Selasa, 2 April 2013

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Pusat khidmat rakyat Lembah Pantai

Posted: 01 Apr 2013 07:14 PM PDT

NURUL IZZAH ANWAR
2 April 2013

Hujung minggu lepas saya berkesempatan melawat dan berjumpa dengan penduduk Lembah Pantai dalam tugas saya sebagai seorang Ahli Parlimen.

Sering kali saya akan ditanya tentang bantuan dan juga masalah setempat yang dihadapi penduduk berbilang bangsa dan status ekonomi.

Buat penduduk di Bangsar yang terdiri daripada penduduk kelas menengah, soalan lazim ditanya adalah berkenaan masalah jenayah, isu-isu ekonomi dan krisis rasuah.

Manakala rakyat Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi akan bertanyakan tentang masalah penyelenggaraan prasarana perumahan seperti lif rosak, sampah-sarap, jalan berlubang, longkang tersumbat, jenayah jalanan serta bantuan kewangan akibat kos sara hidup yang kian meningkat.

Penduduk majmuk kawasan Taman Sri Sentosa dan Jalan Klang Lama rata-rata mahukan usaha membanteras jenayah diberi tumpuan seperti mana tumpuan polis dan pasukan Rela lebih dipusatkan untuk penduduk Bangsar buat masa ini.

Jelas kelihatan setiap kawasan di Lembah Pantai miliki masalah yang unik dengan keperluan dan keadaan setempat.

Pada hemat saya, isu-isu setempat boleh dibahagikan kepada tiga kategori bersesuaian dengan bidang kuasa berikut iaitu – isu-isu yang perlu diselesaikan di peringkat Kerajaan Persekutuan seperti masalah jenayah, rasuah, pendidikan dan ekonomi –
isu-isu seperti penyelenggaraan prasarana, pengurusan sampah-sarap dan kebersihan yang perlu diselesaikan oleh kerajaan tempatan seperti DBKL – dan isu-isu yang mampu diatasi dengan kolaborasi masyarakat setempat.

Penduduk Lembah Pantai semakin celik dan sedar bahawa isu dan masalah yang dihadapi merupakan tanggungjawab badan agensi yang berkuasa, dan tidak tertakluk khusus kepada wakil rakyat sahaja.

Pun begitu, apabila isu dan masalah tidak diselesaikan secara memuaskan, adalah menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk membangkitkannya di Parlimen atau berhubung terus dengan pihak-pihak berkuasa berkenaan atau berusaha merangka
program-program 'tambahan' seperti bantuan kerusi roda, bantuan warga emas, klinik kesihatan percuma, bantuan tuisyen dan aktiviti-aktiviti masyarakat.

Selain itu, saya percaya beberapa program peluang perniagaan, pekerjaan dan pendidikan mampu dirangka dengan melibatkan pihak-pihak berkepentingan dalam sesuatu kawasan Parlimen.

Di Lembah Pantai, kita mampu adakan program-program latihan untuk belia melibatkan beberapa syarikat besar beribu pejabat di Lembah Pantai seperti TNB, Telekom Malaysia, Syabas atau perniagaan runcit besar yang ada di beberapa pusat beli-belah gergasi seperti Mid-Valley, Bangsar Village dan Bangsar Shopping Complex.

Jika dimasukkan syarikat-syarikat swasta yang ada pejabat atau pemaju-pemaju hartanah di sekitar kawasan, senarai rakan-rakan program perintis atau pelatih khusus untuk belia Lembah Pantai akan cukup mengatasi masalah tiada peluang pekerjaan penduduk.

Jika diperluaskan konsep 'Community Learning and Community Health' iaitu program pendidikan dan kesihatan masyarakat oleh institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Malaya di Lembah Pantai sudah pasti kualiti pendidikan serta kehidupan akan menjadi penanda aras negara.

Rakyat Lembah Pantai juga sudah tahu walaupun Pakatan Rakyat memenangi majoriti kerusi Parlimen di Kuala Lumpur – sedangkan kerajaan tempatan seperti DBKL tetap diletakan di bawah kuasa parti yang kalah – ataupun apabila peruntukan kawasan Parlimen sekitar RM2 juta setahun tidak disalurkan melalui pejabat Ahli Parlimen yang dipilih rakyat, tetapi melalui agensi lain kerajaan – peranan pembangkang sebagai mewakili suara dan hak rakyat – tetap menjadi pencetus perubahan disebabkan persaingan serta perhatian yang diberikan oleh pembangkang kepada kerajaan cukup berkesan.

Oleh demikian, saya percaya jika satu konsep integrasi perkhidmatan kerajaan dan masyarakat dilaksanakan, ia akan meningkatkan kualiti serta keberkesanan perkhidmatan awam untuk penduduk setempat di bawah kawasan Parlimen masing-masing – tanpa kira sama ada wakil rakyat adalah dari parti pemerintah atau pembangkang – kerana dalam sebuah demokrasi semua pilihan rakyat dihormati dan hak rakyat mendapat perkhidmatan kerajaan disanjung.

Bayangkan jika jabatan khidmat masyarakat, jabatan pendidikan, polis, DBKL dan pejabat Ahli Parlimen pemerintah atau pembangkang berfungsi secara integrasi dengan koordinasi cekap sebagai one-stop centre, ini sudah tentu akan memberikan keutamaan kepada memenuhi keperluan dan kehendak rakyat dengan lebih berkesan.

Dipetik dari Sinar Harian

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nurul-izzah/pusat-khidmat-rakyat-lembah-pantai-1.145077

Tiada ulasan:

Nuffnang