Khamis, 28 Mac 2013

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


BERSATU PERTAHAN KEDAULATAN NEGARA

Posted: 27 Mar 2013 09:41 PM PDT


Assalamualaikum.

Isu pencerobohan pengganas Kiram yang mengaku Raja Sulu ke atas Sabah sejak lebih sebulan lalu telah membuka mata banyak pihak. Negara tiba-tiba digemparkan dengan peristiwa yang tidak digambarkan oleh rakyat akan berlaku, namun ia telah pun berlaku.

Sebagai rakyat yang cintakan keamanan, sudah tentu hati kita marah apabila mengikuti kejadian tersebut. Apatah lagi, pengganas itu pula telah membunuh pasukan keselamatan kita dengan cara yang amat kejam.

Saya melihat isu ini dalam beberapa perkara dan pengajarannya.

Pertama, isu keselamatan di sempadan negara terutamanya di Sabah perlu diberikan perhatian dan wajar dipertingkatkan lagi. Kita sedar tugas menjaga perairan dengan negara jiran yang sangat dekat itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun peristiwa pencerobohan itu telah menuntut kita untuk memberikan perhatian terhadap perkara tersebut.

Kedua, peristiwa itu sangat mengunji pasukan keselamatan kita. Apatah lagi, operasi tersebut bukan sahaja telah mendapat liputan meluas media, malah juga orang perseorangan yang terlalu ghairah melaporkannya melalui laman sosial masing-masing.

Apa yang berlaku itu seharusnya mengajar kita betapa TIDAK PATUT kita membicarakan mengenai aset keselamatan negara sehingga ia boleh menggagalkan usaha pasukan keselamatan menjaga keamanan negara ini. Inilah sebenarnya, mengapa kerajaan tidak mahu isu-isu keselamatan negara dibincangkan secara terperinci sebagai yang sering diocetuskan pihak tertentu di negara kita ini sehingga banyak maklumat-maklumat yang sepatutnya dirahsiakan menjadi terdedah.

Ketiga, kejadian itu juga sangat menguji semangat cintakan negara di kalangan rakyat kita. Kita kesal, di saat semua pihak memberikan sokongan moral yang kuat kepada pasukan keselamatan, ada pihak yang busuk hati membuat pelbagai tuduhan terhadap pasukan keselamatan dan ada pula yang cuba memperlekehkannya.

Saya tidak pernah terjumpa sebenarnya di mana-mana negara di dunia ini yang rakyatnya sanggup menghina dan memperlekehkan pasukan keselamatannya sendiri apabila tanahair mereka diceroboh. Namun amat menyedihkan apabila hal itu berlaku di Malaysia.

Saya berdoa semoga Allah membuka hati mereka yang selama ini menghina pasukan keselamatan negara agar kembali berubah dan menjadi rakyat yang sayang dan cintakan negara.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh Allahyarham wira negara yang meninggal dunia di medan perang kerana mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Alfatihah.

Tiada ulasan:

Nuffnang