Sabtu, 12 Januari 2013

N45 Dr Halimah Ali

N45 Dr Halimah Ali


UCAPAN TGHA DI HKR #KL 112

Posted: 12 Jan 2013 03:26 AM PST

Madah TGHA

"Sila belah buah kedondong

Biji dibelah dengan lidi

Bukan salah ibu mengandung

Yang silap memangkah undi"

PAS berikrar terus setia dengan Pakatan di KL112

 KUALA LUMPUR, 12 Jan — PAS mengulangi pendirian untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai oleh PKR dan DAP di Himpunan Kebangkitan Rakyat walaupun Umno seringkali mendesak parti Islam itu untuk bersatu dengan mereka.
"PAS mengambil pendirian bekerjasama dengan DAP dan PKR kerana kedua-dua parti ini adalah mereka yang teraniaya.
"PAS akan bekerjasama dengan parti-parti lain, tapi tidak sesekali dengan Umno dan BN," kata presiden parti tersebut Datuk Seri Abdul Hadi Awang dihadapan puluhan ribu hadirin di dalam Stadium Merdeka.
Menurut Abdul Hadi, selepas lebih 50 tahun merdeka, pelbagai masalah membelenggu rakyat dan ramai yang masih merempat.
"Kita mengiktiraf yang termaktub dalam perlembagaan, Umno gagal mempertahankan Islam dan orang Melayu.
"Kekayaan negara dimonopoli oleh sesetengah pemimpin dari sesuatu kaum yang memerintah," katanya.


Sumber Malaysian Insider


 PAS yakin Pakatan dapat tunai janji   

Harakahdaily,     12 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang penuh keyakinan Pakatan Rakyat akan dapat melaksanakan janjinya untuk penghapusan tol kerana ia pernah dilaksanakan di Terengganu.

"Sebelum ini, apabila kita menang di Terengganu, kita telah berjaya menghapuskan tol," katanya ketika berucap di hadapan puluhan ribu peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat HKR112 di StadiuMerdeka.

Puluhan ribu peserta lagi berada di luar stadium kerana tidak dapat memasuki stadium yang telah penuh sesak itu.

Ustaz Hadi berkata, perhimpunan ini sangat bersejarah kerana di sinilah kemerdekaan negara diisytiharkan.

Katanya, telah lebih 50 tahun rakyat negara ini memberi peluang kepada BN.

"Namun apa erti 50 tahun merdeka jika rakyat merempat di tanah air sendiri, anak muda menganggur, harta negara disapu," katanya.

Ustaz Hadi seterusnya memberikan satu pantun yang berbunyi:

Sila belah buah kedondong

Biji dibelah dengan lidi

Bukan salah ibu mengandung

Yang silap memangkah undi


Pulau Pinang dulu, katanya, jadi 'pulau pening' selama 50 tahun di bawah BN.

"Bila Pakatan ambik baru jadi tak pening. Di Selangor kita beri air percuma, tapi dimanipulasikan oleh media," katanya.

Bagi beliau, rakyat tidak perlu takut kepada BN.

"BN bukan hantu, tapi rakyat macam kita, rakyat kena berani. Mari kita isytiharkan kemerdekaan yang kedua. Bila pulang buat kerja. InsyaAllah kita dapat Ubah Sekarang," tegasnya diambuk terikan takbir dari hadirin.

STRATEGI UMNO JAUHKAN ISLAM SEBAGAI RAHMAT SELURUH ALAM

Posted: 12 Jan 2013 02:54 AM PST

Apa tuntutan mustahak daripada kalimah Allah


Dua tahun lalu (2010), isu kalimah Allah pernah menjadi isu yang paling hangat diperkatakan sehingga berlaku tindakan tidak waras seperti perbuatan membakar gereja, menghina kemurnian masjid dan surau dengan cara meletakkan kepala babi dan sebagainya.

Saidina Umar al-Khattab radiAllahu anhu pernah bertanya kepada salah seorang Sahabat, "Tahukah kamu perkara yang boleh membinasakan Islam?". Mereka menjawab, "Tidak wahai Umar". Lalu Umar berkata, "Islam dibinasakan dengan ketergelinciran intelek (ilmuwan yang mulutnya mendahului akalnya), perdebatan orang munafik terhadap al- Quran, dan undang-undang pemerintah yang menyesatkan" - Riwayat ad Dailami

Kerana citra yang merosakkkan itu berawal daripada kefahaman dan cara berfikir seseorang, maka Allah memberi amaran bahawa soal hukum-hakam bukanlah perkara yang sewenang-wenangnya diputuskan hanya melalui sangkaan, agak-agak, rasa-rasa ataupun sokongan politik penguasa. Firman Allah Taala maksudnya:

"Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: Ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya." (An-Nahl: ayat 116)

Polemik Kalimah Allah Adalah Perkara Ijtihadiyyah


Sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang berijtihad, lalu ijtihadnya benar akan dapat dua pahala, Sesiapa yang berijtihad, lalu ijtihadnya salah akan dapat satu pahala." - Riwayat Muslim

Polemik kalimah Allah yang berlaku pada tahun ini memasuki fasa kedua dan apa yang mustahak perlu kita ketahui ialah isu kalimah Allah adalah isu "ijtihadiyyah". - Ijtihadiyyah - iaitu perkara baru, yang tiada nas mengharamkan - penggunaan kalimah Allah kepada non-Muslim - pada masa turunnya wahyu (yakni sebelum kewafatan Rasulullah SAW). Maka ulama Islam hari ini, ada di antaranya yang mengambil jalan - saddu az zarai'e - (menutup kemudharatan), ada juga yang bersifat terbuka dengan matlamat kepentingan dakwah sejagat. Hal ini kerana, risalah Islam yang dibawa oleh Baginda Nabi SAW itu sifatnya universal, bukannya selektif!

Pendekatan ini disuarakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang saya rekodkan pada tahun 2010, "Kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah dalam kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan akidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh diizinkan sekali-kali, kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci Kepada umat Islam dan  bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamalkan oleh umat Islam, seterusnya dikira menodai kesucian dan kemurnian Kalimah Allah di hadapan umat Islam..."

Mungkin di antara kita ada yang tidak bersetuju malah mungkin ramai yang sinikal sebelum ini dengan kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Begitupun apa yang disuarakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang punya nilai keabsahannya, berbeza dengan sikap sebahagian individu yang menyemai kelakuan berdasarkan pepatah, 'berpatah arang berkerat rotan', 'membujur lalu melintang patah'!

Dengan mengambil renungan dan iktibar dari apa yang pernah ditunjukkan oleh para Sahabat kepada Nabi SAW, iaitu peristiwa Baginda bersetuju memberikan kerjasama kepada Kafir Quraisy dalam proses 'Sulh Hudaibiyyah'. Umum melihat antara isi penting peristiwa itu ialah usaha Nabi SAW untuk mencapai - "apa yang paling diperlukan oleh dakwah" - , iaitu masyarakat yang tenteram dan aman daripada peperangan. Baginda sanggup kehilangan beberapa sub-maslahah demi maslahah yang paling utama iaitu keharmonian masyarakat berbilang kabilah.

Islam mengajarkan umatnya bukan untuk berperang terhadap sesuatu kaum kerana perbezaan agama, ataupun kerana berbeza pendapat dan cara, tetapi umat Islam berperang apabila mereka dimusuhi, dizalimi dan diperangi, ataupun ada sesuatu kaum yang mengisytiharkan pendirian untuk memerangi Islam, baharulah waktu itu tiada lagi bahasa yang lunak kecuali kita semua wajib mengangkat senjata.

Islam menuntut umatnya membela bangsa lain yang dianiaya, dizalimi sekalipun bangsa tersebut tidak beragama Islam. Sebagai bukti Amru bin Al 'As diutuskan Saiduna Umar al Khattab agar membebaskan Mesir daripada kezaliman Rom, sekalipun rakyat Mesir ketika itu tidak memeluk Islam bahkan majoritinya mereka beragama Nasrani (Kristian). Maka, kita tidak dituntut oleh Islam untuk memusuhi agama lain disebabkan berbeza doktrin sembahan.

Malah, Baginda SAW turut menyenaraikan golongan rahib sebagai golongan yang tidak diperangi dan aman daripada pedang-pedang tentera Islam, bahkan Baginda turut melarang tentera Islam memusnahkan tempat-tempat peribadatan mereka. Islam tetap memelihara nyawa mereka sekalipun mereka tidak beriman kepada Allah. Oleh itu, jika kekufuran itu punca mereka diperangi, sudah tentu golongan tersebut juga diperangi atas arahan Rasulullah SAW. Justeru, semasa keamanan Makkah-Madinah berlangsung, Baginda SAW memanfaatkan usaha menyampaikan dakwah, melakukan out-reach kepada kabilah non-Muslim Arab dan juga kepada ketua empayar non-Muslim di sekitar Semenanjung Tanah Arab.

Soalnya pada hari ini, apakah kita telah bertemu dengan 'bahasa' yang paling tepat apabila bertemu dengan masalah kalimah Allah di hadapan masyarakat non-Muslim? Jika salah langkah, maka banyak darah yang dihalalkan di atas nama-Nya.

Rasulullah SAW Mengajar Sebutan Allah Kepada Orang Nasrani

Kita tidak menafikan bahawa ada perbezaan pandangan dalam kalangan para ulama tentang hal ini. Ia bukan perkara yang pelik, tetapi adalah perkara yang lazim berlaku dalam dunia akademik sejak zaman-berzaman. Tetapi, kekhilafan atau perbalahan yang berlaku seharusnya ditimbang menurut akal yang waras, akhlak dan adab, hati yang lapang serta menjauhkan sikap merendah-rendahkan individu seperti menuduh konservatif, jumud, "ulamak kepala lutut" dan sebagainya.

Jelasnya, tiada nas yang tepat menghukum tegahan ke atas masyarakat non-Muslim menyebut nama Allah, adapun teguran wahyu terhadap mereka (non-Muslim) ialah kerana kesalahan dari sudut makna dan tuntutan - bukannya sebutan!

Ketika Rasulullah SAW dalam keadaan sedih kerana dakwahnya dipulaukan oleh masyarakat Taif, Baginda telah dijamu buah anggur hasil pemberian seorang hamba beragama Nasrani (Kristian) yang kasihan melihat nasib Baginda di sebuah dusun. Sebelum menjamahnya, Baginda membaca 'basmAllah' di hadapan hamba tersebut, "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang". Lantas hamba itu memandang tepat ke wajah Rasulullah SAW dan berkata, "Perkataan ini – ucapan bismiLlah... – tidak disebut oleh penduduk daerah ini..."

Lalu Rasulullah SAW bertanya, "Saudara ini dari negeri mana, dan apa agama pegangan saudara?"

Jawabnya, "Saya beragama Kristian, dari kampung Neynawa (salah satu daerah di Utara Iraq)."

Rasulullah menyambung soalan, "Adakah dari sebuah daerah lelaki soleh yang bernama Yunus bin Mataa?" Maka dia menjawab, "Apa yang kamu tahu tentang Yunus bin Mataa?"

Baginda SAW menjawab, "Beliau adalah saudara saya, beliau adalah Nabi dan saya adalah Nabi."

Lantas lelaki Nasrani itu pun memeluk erat Rasulullah serta mencium kepala, kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki Baginda. – Rujuk Sirah Ibn Hisyam:2/421.

Maka, tuntutan yang paling mustahak perlu diperjuangkan oleh umat Islam, ialah membenarkan sebutan dan tuntutan maknanya walau di tengah-tengah masyarakat non-Muslim. Kerana ketika Allah Taala berfirman bermaksud:


"Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahaya-Nya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri" (al Zumar:38)

Maka, umat mana yang paling layak menerangkan apa yang mereka (orang musyrik) fikirkan daripada sebutan tersebut? Tidak lain tidak bukan, umat Islamlah (umat Nabi Muhammad SAW) yang paling berhak menerangkannya kepada orang musyrik dengan cara menunaikan tanggungjawab dakwah secara berterusan, matang dan berani, bukannya menutup mulut mereka, membelenggu tangan-tangan mereka dan mengatakan kepada mereka, "Allah itu hanya aku yang punya..."

http://tarbawi.my

SUMBER HARAKAHDAILY

DEKLARASI HKR #KL112

Posted: 12 Jan 2013 02:38 AM PST

 Azan Asar, tuntutan 8 perkara tutup HKR112   

Harakahdaily,     12 Jan 2013
 

KUALA LUMPUR: Himpunan Kebangkitan Rakyat HKR112  melabuhkan tirainya dengan lagu Negaraku dan laungan azan Asar yang berkumandang.

Sebelum itu, doa dibacakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menutup ucapannya dengan mengajak ratusan ribu yang hadir dengan berteriak MERDEKA  sebanyak tujuh kali dengan disambut sekelian yang hadir dengan 'RAKYAT'.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail pula memimpin bacaan ikrar atau Deklarasi HKR #KL112.

Deklarasi yang mengandungi lapan perkara itu dibacakan Saifudin dan diulangi oleh sekalian yang hadir termasuk kesemua pemimpin Pakatan yang berada di atas pentas.

Deklarasi itu adalah:

1) Menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

2) Menuntut reputasi dan wibawa Felda di selamatkan.

3) Menuntut supaya Sabah dan Sarawak diberikan layanan adil dan setara dengan Semenanjung.

4) Menuntut 20 peratus royalti minyak dikembalikan kepada negeri pengeluar petroleum.

5) Mengiktiraf dan meningkat profesionalisme kakitangan awam.

6) Menuntut alam sekitar yang bersih dan sihat.

7) Menuntut agar Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dan Bahasa Inggeris dipertingkatkan.


8) Menuntut pembebasan tahanan politik.

Tiada ulasan:

Nuffnang