:: cina islam | 2011 :: |
- "Tidak siuman" : 2 Markaz PAS disimbah cat di Kuala kangsar
- Dua cedera ditembak secara rambang
- Wartawan Palestin dihukum penjara
- Serangan mortar: 15 pelajar terbunuh, 20 cedera
- Kanak-kanak antara 3 lemas di Pantai Chendering
- BN, PR kini masuk fasa 'berkampung'
"Tidak siuman" : 2 Markaz PAS disimbah cat di Kuala kangsar Posted: 29 Mar 2013 11:29 PM PDT 18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUALA KANGSAR ; Kehangatan bahang kempen PRU ke 13 makin terasa bila Markas Pilihanraya PAS Zon Manong yang terletak di Pekan Manong dan Pondok Panas PAS Cawangan Kg. Gua disimbah dengan cat merah oleh pihak tidak bertanggung jawab awal pagi tadi. Penjaga Markaz Zon Manong tersebut, Ahmad Ibrahim semasa ditemui menjelaskan bahawa dia menyedari cat tersebut yg di isi dalam plastik berisi air di lempar pada dua tempat berbeza pada sekitar jam 6.00 pagi tadi. " Saya jangkakan ianya dilakukan antara jam 2.00 pagi hingga 6.00 pagi tadi" katanya. Sementara itu setiausaha markaz tersebut, Mohd Khairuddin Abd Aziz yang ditemui telah mengesah kejadian tersebut dan mengatakan bahawa dia telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Manong yang terletak sekitar 100 meter dari markaz tersebut. Bila ditanya siapakah yang melakukan kerja tidak bermoral itu, beliau menjelas kan perkara tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan pemantauan. "Kami tidak mahu menuduh siapakan yang melakukan kerja ini, tetapi suka saya jelaskan bahawa jawapannya mudah sahaja termasuk budak hingusan tahu siapa yang melakukannya" katanya. Selain itu Ketua Cawangan Kg Guar, Abd Wahab bin Mohd Safri semasa di temui mengesahkan Pondok Panas PAS Cawangannya juga dilempar dengan cat merah awal pagi tadi. Walaupun tidak kena kepada bangunan pondok ianya didapati berserakan di atas tanah berhampiran dengan bangunan pondok panas yang telah beroperasi sekitar seminggu itu. Sementara itu satu lawatan telah dilakukan oleh ADUN Titi. Serong yang juga AJK PAS Kawasan Kuala Kangsar bersama YDP PAS Kawasan, Dr. Raja Ahmad Iskandar untuk melihat dengan dekat kejadian di dua tempat tersebut. Dr. Raja Ahmad Iskandar semasa di temui melahirkan rasa kesal dengan tindakan yang disifatkan tidak bertamaddun itu. "Saya meminta semua penyokong PAS supaya bertenang dan tetap menghormati undang-undang yang sedia ada serta jangan mudah menggelabah dengan provokasi musuh" Jelasnya. ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim memohon semua pihak menghormati markaz dan bahan kempen pihak lawan dengan menghindarkan tindakan tidak bermoral. "Saya kira kita sudah berada ditahap yang matang dalam berkempen tetapi nampaknya masih ada pihak yang "tidak siuman" sehingga melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang yang sedia ada" Katanya "Saya serahkan kepada rakyat menilai atas kejadian ini dan saya telah arahkan supaya cat tersebut jangan dibersihkan untuk dijadikan kenangan sampai habis PRU ke 13" katanya lagi. |
Dua cedera ditembak secara rambang Posted: 29 Mar 2013 05:53 PM PDT 18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - JOHOR BAHRU - Dua lelaki cedera apabila terkena tembakan rambang seorang individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Jalan Damai, Taman Serene, di sini, 27 Mac lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa berusia 42 tahun cedera di kaki kanan manakala seorang lagi berusia 51 tahun cedera di dada kiri selepas terkena tembakan. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kejadian berlaku apabila suspek tiba-tiba muncul dan melepaskan lima das tembakan dalam premis berkenaan. "Ketika kejadian terdapat lebih 10 pengunjung dalam premis terbabit. Tiba-tiba seorang lelaki memakai topi keledar penuh memasuki pusat hiburan itu dan melepaskan beberapa das tembakan secara rambang ke arah orang ramai sebelum melarikan diri. "Susulan kejadian itu, dua lelaki cedera selepas terkena tembakan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut. "Mereka kini stabil dan seorang daripadanya sudah dibenarkan keluar," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Sulatan Aminah (HSA), di sini, semalam. Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan pistol semi automatik berdasarkan beberapa kelongsong peluru yang ditemui di tempat kejadian oleh unit forensik. "Polis kini sedang melakukan siasatan rapi termasuk menyiasat motif sebenar suspek melepaskan tembakan secara rambang hingga mengakibatkan dua mangsa tercedera. "Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya. Sementara itu, mangsa yang enggan dikenali berkata, dia sedang minum bersama rakannya sebelum terdengar bunyi tembakan dari arah pintu masuk premis terbabit ketika kejadian. "Sebaik terdengar bunyi tembakan itu, saya cuba melarikan diri sebelum melihat kaki kanan saya dipenuhi darah mengakibatkan saya rebah, Saya sempat melihat orang ramai bertempiaran lari cuba menyelamatkan diri," katanya. Sinar/- |
Wartawan Palestin dihukum penjara Posted: 29 Mar 2013 05:53 PM PDT 18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - RAMALLAH - Mahkamah Tebing Barat menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas seorang wartawan tempatan yang dituduh mempamerkan foto Presiden Mahmoud Abbas di laman Facebooknya dan melabelkan pemimpin itu sebagai pengkhianat, semalam. Mamdouh Hamamreh juga wartawan stesen televisyen Al-Quds itu merupakan pesalah kedua membabitkan dakwaan menghina pemimpin Palestin. Menurut penasihat Abbas, Nimer Hamad, tindakan pemuda itu langsung tidak menggugat pemimpin tersebut. Sementara itu, pihak pendakwaan memberitahu, foto yang dimuat naik Hamad pada 2010 lalu menunjukkan Abbas berada bersebelahan dengan seorang pelakon drama berwatak jahat di zaman pemerintahan kolonial Perancis di Levant. "Watak penyangak itu adalah pemberi maklumat berbahasa Perancis dan tertuduh telah menulis perkataan 'mereka serupa' pada keterangan gambar itu," katanya dipetik dari AP. Sinar/- |
Serangan mortar: 15 pelajar terbunuh, 20 cedera Posted: 29 Mar 2013 05:51 PM PDT 18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 15 pelajar terbunuh dan 20 yang lain cedera selepas sebutir mortar membedil kantin Fakulti Seni Bina Universiti Damsyik, dalam daerah Baramkeh, Syria, kelmarin. Stesen televisyen Al-Ikhbariya menyiarkan, kawasan lantai kantin itu dipenuhi darah selain doktor bertungkus-lumus membantu memberi rawatan kecemasan. "Kumpulan penyerang melepaskan mortar ke arah fakulti seni bina dan penduduk awam juga melihat insiden tragis itu," lapor stesen berkenaan. Dalam perkembangan lain di wilayah selatan, kumpulan aktivis mendedahkan penyerang mula menyerang pusat kawalan ketenteraan Syria yang menjadi laluan ke Damsyik. Sementara itu, pemerhati hak asasi kemanusiaan Britain berpangkalan di Syria berkata, kumpulan pemberontak kini sedang menuju ke Dael dan akan menyerang kawasan berdekatan menurut laporan Al-Jazeera. Sinar/- |
Kanak-kanak antara 3 lemas di Pantai Chendering Posted: 29 Mar 2013 04:21 PM PDT 18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Tiga dari satu keluarga mati lemas di Pantai Chendering di sini hari ini ketika keluarga berkenaan serta sanak saudara berkelah di kawasan pantai. Insiden pada kira-kira 6.30 petang itu meragut nyawa Adam Daniel Mohd Hafiz, 7; bapanya Mohd Hafiz Harun, 32; dan bapa saudaranya Saifuddin Harun, 46. Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Adam Daniel dilaporkan lemas ketika sedang mandi di pantai berkenaan sebelum bapa dan bapa saudaranya itu cuba menyelamatkan mangsa namun usaha itu gagal dan mereka turut mengalami kesulitan di air. Berikutan itu, dua lagi saudara dari keluarga berkenaan Burhanuddin Helmi Harun, 43, dan Idzham Tayib, 41, turut serta membantu bagaimanapun gagal menyelamatkan mangsa-mangsa itu. Burhanuddin dan Idzham Tayib kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil. Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi bomba dan sebuah jentera enam anggota dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan pantai. Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Terengganu Kamerul Bieza Mohd Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke HSNZ untuk bedah siasat. - Bernama |
BN, PR kini masuk fasa 'berkampung' Posted: 29 Mar 2013 04:19 PM PDT 18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) kini memasuki fasa berkampung di kawasan masing-masing bagi memastikan pengundi mengenali pemimpin dan calon mereka. Kedua-duanya menegaskan mereka sudah lama mengadakan program mendekati rakyat dan bukannya hanya ketika pilihan raya sudah semakin hampir. Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menegaskan rakyat sentiasa berpeluang menyertai program anjuran BN kerana parti itu kerap menganjurkan majlis ramah mesra bersama rakyat. "Kita buat majlis sepanjang masa dan ada macam-macam program. Saya sendiri pun buat program setiap minggu di Pontian selama lima tahun ini," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Ahmad Maslan juga yakin BN mampu menang 160 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana sokongan rakyat terhadap BN semakin kuat saban hari. "Kita bukan takbur tapi kita yakin kita dapat menang dua pertiga. Saya dah pergi ke banyak tempat dan saya nampak sokongan terhadap BN semakin meningkat. "Kami buat apa yang kami cakap dan tepati janji walaupun apa yang BN tunaikan tiada dalam manifesto parti," jelas beliau. Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menyifatkan PR akan terus mengadakan majlis bertemu rakyat sehingga pilihan raya berlangsung. Menurutnya, program bersama rakyat dijalankan secara berterusan selepas pilihan raya bersedia 2008 dan bukan hanya secara berkala. "Momentum sekarang semakin meningkat kerana sudah hampir dengan PRU13. Saya rasa lebih banyak majlis akan berlangsung selepas ini," ujarnya. Ketika ditanya persiapan PR menjelang PRU13, Mustafa berkata persiapan mereka sudah lengkap dan PR yakin dapat menewaskan BN. "Rakyat sekarang mahu tengok perubahan. Saya yakin PR boleh mencapai kemenangan tetapi tidaklah sampai dua pertiga, mungkin majoriti mudah," katanya. Sinar/- |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2013 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan