Isnin, 12 November 2012

Khalid Samad

Khalid Samad


Perbahasan Twitter Dengan Fathul Bari: Kenyataan Karpal Berbanding CSL

Posted: 11 Nov 2012 05:03 PM PST

Sebelum saya meneruskan ulasan Perbahasan Twitter Dengan Fathul Bari berhubung isu kedua, supaya adil dan tidak bias (pinjam ungkapan Fathul Bari), perlu saya jelaskan bahawa Fathul menafikan beliau membela CSL. Namun penafiannya, bagi saya, tidak menyakinkan sepertimana yang telah saya hujjahkan dalam perbahasan isu pertama.

Kedua, ada juga respon yang saya terima menolak dakwaan saya bahawa Fathul akan menyokong siapa sahaja yang menjadi pemerintah asalkan pemimpinnya Melayu. Mereka mengemukakan kes Kelantan dan Kedah sebagai bukti. Walaupun di Kelantan dan Kedah Menteri Besarnya orang Islam, ulama' pula tu, Fathul tetap menentangnya. Maka dijelaskan mereka bahawa fiqah politiknya tidak semudah itu. Dalam bab ini saya tiada komen. Kita tunggu sahaja penjelasan dari Fathul sendiri.

Hujjah Fathul bahawa kenyataan Karpal adalah lebih parah dari kenyataan CSL adalah atas sebab Karpal sebut "langkah mayat saya dulu kalau hendak laksanakan hudud". Ini ditafsirkan Fathul sebagai membawa erti Karpal akan berperang dengan ummat Islam dan perlu berlakunya pertumpahan darah sehingga Karpal dibunuh baru ummat Islam boleh melaksanakan hudud. Hakikatnya kata-kata itu adalah kata-kata kiasan yang bagi saya membawa erti 'berusaha bersungguh-sungguh melarang sesuatu' tanpa apa-apa hubung kait dengan soal berperang atau berbunuh-bunuhan.

Sebagai contoh, rujukan melalui salah satu web bahasa Inggeris menjelaskan maksud 'over my dead body' seperti berikut:

This expression is used by somone who absolutely refuses to allow someone to do something. Example: "Mum, can I get by nose pierced?" "Over my dead body!"

Terjemahan:
"Mak, boleh tak saya tindik hidung saya?" "Langkah mayat saya!"

Kata-kata ini digunakan oleh seseorang yang tidak sanggup membenarkan, walau apa pun, seorang yang lain melakukan sesuatu.

Kalau ikut tafsiran Fathul, ibu pada yang bertanya mengajaknya berbunuh-bunuhan dan bertumpah darah sebelum dapat ditindik hidungnya! Sudah pasti tafsiran ini amat meleset sekali. Apabila terbukti tafsiran Fathul tersilap, maka dengan itu musnah segala hujjahnya.

Saya berpandangan bahawa kenyataan CSL adalah lebih parah dari kenyataan Karpal. Ini adalah kerana kenyataan Karpal hanya menzahirkan penentangannya walaupun agak tegas, tetapi dia tidak memperlekeh atau menghina undang-undang hudud. CSL sebaliknya menyatakan bahawa undang-undang hudud:
a) Akan menyebabkan 1.2 Juta orang hilang pekerjaan
b) Akan menyebabkan FDI/pelabur asing lari dari Malaysia
c) Akan menjadikan Malaysia mundur dan ketinggalan zaman
d) Tidak berkesan menghalang rasuah kerana negara-negara yang melaksanakan hudud adalah negara-negara yang paling tinggi kadar rasuahnya
e) Hanya untuk yang pendek akal sahaja yang mahukan hudud dan
f) Membenarkan wanita bukan Islam dirogol oleh orang Islam
Semua di atas adalah apa yang dilaporkan dalam media Bahasa Melayu. Apa yang dinyatakan oleh CSL khususnya di kalangan masyarakat Cina adalah jauh lebih teruk.

Dalam pada itu, amat jelas bahawa CSL tidak menolak 'hudud PAS' sepertimana yang didakwa Fathul tetapi hudud itu sendiri. Kalau dilihat pada (d) dan (e), amat jelas bahawa yang dimaksudkan adalah hudud yang dilaksana di Negara lain dan yang dicadangkan oleh ADUN UMNO Johor.

Adakah hudud yang dilaksanakan di Negara lain dari PAS juga? Ini kita minta Fathul jelaskan dengan adil dan tanpa bias.

Kedua, adakah hudud yang dicadangkan ADUN Johor yang CSL gelar sebagai orang yang 'pendek akal', juga hudud PAS? Mungkin juga kerana sepertimana yang kita semua tahu 'tiada hudud bagi UMNO'. Harap Fathul jelaskan perkara ini juga.

Yang paling kelakar ialah apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri, Dato Jamil Khir ditempelak oleh CSL dengan mengatakan Dato Jamil tidak buat homeworknya apabila mengatakan hudud tidak akan menjejas orang bukan Islam! Kemampuan CSL mengatasi Dato Jamil pasti dikagumi Fathul.

Dengan itu jelas juga bahawa 'defence' Fathul terhadap CSL bahawa CSL hanya menolak hudud PAS adalah palsu dan satu pembohongan. Hujjah pembelaan yang diguna pakai Fathul dan disambut dengan gembiranya oleh CSL terbukti palsu dan tiada nilai! Fathul, seperti biasa dengan orang mengaji agama dalam UMNO, hanya dikudakan CSL dan pimpinan UMNO.

Hakikatnya CSL bukan sekadar menentang perlaksanaan 'hudud PAS'! CSL seperti Karpal menetang hudud. Tetapi, lebih teruk dari Karpal, CSL memperlekeh dan menghina hudud itu sendiri. Dan dalam masa yang sama, turut diperlekeh ialah orang Islam yang mahukan hudud!

Bersambung...

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang