Selasa, 26 Jun 2012

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Bunuh anak sering bogel

Posted: 26 Jun 2012 02:22 AM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

BELURAN: Berang anak lelakinya sering berkeliaran dalam keadaan bogel, seorang bapa bertindak kejam apabila bukan saja menusuk kedua-dua belah mata anaknya, malah mulutnya turut ditusuk dengan batang penyapu sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Ladang Metro Telupid, dekat sini, malam kelmarin.

Lebih mengerikan, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, mayat mangsa dikenali sebagai Nasrul Ali, 24, turut ditusuk di beberapa bahagian muka sehingga wajahnya sukar dicam selain beberapa tusukan di belakang badannya dipercayai menggunakan batang penyapu sama.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang mengalami masalah mental dikatakan berkeliaran dalam keadaan berbogel di kawasan rumah kongsi, menyebabkan bapa mangsa yang juga seorang bomoh kampung berang lalu menangkapnya.

Selepas itu, suspek mengheret mangsa masuk ke dalam rumah mereka sebelum bertindak kejam apabila menusuk kedua-dua biji mata anaknya itu dengan batang penyapu dan suspek turut menusuk mulut pemuda itu sehingga mati.

Selepas itu, suspek yang juga bapa kandung mangsa dipercayai memandikan mayat anaknya itu menggunakan lapan biji kelapa, selain meletakkan dua biji pisang di tepi mayat anaknya.

METRO/-

Indeks bursa saham Mesir naik

Posted: 26 Jun 2012 02:10 AM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

MOHAMMED MORSI (tiga dari kanan) duduk di dalam studio sebuah stesen televisyen di Kaherah kelmarin.

KAHERAH - Stesen televisyen pemerintah melaporkan indeks bursa saham Mesir ditutup tinggi dengan rekod kenaikan 7.5 peratus susulan deklarasi kemenangan seorang calon pro-Islam pada pilihan raya Presiden negara berkenaan.

Pihak berkuasa menghentikan dagangan di bursa Mesir selama setengah jam semalam selepas indeks EGX100 menokok lebih 5 peratus bagi mengelakkan perubahan ketara berlaku dalam pasaran.

Beberapa penganalisis berkata, kenaikan itu didorong oleh deklarasi kemenangan selepas persaingan sengit melibatkan calon pilihan pergerakan Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi dan bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq.

Ramai bimbang pengumuman keputusan pilihan raya tersebut akan mencetuskan keganasan tetapi tindak balas rakyat setakat ini adalah sambutan kemenangan Morsi oleh para penyokongnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Morsi mengadakan satu pertemuan terutup dengan pemerintah tentera, Fil Marsyal Hussein Tantawi dan Perdana Menteri, Kamal Al-Ganzouri semalam ketika beliau memulakan perbincangan bagi membentuk pentadbirannya.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas beliau berikrar untuk menjadi Presiden kepada semua rakyat Mesir.

Morsi kelmarin menjadi Presiden pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya bebas di Mesir.

Mereka dijangka berbincang mengenai upacara angkat sumpah Presiden Mesir dengan tarikh bagi majlis tersebut masih belum ditetapkan.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menyatakan bahawa Israel berharap dapat menjalin kerjasama di masa hadapan dengan pentadbiran baharu Mesir di bawah kepimpinan Morsi.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan pentadbiran baharu berdasarkan perjanjian damai antara Mesir dan Israel," kata Netanyahu kepada wartawan semasa beliau melawat Presiden Rusia, Vladimir Putin. - Agensi

PKR Dakwa PM Campur Tangan Tender Projek LRT

Posted: 26 Jun 2012 02:01 AM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 26 JUN : PKR mendakwa wujud campurtangan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam pemberian tender kerja projek tambahan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang.

Projek ini dianugerahkan kepada konsortium yang diterajui oleh George Kent Berhad.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara berkenaan mengesahkan persepsi masyarakat bahawa berlaku campur tangan dan penyelewengan yang serius melibatkan anugerah projek-projek awam di bawah pentadbiran beliau(Najib) yang sering melaungkan janji untuk berlaku telus dan adil.

Rafizi merujuk kepada satu laporan yang disiarkan oleh Business Times bertarikh 22 Jun lalu yang menyebut sumber-sumber yang rapat dengan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengesahkan sebuah konsortium yang diketuai oleh George Kent akan dianugerahkan kontrak bernilai RM960 juta.

"PKR mendapat maklumat yang rapat dengan kerajaan bahawa Najib sendiri campur tangan di dalam hal ini untuk memastikan kontrak tersebut dianugerahkan kepada George Kent.

"Sedangkan beliau pernah berjanji untuk berlaku telus dan memastikan semua kontrak besar dijalankan secara tender terbuka," kata Rafizi dalam kenyataan media.

Rafizi mendedahkan bahawa George Kent bukanlah konsortium yang terpilih bagi projek tersebut setelah melalui proses tender terbuka yang dijalankan oleh Prasarana.

Hal ini disahkan oleh surat bertarikh 12 Disember 2011 daripada Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Shahril Mokhtar, kepada Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa Konsortium PDA dipilih sebagai kontraktor terbaik bagi projek tersebut.

Shahril Mokhtar menulis kepada Najib sendiri untuk mendapatkan kelulusan mengeluarkan 'Surat Tuju Terima' kepada Konsortium PDA.

"Perkembangan terbaru seperti yang dilaporkan oleh Business Times mengesahkan bahawa Najib bertindak menukar keputusan Prasarana dan menolak proses tender terbuka dalam projek mega yang melibat berbilion wang rakyat," katanya.

Tegas Rafizi, PKR akan melakukan pendedahan setiap dua hari mengenai skandal yang bakal menguji komitmen Najib Razak kepada usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

"Pendedahan-pendedahan ini adalah juga balasan dari saya kerana tindakan jijik Umno di bawah kepimpinan beliau memutar belitkan keputusan saya menarik diri dari Kerajaan Selangor untuk menumpukan perhatian merancang strategi pilihanraya PKR.

"Saya betul-betul menasihati Najib supaya menangani skandal ini dengan baik demi menjaga imej pentadbiran beliau," ujarnya.

selangorku/-

Pesawah Minta Kaji Semula Subsidi dan Harga Padi

Posted: 26 Jun 2012 01:57 AM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR : Kerajaan Pusat digesa mengkaji semula harga padi dan subsidi kini yang tidak pernah ditukar sejak 22 tahun lalu.

Pengerusi Pertubuhan Peladang E2 Kubang Sepat MADA, Mohamad Fuad Yaakob berkata, warga Felda menerima pelbagai imbuhan sedangkan pesawah yang menjadi tonggak utama produk makanan negara diabaikan.

"Bermula musim pertama 2010, harga padi semakin murah sedangkan kos semakin meningkat.

"Kami berharap kerajaan mempertimbangkan hasrat kami," katanya di satu sidang media di lobi Dewan Rakyat.

Pertubuhan itu mencadangkan agar harga padi dinaikkan ke RM1.35 sekilogram dan subsidi ke RM0.50 sekilogram.

Harga pasaran yang ditetapkan kerajaan masa kini adalah RM2.60 sekilogram bagi beras manakala harga padi bernilai RM0.75 sekilogram dan subsidi RM0.24 sekilogram.

Katanya, kenaikkan tersebut mampu menaikan pendapatan pengusaha padi ke lebih kurang RM1,080 sebulan.

Beliau berkata terdapat 140,000 keluarga petani di dalam kawasan MADA yang keluasan 240,000 hektar, yang berpendapatan hanya RM480.00 sebulan.

Pada sidang media itu, MP Kuala Kedah, Kassim Ahmad berkata kali terakhir harga padi dikaji semula adalah 22 tahun lalu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pertanian.

Hadir sama dalam sidang media berkenaan Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.

selangorku/-

'Nak berdebat ke tak nak?' tanya Anwar pada PM

Posted: 26 Jun 2012 01:53 AM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dengan sinis mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ingin berdebat dengannya atau tidak.

Anwar berkata, kenyataan Najib sebelum ini yang mengatakan debat bukan satu budaya, juga merupakan helah untuk mengelak berdebat dengan beliau.

"Dia nak debat ke tak nak? Dia anjurkan debat di seluruh sekolah. Hadiah (yang diperolehi ialah piala) perdana menteri. Di sekolah minta anak-anak untuk berdebat. Hadiahnya (piala) perdana menteri. Tapi perdana menteri kata bukan budaya. Habis yang diajar di sekolah itu apa?

"Itu cuma helah nak elak untuk berdebat," kata Anwar ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan pidato aspresiasi di majlis pelancaran dan diskusi buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat malam tadi.

Majlis pelancaran dan diskusi buku hasil tulisan Datuk Dr Siddiq Fadzil itu juga turut dihadiri Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Jumaat lalu, Najib terus mengelak apabila ditanya mengenai cabaran yang dikemukakan Anwar untuk mengadakan debat.

Katanya, debat tidak semestinya dilihat sebagai satu budaya tetapi mesti dilihat mengikut kepada keadaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengatakan perbahasan di Parlimen ada unsur perdebatan, Anwar menafikan perkara tersebut.

"Debat... bila Datuk Najib datang? nak debat atau tidak. Bagi alasan Parlimen ada debat. Tak ada.

"Kedua ini bukan budaya Melayu. Maki orang, pukul orang, bunuh, hina itu budaya Melayu ke? Guna media untuk aibkan orang itu budaya Melayu?" soal Anwar.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangan pemimpin baru Mesir, Mohamed Morsi, Anwar berkata, perkara tersebut membuktikan bahawa suara rakyat harus dihormati.

Menurut Anwar, presiden Mesir yang baru itu telah menghadapi pelbagai tuduhan tetapi masih ada kekuatan dan sambutan dari rakyat negara itu.

"Rakyat Mesir dah buat keputusan. Ini tunjukkan bahawa suara rakyat harus dihormati. Beliau telah dipenjara dan dihina dengan pelbagai tuduhan tetapi masih lagi ada kekuatan dan mendapat sambutan rakyat," kata Anwar.

Ketika mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai usaha menjatuhkan kerajaan ala 'Arab Spring' tidak seharusnya berlaku di negara ini, Anwar berkata, mantan perdana menteri itu masih mewakili zaman lampau.

Sambil menyifatkan bapa pemodenan itu mewakili pandangan bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, Anwar berkata, Mahathir masih lagi merasai kehilangan Hosni.

"Mahathir mewakili zaman lampau dan mewakili pandangan Husni Mubarak. Jadi kawan kita Tun Mahathir masih rasa kehilangan Hosni sedangkan rakyat Mesir bergembira," kata Anwar.

malaysiakini/-

Manifesto Pilihan Raya SPR Teruskan Sikap Berat Sebelah

Posted: 26 Jun 2012 01:49 AM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 26 JUN : Pemuda PAS kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak bersungguh mahu memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan yang telus dan bersih.

Ini ekoran kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof yang mahu setiap parti politik yang ingin membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya dibenarkan berbuat demikian secara rakaman dan bukannya secara langsung.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata tindakan SPR itu seperti mahu meneruskan sikap berat sebelah dan zalim pemerintahan Umno-BN selama ini.

Meskipun mahu dilihat keluar dari persepsi buruk rakyat terhadap SPR sebagi 'budak suruhan' BN, tindakan terbaru SPR ini menunjukkan mereka masih lagi dipengaruhi oleh kuasa politik.

"Pemuda PAS merasa curiga mengapa SPR masih tidak membenarkan siaran secara langsung kepada parti politik bagi membentangkan manifesto mereka.

"Apa yang amat dibimbangi oleh SPR sehingga tidak berani menyiarkannya secara langsung dan adakah SPR bertindak sedemikian bagi memastikan BN berada dalam zon selamat," kata Riduan dalam kenyataan media.

Ujar Riduan, rancangan secara rakaman dikhuatiri akan berlaku suntingan terhadap mana-mana slot penting yang perlu diketahui oleh rakyat.

Slot yang seharusnya berlangsung dalam satu masa tertentu akan dipendekkan mengikut selera penerbit.

Tambahan lagi, slot yang diberikan kepada Pakatan Rakyat mungkin akan diberikan bukan di waktu kemuncak, dan hanya disiarkan ketika rakyat sudah lena di waktu malam.

"Yang lebih dibimbangkan adalah jika berlaku penyuntingan di mana-mana slot sehingga ia dimanipulasi menjadi kempen negatif pula kepada Pakatan Rakyat.

Ia pula berlangsung di saat akhir berkempen, di mana sukar bagi Pakatan Rakyat untuk menjawabnya," katanya.

Tegas beliau, setakat ini tiada jaminan jika suntingan tidak dibuat dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Sekiranya SPR benar-benar mahu menjadi pengadil yang adil, SPR perlu berlepas diri dari pengaruh mana-mana parti politik.

"Benarkan siaran langsung kepada semua parti politik dan pemimpinnya untuk menampilkan manifesto mereka tanpa tapisan atau dibuat secara rakaman," katanya.

selangorku/-

Tidak perlu takut tinggalkan Umno - Tamrin

Posted: 25 Jun 2012 11:59 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

ARAU: Veteran Umno yang juga anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar berkata ahli-ahli Umno tidak perlu takut untuk meninggalkan parti itu kerana pimpinan parti itu telah lari dari matlamat asal perjuangan mereka.

Berucap di program Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Perlis 22 Jun lalu, beliau berkata Umno ditubuhkan untuk berjuang demi rakyat tetapi selepas lebih 54 tahun Umno dan BN memerintah negara ini, rakyat telah diperkotak-katikkan, ditipu dan diperbodohkan.

"Ahli Umno tak perlulah takut dan tak berdosapun kalau tinggal Umno tu. Kita jangan fikir dunia saja, akhirat pun kena fikir sama," kata Tamri yang masih menjadi ahli Umno tetapi tidak bersama-sama dengan pimpinan Umno sekarang itu.

Sebelum ini, beliau berucap di Himpunan Hijau di Pulau Pinang.

"Kalau ada orang Umno dalam majlis ini, fikir baik-baiklah sebab kita berjuang untuk rakyat. Kalau pemimpin kita menipu rakyat adakah kita nak terus sokong? Jawablah esok di padang mahsyar.

"Kita ni dah berumur dah, bila-bila masa saja (boleh dipanggil Allah). Bertaubatlah, cukuplah. Tak payahlah kita ni fanatik sangat dalam nak sokong pemimpin, kalau pemimpin betul kita sokong,"katanya.

Program Himpunan Hijau tersebut diadakan di Markas PAS Paya dekat sini dan dihadiri lebih 5000 orang.

Harakah Daily

Pemuda PAS sedia kerja sama dengan Ahmad Phesal

Posted: 25 Jun 2012 11:58 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) mengucapkan tahniah kepada Datuk Ahmad Phesal Talib (gambar) kerana dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Setiausaha di Kementerian WP pada tahun 2007 yang lalu dilantik menggantikan Tan Sri Ahmad Fuad yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 15 Julai ini.

Ketua DPPWP, Kamaruzaman Mohamad berkata pihaknya berharap agar perlantikan Ahmad Phesal akan dapat memperkuatkan organisasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) nanti apatah lagi setelah menerima tekanan hebat berikutan Himpunan Bersih 3.0.

"Semoga dengan perlantikan beliau ini, beberapa krisis dan isu yang melanda Kuala Lumpur seperti isu Kg. Baru, isu penjaja haram, isu banjir dan banyak lagi isu setempat dapat ditangani dengan berhemah," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, DPPWP juga berharap agar beliau dapat bekerjasama dengan semua pihak termasuklah DPPWP bagi menangani masalah-masalah di Kuala Lumpur ini.

Katanya, pelbagai pertemuan dan dialog di antara pihak DBKL bersama DPPWP amatlah dialu-alukan.

"DPPWP akan terus berusaha bagi membantu pihak DBKL untuk bersama-sama membangunkan kemajuan di bumi Kuala Lumpur ini. Tahniah Datuk Ahmad Phesal Talib," ujarnya.

Harakah Daily

Himpunan Hijau PAS di tapak penubuhannya

Posted: 25 Jun 2012 11:56 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH: Bak kata perpatah 'bagaikan sireh pulang ke gangang' itulah perumpamanya yang boleh digarapkan bila melihat kira-kira 10,000 ahli dan penyokong PAS membanjiri Padang Haji Ahmad Badawi iaitu tempat di mana PAS mula ditubuhkan tahun 1951.

Bezanya dulu perhimpunan para ulamak dan pemikir Islam tetapi setelah 61 tahun perhimpunan besar PAS berulang kembali di tempat asal penubuhanya setelah Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat.

Itulah kelainan PAS dulu dan sekarang. Ianya nampak lebih mantap dan sesuai dengan peredaran zaman yang menyaksikan Malaysia tetap bersatu dalam suasana berbilang bangsa.

Ada suara yang mengatakan PAS tidak boleh bersama dengan bangsa atau agama lain ekoran berlainan adat dan budaya namun hari ini hasil pendekatan para pemimpin PAS yang mengkaji dan meneliti senario politik semasa.

Mereka membuat pendekatan baru dengan berusaha untuk mentadbir negara bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat.

Isu inilah yang kadang-kadang tidak difahami oleh sebahagian kecil ahli PAS yang sampai kini tidak boleh terima perubahan yang dilaksanakan dalam PAS berdasarkan keputusan Majlis Syura Ulama berdasarkan pandangan ulama luar yang berkalibar.

"Taaluf Siasi bukan keputusan persendirian saya sebagai Presiden. Ia adalah keputusan jemaah serta kesepakatan dalam Majlis Syura, " ungkapan itu sering kedengaran ketika Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap dalam majlis tertutup dengan jentera parti khususnya di peringkat negeri.

Perubahan yang tercetus dalam organisasi PAS pada suatu ketika dulu bekerjasama dengan CCC sehingga meletakan calun berbangsa Tionghua sekitar penghujung tahun 1980 an.

Seterusnya PAS bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, Hamim dan Berjasa membolehkan PAS merampas kembali Kelantan pada pilihanraya umum tahun 1990.

Kaedah dan peluang itulah diambil apabila berlakunya pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim penghujung 1998 oleh Datuk Fadhil Noor.

Waktu itu beliau yang bertimbalankan Ustaz Abdul Hadi menubuhkan GERAK dengan kerjasama erat beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) sehingga berjaya menonjolkan kecemerlangan PAS apabila PAS berjaya menambah banyak kerusi di Parlimen.

Selepas Anwar Ibrahim dibebaskan dan pemergian Al Marhum Datuk Fadhil ke rahmatullah semangat perjuangan diteruskan oleh Anwar yang menawarkan pendekatan demi pendekatan serta berjaya menghubungkan kembali keretakan antara DAP dan PAS khususnya berkenaan isu 'Negara Islam'.

Hari ini PAS, DAP dan PKR berjaya melangkah atau dengan kata lain melayarkan bahtera dengan selamat.

Walaupun ada kalanya berdepan dengan badai besar tetapi tidak memberi kesan kerana pembinaan kapal berlantaikan kayu yang cukup baik dan berlayarkan kain yang mahal.

Manakala Umno pula mempunyai kapal yang sarat dengan barangan lama dan usang. Bukan sahaja barangan muatanya merupakan barangan yang sudah 'berkarat' bahkan badan kapal juga sudah berlubang di sana sini.

Ia hanya menanti badai laut mengakibatkan kapal lama itu bakal tenggelam ke dasar laut tanpa kesan.

Berbalik kepada Himpunan Hijau Peringkat Negeri Pulau Pinang kedatangan bukan Melayu untuk mendengar kupasan isu terkini bukan lagi perkara pelik sebaliknya sudah menjadi kebiasaan.

Tertubuhnya Kelab Penyokong PAS yang kini bertukar nama kepada Dewan Perhimpunan PAS nampak lebih efisyen dan mengusarkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Kedatangan anak-anak muda yang terus duduk sehingga selesai majlis penutupan dengan bacaan doa oleh Ustaz Nasrudin sendiri menyaksikan betapa berakhlaknya ahli dan penyokong PAS tidak meninggalkan majlis sebelum semuanya selesai.

Sejak petang lagi berbagai program diatur khas untuk pemuda seperti konvoi bermotorsikal berkuasa tinggi, persembahan silat, persembahan pentas dari Zua XPDC dan boria hasil sumbangan kreatif anak muda Kampung Dodoi Pulau Pinang amat mencuit hati.

Apapun segunung penghargaan dan tahniah kepada pasukan IT Pulau Pinang dan Kedah yang buat pertama kalinya bergabung tenaga mengadakan siaran secara langsung ucapan Presiden PAS dari Dubai dan Mursyidul Am PAS dari Kelantan.

Antara lain yang berucap di majlis yang bermakna buat negeri Pulau Pinang itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairudin Aman Razalo At Takiri, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Rosni Adam.

Personaliti TV9, Ustaz Syed Abdul Qader Al Jufree dan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamalrulzaman Mohamad.

Sepanjang majlis tersebut diacarakan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi dan Pengarah Jabatan Penerangan dan Media Baru Dewan Pemuda PAS Malaysia, Saudara Nurul Islam.

Harakah Daily

10 tahun penduduk Machap diganggu lalat

Posted: 25 Jun 2012 11:55 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung sekitar Pekan Machap, Simpang Renggam, Johor kesal terhadap kegagalan agensi kerajaan mengatasi masalah lalat yang melanda sejak 10 tahun lalu.

Jawatankuasa Bertindak Masalah Alam Sekitar Machap, Simpang Renggam yakin masalah tersebut berpunca daripada 20 ladang ternakan ayam di kawasan sekitar yang tidak mempunyai sistem menghalang pembiakan lalat.

Urusetia jawatankuasa tersebut, Suhaizan Kaiat berkata, penduduk sekitar termasuk peniaga gerai makan sangat terganggu dengan masalah tersebut.

Malah katanya, kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Machap, Lebuh Raya Utara Selatan dipenuhi lalat.

Jelas Suhaizan juga, najis ayam yang digunakan oleh pengusaha sayur-sayuran di sekitar Machap menjadi tempat pembiakan lalat sementara air yang digunakan untuk proses penternakan dilepaskan ke parit-parit berdekatan.

"Kami yakin perlepasan bahan kumbahan daripada ladang ayam di sekitar Machap ini bertentangan dengan perkara 4, Peraruran-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009, Seksyen 4, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 dan Seksyen 7 Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. Perlanggaran inilah menjadi punca lalat begitu banyak," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen dengan ditemani Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria, hari ini.

Katanya, tiada penyelarasan yang mantap di antara lapan agensi kerajaan yang dipertanggungjawab menyebabkan masalah ini tidak dapat diatasi.

Lapan agensi terbabit ialah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Galian, Perkhidmatan Bekalan Air Johor, Jabatan Kesihatan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Majlis Daerah dan Jabatan Parit dan Saliran.

"Punca utama adalah tiadanya penyelarasan yang mantap di antara agensi-agensi terbabit di peringkat daerah.

"Penguatkuasa seluruh negeri Johor hanya ada sembilan orang sahaja. Kompaun di bawah Enakmen Unggas Negeri Johor hanyalah RM2,000 sahaja," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Memorandum berhubung perkara ini turut diserahkan kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Harakah Daily

Mula-mula tidak kenal, hari ini isteri yang kenal

Posted: 25 Jun 2012 11:53 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mula-mula Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak kenal Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) mahupun pengerusinya Mohd Ali Baharom.

Tetapi dalam sidang medianya hari ini, Ahmad Zahid berkata, isteri beliau mengenali Mohd Ali kerana mereka berasal dari kampung yang sama.

"Siapa mereka itu?" soalnya kembali ketika ditanya mengenai tuntutan persatuan berkenaan - antaranya untuk mendapatkan elaun sehingga RM1,000 kepada bekas tentera berusia lebih 60 tahun.

"Saya tidak pernah kenal dia," katanya lagi dalam sidang media di Kementerian Pertahanan sebelum ini.

Namun dalam sidang medianya hari ini, Ahmad Zahid berkata, "Saya tidak mahu gaduh dengan orang-orang yang kurang betul, nanti saya jadi tidak betul jugak," yang ditujukan kepada Mohd Ali.

Ahmad Zahid hari ini membuat sidang media bagi menafikan dakwaan Mohd Ali kononnya isteri beliau mengugutnya.

"Jadi isteri saya nasihatkanlah kepada Ali, tetapi Ali hanya ambil satu ayat sahaja, yang saya baca balik, itu bukan satu ugutan. Mengapa dia rasa ugutan? Sebab Ali, dia biasa ugut orang, jadi bila dia kena lagu tu, dia rasa terugutlah.

"Pada hal, saya tidak fikir, mengapa isteri saya nak ugut Ali, seorang presiden sebuah persatuan yang besar yang didokong termasuk balu-balu tentera," katanya sinis.

Isteri Zahid telah menghantar 16 SMS kepada Mohd Ali berkaitan dengan rancangan Mohd Ali mahu mengadakan demonstrasi 29 Jun namun ia dibatalkan kerana Mohd Zahid tidak ada.

Sebelum ini, Mohd Ali bersama sekumpulan bekas tentera pimpinannya telah membuat senaman punggung di depan rumah Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Srevanasan.

Ekoran tindakan Ali dan kumpulannya itu, sokongan orang India terhadap Umno jatuh merudum kerana simpati dengan apa yang berlaku ke atas Ambiga.

"Ambiga dan Bersih 2.0 sekarang umpama Uthayakumar dan Hindraf dalam pilihan raya 2008," kata anggota Parlimen Telok Intan, M.Manogaran dalam satu majlis.

Hampir kesemua pengkaji politik bersetuju, sokongan besar pengundi India kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 2008 disebabkan isu Hindraf pimpinan Uthayakumar ketika itu.

Harakah Daily

Dinar: Nik Aziz beri '25 jam' untuk siasat KGT

Posted: 25 Jun 2012 11:52 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu pihak berkuasa boleh menyiasat bila-bila masa isu dakwaan penyelewengan dalam pertadbiran Kelantan Golden Trade Centre Sdn Bhd (KGT).

Beliau yang ditemui di Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini turut menyatakan siasatan tersebut boleh dilakukan 25 jam.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali.

"Kita sedia disiasat dan saya berikan 25 jam ruang waktu untuk mereka siasat walaupun kita ada 24 jam tapi 25 jam saya bagi.

"Siasatan boleh dilakukan bila-bila masa dan kita tidak takut," jelasnya.

Beliau yang sebelum itu berucap pada masjli Wacana Ilmu 'Buku Rasuah' menjelaskan amalan rasuah tidak dapat dibendungi kerana undang-undang yang ada sekarang adalah ciptaan manusia.

"Kalau kita ingin mengatasi masalah rasuah sepenuhnya, kita perlu kembali kepada ajaran Islam dan Allah Taala.

"Jika ini tidak dapat dilaksanakan terlalu sukar untuk kita mengatasinya kerana kita adalah manusia yang mempunyai banyak kelemahan," ucapnya.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut memberitahu amalan memberi habuan terutama dalam memancing undi pada pilihan raya adalah rasuah dan haram dilakukan.

"Pemberian habuan pada pilihan raya juga merupakan rasuah dan haram tetapi itu tidak dipedulikan kepada mereka yang mengamalkan prinsip sekular dan demokrasi.

"Selagi pemimpin-pemimpin sekular tidak mengikuti ajaran Islam selama itulah rasuah akan terus menjadi raja di negara ini," sambung beliau lagi.

Sebelum itu, Kementerian Kewangan memberi tempoh tiga minggu mulai Ahad kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membuat siasatan terperinci berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam pertadbiran Kelantan Golden Trade Centre Sdn Bhd (KGT).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata hasil siasatan terhadap syarikat yang mengeluarkan mata wang dinar dan dirham milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), hendaklah didedahkan kepada rakyat.

Awang Adek berkata demikian ketika diminta mengulas tiga laporan polis yang dibuat terhadap apa yang didakwa berlaku salah laku membabitkan seorang daripada pegawai kanan KGT, oleh bekas Pengarah Eksekutif KGT Nik Mahani Mohamad pada 31 Januari lepas, seorang pelabur Jepun Takao Kono pada 28 Mei dan seorang rakyat Perancis Mohamed Esfih pada 1 Jun.

Harakah Daily

Najib bimbang rakyat hanya makan umpan

Posted: 25 Jun 2012 11:51 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

Datuk Seri Najib Tun Razak masih takut mengumumkan tarikh Pilihan raya Umum ke-13 kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau.

Walaupun banyak gula-gula telah ditabur sehingga kemanisan melebihi paras bahaya, namun beliau masih tidak yakin dengan sokongan kepada rakyat.

Berbagai-bagai segmen pengundi cuba ditarik oleh beliau melalui janji manis dan slogan transformasi namun graf sokongan masih tidak berpihak kepada BN.

Terbaru beliau mengumumkan untuk menghapuskan monopoli lesen teksi oleh syarikat swasta kepada individu di perhimpunan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) pada 24 Jun 2012. Di dalam program tersebut 66,000 pemandu teksi akan mendapat baucar tayar bernilai RM520 untuk empat biji tayar.

Alhamdulillah sekarang baru Najib sedar bahawa pemandu teksi menjadi hamba kepada kroni-kroni BN selama ini.

Nasib baiklah BN lemah dan Pakatan Rakyat semakin kuat barulah pemimpin Umno sedar selama ini dasar mereka memang menindas pemandu teksi.

Sebelumnya kerajaan telah memberi peruntukan BR1M sebanyak RM1.92 bilion kepada 3.8 juta isi rumah atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah negara.

Baucer setiap pelajar sekolah rendah dan menengah RM100 dan untuk pelajar universiti RM200. Pasukan keselamatan yang berkhidmat sebelum merdeka pun dapat RM3,000 walaupun mereka sudah meninggal dunia.

Tidak cukup dengan duit diberi supaya mereka ini memberi sokongan kepada BN, maka diadakan pula perhimpunan 100,000 di Bukit Jalil dan Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya untuk menunjukkan kekuatan bahawa pengundi bersama BN.

Namun begitu Najib masih tidak yakin, kerana beliau tahu mereka yang datang bukan dengan sukarela, berbanding dengan himpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Kedah.

Beliau juga khuatir pengundi hari ini hanya makan umpan, tidak lagi makan mata kail. Najib bernasib malang ketika memimpin PRU13 menghadapi pengundi yang celik maklumat dan rakyat semakin cerdik.

Najib yang memang terkenal sebagai orang yang suka menggula-gulakan rakyat dengan berbagai slogan dan janji kebendaan. Inilah tabiat beliau yang memang daripada muda sampai sekarang.

Harakah Daily

FGVH: Peneroka hilang RM40,000 besarkan rumah

Posted: 25 Jun 2012 11:49 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendakwa Felda tidak akan lagi membuka bantuan pinjaman pembesaran rumah kepada peneroka selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Menurut maklumat yang diperolehinya, Mazlan mendakwa bantuan pinjaman sehingga RM40,000 itu tidak akan lagi dinikmati peneroka kerana Felda kehabisan peruntukan.

"Paling baru maklumat kita dapat, ada peneroka yang hantar permohonan, tetapi tak lulus dan Felda jawab kerana tiada peruntukkan lagi," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS semalam.

Selain itu kata Mazlan, peneroka juga bakal berdepan dengan pemotongan hutang yang lebih radikal berbanding sebelum ini selepas Felda menyemak semula sistem pemotongan hutang mereka.

Ianya termasuk pemotongan wajib daripada pendapatan peneroka seperti baja, kerja-kerja pemulihan dan lain-lain

"Tak kurang daripada 20 potongan sebelum pendapatan sampai ke tangan peneroka.

"Kesanya kalau dahulu peneroka dapat RM1,300, lepas tolak sekarang tinggal RM500.

"Mereka nak bergantung pada apa lagi. Bergantung kepada saham mereka 800 unit? Berapa sangat mereka dapat," soalnya.

Selain itu, Mazlan yang juga AJK PAS Pusat turut mendakawa, 'tanah poket' Felda juga kini tidak boleh lagi digunakan anak-anak peneroka.

Kalau dahulu menurut Mazlan, tanah poket ini dibenarkan Felda untuk diguna oleh anak-anak peneroka untuk mengusahakan projek hiliran dan melakukan aktiviti.

"Ada kes anak-anak peneroka mohon tanah-tanah ini tetapi tak dapat.

"Selama ini tiada masalah tapi sekarang Felda bagi alasan tanah itu sudah jadi tanah milik pajakan FGV," katanya.

Harakah Daily

Kerajaan tak tahu keutamaan panda dan janda

Posted: 25 Jun 2012 11:48 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan ternyata tidak tahu keutamaan antara panda dan janda, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Kerajaan tidak tahu keutamaan untuk orang muda, sama seperti kerajaan tidak tahu keutamaan antara panda dan janda," kata beliau dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Panda yang disebut oleh Mahfuz itu merujuk kepada dua ekor beruang panda yang disewa oleh Malaysia daripada negara China.

Ketika diminta mengulas lanjut kenyataan itu selepas perbahasan tersebut, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kerajaan ternyata lebih suka mengutamakan perkara-perkara yang membazirkan wang negara.

"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) mendakwa, tindakan menyewa panda itu untuk meningkatkan kesedaran kepada kerja-kerja perlindungan.

"Itu untuk panda. Bagaimana pula kesedaran kepada kerja-kerja perlindungan entah berapa ratus ribu janda di negara ini?" katanya.

Apa yang berlaku itu, kata Mahfuz, jelas membuktikan kerajaan langsung tidak tahu keutamaan.

"Kerajaan Najib tak tahu keutamaan dan nampak benar tak tahu keutamaan antara panda dan janda.

"Akhbar The Star melaporkan kerajaan berbelanja sehingga RM20 juta untuk memelihara dan menjaga dua ekor panda itu.

"Berapa kerajaan berbelanja untuk setiap janda yang tidak berkemampuan di negara ini? Untuk dua ekor panda belanja RM20 juta, untuk janda bagi RM500 duit BR1M sahajakah?" katanya.

Mahfuz juga menyifatkan perjanjian penyewaan panda itu ternyata merugikan Malaysia.

"Kalau mati kerajaan Malaysia kena bayar ganti rugi. Kalau panda itu beranak dalam penjagaan Malaysia, anak itu jadi milik syarikat China berkenaan.

"Orang kampung yang pawah kambing atau lembu lebih pandai buat perjanjian dari kerajaan Malaysia," kata Mahfuz.

Mahfuz juga menyifatkan Najib sengaja mereka-reka dakwaan untuk mewajarkan tindakan kerajaan terhadap tindakannya berbelanja begitu besar untuk dua ekor panda itu.

"Najib kata tindakan kerajaannya menyewa panda itu akan menjadi pengalaman pendidikan untuk rakyat Malaysia.

"Adakah orang Alor Setar akan naik bas beratus-ratus kilometer untuk melancong di Kuala Lumpur kerana hendak tengok dua ekor panda itu kononnya untuk menimba pengalaman pendidikan?" beliau terus mempersoalkan.

Sebelum itu, seruan Najib dalam laman Facebook berbahasa Cinanya supaya orang ramai menamkan dua ekor panda itu dibalas oleh rakyat dengan pelbagai persendaan.

Sebahagiannya mengambil peluang memperolokkan Najib dan isterinya Rosmah Manosr dengan menamakan panda itu sebagai "cincin dan beg beg", "Altantuya dan Scorpene" dan "Rara dan Suahsuah".

Seorang pengunjung laman tersebut yang bernama Aun Huang Long menulis: "Lembu pun tak boleh jaga. Najib, u nak panda? Kesian panda tu".

Harakah Daily

Aktivis PAS Kuala Terengganu meninggal dunia

Posted: 25 Jun 2012 11:47 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU: PAS Kawasan Kuala Terengganu khususnya Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Wakaf Mempelam kehilangan seorang aktivis parti yang komited.

Mohd Zaki @ Amri Yahya, 47, meninggal dunia setelah diserang penyakit stroke (angin ahmar) kali kedua di rumahnya Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.

Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 6.01 petang semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Solat jenazah allahyarham diimamkan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kaya di sini, jam 11.30 pagi tadi.

Harakahdaily dimaklumkan, Allahyarham Amri merupakan seorang aktivis PAS yang komited dengan perjuangan parti hingga akhir hayatnya.

Semasa hayat, allahyarham merupakan Setiausaha Kerja PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, Ketua Penerangan Dun, bekas Penyelaras Unit Pembangunan Insan (UPI) ketika kerajaan PAS Terengganu dan mantan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Kuala Terengganu.

Abangnya, Hanafi Yahya, 58, redha dengan pemergian allahyarham yang lebih dikenali sebagai Amri setelah 11 bulan terkena angin ahmar.

Menurut beliau, allahyarham mula diserang stroke pada bulan Ogos 2011 dan kali keduanya pada malam 25 Jun lalu.

"Semalam, dia (allahyarham) tiba-tiba mengalami muntah-muntah, kekejangan anggota badan dan pada keesokan hari (25 Jun) kami terus membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Antara pimpinan PAS yang hadir menziarahi allahyarham ialah Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dan mantan Adun Batu Burok, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong.

Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut tidak dapat hadir kerana berada di Kuala Lumpur menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan diwakili isterinya, Wan Fatimah Wan Abdullah.

Harakah Daily

Rohingya: Mapim usaha misi kemanusiaan ke Arakan

Posted: 25 Jun 2012 11:45 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengumumkan akan mengusahakan Misi Kemanusiaan ke Arakan secepat mungkin.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, maklumat yang diperolehi secara langsung dari Arakan mendapati keadaan semakin tidak reda malah terus meruncing.

Menurutnya, penangkapan, pembunuhan warga Rohingya Muslim serta pembakaran perkampungan dan masjid semakin meningkat manakala pelarian Rohingya yang cuba menyeberang ke Bangladesh walaupun dihalau oleh pihak keselamatan Bangladesh, mencecah puluhan ribu.

Katanya, dalam suatu angka yang tidak rasmi warga Rohingya yang terbunuh mencecah anggaran 20,000 orang manakala yang ditahan adalah 5,000 orang sejak 3 Jun lalu.

Jelasnya lagi, kebuluran berlaku yang mengakibatkan ramai yang mati kerana terputus bekalan makanan sema ada kerana terpaksa melarikan diri mahupun yang terperangkap di dalam rumah selama berhari-hari apabila polis dan tentera menembak mereka yang cuba keluar dari rumah.

"Mapim tidak punyai pilihan kerana kerajaan Myanmar sehingga kini nampaknya membiar keganasan oleh esktrimis Rakhine terus menyerang warga Rohingya," ujarnya dalam satu kenyataan.

Lebih malang, ujarnya agensi antarabangsa seperti PBB, OIC dan Asean tidak mengambil sebarang langkah untuk menyelamatkan warga Rohingya yang menjadi mangsa pembunuhan etnik oleh gabungan esktrimis Rakhine, polis dan tentera Myannmar.

"Mapim juga kecewa terhadap semua pemimpin negara Asean yang tidak menunjukkan sebarang keprihatinan terhadap nasib warga Rohingya yang disembelih dengan kejam sehingga kini," ujarnya lagi.

Tambahnya, tidak ada seorangpun pemimpin Asean setakat ini yang mengambil initiatif untuk berhubung langsung dengan kerajaan Myanmar agar pemangsaan etnik Rohingya dihentikan.

Sehingga hari ini, jelasnya Mapim telah menulis surat rayuan dan bantahan kepada Presiden Myanmar Thien Sien, Aung San Suu Kyui, Setiausaha Agung Asean, Dr. Surin Pitsawan dan Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon.

Manakala di tanah air, katanya Mapim menghantar surat kepada Perdana Menteri, Menteri Luar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Membiarkan pembunuhan secara extra-judicial (di luar pembicaraan Mahkamah) di Arakan oleh tentera dan polis yang membantu esktremis Rakhine, ditambah tidak ada sebarang agensi kemanusiaan dibenarkan masuk ke dalam Arakan, menyebabkan Mapim bertekad untuk merancang masuk Arakan bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan tetapi juga untuk menuntut kerajaan Myanmar menghentikan pembunuhan etnik yang sudah mengambil puluhan ribu nyawa warga Rohingya," katanya.

Menurutnya, Mapim akan mencuba semua laluan sama ada dari laut, darat mahupun udara untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Mapim juga, ujarnya mengambil kira bahawa usaha masuk ke Arakan berkemungkinan akan dihalang oleh kerajaan Myanmar, namun segala saluran rasmi sama ada melalui undang-undang antarabangsa mahupun atas nama agensi serantau akan diguna supaya bantuan dapat disampaikan.

"Bantuan yang akan dibawa adalah makanan, ubatan dan alat khemah. Mapim belum pasti berapa kuantiti yang akan dibawa kerana ia bergantung kepada berapa banyak sumbangan akan dapat diperolehi dari penyumbang," katanya lagi.

Orang ramai boleh menyumbang kepada Akaun SEKRETARIAT HIMPUNAN ULAMA RANTAU ASIA (SHURA) BIMB 12047010-03-7282 yang telah mewujudkan Tabung Bantuan Mustadh'afin Rohingya.

Harakah Daily

Kanak-kanak nyaris rentung

Posted: 25 Jun 2012 08:30 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

ALOR LINTANG - "Dia tiba-tiba menerpa ke arah saya sambil memberi tahu takut api," kata bapa kanak-kanak berusia empat tahun yang nyaris rentung setelah bermain mancis di sebuah bilik di rumahnya menyebabkan tilam di bilik tidur itu terbakar.

Kejadian berlaku di sebuah rumah banglo dua tingkat yang didiami datuk mangsa di Kampung IKM pada jam 1.30 petang kelmarin.

Wais Aqorni Mohd Nor Hafizi yang belajar di Sekolah Tadika Imtiaz Besut, pada mulanya dikatakan bermain mancis di dalam sebuah bilik tidur yang menyimpan mainan sebelum api dipercayai
menyambar tilam di bilik itu.

Bagaimanapun, dia sempat berlari keluar dari bilik yang terbakar itu kemudian mendapatkan bapanya, Mohd Nor Hafizi, 30, yang berada di rumahnya yang terletak bersebelahan dan memberitahu kejadian yang berlaku.

"Saya bergegas pulang untuk mengenal pasti apa yang berlaku selepas Wais Aqorni memberitahu yang dia takut api," katanya.

Mohd Nor Hafizi berkata, dia cuba memadam kebakaran di dalam bilik itu namun gagal kerana asap tebal dan api mula menyambar bahagian kayu bumbung rumah.

Bagaimanapun, penyelia projek pembinaan ini terpaksa menyelamatkan diri apabila api semakin marak sebelum menghubungi bomba.

"Ketika kejadian, Wais Aqorni berada seorang diri di dalam rumah itu manakala emak saya, Jawahir Said, 56, dan ayah, Othman Kadir, 57, tidak ada di rumah kerana mempunyai urusan perniagaan di Jertih.

"Beberapa minit sebelum itu, saya bersama Wais Aqorni berada di rumah selepas saya menjemputnya pulang dari sekolah di Kampung Raja dan kemudian saya pulang ke rumah saya yang terletak bersebelahan," katanya.

Mohd Nor Hafizi bersyukur kerana anaknya selamat apabila dia bertindak keluar dari bilik yang terbakar itu sebaik kejadian berlaku.

Sementara itu, kepantasan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut bersama sebuah jentera dibantu lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih juga dengan sebuah jentera berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke bahagian lain rumah.

Api berjaya dikawal dan dipadamkan pada jam 2.18 petang dan kebakaran itu memusnahkan sebuah bilik serta dua ruang tamu.

Sinar Harian

Bookie Euro: Ibu dua anak dicekup

Posted: 25 Jun 2012 08:29 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

BUKIT PELANDOK – Kelekaan seorang ibu kepada dua anak melayan panggilan telefon dipercayai menjadi dalang bookie perlawanan bola sepak Euro 2012 di Kampung Cina, Bukit Pelandok berakhir apabila kediamannya diserbu Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.15 malam itu, wanita berusia 29 tahun itu dikatakan sedang asyik menerima tempahan membabitkan perlawanan England menentang Itali yang berlangsung awal pagi semalam membabitkan jumlah pertaruhan RM400,000. Sumber polis berkata, ketika ditahan wanita yang juga pemilik sebuah kedai telefon di sini dipercayai sedang mengutip wang pertaruhan daripada pelanggannya.

"Dalam operasi berkenaan, polis melakukan intipan selama beberapa minit dan sepanjang tempoh itu suspek didapati leka melayan panggilan telefon dipercayai daripada pelanggannya.

"Dia juga dilihat mencatatkan sesuatu ke atas kertas dan mengutip sejumlah wang pertaruhan," katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya, ketika serbuan ibu bapa suspek dipercayai enggan memberikan kerjasama dengan menyembunyikan suspek di sebuah bilik berasingan.

"Ibu suspek bagaimanapun mula memberikan kerjasama apabila dipujuk polis dengan membuka gril rumah. Sebaik grill dan pintu bilik berkenaan dibuka, polis menemui suspek yang sedang leka menggunakan telefon dan mencatat sesuatu pada kertas pertaruhan," katanya.

Menurutnya, jumlah keuntungan diperoleh suspek sangat tinggi menunjukkan ramai yang terpengaruh dan terpedaya untuk bertaruh sebelum kehilangan wang pertaruhan.

"Suspek mungkin sudah bergiat aktif melakukan kegiatan haram ini sejak lebih setahun lalu dan turut dipercayai menjadi bookie bagi liga tempatan dan Inggeris.

"Polis masih berusaha mengesan kaitannya dengan sindiket judi bola sepak lain di negeri ini," katanya. Malah katanya, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM13,000, seunit komputer riba, seunit jalur lebar (broadband), telefon bimbit (dua unit), kertas putih mengandungi catatan pertaruhan dan alat tulis.

"Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau tidak melebihi RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhkan diri dari terbabit dengan pertaruhan bola sepak kerana ia belum tentu menjamin kehidupan lebih baik atau memberikan pulangan lumayan," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Kura-kura gergasi ditemui mati

Posted: 25 Jun 2012 08:28 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

QUITO - Seekor kura-kura gergasi, Lonesome George yang merupakan spesies haiwan pupus di kepulauan Galapagos, Ecuador, ditemui mati, kelmarin.

Menurut pegawai Taman Negara Galapagos, kematian haiwan spesies nigra Chelonoidis itu menandakan berakhirnya sebuah delegasi keluarga kura-kura gergasi di Pulau Pinta yang sebelum ini melaksanakan usaha pemuliharaan spesies itu.

Penjaganya, Fausto Llerena mengakui menjumpai jasad haiwan malang itu dalam keadaan terbaring di sebuah lubang berair di Pulau Santa Cruz.

Lonesome George dianggar berumur lebih 100 tahun dan punca kematiannya masih belum dipastikan. Kura-kura gergasi jantan itu ditemui di Kepulauan Pinta pada 1972 yang mana ketika itu dilaporkan kura-kura gergasi spesies nigra Geochelone dipercayai telah pupus.

Sinar Harian

Pengedar dadah tembak 3 polis Mexico di lapangan terbang

Posted: 25 Jun 2012 08:27 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

MEXICO CITY - Tiga anggota polis persekutuan Mexico ditembak mati semalam ketika mereka cuba menahan suspek pengedaran dadah di lapangan terbang antarabangsa di sini.

Kejadian berlaku di pusat selera makan Terminal 2 lapangan terbang sekitar jam 8.50 pagi waktu tempatan (9.50 malam waktu Malaysia). Identiti suspek yang melepaskan tembakan belum diketahui.

Dua anggota polis mati di tempat kejadian manakala yang ketiga di hospital, kata kenyataan Kementerian Keselamatan Awam.

"Apabila menyedari mereka dikepung, pengedar dadah melepaskan tembakan dengan menggunakan senjata mereka ke arah polis persekutuan," kata kenyataan itu lagi.

Laporan stesen Milenio TV menyebut sekurang-kurangnya 14 das tembakan dilepaskan.

Beberapa saksi menyebut pihak polis melepaskan tembakan ke arah rakan mereka.

Bagaimanapun beberapa lain menyebut pengedar dadah menyamar sebagai polis.

"Saya nampak anggota polis mengejar anggota polis lain, dan kemudian melepaskan tembakan," kata seorang saksi dipetik AFP.

"Mereka semua anggota polis, tembak antara satu sama lain," kata seorang lagi saksi.

Seorang lagi saksi menyebut pasukan polis hanya tiba lima hingga 10 minit kemudian.

Pihak polis tidak menyebut sama ada suspek lelaki yang berpakaian polis merupakan anggota polis yang sebenar.

Sinar Harian

Penjara diserang, banduan terlepas

Posted: 25 Jun 2012 08:24 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

ABUJA - Sekumpulan penyerang bersenjatakan pistol dan bom menyerang penjara di Yobe, timur laut Nigeria kemudian membebaskan seramai 40 banduan, kelmarin.

"Pihak berkuasa yakin serangan secara sengaja itu didalangi kumpulan radikal Boko Haram yang memasuki penjara melalui istana Emir sebelum membebaskan 40 banduan," kata pegawai polis tempatan, Patrick Egbuniwe.

Menurut Egbuniwe, penyerang menembak anggota polis dan petugas penjara yang sedang mengawal bangunan berkenaan tetapi dua daripada ahli Boko Haram itu terbunuh selepas berjaya ditembak polis.

Kejadian tembak-menembak di antara ahli kumpulan radikal dan pasukan keselamatan di ibu negeri Yobe, Damaturu meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa minggu lalu.

Setakat ini, beberapa serangan yang berlaku di penjara Nigeria sering dikaitkan dengan penglibatan kumpulan radikal berkenaan susulan tindakan sama berlaku sebelum ini bagi membebaskan ahli mereka yang sedang menjalani hukuman penjara.

Sinar Harian

Cermin kereta kena pecah Beg tangan

Posted: 25 Jun 2012 08:14 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

DUNGUN – Seorang Pegawai Penguat Kuasa Syariah wanita kerugian kira-kira RM2,000 apabila cermin kereta Perodua Kenari miliknya yang diletakkan di hadapan sebuah bank di sini dipecahkan oleh penjenayah.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu dipercayai berlaku ketika pegawai berkenaan, Rohaida Abdul Rahim, 32, meninggalkan keretanya di tepi jalan sebelum memasuki sebuah kedai untuk membeli barangan keperluan.

Bagaimanapun, sebaik Rohaida yang bertugas di Unit Penguatkuasaan Syariah Pejabat Agama Dungun itu selesai melakukan urusan di kedai berkenaan dan masuk ke keretanya, dia terkejut apabila mendapati cermin tingkap kiri keretanya yang diletakkan berhampiran Pejabat Daerah Dungun itu pecah.

Rohaida kemudiannya mendapati beg tangan yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan turut lesap.

"Sebaik saya tiba di kereta, saya dapati cermin tingkap kereta pecah dengan kaca bertaburan di atas tempat duduk. Ketika itu, saya hanya terlintas beg tangan saya di bawah tempat duduk itu, rupanya ia turut lesap dilarikan pencuri, terbabit" katanya.

Akibat kejadian berkenaan, Rohaida yang kelihatan masih trauma dengan kejadian tersebut mengalami kerugian kira-kira RM2,000 apabila tunai kira-kira RM800 dan barang kemas dalam beg tangannya turut lesap.

Berdasarkan keadaan cermin kereta milik isteri anggota polis itu, ia mungkin dipecahkan dengan menggunakan topi keledar.

Rohaida yang berasal dari Gong Pasir itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Dungun, kira-kira jam 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Pihak polis sedang melakukan siasatan terhadap kes terbabit.

Sinar Harian

Stress kronik mengundang bencana

Posted: 25 Jun 2012 08:09 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

Setiap orang mengalami stres pada tahap berbeza. Namun emosi bertoksik yang berpunca daripada stres kronik dan berpanjangan dipercayai dapat mempengaruhi ketidakseimbangan fisiologi.

Ini menyebabkan seseorang mudah mengalami penyakit seperti demam dan batuk. Selain itu emosi bertoksik juga dikaitkan dengan penyakit degeneratif seperti penyakit jantung dan kanser.

Seorang eksekutif muda menemui seorang pakar kardiovaskular di sebuah hospital swasta. Sejak enam bulan kebelakangan dia sering mengalami sakit dada, denyutan jantung pantas, sengal seluruh tubuh dan sukar mengangkat barangan yang biasa diangkat sebelumnya dengan mudah.

Setelah menjalani ujian elektrokardiogram (ECG) iaitu sejenis ujian perubatan bagi menyukat dan merekodkan aktiviti jantung, doktor mengatakan bahawa jantungnya dalam keadaan baik.

Namun graf tertentu dari ujian menunjukkan eksekutif muda tersebut mengalami sedikit gangguan fungsi injap mitral.

Doktor kardiovaskular yang ditemui oleh eksekutif muda tersebut tidak menyarankan perubahan gaya hidup. Eksekutif muda yang tidak merokok ini memiliki personaliti agresif dan terlalu mengejar masa.

Pada akhir sesi perundingan doktor tidak memberi preskripsi sebarang jenis ubat-ubatan. Sebaliknya doktor menyarankan agar dia mengambil cuti rehat selama beberapa hari dan akan makanan yang seimbang.

Ini adalah antara contoh yang berlaku kepada tubuh apabila mengalami stres. Pada pandangan penulis yang mengamalkan ilmu herbalisme (penjurusan nutrisi holistik), eksekutif muda ini mengalami ketidakseimbangan dari beberapa segi.

Sikapnya yang sering mengejar masa dan cita-cita menyebabkan beliau mengalami stres kronik.

Tidak seimbang pelbagai segi

Stres kronik dan dialami secara berpanjangan dipercayai menyebabkan dia mengalami ketidakseimbangan bahan nutrien seperti jenis vitamin B dan mineral magnesium.

Denyutan jantung pantas secara tidak normal (palpitasi) dan masalah fungsi injap mitral (biasanya dipanggil prolaps injap mitral) dikaitkan dengan kekurangan beberapa jenis vitamin B dan magnesium.

Stres berpanjangan dikaitkan dengan stres oksidatif di mana terdapat radikal bebas secara berlebihan dalam darah atau sel. Aktiviti radikal bebas yang tinggi tanpa ditangani menyebabkan tubuh mengalami keradangan.

Rasa sengal dan sakit yang dialami oleh eksekutif muda ini berpunca daripada keradangan yang berpunca daripada serangan radikal bebas terhadap sel seluruh tubuh.

Contoh simptom dialami seorang wanita muda berkerjaya hebat. Sikap beliau ketika bertugas ialah menjalankan tugas amat sempurna dan disiapkan pada masa singkat, tetapi mudah naik angin.

Sejak berumur belasan tahun, dia mengalami Sindrom Premenstruasi (SPM) dengan simptom seperti sakit perut bawah pusat, mod pasang surut, sengal seluruh tubuh dan lesu.

Setiap kali mengalami SPM dia kadang-kadang mengalami cirit-birit.

SPM berlaku berpunca daripada ketidakseimbangan paras hormon reproduktif iaitu estrogen dan progesteron.

Emosi yang kurang seimbang seperti dialami wanita berkerjaya ini mempengaruhi ketidakseimbangan estrogen - progesteron secara lebih buruk.

Jadi simptom PMS hanya dialami pada tahap sederhana jika seseorang wanita dapat mengendali emosi dengan sempurna.

Pengaruh emosi

Eksekutif wanita ini lebih kerap mengalami cirit-birit di samping SPM yang dialami jika gagal mengawal emosinya.

Ramai wanita mungkin tidak tahu bahawa SPM boleh mencetus masalah penghadaman dan sebaliknya.

Emosi seperti ketakutan, marah secara melampau, risau/resah dan murung biasanya dikaitkan dengan masalah penghadaman seperti cirit-birit atau sembelit.

Ketika mengalami jenis emosi yang disebutkan Sistem Saraf Simpatetik (SSS) lebih dominan dari Sistem Saraf Parasimpatetik (SSP).

Pada keadaan normal aktiviti SSS dan SSP adalah pada kadar seimbang dan cukup untuk melaksanakan fungsi-fungsi organ sistem.

Aktiviti SSP diperlukan usus untuk mencerna makanan. Namun apabila berada alam keadaan stres, SSS menjadi lebih dominan.

Ini menyebabkan pergerakan makanan dalam usus menjadi lebih pantas.

Makanan yang tidak hadam dengan sempurna menimbulkan cirit-birit.

Stres secara melampau dan berpanjangan juga mengganggu fungsi hati. Ia menyebabkan bendalir hempedu dirembes di bawah paras normal lalu menyebabkan seseorang mengalami sembelit.

Dari sudut lain stres kronik boleh menyebabkan ketidakseimbangan mikro flora usus lalu berlaku sembelit atau cirit-birit.

Hati (liver) ialah sejenis kilang memproses bahan kimia daripada makanan, ubat-ubatan, suplemen, kimia pencuci yang digunakan di rumah dan bahan kimia pencemaran alam sekitar.

Ramai orang tidak tahu bahawa estrogen juga diproses oleh hati. Hati memproses estrogen daripada jenis estradiol dengan menggabungkannya dengan sulfat kepada sejenis bahan kimia yang kemudian di keluarkan dari tubuh bersama tinja (najis).

Banyak budaya perubatan tradisional dunia mengaitkan stres dengan gangguan fungsi hati.

Fungsi hati yang terganggu juga didapati memburukkan lagi stres yang dialami.

Apabila seseorang sering mengalami stres kronik maka hati mengalami kesukaran untuk memproses estrogen kepada bahan kimia yang mudah untuk singkir dari tubuh.

Hasilnya paras estrogen sering tinggi dalam tubuh.

Estrogen ialah sejenis hormon yang menggalak pertumbuhan sel. Sebab itu stres kronik sering dikaitkan dengan pembentukan tumor (ketumbuhan) sama ada jenis tidak bahaya (benign) atau jenis bahaya (malignant).

Tumor akibat berlebihan estrogen dikaitkan dengan pembentukan tumor pada organ reproduktif seperti payu dara, rahim dan ovari.

Anda boleh bercita-cita dan berjaya menakluki dunia sama ada dalam bidang karier, kemasyarakatan dan kehidupan berkeluarga.

Anda mungkin mampu untuk mengecap segala jenis keseronokan termasuk makan makanan lazat.

Namun anda harus ingat bahawa psikoemosi memiliki peranan yang amat besar terhadap kesihatan tubuh secara keseluruhan.

Sinar Harian

JPJ tahan kereta disyaki curi

Posted: 25 Jun 2012 08:02 PM PDT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Sebuah kereta jenis Toyota Wish disyaki kenderaan curi antara yang ditahan dalam satu operasi khas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Timur, Jalan Kuala Krai, di sini, malam kelmarin.

Pengarahnya, Abd Ghani Che Kasim berkata, hasil siasatan mendapati, cukai kereta berkenaan palsu setelah ia dikesan berbeza daripada yang asal.

"Selepas membuat siasat, kereta itu disyaki dicuri dan pihak kami menghubungi pihak polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan bagi membolehkan siasatan lanjut.

"Pemilik kenderaan ini ditahan JPJ di bawah Seksyen 108 kerana memalsukan cukai jalan dan menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada polis," katanya selepas operasi tersebut.

Operasi berkenaan dijalankan dari jam 8 malam hingga 11 malam dengan kekuatan 25 anggota penguat kuasa JPJ Kelantan dan berjaya memeriksa 542 kenderaan yang melalui jalan itu.

Abd Ghani berkata, dalam operasi itu pihaknya mengeluarkan 94 saman dengan pelbagai kesalahan termasuk 70 kes bagi kesalahan lesen memandu tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

"Bagi kes cukai jalan tamat tempoh dan tiada cukai jalan sebanyak 18 kes dan bagi lain-lain kes seperti cermin gelap melibatkan 19 kes dan tiga kesalahan nombor plat.

"Selain itu, sebuah kereta jenis Perodua Kancil disita akibat diubahsuai melampau seolah olah Daihatsu Mira," katanya.

Menurutnya, daripada operasi tersebut, tujuh kenderaan disita termasuk tiga kereta, empat daripadanya motosikal dan kes disiasat di bawah Akta JPJ 1987.

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Nuffnang