Rabu, 6 Februari 2013

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Ke mana perginya kelas menengah Melayu?

Posted: 05 Feb 2013 09:06 PM PST

NURUL IZZAH ANWAR
5 Februari 2013

[Teks Asal]

Satu ketika dahulu ada disebut bahawa pembangunan dan perkembangan kelas menengah Melayu menjadi agenda utama kerajaan.

Tetapi setelah sekian lama – ada yang kata sudah 43 tahun semenjak DEB diperkenalkan dan ada yang kata sudah 56 tahun semenjak merdeka lagi – kelas menengah Melayu tidak banyak kelihatan, malah kelas bawahan Melayu pula makin bertambah.

Sebanyak 80% rumah tangga di Malaysia, berpendapatan kurang dari RM3,000 layak menerima BR1M. Jangan pula disebut tentang 32% rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan isi rumah dibawah RM1,500 adalah Melayu.

Satu bukti jelas yang ramai terlepas pandang adalah dengan perlunya kerajaan mengadakan BR1M yang rata-rata penerima adalah Melayu hanya membuktikan kegagalan kerajaan BN untuk ‘membebaskan’ serta ‘memartabatkan’ prestasi ekonomi Melayu. sebaliknya bantuan ini menambahkan kadar hutang negara sehingga RM700 billion (termasuk hutang yang dijamin kerajaan untuk GLC) – yang sebenarnya menjadikan rakyat berhutang untuk menerima bantuan itu sendiri -sesuatu yang tragik.

Orang Melayu tidak mahu BR1M, PR1MA,  BL1M dan banyak lagi bantuan yang bersifat sementara dan semakin hari nampaknya merupakan ‘gula-gula’ pilihanraya sementara golongan elit pula terus mendapat ‘kilang gula-gula’.

Orang Melayu mahu peluang sama rata dengan golongan elit Melayu yang kebetulan rapat dan intim dengan parti pemerintah yang lebih cenderung ‘memerdekakan’ ekonomi keluarga dan kroni daripada majoriti Melayu yang dipinggirkan.

Jurang kemiskinan makin membesar sedangkan jerung-jerung kekayaan makin rakus. 
Lihat sahaja kepada Indeks Gini, nisbah terkaya dengan termiskin, 46% yang meletakkan negara pada tahap di antara yang tertinggi di Asia. Lihat sahaja tahap PLI (Poverty Line Income atau Garis Pendapatan Miskin) yang menjadi penanda aras kemiskinan diguna kerajaan – Rm800. Jumlah ini ‘menutup’ kadar sebenar yang disarankan institusi kewangan antarabangsa yang meletakkannya pada RM1,500 – bila digunapakai meletakkan hampir 10 juta orang Melayu dewasa dikategori miskin.

Oleh kerana 10 juta Melayu dewasa masih miskin jika dibandingkan dengan hanya  orang Melayu yang dikatakan kaya raya sehingga bilangan Melayu kelas menengah terus mendatar dengan anggaran tidak melebihi 100,000 menjelaskan kepada kita mengapa isu-isu emosi seperti agama dan bangsa terus digunakan untuk mengalih pandangan serta digunakan agar Melayu yang dikatakan oleh seorang mantan pemimpin tertinggi ‘mudah lupa’ – akan bukan saja lupa kemiskinan mereka tetapi yang lebih penting melupakan siapa yang sebenar mengekalkan kemiskinan mereka.

Apabila ditanya penduduk Melayu di seluruh negara seperti di kampung atau di FELDA atau di Lembah Pantai terutamanya generasi muda dan wanita – adakah mereka ada harapan untuk menjadi Melayu Kelas Menengah, rata-rata jawapannya adalah tidak.

Paling pun katalah mereka dapat membeli rumah PPR, itu pun dengan bayaran faedah 6.5%. Walaupun mereka tahu jika menjadi kelas menengah,mereka akan dapat membeli rumah di Bangsar atau Kota Damansara dengan kadar faedah yang lebih rendah.

Paling  kata peneroka FELDA dapat lah berhutang membeli saham yang tidak banyak mana pun di mana harga saham pasti jatuh di bawah harga yang dibeli jika tidak di 'selamatkan' institusi-institusi kewangan kerajaan seperti EPF.

Paling pun kata mereka dapat membeli kereta nasional yang tinggi harganya dengan pinjaman kereta bertahun-tahun dengan masalah parkir yang tidak berkesudahan walaupun seringkali melihat anak-anak menteri memandu kereta mewah yang harga sebuah adalah sama seperti gaji 20 tahun rakyat teramai.

Jangan pula hendak melihat atau merasa gaya hidup mewah, gaya fesyen hebat, beg tangan dan perhiasan cincin termahal yang hanya mampu dinikmati mereka yang menjadi jutawan projek RM36 juta pada usia muda atau menikmati projek percuma RM250 juta atau berjaya menabung dari kecil lagi.

Ini bertambah merungsingkan apabila harapan atau matlamat penduduk hanya untuk ‘kais pagi makan pagi’ agar pendapatan yang diperolehi cukup tanpa perlu bantuan Ah Long atau Ah Jib untuk menyara kos hidup yang jelas semakin tinggi apabila harga barang semakin hari naik kerana ada monopoli beras dan gula yang sepatutnya mengurangkan bukan menambahkan harga.
Sudah lah tanah pesaka diambang tergadai diatas nama pembangunan yang hanya menguntungkan pemaju sehinggakan bukan sahaja tanah kehilangan malah nama pesaka seperti Kerinchi turut hilang dan digantikan dengan nama Bangsar South atau nama Kampong Abdullah Hukom digantikan dengan nama yang langsung tidak memartabatkan bahasa kebangsaan iatu KL Eco-City. Adakah nama Kampung Baru juga akan ditukarkan kepada New Town oleh menteri yang dikenali sebagai mewakili kepentingan pemaju tanah kaya raya?

Sudah lah semua projek besar-besar berbillion ringgit termasuk penswastaan penjana letrik yang tarifnya lebih tinggi dari negara jiran yang tiada banyak minyak dan gas, air yang seringkala kering di pili ketika hujan lebat turun, konsesi lebuhraya dengan tol yang mengosongkan poket seperti dicuri tol-yol, komisen peralatan dan pembelian harta kerajaan yang berlipat ganda sehingga menyebabkan negara mendapat gelaran negara aliran wang haram hampir RM1 trillion kedua paling tertinggi di dunia! Kekayaan hanya terpusat kepada golongan elit kecil yang bilangannya boleh dikira dengan bukan semua jemari satu tangan – sedangkan beratus malah beribu usahawan Melayu yang berupaya telah dihilangkan upaya bersaing melalui amalan kronisme atau kertas kerja bisnes di ‘curi’.

Sudah lah sistem pendidikan negara semakin merudum sehingga berbagai pelan tindakan masih belum bertindak dan kos pengajian tinggi semakin tinggi sehingga yuran yang terpaksa dipinjam serta dipaksa bayar balik walaupun bertahun tidak dapat peluang pekerjaan setaraf sijil  hanya untuk membayar IPTS milik golongan elit kecil.

Bagaimana hendak diwujudkan kelas menengah Melayu apabila pimpinan kerajaan tertinggi sendiri mengaku masih tidak ada ‘formula’ melainkan menghadiahkan dengan duit rakyat sendiri hanya empat biji tayar untuk pemandu teksi yang jelas pula tidak memiliki teksi tersebut kerana permit teksi sebenar hanya diberikan kepada pihak tertentu sahaja -membangunkan agenda ekonomi melayu yang mapan – kerana mengatakan  terlalu sibuk membetulkan kesilapan dasar-dasar atau lebih tepat lagi amalan ekonomi kroni dua pemimpin-pemimpin yang lepas?
Ini adalah agaknya nasib Melayu apabila 62 NGO Melayu seperti Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) meminta kerajaan BN untuk memperkasakan ekonomi Melayu didalam lautan akronim ETP, NKRA dan NTA; akhirnya dapat bukan agensi Teraju tetapi hanya Terajang.

Ke mana perginya kelas menengah Melayu? Tanya lah UM…

Versi Sinar Harian:
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ke-mana-kelas-menengah-melayu-1.128235

Tiada ulasan:

Nuffnang