Seramai lebih 13 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi akan berpeluang memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, sekaligus menentukan penubuhan kerajaan Negeri dan Persekutuan.
IKRAM mengajak semua umat Islam dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk menjalankan tanggungjawab terhadap negara dengan serius dan bersungguh-sungguh. Rakyat perlu bijak memilih peribadi pemimpin yang sihat serta kuat fizikalnya dan beramanah bagi menerajui pemerintahan negara. Pemimpin ini mestilah berupaya mengurus perjalanan negara dan kehidupan rakyat dengan satu bentuk pengurusan yang paling baik, bersih, adil dan bijaksana.
Kepentingan penglibatan politik
IKRAM berpandangan penglibatan politik adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sebagai ad-din yang syumul. Kuasa pemerintahan diperlukan bagi menjayakan agenda penegakan syariah dan pelaksanaan amar makruf nahi mungkar. Justeru, penglibatan umat Islam di dalam PRU kali ini adalah amat penting dan dianggap kritikal untuk memilih wakil pemimpin yang mampu membantu merealisasikan cita-cita dakwah tersebut.
Matlamat penglibatan kita dalam dalam PRU 13
Matlamat utama penglibatan PRU-13 ialah untuk memastikan:
1. Parti terbaik menguasai majoriti kerusi parlimen serta menubuhkan kerajaan baru yang bertanggungjawab dan berwibawa. Pemegang tampuk pemerintahan adalah satu kedudukan yang paling tinggi dalam Islam, ولاية عامة (wilayah ammah). Lantaran itu, ia sepatutnya diserahkan kepada peribadi-peribadi yang layak dan mempunyaiالقوى الأمين (kebolehan dan integriti).
2. Penegakan sistem dua (2) parti yang kuat, sistem 'check dan balance' yang berkesan.
Penglibatan ummah dan rakyat dalam PRU 13 mestilah dilihat sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memperbaiki urustadbir negara dan taraf kehidupan rakyat. Ia juga meletakkan perjalanan negara di atas landasan yang betul menerusi pelantikan pemimpin yang berkebolehan serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap.
Usaha ini adalah sebahagian daripada usaha yang wajib dilakukan oleh ummat Islam khususnya bagi menegakkan maslahah manusia di dunia dan akhirat sejajar dengan matlamat-matlamat syariah yang menuntut diwujudkan situasi yang akan melindungi perkara-perkara berikut:
1. Nilai kehidupan manusia (human values):
a. Pemeliharaan agama
b. Pemeliharaan kemanusiaan manusia:
i. Fitrahnya
ii. Kemuliaan dirinya
iii. Halatuju hidupnya (peranannya dalam kehidupan dunia)
iv. Kebebasannya
2. Diri manusia (human person):
a. Tubuh dan nyawanya
b. Rohani dan jiwanya
c. Aqal dan pemikirannya
3. Masyarakat manusia (human society):
a. Pemeliharaan keturunan dan maruahnya
b. Pemeliharaan institusi masyarakat dan hubungan kemasyarakatannya
4. Persekitaran (Environment):
a. Pemeliharaan harta benda
b. Pemeliharaan persekitaran kehidupan manusia
Semua perkara penting di atas merupakan matlamat-matlamat syariah yang mesti dipelihara dan dilindungi.
Pertimbangan dan Perbandingan
Di dalam senario PRU 13, nyata terdapat persaingan ketara di antara kedua-dua blok parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Untuk memilih blok yang paling hampir dengan hasrat rakyat, ciri-ciri berikut mestilah dipertimbangkan oleh rakyat:
1. Kedua-dua blok merupakan satu perikatan (tahaluf / alliance) yang mewakili masyarakat majmuk Malaysia. Rakyat hendaklah memilih blok manakah yang lebih memenuhi hasrat semua kelompok masyarakat majmuk Malaysia.
2. Kedua-dua blok ditubuhkan di atas asas perkongsian. Adalah wajar diketahui bentuk perkongsian di kalangan mereka: adakah wujud dominasi satu komponen ke atas komponen yang lain atau kesemua komponen sama rata berasaskan gagasan warga negara Malaysia? Perlu difikirkan apakah pulangan kepada semua komponen telah ditetapkan atau ia masih terletak pada perundingan dan tawar menawar.
3. Persepsi dan sikap kedua-dua blok terhadap isu-isu berkaitan bangsa Melayu, pengamalan agama Islam dan institusi Raja berpelembagaan adalah perkara yang penting dalam usaha mereka memerintah negara. Rakyat sentiasa mahu mengetahui adakah kedudukan orang Melayu, agama Islam dan insitusi raja-raja akan tetap terpelihara dan terjamin di bawah pemerintahan mana-mana blok yang diberi mandat ini. Di samping itu kedudukan orang bukan Melayu dan bukan bumiputra serta agama-agama selain Islam mestilah mendapat perhatian yang wajar.
4. Sikap dan amalan kedua-dua blok dalam konteks urustadbir negara dan pembelaan kehidupan rakyat adalah satu perkara yang penting. Rakyat hendaklah memilih blok yang lebih telus, bersih, jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat dan dilihat menyebelahi rakyat.
5. Realiti penglibatan kaum dalam keahlian komponen kedua-dua blok ini mestilah dilihat sebagai satu realiti yang meyakinkan rakyat. Rakyat mestilah memilih blok manakah yang lebih mewakili kepelbagaian kaum dalam keahlian setiap komponen.
Rumusan
IKRAM merumuskan bahawa memilih wakil dari blok Pakatan Rakyat dalam PRU-13 kali ini adalah satu kewajaran yang lebih berasas dan menguntungkan negara dan rakyat jelata.
Rumusan ini berdasarkan kaedah dan prinsip 'kemudharatan yang lebih ringan'.
أحسن الخيارين , أخف الضررين وأهون الشرين
(Pilihan terbaik di antara dua pilihan, pilihan yang lebih ringan kemudaratannya dan kurang kejahatannya)
IKRAM menganggap pemilihan tersebut sebagai satu kecenderungan atau pilihan yang pragmatis yang dijangka akan lebih menyebelahi rakyat, lebih adil kepada semua, lebih bermanfaat kepada negara, lebih jujur kepada Islam dan bangsa Melayu serta lebih memantapkan institusi Raja berperlembagaan.
Pilihan ini akan membuka lebih banyak ruang dialog, perbincangan, perundingan dan permuafakatan bagi melaksanakan agenda perubahan dan pembersihan pentadbiran dan pengurusan perjalanan negara, supaya tiada berlaku lagi salah laku dan penyelewengan pegawai-pegawai pemerintah, sekaligus menghapuskan kemungkinan rasuah. pengundi yang budiman!