Selasa, 25 Disember 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Perutusan Tahun Baru 2013 Oleh YB Dr Xavier Jayakumar

Posted: 24 Dec 2012 10:53 PM PST

Pakatan Rakyat kini berada di penghujung lima tahun pentadbiran negeri Selangor dan sepanjang tempoh itu merupakan masa yang mencabar dan menarik. Sudahkah Pakatan Rakyat Negeri Selangor menyelesaikan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan? Sudah tentunya tidak kerana ini hanyalah satu permulaan. Namun, kami telah berjaya menunjukkan kepada rakyat kaedah alternatif yang lebih baik untuk mentadbir sesebuah kerajaan.

Perubahan yang telah dilakukan pula telah membawa kesan yang membanggakan bukan sahaja kepada negeri Selangor malah kesannya juga dapat dirasai di seluruh negara. Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk kebajikan rakyat melalui program-program MES (Merakyatkan Ekonomi Selangor). 

Kini kami telah bersedia untuk membina jambatan ketiga menghubungkan bandar Klang yang merupakan janji Barisan Nasional pada tahun 2008. Janji tersebut tidak dikotakan oleh mereka dengan alasan kalah pada pilihanraya yang lepas. Mereka telah lupa bahawa kita semua adalah rakyat yang membayar cukai. Sebanyak 24 peratus daripada RM150 bilion kesemua cukai adalah dari negeri Selangor. Kita tidak dapat semula bahagian seperti yang sepatutnya. Walaupun begitu, dengan usaha sendiri, kita telah berjaya untuk meningkatkan rizab simpanan kerajaan negeri kepada RM2.3 bilion.

Untuk kawasan DUN Seri Andalas, projek mitigasi banjir telah pun dimulakan dan kami akan menggunakan peruntukan RM1.4 juta dari kerajaan negeri untuk mengatasi banjir. Ini tidak termasuk tasik seluas 25 ekar yang dilengkapi kemudahan rekreasi yang telahpun diluluskan kerajaan negeri yang akan mengambil masa selama setahun untuk disiapkan. Ini bukanlah suatu tugas yang mudah kerana melibatkan urusan simpanan air banjir serta pelan pengurangan banjir dan sepatutnya telah dilakukan bertahun-tahun yang lepas. Sekarang kita akan memulakannya.

Untuk golongan belia, berbagai-bagai program telah dirangka dan akan dilaksanakan pada masa hadapan. Antara program yang telah dilaksanakan bagi menanam budaya sihat dikalangan golongan belia adalah pembinaan gelanggang futsal di Sungai Kandis, Sungai Jati, Taman Sentosa, tapak Rakan Muda Taman Seri Andalas, tapak permainan Shahbandar, Kampung Jawa dan Taman Maznah. Kini, kami sedang merancang bersama MBSA, MPK, JKR dan JPS untuk pelan keseluruhan bagi kesemua kawasan yang akan melibatkan pemilikan tanah dan peluasan secara besar-besaran.

Tadbir urus kerajaan yang baik dan perubahan yang telah kami lakukan membawa kesan yang mendalam untuk mengendalikan kerajaan negeri dan kesemua ini dilakukan hanya dalam tempoh 4 tahun lebih. Saya akui kami tidak mampu menyelesaikan segala masalah hanya dalam tempoh satu penggal, tetapi kami telah memulakan perubahan.

Kini, kami sedang mencabar Barisan Nasional dalam isu-isu seperti pendidikan percuma, pembatalan pinjaman PTPTN, menurunkan harga kereta, membina rumah mampu milik, mempertabatkan bahasa ibunda, penjagaan alam sekitar dan program-program yang mengutamakan pemuda-pemudi yang juga adalah masa hadapan kita.

Bagaimana untuk kita maju kehadapan? Adakah dengan memperbaiki sistem sedia ada dan menghadapi cabaran yang mendatang sahaja? Kita perlu tanamkan kesedaran bahawa kekayaan negara ini harus dikongsi bersama. Tidak ada satu pun kaum yang sepatutnya dipinggirkan dan tidak sepatutnya ada golongan yang mengangkat diri sebagai "mereka yang dipilih dan dihantar oleh tuhan untuk menyelamatkan negara kita". Negara ini dibina atas dasar perkongsian kuasa dan kesemua kaum haruslah mendapat layanan yang adil saksama. 

Kita memerlukan perubahan yang drastik untuk menjadikan negara ini lebih terbuka dan demokratik. Media seharusnya lebih bebas, polis yang lebih adil, peguam negara yang menjawab persoalan yang dikemukakan di parlimen, Suruhanjaya Pilihanraya yang lebih bebas dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah yang bekerja demi kepentingan orang ramai.

Oleh itu rakan-rakan sekalian, masanya telah tiba dan sokongan yang telah anda semua berikan amatlah besar maknanya. Lihat sahaja perubahan yang telah dilakukan, bukan sahaja di negeri Selangor malah gegarannya dapat dirasai di seluruh negara.  Pandangan anda telah kami dengari dan kini masanya untuk kita bertindak.

Ini memerlukan usaha bersepadu dan kami memerlukan bantuan anda untuk membawa perubahan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih membangun. Jadi, marilah kita bergandingan tangan dan mara kehadapan untuk masa hadapan yang lebih baik. Saya ucapkan terima kasih atas sokongan dan memandang kehadapan penglibatan anda semua untuk bersama-sama berjuang menjadikan masa hadapan negara ini lebih baik untuk generasi akan datang.

Selamat Menyambut Hari Krismas dan Tahun Baru 2013. Semoga tahun baru ini dilimpahkan segala yang terbaik untuk anda semua.


YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR
ADUN SERI ANDALAS

Bekalan Air Selangor Cukup Sehingga 2030

Posted: 24 Dec 2012 01:30 AM PST

PETALING JAYA: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yakin bekalan air mentah di Selangor kini 100 peratus mencukupi dan mampu menampung keperluan rakyatnya sehingga tahun 2030.

Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata, sehingga 20 Disember lalu, kapasiti air bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Semenyih, Empangan Langat, Empangan Klang Gates dan Empangan Batu adalah penuh pada tahap 100 peratus sehingga berlakunya limpahan.

Manakala kapasiti air bagi empangan Sungai Tinggi pada tarikh yang sama adalah pada tahap 93.33 peratus dan Empangan Sungai Selangor (90.17%).

"Kapasiti Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi ini dijangka akan terus meningkat hasil daripada kadar hujan yang banyak ketika Monson Timur Laut daripada bulan November sehingga Mac.

"Berdasarkan kadar peningkatan takungan, kapasiti kedua-dua empangan ini dijangka akan kembali penuh sebelum bulan Februari 2013," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Md Khairi, berdasarkan kajian semula sumber air negara (2000-2050), jumlah air larian permukaan di Negeri Selangor adalah sebanyak 17,000 juta liter sehari (JLH) setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi.

Manakala jumlah air yang diabstrak untuk bekalan air kepada penduduk adalah sebanyak 4501 JLH.

"Sekiranya usaha dilakukan untuk menakung atau menyimpan sebanyak 40 peratus daripada jumlah air larian permukaan tersebut, sumber air mentah di negeri Selangor boleh dimanfaatkan sehingga tahun 2030," katanya.

Tepis dakwaan Ong Tee Keat

Kenyataan ini sekaligus menepis dakwaan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat bekalan air Selangor semakin menyusut dan tiada sumber yang baru.

Md Khairi, LUAS telah mengenal pasti lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber air tambahan seperti kolam projek tebatan banjir Sungai Rasau di Lembangan Klang dan juga Kolam Bestari Jaya di Lembangan Selangor.

Md Khairi berkata, kolam terbabit akan bertindak secara dwifungsi sebagai kawalan tebatan banjir dan juga kolam penstoran air ketika berlakunya aliran banjir.

Sebanyak 20 kolam takungan (banjir atau kolam bekas lombong) lain juga dikenal pasti berpotensi untuk dijadikan sumber air tambahan di Daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

"Kolam-kolam berkenaan dengan jumlah anggaran 325 juta meter padu merupakan rizab simpanan air mentah yang boleh dibangunkan sebagai sumber air tambahan (tertakluk kepada kualiti airnya).

"Selain itu,beberapa lokasi lain yang mempunyai potensi yang sama sebagai sumber air tambahan seperti kolam bekas lombong MC8 dan MC9 di Lembangan Langat.

"Kajian kemungkinan yang terperinci akan dilaksanakan bagi memastikan kebolehdapatan sumber air berkenaan," katanya.

LUAS dalam masa yang sama juga menurut beliau kini sedang dalam proses pelaksanaan aplikasi' River Bank Filteration' (RBF) dan juga pembangunan sumber air bumi (sehingga 15%) yang dijangka mampu menyumbang kepada peningkatan kebolehdapatan sumber air di Selangor.

Sumber: FreeMalaysiaToday

Air Di Empangan Selangor Penuh, Melimpah

Posted: 24 Dec 2012 01:00 AM PST

SHAH ALAM 24 DIS : Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) hari ini menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung dakwaan penyusutan bekalan dan ketiadaan sumber baru air mentah di Selangor.

Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata kenyataan itu adalah tidak tepat kerana hampir semua empangan di Selangor mencatat tahap air yang penuh.

Md Khairi berkata sehingga 20 Disember 2012, kapasiti air bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Semenyih, Empangan Langat, Empangan Klang Gates dan Empangan Batu adalah penuh pada tahap 100 peratus.

Beliau berkata limpahan air juga berlaku bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Langat serta Empangan Semenyih.

"Manakala kapasiti air bagi Empangan Sungai Tinggi pada tarikh yang sama adalah pada tahap 93.33 peratus.

Lagi Empangan Sungai Selangor pula, sehingga 20 Disember 2012, kapasiti airnya telah meningkat ke tahap 90.17 peratus iaitu 207.40 juta meter padu pada ketinggian 216.65 meter.

"Peningkatan ini adalah berbanding dengan kapasiti air empangan tersebut pada 11 Oktober 2012 iaitu sebanyak 52.02 peratus dengan jumlah 119.65 juta meter padu pada ketinggian 199.3 meter," katanya.

Jelasnya lagi, jumlah aliran air sungai mampu untuk membekalkan keperluan air mentah bagi lima loji pembersihan air (LPA) di Rasa, Rantau Panjang dan Bestari Jaya.

Bacaan harian baki aliran ini adalah tinggi berbanding dengan jumlah minima keperluan aliran sebanyak 300 JLH.

"Manakala pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor telah dikurangkan sehingga 91.34 JLH pada 20 Disember 2012.

"Mengurangan pelepasan air ini adalah berbanding 521.3 JLH pada 11 Oktober 2012. Corak dan purata paras air Empangan Sungai Selangor dari bulan Januari sehingga November 2012 ditunjukkan di Graf 1," tambahnya.

Kapasiti Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi itu dijangkakan terus meningkat ekoran kadar hujan yang banyak ketika Monson Timur Laut dari bulan November sehingga Mac.

"Berdasarkan kadar peningkatan takungan, kapasiti kedua-dua empangan ini dijangka akan kembali penuh sebelum bulan Februari 2013," tambahnya.

Sumber: Selangorku

Lapan Bulan Lagi Untuk Kurangkan Masalah Banjir Klang

Posted: 22 Dec 2012 01:00 AM PST

KLANG 22 DIS: Majoriti kolam tadahan air di kawasan-kawasan Klang yang sering dilanda banjir dijangka akan siap di dalam masa lapan bulan, manakala kolam tadahan yang terbesar di Taman Sentosa dijangka siap dalam setahun.

Kolam-kolam yang akan siap di dalam lapan bulan adalah di Bandar Bayu Tinggi, Bandar Bayu Perdana, dan Bandar Tengku Kelana. Kesemuanya telah hampir siap 80 peratus.

Manakala pembinaan kolam tadahan 23 ekar di Taman Sentosa pula akan mengambil lebih masa kerana saiznya yang lebih besar.

Keseluruhan projek-projek tersebut memakan kos RM 5 juta, kata Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Pembinaan kolam tadahan air ini melibatkan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Kita mengutamakan bandar Klang terlebih dahulu kerana kawasan ini kerap kali banjir.

"Selepas itu beberapa kawasan lain turut akan dikenalpasti untuk dibina kolam tadahan air kerana ianya melibatkan suatu proses yang rumit," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat di bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Turut hadir Pemangku Yang Dipertua MPK, Mohd Ikhsan Mukri, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Sebelum ini, ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang lalu, peruntukan sebanyak RM 50 juta telah diluluskan bagi mengatasi masalah banjir di seluruh Selangor.

Dr Xavier berkata MPK akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang tidak mengikut pelan struktur bangunan dengan tidak menyediakan saluran yang mencukupi untuk mengalirkan air hujan.

Dalam pada itu, satu kertas kerja tentang pembinaan kolam tadahan air di kawasan yang lain di Klang akan disiapkan untuk dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang