Jumaat, 30 November 2012

.

.


Mengenang Sheikh Ahmad Yassin (1938- 2004) - Pejuang Palestin

Posted: 29 Nov 2012 02:55 PM PST

Syeikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampong bernama al-Jora,
daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Dia
telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas
Yahudi ke atas bumi Palestin. Dia dan keluarganya dipaksa berhijrah ke
Semenanjung Gaza.

Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya
beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau
juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di
zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, di mana beliau telah
terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh
pada bahagian kakinya.

Keadaannya yang lumpuh itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan
kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti
islam. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain
Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti tersebut walaubagaimanapun
tidak sampai ke hujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan
oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan
Muslimin pada tahun 1966.

Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa
Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak
sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam
pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan islam dan dakwah islamiyyah.

Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif
memperjuangkan islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di mesjid
Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di
kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas
pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah
menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah
yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan islam.
Hasil dari usaha tersebut, sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan
Muslimin telah berkembang hebat di kawasan Gaza.

Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh
Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang
menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama 'Mujamma
al-Islam'.

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di
Palestin lebih memaksa umat islam di sana untuk berjihad, beliau dan
beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan
jihad yang dinamakan sebagai 'al-Mujahidun al-Filastiniyun' pada tahun 1982
sebagai kesinambungan perjuangan Kataib Syuyukh yang mengambil wasilah
jihad sebagai landasan perjuangan mereka.

Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak menghalang dirinya dari usaha
mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan
penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat
Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim
Zionis diatas tuduhan memilki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan
Zionis Israel. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui
mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran
tawanan di antara pihak PLO dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan
setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Melihatkan kepada kondisi Negara-Negara Arab yang tidak lagi berminat untuk
memerdekakan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan
PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Yassin dan juga
rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan
pembebasan islam yang dikenali sebagai HAMAS pada tahun 1987.

HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan
mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan
pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari
masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama
'Atfal Hijarah' (Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan
dengan tentera Zionis.

Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini
dikenali sebagai 'Intifadah'. Kesan dari 'Intifadah' ini amat hebat, pihak
tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai tindak
balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.

Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah
merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup
sekadar itu sahaja, pada 18.5.1989 beliau bersama ratusan anggota
pergerakan HAMAS yang lain telah dipenjarakan kerana kejayaan
operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha
membunuh tentera- tentera dan komando-komando Israel.

Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16.10.1991 telah menjatuhkan
hukuman 15 tahun penjara ke atas Syeikh Ahmad Yassin di atas sembilan
pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik
dan juga menyerang tentera-tentera Zionis.

Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh
kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga mengalami kehilangan penglihatan mata
kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada
masaalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya.

Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan
juga hidapan pada abdomennya. Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu
telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital
untuk mendapatkan rawatan.

Pada 13.12.1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib
al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan
pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di
antara tentera tersebut dengan pembebasan Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa
tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur.

Pihak rejim Zionis walaubagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba
menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk
membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu
mati dibunuh berserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang
Palestin telah mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di
Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.

Pada 1.10.1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara
kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya
dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah berjaya memberkas dua orang anggota
perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh
ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk
mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah
bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja
Hussin yang meminta Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan.

Sejurus pembebasannya, Syeikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya
sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di
hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September
2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana
menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama
200 tenteranya.

Sekali lagi Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat PAlestin
untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar
kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang
paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan
berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah.

Hasilnya pelabagi usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang kemaraan
rakyat Palestin. Antaranya menyerang Bandar-Bandar, membunuh orang-orang
awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang Palestin dan
pemimpin- pemimpin mereka.

Hasil dari kegilaan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah
berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet
pejuang, helikopter dan juga kereta- kereta kebal mereka. Antaranya Salah
Shahadah, Ismail Abu Shanab dan lain-lain lagi.

Syeikh Ahmad Yassin juga tidkak terlepas dari usaha jahat tersebut, seperti
yang berlaku pada 6.9.2003 bilamana sebuah helikopter Apache milik tentera
Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Ahmad Yassin, mujurlah beliau
selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu
juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang
telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.

Namun, pada subuh 22.3.2004, mereka sekali lagi menyerang Syeikh Ahmad
Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari mesjid setelah selesai
solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas
Syeikh yang lumpuh itu telah berjaya mengorbankan diri Ahmad Yassin dan
empat yang lain termasuk anaknya.

Sumber: HALUAN

Tiada ulasan:

Nuffnang