEADILAN dan di kerusi-kerusi DUN dibawahnya iaitu DUN Telok Bahang dan DUN Pulau Betong. Kejadian ini membuktikan bahawa peristiwa undi yang dikira melebihi dari kertas undi yang mulanya dikeluarkan memang berlaku. Jika ia boleh berlaku di Parlimen Balik Pulau, sudah tentu juga ia boleh berlaku di tempat-tempat lain.


KEADILAN dengan ini mencadangkan supaya ditubuh satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat projek pemberian kad pengenalan sepertimana yang terbukti berlaku di Sabah agar diperluaskan ke seluruh negara.


Kepimpinan SPR wajar  letak jawatan

Rakyat pastinya akan menghakimi SPR yang ternyata gagal untuk melaksanakan proses pilihan raya yang adil dan bersih walaupun tuntutan rakyat yang dibuat berkali-kali melalui BERSIH ditolak kesemuanya melainkan penggunaan dakwat kekal.


Sesungguhnya, seluruh rakyat Malaysia merasa amat kesal atas kegagalan SPR melaksanakan amanah yang diberi rakyat dengan adil dan saksama. Tindakan SPR ini mengingatkan kita kepada nasihat yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada seorang sahabat, Abu Dzar Al-Ghiffari:
"Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya". (Hadis riwayat Muslim)


Baginda SAW juga pernah bersabda:

"Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya kiamat." Ditanya kepada Baginda SAW, "Wahai Rasulullah, bagaimana melenyapkan amanah itu?" Rasulullah SAW bersabda: "Apabila amanah itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kemusnahan!"

Justeru, kita akan terus menuntut agar kepimpinan SPR meletakkan jawatan! Tuntutan rakyat yang disuarakan oleh BERSIH ternyata tidak dilaksanakan sepenuhnya. SPR bukan sekadar gagal menjamin proses pilihan raya yang bersih dan adil malah terlibat pula secara langsung dalam jenayah penipuan bagi pihak Barisan Nasional.

Himpunan Blackout 505: Majoriti rakyat menuntut Reformasi sebelum rekonsilisasi
Susulan daripada kepincangan dan penipuan dalam PRU13 yang lalu, Pakatan Rakyat telah menggerakkan Himpunan Blackout 505 (Gelita 505) untuk menyatakan bantahan, kemarahan dan kekecewaan rakyat terhadap proses pilihan raya yang tempang, tercemar dan curang.


Jelajah Black 505 di beberapa buah negeri – setakat ini di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Terengganu dan semalam di Melaka telah menyaksikan kehadiran ratusan ribu rakyat yang turun menyatakan bantahan terhadap penipuan dalam PRU13 yang lalu.


Tawaran Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak yang dibuat selepas kemenangan palsu PRU13 agar diadakan rekonsiliasi (reconciliation) terbukti tidak ikhlas apabila ada pemimpin Barisan Nasional dengan angkuh dan sombong mencabar sesiapa yang tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya negara supaya berpindah ke negara lain. Apakah pemimpin Barisan Nasional tersebut mahu 51% rakyat Malaysia berpindah ke negara lain? Sememangnya, di negara lain pun ada sistem 'first past the post'. Tetapi, jurang jumlah pengundi di kawasan yang besar tidaklah begitu jauh bezanya dengan kawasan yang kecil jumlah pengundinya.


Sesungguhnya, kita telah menyaksikan dengan jelas bahawa SPR secara terancang dan halus memastikan Barisan Nasional tetap memperolehi jumlah kawasan Parlimen atau DUN lebih banyak berbanding parti lain, meskipun jumlah undi popular yang diperolehi jauh lebih rendah. Maka itulah, apa yang kita dapati sebagai hasil PRU13 ini, Barisan Nasional yang memperoleh 47% undi popular (sekitar 5.2 juta pengundi) telah membolot 133 kawasan Parlimen. Manakala Pakatan Rakyat yang memperoleh lebih 51% undi popular (iaitu sekitar 5.6 juta pengundi) hanya dapat menguasai 89 kawasan Parlimen.


Oleh yang demikian, sebagai suara majoriti rakyat, kita akan terus menuntut agar kerajaan minoriti Barisan Nasional bersama-sama kita untuk melaksanakan Agenda Pemulihan Demokrasi melalui reformasi politik yakni reformasi pilihan raya dan reformasi Parlimen sebelum menawarkan rekonsiliasi.


Pakatan Rakyat akan terus komited mempertahankan rakyat daripada pelbagai kesusahan yang bakal diwujudkan dengan melaksanakan manifesto suara majoriti rakyat termasuk memberikan pendidikan percuma, menghapuskan perancangan cukai GST dan saman AES, menurunkan harga barangan, menghapuskan rasuah dan kronisme daripada terus berleluasa.
Pakatan Rakyat untuk semua


Sesungguhnya, PRU13 yang baru berlalu menjadi saksi bahawa KEADILAN telah mendapat dokongan yang cukup kukuh dan mantap terutamanya daripada generasi muda, tanpa mengira agama dan kaum. Komitmen anak-anak muda secara konsisten hingga ke hari ini (melalui perhimpunan Black 505) jelas menyaksikan bersemaraknya budaya baru yang merakyat. Dengan jiwa reformasi penuh membara, mereka berganding bahu dengan rasa mahabbah dan persaudaraan, tanpa mengenal hujan dan panas.


Sesungguhnya, generasi muda adalah generasi harapan masa depan kita. Merekalah penerus perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi Malaysia tercinta ini. Penahanan dan pendakwaan seorang anak muda bernama Adam Adli baru-baru ini menggambarkan ketakutan kerajaan BN terhadap suara anak muda yang berani menyatakan kebenaran dan membantah penipuan pilihan raya. Beliau dilayan umpama penjenayah berbahaya hanya kerana bersuara lantang mengkritik kepincangan sistem pilihan raya.


PRU13 telah menjadi saksi bahwa politik perkauman, politik samseng dan keganasan, politik pecah dan perintah, politik adu domba dan ugutan, politik lucah dan fitnah, politik rakus dan fanatik melulu telahpun ditolak oleh rakyat. Tindakan UMNO dan Barisan Nasional yang bermain api dengan segala unsur fanatik ini adalah sangat merbahaya dan mengancam keharmonian masyarakat.

22. Nyata dan pasti, bahwa rakyat sebenarnya meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap KEADILAN dan Pakatan Rakyat untuk mengisi agenda arah dan halatuju masa hadapan negara. KEADILAN telah menjadi satu-satunya parti yang memenangi kerusi di semua 14 negeri dan Wilayah Persekutuan sekaligus muncul sebagai parti arus perdana, yang mengamalkan budaya politik baru didalam setiap langkah dan tindakan.


Oleh yang demikian, komitmen kita kepada semua rakyat Malaysia bahawa KEADILAN adalah untuk semua rakyat akan tetap menjadi teras perjuangan kita. Inilah yang menggerunkan kerajaan minoriti Barisan Nasional.


Meluncur kemenangan masa depan

Sebagai pejuang sejati, apa jua yang kita alami, perlu juga kita selami kembali. Bersama kita bermuhasabah diri, agar harapan tinggi rakyat tidak kita kecewakan. KEADILAN mempunyai pengaruh nasional yang cukup hebat, namun perlu diseimbang dengan jentera yang mantap, berdisiplin dan kemas di peringkat akar umbi. PRU13 mengajar kita bahawa penipuan berlaku secara sistematik dan berleluasa, dan tumpuan kita kini adalah untuk mendedahkan penyelewengan PRU kepada rakyat.


Dalam masa yang sama, adalah amat kritikal agar program-program pemantapan pimpinan, organisasi, jentera parti dan keahlian diperkukuhkan demi menjana kemenangan dalam masa terdekat. Usaha-usaha pemantapan jati diri anggota dengan kefahaman serta penghayatan ideologi parti perlu diperhebatkan. Dengan meluncur sehati, sejiwa, barulah kita mengecapi kemenangan.
Penambahan anggota di peringkat cabang perlu dirancakkan, ranting-ranting di setiap daerah mengundi kawasan pilihanraya perlu dibuka dan diaktifkan. "Espirit de corps", semangat persaudaraan, pengorbanan, sokong menyokong dan saling memberi motivasi sesama anggota perlu dirancakkan. Pemantapan organisasi, peningkatan bilangan anggota parti dan pengukuhan semangat persaudaraan ini lebih kritikal di kawasan luar bandar yang akan menjadi tumpuan utama parti.
Oleh yang demikian, ruh reformasi perlu ditiupkan kembali. Dalam masa yang sama, muafakat melalui wadah Pakatan Rakyat perlu disemarakkan berteraskan prinsip hormat menghormati disamping membina konsensus bersama demi rakyat.


Sesungguhnya, bersama kita menyedari bahawa perjuangan untuk membina Malaysia yang lebih baik dan saksama, bukanlah mudah dan senang. Maka bersedialah kita semua dari segi spiritual, mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran dan tekanan yang akan ditimpakan. Jangan ada di antara kita yang tewas dalam perjalanan. Buat anggota parti yang tidak terpilih menjadi calon dalam PRU lalu, janganlah goyah dan berkecil hati. Perjuangan harus diteruskan.


Justeru, marilah juga bersama kita menginsafi bahwa perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan rakyat ini adalah amat mulia di sisi Allah dan insan. Maka itu, janganlah kita merasa ragu-ragu dan merasa tidak pasti. Setiap perjuangan yang mulia dan tinggi pasti melalui dugaan dan cabaran. Ini merupakan ketentuan Ilahi. Keyakinan kita kepada rahmat dan redhaNya pasti akan menjadikan kita istiqamah dalam perjuangan ini.


Firman Allah:

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap dugaan yang menimpa kamu). Sesungguhnya kamulah orang-orang yang tertinggi (termulia, mengatasi musuh) jika kamu orang-orang yang sungguh-sungguh beriman." (Ali Imran: 193)


Kita juga tidak sekali-kali lupa bahawa perjuangan kita adalah satu amanah besar lagi mulia di sisi rakyat. Oleh yang demikian, kepentingan rakyat dan kepentingan prinsip perjuangan menjadi keutamaan kita.


Akhir sekali, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT dan juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan amanah untuk kita menjadi suara majoriti rakyat Malaysia tercinta. Suara rakyat, suara keramat!


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti KEADILAN Rakyat

Walaupun kita lemah dari segi kewangan , namun ia tidak melemahkan kita- Shuhaimi Shafiei

Posted: 26 May 2013 01:58 AM PDT




KONGRES PKR Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei hari ini mengulangi gesaan supaya ahli-ahli parti dilantik dalam syarikat kaitan kerajaan (GLC) serta pihak berkuasa tempatan untuk memantau mereka yang tidak sehaluan dengan dasar parti.

Bagi menguatkan lagi hujahnya, Suhaimi memetik kata-kata Abraham Lincoln yang berbunyi: 'Berikan saya enam jam untuk menebang pokok, saya akan habis empat jam pertama mengasah kapak'.
Dalam hubungan itu, beliau berkata, parti itu telah 15 tahun ditubuhkan dan diberi dua penggal untuk memerintah Selangor. 

Oleh itu, beliau merasakan "kapak kita" sudah cukup tajam untuk memasuki mana-mana GLC dan majlis tempatan untuk bertindak terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan dasar parti.

Berucap membahas ucapan presiden di kongres nasional PKR ke-9 di Petaling Jaya petang ini, Shuhaimi (kanan) juga menggesa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang duduk di sebelah podium, melantik ahli PKR mengisi jawatan dalam GLC dan kerajaan tempatan.

Katanya, langkah tersebut adalah penting untuk melatih mereka, tetapi dengan tegas berkata, pihaknya menentang mana-mana ahli parti yang mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri mereka sendiri.

Terdahulu, Shuhaimi mengimbau ucapan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di kongres Pemuda dan Wanita PKR semalam di mana beliau berkata parti perlu mengukuhkan diri dari segi kepimpinan, keahlian, organisasi dan kewangan.

"Bahagian kewangan, kita rasa kita paling lemah tetapi ini tidak menghalang perjuangan kita," katanya.

Beliau juga menyentuh ucapan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menggesa jentera parti digerakkan untuk mencapai kemenangan pada masa depan.

Shuhaimi juga menggesa tindakan diambil terhadap pemimpin parti yang enggan mematuhi keputusan mesyuarat di peringkat cabang, negeri dan pusat.

Beliau juga menggesa pihak parti mengambil tindakan terhadap mereka yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan parti tetapi gagal berbuat demikian.


malaysiakini

Ucapan Perwakilan Selangor YB Shuhaimi Shafiei

Posted: 25 May 2013 01:46 AM PDT

KONGRES NASIONAL KEADILAN KE-9

Ucapan Perwakilan Selangor YB Shuhaimi Shafiei


1.  15 tahun perjuangan REFORMASI berlalu, momentunmnya tidak pernah lentur malah ia makin semarak hingga ke hari ini. Parti KEADILAN Rakyat adalah parti masa depan Malaysia, Undi popular 51% pada PRU-13 membuktikan Rakyat Malaysia semakin jelas bahawa mereka punya kuasa dan pilihan untuk merobah pentadbiran. 
 2.  Dulu ada orang kata "impossible" untuk Parti KEADILAN Rakyat bertahan.Saya kata "the word itself said "im possible" .Kita boleh! Kita bawa Politik Harapan Rakyat! Kita bawa kebenaran!
 3.  Kita bukan sahaja meraikan pelbagai kaum malah Parti KEADILAN Rakyat juga  memberi ruang kepada anak muda untuk menyumbang, inilah kelebihan yang digeruni seteru politik kita, yakni bekerjasama dengan anak muda selaras dengan arus zaman.
 4.  Antara kejayaan PRU-13 yang boleh dibanggakan , kita berjaya menumbangkan 6 gergasi dari pihak lawan di kubu kuat mereka.Hatta Ketua Menteri pun kita lanyak dan berjaya meluaskan jajahan di bandar-bandar utama.

 5.  Politik Harapan yang kita semai membidas puing-puing perkauman yang dihembus seteru kita.Rakyat bermaklumat sudah kebal dengan fitnah jahat dan tohmahan yang dilemparkan,ini kerana rakyat sekarang lebih gemar menerima berita yang mendatangkan manfaat kepada mereka contohnya info mengenai Manifesto atau polisi & dasar.
 6.  Gerak Kerja kita berjaya merobah lanskap pemikiran rakyat terhadap politik Negara.Sedikit sebanyak gerakan REFORMASI ini sudah mula tumbuh di dalam minda bawah sedar masyarakat dan membentuk minda yang positif.    


7.  Peperangan yang lalu kita harung dengan persediaan yang mantap namun ada 1 tembok licik  yang memisahkan kita daripada Pilihan Raya yang telus dan adil.Rakyat sudah menyuarakan tuntutan tetapi entiti ini masih gagal menguruskan perkara asas iaitu dakwat kekal,pembersihan daftar pemilih dan pengundi hantu yang nyata membuang undi walaupun bukan warganegara sah.

8.   Ini merupakan pengajaran besar buat kita untuk menempuh PRU-14 kelak, justeru tembok ini wajib kita robohkan walau apa cara sekali pun.Kita belum gagal kerana kegagalan itu ialah apabila kita berhenti meneruskan perjuangan hatta ditipu atau dicemuh.Kita masih di dalam fasa kemenangan.

9.   Usul saya hari ini pertama, ingin melibatkan ahli parti dalam anak syarikat Negeri (GLC), dengan melibatkan ahli parti yang berkelayakan. Mereka akan membawa budaya reformasi dalam pentadbiran GLC. Ini kerana penggal lalu GLC dibiarkan bersendirian dan masih terperosok dalam cengkaman UMNO-BN.Tiba masanya untuk kita melakukan reformasi secara holistik di semua GLC dan jabatan kerajaan agar setiap keputusan mereka selari dengan pendirian Kerajaan Negeri.

10.   Kedua,program pemantapan ahli parti dari segi pendirian yang konsisten untuk bersama Parti KEADILAN Rakyat bukan hanya suka-suka sebaliknya serius memperjuangkan parti.Merujuk kepada pengalaman lalu apabila nama mereka tidak diangkat menjadi calon,timbul tindakan yang merencatkan perjalanan kita menempuh PRU-13.

11.  Mengambil jalan bertanding diatas tiket bebas ini bukan budaya kita. Ahli harus akur dengan tata tertib dan berdisiplin bagi membentuk stuktur baik untuk parti dimasa akan datang.Inisiatif ini perlu dilaksana secara sistematik khususnya memberi kesedaran awal kepada golongan muda.


12.   Ketiga,budaya mesyuarat dan keputusan parti. Ada keputusan besar dalam kongres parti dan mesyuarat parti peringkat biro politik ,cabang, negeri dan pusat tidak dipatuhi segelintir ahli  yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakanny,lebih buruk lagi ada yang mengabaikan tanggungjawab sehingga menimbulkan internal politik.

13.   Justeru kita akan tekankan supaya mereka yang diberi amanah wajib melaksanakannya hingga selesai.Selaku ejen perubahan mereka tertakluk pada tindakan dan cadangan yang diperuntukkan oleh parti.


Kata pujangga :
"beri saya 6 jam untuk tumbangkan sebatang pokok, saya akan gunakan 4 jam   pertama untuk mengasah kapak"Abraham Lincoln


14.   Sedikit penambahan saya ingin menyentuh 4 perkara asas yang perlu di asah sebelum kita ke medan perang akan datiag. Pertama panambahan anggota diperingkat cabang wajib dipergiatkan ,kedua pembukaan ranting-ranting di setiap daerah mengundi wajib diwujudkan,ketiga mengukuhkan jentera secara konsisten wajib dipertingkatkan, dan akhir sekali semangat kerjasama wajib disemai "berat sama dipikul , ringan sama dijinjing"

15.   Pembangunan parti harus meliputi perkara latihan,sumber kewangan harus jadi agenda pimpinan.Sedarlah para pimpinan , kita terpilih dan menang kerana parti justeru tiada dosa untuk membantu dan membangunkan parti . Ada pimpinan yang diberi amanah dan kuasa merasa berdosa bantu parti , tetapi mendabik dada membantu Ngo termasuk kelompok-kelompok parti.











Ucapan Dasar Timbalan Presiden Azmin Ali

Posted: 25 May 2013 01:42 AM PDT

KONGRES NASIONAL KEADILAN KE-9 TAHUN 2013
Ucapan Dasar Timbalan Presiden Azmin Ali




MUKADIMAH

1.      Kita baru pulang dari medan perang. Alhamdulillah, semangat anak muda dan wanita terus membara dan istiqamah membawa panji KEADILAN dan menyemarakkan semangat reformasi.

2.      Saya yakin agenda anak muda dan wanita akan diperkukuh dalam Dewan Rakyat dengan terpilihnya Saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Puan Hajah Zuraida Kamaruddin sebagai Ahli Parlimen bersama beberapa tokoh muda yang lain seperti Saudari Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Saudara Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), Saudara Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru), Saudara G. Manivannan (Ahli Parlimen Kapar) dan Saudara Darell Leiking (Ahli Parlimen Penampang). Tenaga muda telah memberi corak baru dalam polar pengundian baru - baru ini.

3.      Inilah kali pertama Ketua Angkatan Muda dan Ketua Wanita KEADILAN akan bersama dalam Dewan Rakyat. Saya yakin, 'Giant Killer' di Bukit Katil dan 'Iron Lady' dari Ampang akan mengegarkan perbahasan di Parlimen untuk 5 tahun yang akan datang.

4.      Terbukti apabila anak muda dan wanita diberikan peluang dan sokongan, mereka juga akan berjaya. Justeru, saya menggesa kepimpinan parti untuk terus memberi dorongan dan ruang kepada generasi muda dan wanita untuk diberikan tanggungjawab yang lebih besar dalam kepimpinan parti.

5.      Yakinilah bahawa organisasi dan kepimpinan yang diterajui oleh anak muda berpotensi menggerakkan organisasi dengan lebih efektif dan tampil dengan idea baru yang segar dalam aspek ekonomi, budaya dan politik. Martha C. Nussbaum telah mengungkapkan dalam bukunya yang terbaru sebagai 'Creating Capabilities'.

6.      Adapun kekuatan yang kita bina selama ini adalah untuk menang dalam pilihan raya, namun perjuangan yang sebenar ialah apabila kita tidak pernah berundur dan terus istiqamah membawa obor perjuangan yang suci ini. Mari kita bersama menghayati kata - kata Churchill ;
"In War : Resolution. In Defeat : Defiance.
In Victory : Magnanimity. In Peace : Goodwill."

7.      KEADILAN bukan hanya bergerak lima tahun sekali untuk pilihanraya semata-mata. Perjuangan kita bertunjangkan cita - cita untuk memastikan negara ini makmur, demokratik, adil dan saksama demi rakyat Malaysia.

8.      Keazaman untuk meneruskan cita - cita murni rakyat, iltizam politik dan prinsip perjuangan yang teguh adalah faktor kejayaan kita melakukan perubahan besar dalam lanskap politik negara dan mendapat lonjakan sokongan rakyat dalam dua pilihan raya umum yang lalu.

"Strength doesn't come from winning, your struggles develop it. When you go through hardship and decide not to surrender, that is strength."
 -  Mahatma Gandhi

9.      Kita mesti mengambil peluang ini untuk kembali tenang dan bermuhasabah, merenung serta kembali mengatur langkah untuk memperkukuhkan sokongan rakyat.

10.    Makanya, kita ini tidak ubah umpama watak dalam dialog Plato yang terkenal, Nomosatau The Laws of Plato. Kita seperti Athenian Stranger yang meniup keyakinan baru kepada Megillus seorang Spartan dan Kleinias dari Pulau Crete, bahawa tujuan akhir kebijakan mahupun undang-undang adalah demi kemaslahatan atau eudaimonia rakyat semata-mata.

11.    Kerana itu kita tidak boleh surut dari ikhtiar ini. Iltizam mesti diperkuatkan, keazaman mesti diutuhkan, percayalah setiap masa dan setiap saat kita sudah berjaya merungkai pemikiran regim lama yang dahulunya mencengkam. Rakyat Malaysia kini bukan sekadar membuat undi protes tetapi bangkit bersama - sama dengan kita menuntut kebijakan dan undang-undang yang berlegar sekitar kemaslahatan mereka.

12.    Mutakhir ini, hasrat membangunkan suatu masyarakat demokratik dan sistem dwi - parti berkumandang seantero Malaysia. Manakala kita berjaya menghadirkan politik baru dan wacana segar, namun ia juga menuntut suatu proses berterusan untuk mengakarkan pemikiran - pemikiran tersebut. Oleh kerana itu, ianya membabitkan bukan sahaja gerakan politik, akan tetapi menuntut suatu gerakan kebudayaan yang menyeluruh, yang merangkumi semua lapisan masyarakat.


PRESTASI KEADILAN DALAM PRU - 13

13.    Menilai prestasi KEADILAN dalam Pilihan Raya Umum ke 13, kita telah menggugat hegemoni UMNO - BN yang telah berakar selama lebih 5 dekad sehingga mengakibatkan terbentuknya sebuah Kerajaan Minoriti. Aneh bin Ajaib, demokrasi di Malaysia. Pakatan Rakyat yang memperolehi 51% undi popular dari rakyat menjadi pembangkang manakala UMNO yang hanya menerima 47% boleh membentuk Kerajaan.

14.    Tahniah kepada saudara - saudari sekalian, kerana saudara - saudari lah; KEADILAN telah berjaya meraih 2.3 juta undi dari 4.8 juta pengundi di 99 kawasan Parlimen yang ditandingi oleh KEADILAN.

15.    KEADILAN telah mengemukakan 61 orang calon dibawah umur 40 tahun dan 30 orang calon wanita untuk bertanding di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. 19 daripadanya telah terpilih sebagai wakil rakyat untuk membawa suara generasi muda sementara 11 wakil rakyat yang lain akan menyuarakan agenda wanita.

16.    KEADILAN adalah satu - satunya komponen Pakatan Rakyat yang mempunyai kerusi menang di kesemua 14 buah negeri di Malaysia. Jika dahulu kita tidak mempunyai satu pun kerusi di Sabah, kali ini KEADILAN telah menang tujuh (7) kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah dan satu (1) kerusi Parlimen di Penampang.

17.    We are a party of giant slayer. Saudara Shamsul Iskandar, menggulingkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka). Saudari Nurul Izzah menewaskan Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar). Saudara Gooi Hsiao Leung mengalahkan Dato' Chor Chee Heung (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Saudara Darell Leiking menumbangkan Tan Sri Bernard Dompok (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi). Laksamana Imran Abd Hamid menang melawan Datuk Seri Kong Cho Ha (Menteri Pengangkutan) dan Dato' Idris Jusi mengalahkan Dato' Dr. Mohd Puad Zarkashi (Timbalan Menteri Pelajaran).

18.    Rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Pakatan Rakyat dalam PRU - 13. Mandat rakyat di 89 buah kerusi Parlimen adalah kejayaan muafakat Pakatan Rakyat. Keyakinan rakyat masih utuh bahawa Pakatan Rakyat mampu melakar perubahan. Kerana itu pimpinan Pakatan Rakyat tidak boleh melakukan kesilapan kerana ia mengkhianati cita - cita rakyat. Etika tahaluf siyasi menuntut ketuntasan di kalangan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.



Wahai orang - orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian - perjanjian.
                                    ( Surah Al Maidah : 1 )




KEADILAN SEBAGAI PARTI MASA HADAPAN

19.    Dalam sistem demokrasi, parti politik diuji dengan pilihan raya umum setiap lima tahun. Tetapi pencapaian dalam politik tidak terbatas dengan kempen dan gerak kerja pilihan raya semata - mata.

20.    Menjelang PRU - 13, JPRP telah membuat persiapan yang jauh lebih baik berbanding pilihan raya 1999, 2004 dan 2008. Saya bersama pasukan JPRP kerap menghubungi dan mendampingi calon dan pimpinan Negeri untuk memberi sokongan moral kepada mereka dan berusaha memenuhi keperluan mereka dalam berhadapan dengan pilihan raya. Untuk masa hadapan, kita perlu lebih bersedia.

21.    Kita mempunyai kesenjangan waktu selama 5 tahun daripada sekarang untuk membina kekuatan parti. Segala kekuatan perlu digarap untuk memperkukuh organisasi dan struktur KEADILAN sebelum berdepan dengan perang akan datang.

22.    Tetapi persediaan kita tidak terbatas kepada gerak kerja pilihan raya sahaja. Apa yang perlu kita lakukan adalah pembangunan parti secara menyeluruh yang melibatkan beberapa aspek :

         1.      Pembangunan Kepimpinan
         2.      Perkaderan
         3.      Organisasi
         4.      Kewangan

23.    Pembangunan kepimpinan bermaksud tarbiyah kepimpinan dari segi intelektual, keperibadian dan political skill. KEADILAN adalah sebuah parti massa. Kita sentiasa menambah keanggotaan parti. Namun kuantiti anggota tidak akan menjamin kekuatan parti. Justeru, mereka perlu dilatih sebagai kader yang menjadi jentera parti dalam pilihan raya dan penggerak kepada kempen - kempen yang kita laksanakan dari masa ke masa.

24.    Latihan yang teratur dan berkala dengan menggabungkan kefahaman prinsip dan idealisme perjuangan serta jati diri akan menjamin asas organisasi yang lebih kukuh disamping mampu melahirkan pimpinan, kader dan anggota yang mampan serta tuntas dengan perjuangan KEADILAN.

25.    Bagi merealisasikan hasrat ini, saya ingin mencadangkan penubuhan Institut Ta'dib Siyasi (Institute for Political Education) dengan tenaga pelatih yang wibawa, fasilitator yang tetap, kemudahan latihan yang berteknologi canggih serta sejumlah peruntukan yang dapat memenuhi keperluan institusi ini.

26.    Program ini harus melibatkan pimpinan dan anggota parti di semua peringkat dan ianya perlu berjalan secara berkala dengan sasaran 10,000 kader setiap tahun. Usaha ini perlu menjadi fokus Angkatan Muda dan Wanita yang berperanan sebagai nadi kepada usaha kaderisasi bagi membentuk satu gerakan massa yang progresif dan berdaya tahan.

27.    Satu aspek yang juga penting dalam pembangunan parti adalah kewangan. Pemikir strategi Von Clausewitz berkata; "war is an extension of politics by other means". Politik adalah sejenis peperangan. Dalam perancangan perang, terdapat dua (2) unsur wajib; pertama persepsi dan kedua sumber.

28.    Dalam perang politik, kita perlu membina dan mengurus persepsi rakyat melalui manifesto dan komunikasi politik. Tetapi segala ini akan menjadi 'lame duck' sekiranya kita tidak mempunyai sumber. Apakah kita mahu KEADILAN menjadi 'lame duck' political party ?

29.    Justeru bagi memastikan KEADILAN terus relevan dan sejajar dengan aspirasi rakyat, kita perlu memperkukuh organisasi, menggilap idealisme dan citra perjuangan agar perjuangan KEADILAN terus meraih dokongan rakyat Malaysia.


POLITIK PERKAUMAN USANG

30.    Pasca PRU - 13, menyaksikan negara dan rakyat sekali lagi dihambat dengan api perkauman sempit yang ditiup oleh kelompok yang gusar dengan kebangkitan rakyat. Tatkala Perdana Menteri mengusulkan 'National Reconciliation', beliau turut mendakwa keputusan PRU - 13 adalah kesan 'tsunami cina'.

31.    Saya yakin apa yang berlaku dalam PRU - 13 bukan 'tsunami cina' tetapi ianya adalah 'tsunami rakyat'; kebangkitan rakyat Malaysia menolak rasuah, kezaliman dan menuntut perubahan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

32.    Dakwaan bahawa orang Cina ingin merampas kuasa politik adalah meleset kerana dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kita dibenarkan untuk memilih pemimpin. Itu bukan merampas kuasa politik sebaliknya adalah menggunakan hak untuk memilih.

33.    Rakyat turut digemparkan dengan hasutan Utusan Malaysia; "Apa lagi orang Cina mahu ?" Saya ingin beritahu Utusan Malaysia. Ini jawapan seorang pengundi Cina di Gombak. Namanya Lim Ying dari Kuala Ampang. Saya tanya kepadanya apa yang orang Cina mahukan. Lim Ying menjawab; "Saya rakyat Malaysia. Saya lahir di Malaysia. Saya setia kepada Yang Di Pertuan Agong. Saya mahu negara ini bebas daripada rasuah. Saya mahu keadilan sosial untuk orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan seluruh rakyat Malaysia.

34.    Adakah hasrat ini dimonopoli oleh orang Cina sahaja ? Saya cukup yakin, hasrat Saudara Lim Ying juga adalah aspirasi rakyat Malaysia.

35.    Bagai mencurah minyak ke api, kenyataan perkauman Dato' Sri Najib disambut oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Pro - Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM). Saya yakin dan percaya seluruh pengamal undang - undang dan para akademia turut berasa kesal dan malu di atas kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka.

36.    Bagaimana seorang tokoh pendidik boleh mencadangkan langkah ke arah perpaduan nasional adalah melalui penutupan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Saya percaya warga pendidik menyakini bahawa perpaduan nasional tidak boleh dibina di atas keruntuhan bahasa ibunda dan budaya kaum yang lain. Jamak bahasa dan budaya adalah khazanah negara yang harus diraikan.

37.    Pendirian Pakatan Rakyat jelas. Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan seluruh rakyat Malaysia terutamanya generasi muda mesti fasih menguasai Bahasa Kebangsaan. Pada masa yang sama, rakyat perlu diberikan pilihan untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan Bahasa Ibunda sebagai bahasa pengantar.

38.    Perpaduan tidak boleh dibina dengan paksaan. Perpaduan nasional perlu diasaskan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan. Justeru itu, sesebuah pemerintahan perlu melibatkan penyertaan yang inklusif serta melaksanakan kebijakan yang adil dan saksama.

39.    Permulaannya adalah dengan mewujudkan muafakat nasional untuk menghapuskan dasar yang berasaskan kaum dan menggantikannya dengan dasar yang berasaskan keperluan. Jika tidak ada sesiapa yang merasa dia terpinggir oleh sebab latar belakang etnik, maka keperluan untuk identifikasi kaum secara semula jadi akan terhapus.

40.    Politik umpan perkauman yang dicetuskan oleh UMNO adalah bukti yang cukup untuk menunjukkan bahawa program  transformasi Najib adalah retorika politik dan bukan tercerna daripada keyakinan diri. Sikap ini turut dikongsi oleh Menteri Dalam Negeri yang baru, Ahmad Zahid Hamidi bahawa rakyat yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya boleh keluar ke negara lain. Pendirian beliau dalam proklamasi pertama sebagai menteri telah memperlihatkan betapa Zahid Hamidi adalah seorang  yang bongkak dan tidak menghormati hak rakyat yang telah membuat pilihan. 

41.    Rakyat tidak ada masalah dan tidak bermusuhan dengan negara Malaysia yang tercinta ini. Akan tetapi rakyat bermasalah dengan UMNO - BN. Malaysia adalah milik kita semua. Kami menjunjung taat setia kepada Raja dan Negara.


PENCABULAN HAK ASASI RAKYAT

42.    Rakyat bangkit menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Apabila kemenangan rakyat dirompak oleh UMNO, adalah menjadi hak rakyat yang dijamin perlembagaan untuk mereka menyuarakan rasa kecewa serta kemarahan mereka.

43.    Perhimpunan aman adalah hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebarang usaha untuk menyekat hak asasi ini merupakan pencabulan kepada perlembagaan. Dalam demokrasi yang sihat, exploitasi aparat kekuasaan negara terhadap rakyat perlu dihentikan.

44.    Kita bukan sahaja bercakap tentang kelemahan sistem pilihan raya. Tetapi, kita telah membuktikan siri penipuan yang sistematik dalam skala besar. Ini menuntut reformasi sistem pilihan raya demi mengembalikan maruah dan kredibiliti institusi demokrasi dalam negara.

45.    Melihat kepada pencabulan yang dilakukan dalam PRU - 13, benarlah apa yang dilontarkan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said, bahawa pilihan raya ini adalah 'Ibu Segala Penipuan'.

46.    Bantahan terhadap penipuan dalam proses pilihan raya mesti diteruskan dan dipertingkatkan usaha secara bersama dengan BERSIH dan juga badan - badan NGO's yang lain. Cadangan Dato' S. Ambiga dan BERSIH mengenai pembentukan Tribunal Awam harus menjadi medan untuk rakyat mengemukakan bukti dan bantahan terhadap keputusan pilihan raya yang tidak demokratik. Cabang, Agen - Agen Pilihan Raya dan orang awam harus tampil segera dengan bukti - bukti yang sahih untuk peguam - peguam memulakan prosiding perundangan.

47.    Saya mengecam pendakwaan terhadap YB Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adam Adli serta siri penangkapan beberapa pemimpin politik dan NGO's termasuk YB Tian Chua dengan motif untuk menekan dan menutup suara rakyat daripada berbicara soal demokrasi. Pemerintah menjadi gusar melihat kebangkitan dan keberanian anak - anak muda Malaysia yang tuntas menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Keberanian rakyat Malaysia menuntut perubahan menjanjikan sebuah negara Malaysia yang gagah, masyarakat yang harmoni dan negara yang makmur.


PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHAN RAYA

48.    Ketempangan sistem pilihan raya di Malaysia juga berpunca daripada gerrymanderingyang didalangi UMNO. Persempadanan bahagian pilihan raya dibuat secara tidak adil dan tidak memenuhi prinsip sistem demokrasi berperwakilan.

49.    Peranan SPR sewajarnya lebih tertumpu kepada urusan pengendalian pilihan raya dan tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk mengemukakan syor - syor persempadanan baru bahagian pilihan raya kerana ianya menggasir kredibiliti dan kebebasan SPR.  

50.    Justeru, sebuah suruhanjaya baru yang bebas, telus dan profesional perlu dibentuk untuk meneliti urusan persempadanan bahagian pilihan raya.

51.    Boundary Commission for England diwujudkan bagi mengemukakan syor sempadan baru bagi kawasan - kawasan pilihan raya dalam tempoh setiap 5 tahun. Antara kriteria - kriteria yang menjadi pertimbangan adalah electoral quota and 5 % rule, geographical size, special geographical consideration, local government boundaries, boundaries of existing constituencies and local ties. Garis panduan ini terkandung dalam Laporan Boundary Commission for England  2013.

52.    Justeru saya mencadangkan supaya Angkatan Muda dan Wanita supaya proaktif untuk memulakan usaha berbincang dengan pihak yang mempunyai kepakaran untuk mengesyorkan kewajaran persempadanan baru berasaskan etika demokrasi sebagai cadangan balas terhadap syor - syor persempadanan semula oleh SPR pada hujung tahun ini.


DIALOG DAN  TEMU - TEMBUNG POLITIK

53.    Kita akur bahawa demokrasi di Malaysia semakin segar. Ini adalah hasil dari kesedaran rakyat dan kebangkitan rakyat. Rakyat kini sedar hak mereka dan memahami prinsip karamah insaniah. Darjat insan itu mulia, mereka tidak boleh diperkotak - katikkan oleh Sang Penguasa, tidak boleh ditindas dan undi mereka tidak boleh dijual beli.
54.    Akibat dari kesedaran tersebut, rakyat semakin kritis terhadap pemerintah. Zaman di mana pemerintah mendapat sokongan besar rakyat sudah berlalu. Dalam PRU - 12, rakyat menafikan majoriti 2/3 BN yang sebelum itu diperolehi dengan mudah.

55.    Pada waktu yang sama, kita bertanggungjawab tidak membiarkan suasana 51 - 47 merudum ke arah suasana buntu atau political impasse. Konflik dan pertelingkahan yang tiada penghujung. Saya berpendapat semua pihak perlu menggembeling moral courageuntuk mencipta political dialogue and engagement across the political divide.

56.    Jika kita mengaku ingin berkhidmat demi rakyat, patriotis dan mendahulukan kepentingan rakyat terbanyak mengatasi kepentingan kelompok, maka kita perlu mencari titik temu atau common ground untuk membawa kemajuan politik di Malaysia.

57.    Kita perlu merenung peristiwa Hudaibiyyah di mana berlaku jalan buntu antara umat Islam dengan Quraisy di Mekah. Pada mulanya, inisiatif Rasulullah untuk berunding dan mengadakan perjanjian dengan Quraisy telah ditolak keras oleh para sahabat. Tetapi Perjanjian Hudaibiyyah telah membuka dialog dan engagement yang akhirnya membawa kepada kemenangan Islam. Kebijaksanaan Rasulullah ini perlu kita garap demi kemenangan rakyat.


PENUTUP

58.    Seusai Kongres ke 9 ini, kita pulang ke Cabang masing - masing dengan keyakinan bahawa majoriti rakyat bersama kita. Peraturan sulung politik adalah 'all politics is local'. Kerana itu, kita mesti memperkukuh sokongan yang sedia ada. Pada masa yang sama menggembeling usaha memperluas tapak pengaruh kita.

59.    Kita mesti bersama rakyat, bukan sahaja di pentas pidato, tetapi juga menari bersama rentak dan irama masyarakat. Derita rakyat adalah derita kita. Kegembiraan rakyat adalah kegembiraan kita. Kita dan rakyat laksana satu nyawa.

60.    Dengan prinsip dan keyakinan ini, Insha Allah kita akan menempa kejayaan rakyat

Tiada ulasan:

Nuffnang