Sabtu, 27 Oktober 2012

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Derita barah darah putih

Posted: 26 Oct 2012 07:42 AM PDT

26 Okt 2012

REMBAU: "Antibodi anak lemah dan tidak boleh luka, jika tidak darahnya akan mengalir tanpa henti. Setiap masa dia perlu memakai penutup mulut bagi mengelak jangkitan kuman.

"Tahun ini saja anak saya menjalani dua pembedahan memasukkan tiub di dalam badannya," kata Norlizahwati Zakaria, 28, ibu kepada Muhammad Hafizzuddin Azizi, 6, yang mengalami penyakit T Cell Lymphoma atau kanser darah putih sejak lapan bulan lalu.

Norlizahwati ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Rumah Rakyat Lubok China, dekat sini, semalam, berkata, keadaan itu menyebabkan kehidupan kanak-kanak yang aktif itu berubah sekali gus terpaksa memerapkan diri di dalam rumah jika tidak menerima rawatan di hospital.

Menurutnya, sebelum disahkan menghidap penyakit itu awal tahun lalu, Muhammad Hafizzuddin sempat menerima pendidikan awal di tabika selama dua bulan. Kini dia terpaksa melupakan keinginan untuk belajar buat sementara waktu kerana perlu menerima rawatan kemoterapi di Unit Hematologi dan Onkologi Kanak-Kanak, Institut Pediatrik di Hospital Kuala Lumpur.

"Saya mula menyedari perubahan pada anak kedua daripada tiga beradik itu apabila melihat mukanya membengkak yang berlanjutan beberapa hari," katanya.

Bimbang keadaan itu, dia dan suami, Mohd Azizi Khamis, 32, membawa anaknya menemui doktor di Hospital Melaka dan dimaklumkan anaknya hanya mengalami bengkak biasa.

"Bagaimanapun, selepas beberapa hari bengkak tidak surut dan Muhammad Hafizzuddin demam teruk. Akhirnya saya dan suami nekad membawa ke hospital swasta dan kami diberitahu anak menghidap penyakit kanser darah putih.

"Bagai nak pitam apabila diberitahu penyakit anak kerana pada usia yang masih muda dia terpaksa menderita dan melalui kehidupan tidak sempurna seperti kanak-kanak seusianya," katanya.

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga sekali lagi diduga apabila suami yang bekerja sebagai pemandu lori terpaksa berhenti kerja apabila sering cuti ekoran perlu menghantar dan menemani anak berhari-hari di hospital.

"Kini suami hanya melakukan kerja kampung dengan pendapatan tidak menentu. Saya pula tidak bekerja kerana perlu memantau dan menjaga rapi Muhammad Hafizzuddin selain dua anak lain. Anak sulung bersekolah di darjah dua dan anak perempuan berumur empat tahun," katanya.

Namun dia bersyukur permohonan bantuan bulanan diluluskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan begitu juga bantuan perubatan RM500 daripada Baitulmal.

"Saya mohon bantuan ini dengan harapan dapat digunakan untuk perbelanjaan perubatan anak memandangkan keluarga tiada pendapatan tetap. Duit bantuan itu boleh digunakan sebagai kos pengangkutan dan perubatan anak, tetapi memang tidak mencukupi.

"Buat masa ini, suami terpaksa meminjam kereta kawan untuk membawa anak ke hospital kerana saban minggu kami berulang-alik ke Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, dia dan suami tidak mampu melunaskan bil perubatan lebih RM600 dan pihak hospital meminta menjelaskan bayaran itu selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

"Saya harap orang ramai yang prihatin dengan nasib menimpa kami dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung. Bukan niat saya untuk meraih simpati, tetapi kami sangat sayangkan Muhammad Hafizzuddin," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menggunakan akaun Maybank (154101138459) milik Norlizahwati.

Tiada ulasan:

Nuffnang