Rabu, 13 Februari 2013

Khalid Samad

Khalid Samad


Perbahasan Dengan Fathul Bari: Memilih Antara DAP dan UMNO

Posted: 13 Feb 2013 12:01 AM PST

Isu ini adalah isu terakhir yang ditimbulkan Fathul Bari yang akan saya jawab. Sembilan isu telah beliau kemukakan dan kesemuanya saya telah hurai dengan panjang lebar. Saya tahu beliau akan tetap di atas pendiriannya kerana paksi kepada segala hujjahnya ialah bersandarkan bahawa beliau mesti bersama dengan pemerintah walau sejahat mana sekalipun pemerintah tersebut.

Namun dalam mempertahankan pemerintah, beliau sanggup memutar-belitkan fakta dan ini amat sangat mendukacitakan.

Di antara fakta yang diputar-belit ialah kedudukan DAP dan bagaimana PAS lebih rela bersama DAP berbanding dengan UMNO. Kenyataan ini dikeluarkan dengan tujuan memperlekehkan pendirian PAS untuk menyertai PR sedangkan hakikatnya tiada pilihan yang sebegitu perlu dilakukan.

Ini adalah kerana pilihan sebenar adalah di antara PAS atau UMNO bagi ummat Islam dan DAP atau MCA/MIC/Gerakan bagi yang bukan Islam. PAS ingin menggantikan UMNO sebagai peneraju politik Melayu dan Islam. PKR juga mempunyai cita-cita yang sama walaupun mereka adalah parti berbilang kaum. PAS berkerjasama dengan DAP kerana PAS memerlukan rakan untuk mendapat sokongan bukan Islam sepertimana juga UMNO apabila bersama MCA/MIC/Gerakan. Bagi pandangan PAS, DAP adalah parti yang lebih mulia berbanding MCA/MIC/Gerakan kerana DAP mempunyai prinsip perjuangan yang berpaksikan konsep keadilan sosial. MCA/MIC/Gerakan telah sebati dengan kronisma dan rasuah sepertimana rakan kongsi mereka iaitu UMNO.

Dalam usaha menggantikan UMNO, adalah pelik sekiranya PAS berganding pula dengan UMNO! Hakikatnya, dari perspektif PAS, UMNO adalah penghalang kepada kebangkitan ummat kerana mereka menawarkan kepada orang Islam kaedah politik yang selain dari Islam. Pada masa yang sama mereka menghalang kemaraan PAS dalam usaha memperbetulkan minda Muslim dengan menutup segala saluran dakwah yang mampu ditutup mereka.

Bagi UMNO kefahaman yang jelas berhubung politik Islam adalah ancaman kepada politik perkauman UMNO. Oleh itu mereka berusaha sedaya upaya untuk menghalang peningkatan kefahaman ummat Islam. Dan inilah sebabnya UMNO adalah musuh Islam yang sebenar. Oleh itu tidak masuk akal untuk PAS berkerjasama dengan UMNO.

Ini adalah kerana PAS ingin kefahaman terhadap politik Islam ditingkatkan sambil UMNO mahu ianya semakin disekat! Adakah mungkin berganding bersama? Satu ingin tambah dan satu lagi ingin kurang!

DAP sebaliknya bukan merupakan saingan terhadap PAS. Ini adalah kerana PAS dan DAP tidak merebut 'market' yang sama. DAP inginkan yang bukan Islam berpegang kepada corak politik berprinsip, walaupun bukan prinsip Islam, namun ada banyak persamaan dengan Islam. Persoalan keadilan sosial, keadilan, ketelusan, kecekapan semuanya adalah prinsip yang selari dengan ajaran Islam. Berbanding MCA/MIC/Gerakan mereka merupakan rakan yang lebih mulia.

Maka jelas PAS tidak boleh menerima UMNO sebagai rakan kerana ingin menggantikan UMNO. Pada masa yang sama, adalah amat lojik bagi PAS untuk berkerjasama dengan DAP kerana perlukan rakan bukan Islam untuk menghadapi hakikat masyarakat majmuk. Fathul dalam menyentuh persoalan ini hanya menyentuhnya dari sudut emosi perkauman dan 'keislaman' yang songsang. Iaitu DAP bukan Islam sambil UMNO Islam. Persoalannya, adakah kita sebagai ummat Islam wajar berkerjasama dengan orang Islam yang ingin mengongkong kefahaman Islam itu sendiri?

Sudah pasti tidak! Maka biarlah PAS bersaing dengan UMNO demi membebaskan ummat Islam dan agama Islam itu sendiri dari terus dikongkong UMNO!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Perbahasan Dengan Fathul Bari: Mendapat Izin DAP?

Posted: 12 Feb 2013 04:33 PM PST

Ini ialah merupakan persoalan kelapan yang sering digunakan oleh FB untuk mempertikaikan pendirian PAS yang telah saya jelaskan dan kupas. Namun sepertimana yang telah saya jangkakan sejak dari awal lagi, tiada sebarang respon darinya. Akan tetapi, sepertimana juga yang telah saya nyatakan seblum ini, itu tidak merupakan masalah kerana bukan dia yang menjadi sasaran saya. Penyelesaian bagi orang seperti FB senang sahaja, seperti saya ulangi berkali-kali, PR jadi pemerintah, maka beliau akan bersama PR.

Namun kekeliruan yang ditimbulkan beliau, dalam khidmatnya kepada pemerintah yang sediada perlu ditangani. Supaya rakyat jelas, bukan perlu dijelaskan kepadanya. Beliau sentiasa kabur dan akan ikut siapa sahaja pemerintah. Pemerintah kabur, maka beliau kabur. Pemerintah jelas, dia tetap kabur! Itulah masalahnya jika menyokong di atas sebab sokong pemerintah dan bukan atas sebab kebaikan yang dilakukan!

Kebelakangan ini beliau juga sering menggunakan ungkapan "tunggu izin DAP". Jelas Fathul ingin memfitnah PAS seolah-olah PAS tunduk pada DAP. Hakikatnya adalah sepertimana yang dijelaskan sebelum ini, iaitu PAS bebas membuat apa yang PAS inginkan di atas platform PAS. Tetapi, di atas platform PR, semua parti mesti bersetuju secara sebulat suara.

Dalam ertikata lain, untuk dilakukan atas nama PR, PAS perlu mendapat persetujuan DAP dan PKR; begitu juga DAP perlu mendapatkan persetujuan PAS dan PKR; dan PKR memerlukan persetujuan DAP dan PAS. Dalam suasana ini, ianya bukan tunduk menunduk tetapi perbincangan dan perbahasan di antara rakan yang sama penting, sama kuat dan saling menghormati sehingga tercapai kata sepakat dalam semua hal.

Itulah sebabnya MCA pula menuduh DAP tunduk pada PAS. Kerana MCA tahu ada yang DAP inginkan tetapi PAS tidak bersetuju dan oleh itu ianya tidak lulus sebagai dasar PR. Sebagai contoh, termasuklah persoalan pilihan raya pihak berkuasa tempatan. PAS menganggap ianya tidak sesuai buat masa ini.

PAS boleh sahaja menyatakan DAP tunduk kepada PAS dalam soal ini tetapi itu bukan keadaan yang sebenarnya. Keadaan sebenar adalah tiada yang tunduk kepada yang satu lagi dan bukan itu pun kehendak yang ingin dicapai. Soal menyuruh pihak lain tunduk kepada semua keputusan yang dibuat adalah kerja diktator dan pemerintah Thaghut. Bukan kerja PAS atau mana-mana parti komponen PR.

Pandangan bahawa PAS mesti dominan baru ianya adalah syarii adalah pandangan yang meleset. Dalam soal 'hiful fudhul' atau perjanjian kerjasama saling membantu untuk melakukan sesuatu kebaikan sepertimana pernah disebut Rasulullah (SAW). Apa yang lebih penting adalah PAS tidak didominasi dan matlamatnya baik dan akan menguntungkan perjuangan Islam. Syarat dan matlamat ini dipenuhi melalui PR. Begitu juga dengan apa yang telah dijelaskan sebelum ini bahawa PKR juga merupakan sebuah parti yang terdiri dari majoriti Islam. Pemimpin Islam mereka lebih menghayati Islam berbanding UMNO. Oleh itu kepentingan Islam juga lebih terbela. Dalam UMNO yang dominan adalah Melayu, bukannya Islam.

Bersambung dalam bahagian akhir...

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang