Khamis, 8 November 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Usul Tergempar Pembunuhan Etnik Rohingya Ditolak Parlimen

Posted: 07 Nov 2012 11:36 PM PST

PERKARA: USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2), dengan ini saya mohon mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan dengan tujuan merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan.

Saya, Nurul Izzah Anwar ( Lembah Pantai ) mohon mencadangkan:

" Dalam dewan yang mulia ini, kita berkumpul dengan satu matlamat dan satu suara tanpa dikekang batas agama, bangsa mahupun haluan politik, untuk mengangkat satu isu penting yang bukan sahaja menyentuh hati rakyat Malaysia bahkan majoriti warga antarabangsa di dunia ini iaitu nasib 800,000 etnik penduduk Rohingya di Arakan, Myanmar yang antaranya terkorban dan terus diancam pembunuhan beramai-ramai."

Tan Sri Yang di-Pertua,

Hati kita semua diruntum sedih dan pilu, mengenangkan apa yang berlaku di Palestin, Mesir, Syria dan kini membarah ke Rohingya.  Rakyat Malaysia yang sedar dan prihatin bersatu hati diwakili Ahli-Ahli Dewan Rakyat menolak sebarang kezaliman, penganiayaan dan ketidakadilan yang dialami etnik Rohingya.

Sejajar dengan semangat menegakkan keadilan sejagat dan juga sebagai Negara pencadang kemasukan Myanmar ke dalam Asean, Malaysia sepatutnya tidak berdiam diri Dalam kezaliman yang terus berlaku. Atas dasar kemanusiaan, hubungan serta kestabilan serantau, kita mesti secara aktif mendesak Myanmar melindungi kumpulan-kumpulan minoritinya daripada sebarang penindasan, apatah lagi pembunuhan.

Jumlah keseluruhan kematian sejak rusuhan Jun lalu mencecah 180 orang, ratusan yang cedera dan 28,000 orang yang terpaksa menjadi pelarian. Terkini, tindakan kerajaan Bangladesh melarang perayaan Qurban disambut di kem-kem pelarian Rohingya disekitar Negara tersebut. Larangan dikuatkuasakan sehingga pengedaran daging korban yang  sepatutnya diagih kepada pelarian yang berada di kem tidak dapat disempurnakan dengan lancar oleh pelbagai NGO yang melakukan misi korban dari pelbagai Negara.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Dengan ini saya menyeru agar Dewan yang Mulia inimengambil ketetapan seperti berikut:

(1)  Mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya di Myanmar akibat tindakan zalim dan tidak berperikemanusian ini yang berterusan tanpa kecaman daripada kerajaan Myanmar.

(2)  Malaysia perlu menyatakan komitmen dengannegara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), ASEAN dan negara-negara sependapatbagi mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani isu di Rohingya.

(3)  Kita menuntut supaya OIC sebagai badan antarabangsa menggunakan pengaruhnya mendesak supaya Bangladesh tidak menambahkan lagi penderitaan yang dialami oleh pelarian Rohingya termasuk mendapatkan pengesahan status mereka sebagai warganegara.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Hari ini kita mengambil pendekatan yang sama dalam satu pakatan dan satu barisan. Dasar diplomatik yang kita telah meterai sekian lama perlu kita gunakan bagi membendung sebarang usaha yang menzalimi rakyatnya sendiri.

Jelaslah, apa yang menimpa etnik Rohingya kini adalah tindakan yang melangkaui kepercayaan agama, melanggar hak asasi, keadilan dan prinsip kemanusiaan. Oleh demikian, atas dasar kemanusian ini saya berharap agar Kerajaan Malaysia terus komited dan mendokong usul yang saya bawa ini demi nyawa etnik Rohingya, antara kumpulan minoriti yang memerlukan dokongan kita.

Tuan Yang di Pertua,

Atas perkara yang tertentu ini yang melibatkan kepentingan rakyat umum yang perlu disegerakan, saya mohon mencadangkan usul ini dibincangkan.

“Demi Malaysia yang Lebih Baik”

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai

Pertemuan bersama wakil SPR pada 19 November 2012.

Posted: 07 Nov 2012 11:29 PM PST

KENYATAAN MEDIA
8 November 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA

Saya telah menerima tawaran dari YB Dato Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, untuk bertemu wakil Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) pada 19 November 2012 bersama ahli-ahli Parlimen yang lain bagi membangkitkan isu daftar pemilih yang tidak bersih. Mengapa saya berkata demikian?

Di sini saya umumkan hasil analisa pasukan saya mengenai daftar pemilih di Lembah Pantai, hingga suku ke-3 2012.
1) SPR memberi daftar yang tidak lengkap. Sehingga suku 1 tahun 2012, saya mendapati dari 70,136 pengundi dalam daftar pengundi, hampir 45% tidak diberi alamat yang lengkap.

2,661 pengundi tiada nombor rumah ataupun nama jalan, tetapi ada lokaliti dan daerah mengundi

28,883 pengundi ada nombor rumah, tetapi tiada alamat lain kecuali lokaliti dan daerah mengundi

Kelompangan maklumat ini amat menyukarkan gerak kerja parti-parti politik dan saya sendiri sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Saya menggesa SPR memberi penjelasan yang lengkap mengapa perkara ini berlaku.

2) Jumlah pengundi pos telah meningkat hampir 1500%, iaitu dari 154 pada tahun 2008 ke 2227 pada suku ke-3 2012. Walaupun secara amnya peningkatan anggota polis di Lembah Pantai adalah suatu perkara yang baik, namun dari pengamatan saya ada perkara yang tidak kena:

- sekitar awal 2011, saya mendapati Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil, yang terletak hampir 12km jauhnya diluar kawasan Lembah Pantai dan pada tahun 2008 terletak dalam Parlimen Bandar Tun Razak, kini telah termasuk sebagai satu pusat pengundi pos di Lembah Pantai.
- setelah membantah berkali-kali kepada SPR, saya kini dikejutkan dengan data terkini, dimana 383 pengundi pos dipindah keluar dari Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil ke Balai Polis Travers.

SPR perlu menjawab, adakah pemindahan 383 pengundi pos dari Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil ke Balai Polis Travers ini disebabkan bantahan yang pihak saya buat dahulu?

Saya turut memohon pihak Polis Di Raja Malaysia untuk memberikan kepada pejabat saya bukti yang 383 anggota polis ini benar-benar bertugas di Balai Polis Travers, dengan memberikan satu salinan jadual kerja atau duty roster yang berkenaan.

3) 772 pengundi yang didaftarkan sebelum berumur 21 tahun, di mana kami mendapati terdapat ramai pengundi di Lembah Pantai yang didaftar sebelum betul-betul berumur 21 tahun.

Sebagai satu contoh, seorang pengundi dengan tarikh lahir 19hb Jun 1990 telah mendaftar sebagai pengundi pada 2hb Mac 2011, iaitu pada usia 20 tahun 8 bulan.

Jika benar analisa ini, saya menggesa pihak SPR untuk membuat penjelasan: Adakah seseorang yang belum cukup 21 tahun boleh mendaftar sebagai pengundi?

4) Pengundi yang pindah masuk ke alamat sama. Sebagai contoh, saya mendapati seramai 31 pengundi telah pindah masuk ke 7 alamat yang sama di PPR Kg Limau. Yang ganjilnya, hampir semua dipindahkan sekitar tarikh yang sama, iaitu 28-31hb Mac 2011. Dan yang turut ganjil adalah 22 dari pengundi ini dipindahkan dari Parlimen Seputeh.

Saya akan menyerahkan senarai penuh alamat-alamat dan nama-nama pengundi kepada pihak SPR, dan meminta SPR menjelaskan sama ada perkara ini benar-benar berlaku.

Saya juga minta pihak DBKL untuk membuat siasatan, sama ada adakah benar begitu ramai orang yang menetap dalam satu unit PPR di PPR Kg Limau?

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap
Naib Presiden KEADILAN

Tiada ulasan:

Nuffnang