Rabu, 29 Ogos 2012

.

.


ABIM Tawarkan Kepakaran Jelaskan Kekeliruan Mengenai Hudud

Posted: 29 Aug 2012 12:00 AM PDT

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada polemik hudud serta perundangan Islam yang semakin memuncak semenjak kebelakangan ini. Semenjak penubuhannya pada tahun 1971, ABIM telah secara konsisten menyatakan komitmen serta sokongannya terhadap perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Komitmen serta sokongan ini beralaskan kepada fakta bahawa Islam telah diangkat sebagai agama Persekutuan di negara ini, sekaligus menidakkan dakwaan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular (yang memisahkan Islam dari tatacara politik dan perundangan).

Kenyataan ini secara jelas dimaktubkan dalam perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa Islam adalah Agama Persekutuan yang turut didukung menerusi beberapa peruntukan undang-undang lain. Justeru ABIM mengecam sama sekali usaha pihak tidak bertanggungjawab yang ingin memomokkan perundangan Hudud serta perundangan Islam sebagai sebuah agenda bersifat ancaman terhadap golongan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Sesungguhnya ABIM menilai tanggapan tersebut bersifat politik murahan yang dihalalkan untuk meraih dukungan politik secara meluas di kalangan masyarakat bukan Islam terutama sekali di saat negara dicengkam situasi politik "black box" ataupun keadaan politik tidak menentu menjelang PRU 13 akan datang. Dalam hal ini, ABIM ingin merujuk kepada beberapa kenyataan yang dikemukakan oleh pimpinan MCA dan DAP yang samasekali tidak mengambil kira sensitiviti serta intipati tersirat yang terkandung dalam perundangan Hudud serta Islam secara keseluruhannya.
Sekiranya keadaan ini berterusan serta tidak dibendung, fenomena Islamophobia yang membayangi keharmonian hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia akan menular ke negara ini. ABIM ingin menegaskan bahawa Islam samasekali tidak menafikan hak serta kebebasan masyarakat bukan Islam. Hakikat serta penegasan tersebut telah digariskan secara jelas dan tegas dalam perundangan Islam (Hudud secara khususnya), menerusi prinsip maqasid as-syar'iyyah.

Lantaran itu, sebarang usaha untuk mempolemikkan perundangan Islam (Hudud) untuk menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan bukan Islam seharusnya dihentikan. Sebaliknya semua pihak harus bersedia memahami perkara ini sebaiknya bagi menangkis segala bentuk salah faham dalam masyarakat.

Oleh itu, ABIM menawarkan ruang penjelasan dalam bentuk perbincangan serta wacana yang bersifat akademik dan ilmiah. ABIM juga bersedia untuk mengadakan siri-siri penjelasan terkemuka dengan masyarakat awam terutama sekali di kalangan masyarakat bukan Islam.
Amidi Abd Manan
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Hormati bakal jamaah haji yang sudah tunggu lama

Posted: 28 Aug 2012 08:39 PM PDT



KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri diminta tidak mengganggu proses pemergian jemaah haji Malaysia ke tanah suci dengan memasukkan mereka yang ada kepentingan politik dengan beliau dalam senarai jamaah haji kali ini.

Ini kerana, jika Perdana Menteri berbuat demikian bermakna beliau menyekat hak bakal jemaah haji yang telah sekian lama menunggu untuk pergi menunaikan haji.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Sallahudin Ayub dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Salahuddin mengulas lapora media, Datuk Seri Najib akan menghantar  para imam dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung menunaikan haji tahun ini.

"Jika Najib berbuat demikian, ini satu dikriminasi kepada mereka yang telah sekian lama menunggu untuk mendapatkan tempat bagi menunaikan haji," kata Salahudin yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian.

Beliau sepatutnya memberikan bantuan sahaja tetapi tidak memotong 'barisan' mereka yang telah sekian lama menunggu untuk menunaikan haji.

Source: http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12738-hormati-bakal-jamaah-haji-yang-sudah-tunggu-lama-

Tiada ulasan:

Nuffnang