Sabtu, 25 Ogos 2012

Khalid Samad

Khalid Samad


Darah Karpal Halal?

Posted: 25 Aug 2012 09:39 AM PDT

Lanjutan dari isu Nasharudin Mat Isa dan Karpal Singh, saya telah menerima SMS dari seorang 'hamba Allah' yang menyatakan bahawa darah Karpal halal dan PAS perlu membunuhnya sekiranya PAS ikhlas dan bersungguh-sungguh ingin melaksanakan hudud. Kenyataan tersebut membuat saya tergelak terbahak-bahak! "Adakah hudud tidak dilaksanakan di Malaysia oleh kerana Karpal?" saya tanya kembali. Adakah Karpal Perdana Menteri Malaysia? Adakah DAP parti pemerintah saya bertanya lagi! Kasihan seribu kali kasihan, orang Melayu yang diperbodohkan UMNO dan sub-kontraktornya!

Mengapa Karpal dijadikan sasaran sedangkan MCA jauh lebih lantang menolak hudud? Sedangkan kempen MCA secara jelas menyatakan bahawa "undi MCA dan MCA akan pastikan Malaysia tidak menjadi Negara Islam dan Hudud tidak dilaksanakan". Oleh itu, kata-kata menuduh Karpal sebagai anti-Islam adalah kata-kata yang dikeluarkan oleh seseorang yang mempunyai agenda politik tersendiri, maka pandangannya bias dan berpilih kasih!

Telah saya nyatakan berulang kali, adalah menjadi perkara biasa sekiranya orang bukan Islam menolak hudud. Itu tidak menjadikan darah mereka halal. Mereka menjadi 'harbi' sekiranya mereka mengangkat senjata menentang sebuah kerajaan Islam, tetapi sekiranya mereka mengemukakan sesuatu hujjah, maka biarlah hujjah lawan hujjah.

Dalam masa yang sama, seorang lagi sub-kontraktor UMNO pula berkempen; tolak PR (undi UMNO) kalau tidak Negara menjadi Negara Kristian! Aduahai, semakin rancak usaha memperbodohkan Melayu.

Sudahlah, hentikan sandiwara!! Sanggup mempertahankan rasuah dan penyelewengan dengan memutar-belitkan ajaran Islam, semata-mata supaya UMNO/BN kekal berkuasa dan kamu mendapat imbuhan. "Shame on you!". Inilah golongan yang menjualkan agama dengan harga yang rendah seperti yang digambarkan Allah di dalam Al-Quran berhubung rahib Bani Israel.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Isu Nasharudin Mat Isa dan Karpal Singh

Posted: 25 Aug 2012 09:29 AM PDT

Sambil kita tengah sibuk menghayati bulan Ramadhan, tercetus pula isu baru, Ust. Nasharudin Mat Isa meminta PAS keluar dari PR dan menuduh Karpal Singh sebagai anti-Islam kerana menolak hudud! Soal Ust. Nasha bersama Najib di Mekah dan bertindak sebagi penterjemah hanya menzahirkan betapa UMNO ketandusan ulama'. Tiada orang lainkah dalam UMNO? Samada ianya sandiwara atau sebaliknya, kita tidak perlu memikirkannya. Kalau Ust. Nasha hendak berumrah bersama Rosmah pun tidak menjadi masalah bagi saya.

Hanya yang menjadi pertikaian ialah kenyataan beliau berhubung PAS agar perlu keluar dari PR dan bagaimana PAS tunduk pada DAP. Lagu dan irama lama, didendangkan kembali untuk menutup peristiwa pergolakan di Sabah. Kalau benar beliau ikhlas, mengapa tidak dibawanya ke dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat? Sebaliknya mendiamkan diri seribu bahasa sambil bergendang di luar di dalam pangkuan UMNO/BN. Bukan lagi menjadai satu rahsia bahawa beliau sudah lama tidak bersama PAS dari segi semangatnya. Semenjak terlibat dalam perundingan PAS UMNO pasca PRU 2008 beliau kelihatan berbeza. Mungkinkah ada umpan yang terkena dan tidak dapat dilupai rasanyakah? Bertambah pula dengan kekalahannya dalam pertandingan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang digambarkan oleh wartawan 'The Star' sebagai kali pertama melihat beliau kehilangan senyuman yang bagaikan sentiasa terpahat di bibirnya, sehingga menurutnya lagi terus tidak hadir pada hari terakhir muktamar PAS pada tahun itu.

Pendedahan PAS Kelantan bahawa beliau tidak lagi disenaraikan sebagai calon sudah pasti diketahui lebih awal oleh dirinya sendiri. Masa depannya bersama PAS seolah-olah semakin malap dan jalan permaidani merah yang biasa dilaluinya sudah tidak lagi kelihatan. Maka oleh itu tidak mustahil beliau mencari pilihan yang lain bagi diri dan masa depannya. Mungkin sepertimana Hassan Ali, beliau menganggap dirinya tidak lagi dihargai PAS dan sebaliknya lebih dihargai pihak sebelah sana.

Dalam pada itu, pertelingkahan beliau dengan Karpal pula boleh dianggap agak melucukan. Dituduhnya Karpal 'anti-Islam' kerana menolak Hudud! Wooooit! Hudud ditolak oleh Karpal seorang sahajakah? Untuk makluman semua, UMNO/BN sudah lama menolak Hudud dan itulah sebabnya ianya tidak dilaksanakan di Negara kita! Mengapa pula tidak diistihar UMNO/BN sebagai anti-Islam? Kerana mungkin itu tidak menepati 'game-plan' UMNO/BN?

Orang bukan Islam menolak hudud, malahan agama Islam itu sendiri, adalah perkara biasa. Nama pun bukan Islam. Tetapi persoalannya, mengapakah UMNO yang mengaku Islam menolak? Tidakkah sepatutnya beliau mengistiharkan yang di sebelahnya dalam gambar di Mekah itu sebagai anti-Islam terlebih dahulu sekiranya penolakan hudud adalah hujjah untuk mengisytiharkan seseorang itu anti-Islam!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang