:: cina islam | 2011 :: |
- Bayi RM17,000
- China hantar wanita ke angkasa lepas
- Budak maut selepas kenduri
- Jerebu makin teruk
- 50 maut bahana pergolakan Myanmar
- Anak muda penentu undian PRU13
- Dihempap lampu jalan
Posted: 16 Jun 2012 08:31 PM PDT 27 Rejab 1433H. [MOD] - DICEKUP... wanita yang ditahan bersama bayi yang cuba dijualnya. KUCHING: Seorang bayi perempuan berusia tiga hari yang dipercayai dalam proses untuk dijual dengan harga RM17,000 oleh seorang lelaki tempatan diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Batu Kawa, di sini, semalam. Susulan serbuan jam 6.50 pagi itu, polis menahan ibu bayi berkenaan, seorang warga Indonesia berusia 27 tahun dan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zulkifli Hassan berkata, sebelum serbuan ke rumah itu, polis menerima maklumat mengenai suspek yang sedang mencari pembeli bayi itu dengan harga yang ditetapkan. Susulan itu, katanya, sepasukan anggota daripada Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak melakukan serbuan ke rumah berkenaan pada waktu urus niaga dirancang jam 6.30 pagi. "Sebaik tiba di tempat kejadian, polis menemui seorang warga Indonesia mendukung seorang bayi perempuan berusia tiga hari dan sedang berunding dengan seorang lelaki warga tempatan. "Ketika disoal siasat, bayi perempuan itu baru tiga hari dilahirkan di sebuah hospital kerajaan di sini dan meminta bantuan lelaki itu untuk mencari pembeli yang berminat. "Siasatan lanjut mendapati wanita itu menetapkan harga RM17,000 untuk menjual bayi berkenaan kepada mana-mana individu yang berminat di sekitar negeri ini," katanya ketika dihubungi semalam. Suspek dibawa ke IPK untuk siasatan lanjut dan ditahan reman atas kesalahan cubaan menjual anak, manakala bayi malang berkenaan dihantar ke pusat perlindungan sementara. Zulkifli berkata, status bayi berkenaan masih belum diketahui dan polis masih menyiasat sebab dia dijual serta kaitannya dengan suspek lelaki warga tempatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 14, Akta Anti Perdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. Sementara itu, Ketua Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya sedang berusaha untuk mengenal pasti sejauh mana aktiviti penjualan bayi di negeri ini sama ada ia dijalankan secara individu atau ada sindiket di sebaliknya. Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini diminta menghubungi balai polis berhampiran. metro/- |
China hantar wanita ke angkasa lepas Posted: 16 Jun 2012 08:25 PM PDT 27 Rejab 1433H. [MOD] - LIU Yang melambai kepada orang ramai sebelum menaiki kapal angkasa Shenzhou-9. Juruterbang tentera udara berpengalaman terpilih BEIJING: China menghantar angkasawan wanita pertamanya apabila seorang juruterbang tentera udara menyertai sepasukan tiga angkasawan menaiki kapal angkasa Shenzhou-9 yang berlepas semalam. Negara komunis itu berusaha menyertai Amerika Syarikat dan Russia sebagai negara yang berjaya menghantar angkasawan tinggal di stesen angkasa lepas. Ketika bertugas sebagai seorang juruterbang saya terbang di langit. Kini, saya seorang angkasawan, saya akan terbang di angkasa lepas. Penerbangan kali ini lebih tinggi dan jauh. - Liu Yang "Ketika bertugas sebagai seorang juruterbang saya terbang di langit. Kini, saya seorang angkasawan, saya akan terbang di angkasa lepas. "Penerbangan kali ini lebih tinggi dan jauh," kata Liu Yang yang bercakap di sidang media yang disiarkan secara langsung ketika menjelaskan perasaan beliau selepas terpilih untuk menyertai misi berkenaan. "Selain melakukan tugasan yang dirancang, saya mahu mengalami persekitaran mengagumkan di angkasa lepas dan menghargai keindahan Bumi dan tanah air kita dari angkasa lepas," katanya. Beliau bersama dua rakan setugas lelakinya, Jing Haipeng dan Liu Wang bercakap kepada media sebelum bersiap sedia untuk pelepasan dari sebuah tapak pelancaran di padang pasir Gobi. Angkasawan terbabit semuanya adalah ahli Parti Komunis China. Mereka menaiki kapal angkasa Shenzhou-9 di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China. Ini adalah misi pertama pendaratan angkasawan negara itu menjadi negara ketiga selepas Amerika dan Russia yang mempunyai sebuah pangkalan kekal di orbit. Kesemua tiga krew terbabit adalah bekas juruterbang Tentera Pembebasan Rakyat (PLA). "Liu, 33, akan menjadi sebahagian daripada krew Shenzhou-9 yang dilancarkan semalam dari pangkalan angkasa lepas Jiuquan di padang pasir Gobi, utara China," menurut pengumuman ibu pejabat program pendaratan angkasa lepas. Misi Liu akan menjadikan China negara ketiga selepas Russia dan Amerika yang menghantar angkasawan wanita ke angkasa lepas. Jika berjaya ia adalah pelancaran keempat China. Liu dan dua rakan setugas lelakinya akan mendarat di kapal Tiangong-1 yang pada masa ini mengorbit Bumi. Pemilihannya dalam misi itu menjadi perkara utama dalam perkhidmatan blog mikro Sina Weibo seperti Twitter, yang mencatat 33 juta komen. – Agensi |
Posted: 16 Jun 2012 08:00 PM PDT 27 Rejab 1433H. [MOD] - SEORANG ahli keluarga mangsa melihat tempat Muhammad Faris Faisal menemui ajal di rumah neneknya di Ketereh, Kota Bharu semalam. KOTA BHARU - Gara-gara menyangkakan ia pistol mainan, seorang kanak-kanak tujuh tahun mati akibat tertembak di dahi manakala bapa saudaranya cedera parah dalam kejadian pada pukul 9 malam kelmarin di rumah neneknya di pekan Ketereh dekat sini. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, Muhammad Faris Faisal Hisham yang baru menyambut hari lahirnya dikatakan bermain pistol milik datuk saudaranya yang merupakan seorang anggota polis di Johor selepas selesai majlis kenduri ibu saudaranya di pekan itu. Beliau berkata, turut terkena tembakan di dada ialah bapa saudara mangsa, Mohd. Hilmi Ghazali, 31, seorang pembantu tadbir di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kota Bharu. Mohd. Hilmi yang cedera di dada akibat terkena tembakan berkenaan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini dan keadaanya dilaporkan stabil. "Mangsa menemui senjata api tersebut yang disangka pistol mainan lalu memetik picu dan tertembak di dahi menembusi kepalanya sebelum terkena Mohd. Hilmi yang berada di belakang mangsa. "Melihat mangsa cedera, ahli keluarga mangsa mengejarkannya ke Klinik Kesihatan Ketereh untuk rawatan tetapi disahkan sudah meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini semalam. sinar harian/- |
Posted: 16 Jun 2012 07:40 PM PDT 27 Rejab 1433H. [MOD] KUALA LUMPUR: Jerebu yang melanda negara terus berada dalam keadaan buruk apabila lapan kawasan berada pada tahap kualiti udara tidak sihat. Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga 11 pagi semalam, lapan kawasan berkenaan mencatatkan indeks pencemaran (IPU) melebihi 101, berbanding tujuh kelmarin. Kawasan terbabit ialah Putrajaya dengan IPU 101, Cheras (133), Batu Muda, Kuala Lumpur (128), Shah Alam (130), Petaling Jaya (131), Pelabuhan Klang (142), Kuala Selangor (101), dan Banting (120). Menurut jurucakap JAS, keadaan cuaca kering tanpa hujan menyebabkan jerebu semakin teruk, sekali gus meningkatkan jumlah bacaan di beberapa kawasan, terutama di pantai barat Semenanjung yang terletak hampir dengan Indonesia. Sebanyak 31 kawasan daripada 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS di seluruh negara pula mencatat bacaan IPU sederhana, termasuk di Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan 100, manakala 11 lagi kawasan mencatat bacaan IPU baik. Bacaan IPU 0 hingga 50 diklasifikasi sebagai baik, 50-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya). Kemerosotan kualiti udara di negara ketika ini disebabkan kebakaran tanah gambut di Rokan Hilir, Sumatera Timur, Indonesia yang dibawa menerusi tiupan angin. Sementara itu, rekod Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) menerusi pemantauan daripada imej satelit NOAA-18 menunjukkan 81 titik panas dikesan di Indonesia, manakala 146 titik panas di Kepulauan Borneo (termasuk Sabah dan Sarawak). Keadaan jerebu yang melanda negara di kesan sejak Selasa lalu apabila rekod JAS menunjukkan kebanyakan kawasan berada tahap sederhana iaitu antara 51 hingga 100 dan menyusut sejak Rabu lalu apabila beberapa kawasan dikesan berada pada tahap tidak sihat. Sehubungan itu juga, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kes berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau dengan menghubungi Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727. Mereka yang tinggal di kawasan IPU tidak sihat dinasihat menggunakan alat penutup muka atau mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan menghadapi masalah kesihatan. metro/- |
50 maut bahana pergolakan Myanmar Posted: 16 Jun 2012 07:29 PM PDT 27 Rejab 1433H. [MOD] - SEORANG remaja sedih melihat rumahnya yang dibakar di Sittwe. Berpuluh-puluh lagi cedera dalam keganasan dua minggu di negeri Rakhine SITTWE: Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan ramai cedera dalam pertempuran di negeri barat Myanmar semalam ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai derita beribu-ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat rusuhan itu. Akhbar kerajaan, New Light of Myanmar, melaporkan 54 lagi cedera antara 28 Mei dan 14 Mei di negeri Rakhine berikutan keganasan antara penduduk Buddha tempatan dan orang Islam Rohingya. Laporan tidak menyebut sama ada angka kematian terkini termasuk 10 penduduk Islam yang dipukul hingga mati pada 3 Jun oleh penduduk Buddha bagi membalas dendam berikutan seorang wanita Rakhine yang dirogol dan dibunuh, di mana ia menjadi punca keganasan. Khamis lalu, seorang pegawai kanan tempatan berkata seramai 29 orang, 16 penduduk Islam dan 13 Buddha dibunuh tetapi kumpulan hak asasi dan sumber tempatan lain percaya angka sebenar di kampung pedalaman di Rakhine mungkin lebih tinggi. Polis menguatkuasakan perintah berkurung di ibu negeri, Sittwe sepanjang malam dengan anggota pasukan keselamatan mengawasi keamanan, kestabilan dan keselamatan selepas rusuhan yang meletus memberikan satu cabaran serius kepada kerajaan Myanmar. Hampir 31,900 penduduk kedua-dua pihak ditempatkan di 37 kem di seluruh Rakhine, kata pihak berkuasa di Sittwe pada Khamis, manakala beribu-ribu kediaman dibakar. Satu pasukan PBB menyaksikan kemusnahan dalam lawatan dua hari ke wilayah itu berkata kira-kira 10,000 penduduk yang hilang tempat tinggal berlindung di Sittwe sendiri. "PBB mendapati kemusnahan teruk penduduk Rakhine dan Islam di Sittwe adalah amat besar. Mereka berhadapan dengan kesukaran," katanya dalam satu kenyataan lewat kelmarin. Berikrar untuk membantu kawasan terjejas, penasihat khas PBB Vijay Nambiar menggesa Myanmar menjalankan siasatan penuh, adil dan dipercayai terhadap pertempuran itu. "Kami mahu pulang semula ke tempat kami untuk bersama keluarga dan anak-anak," kata seorang pemimpin Islam di Sittwe, Hla Myint, 56. Diskriminasi sejak berdekad lalu menyebabkan penduduk Islam Rohingya tidak mempunyai negara dan dilihat sebagai kumpulan minoriti paling tertindas di dunia. Kira-kira 800,000 penduduk Rohingya tinggal di Myanmar, kata PBB, kebanyakannya di Rakhine. Kerajaan Myanmar menyifatkan Rohingya sebagai orang asing, manakala kebanyakan rakyat melihat mereka sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan melihat mereka sebagai musuh. Penduduk Buddha Rakhine dan Islam Rohingya di wilayah itu saling menuduh memulakan serangan terlebih dulu dan sejak beberapa hari penduduk tempatan dilihat di jalanan membawa pisau, pedang dan kayu. Presiden Myanmar, Thein Sein memberi amaran bahawa keganasan boleh tercetus di negara yang baru mengamalkan demokrasi itu selepas beberapa dekad di bawah pemerintahan tentera. Ia turut memberi dilema kepada pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi yang kini dalam lawatan bersejarah ke Eropah, di mana beliau berhadapan dengan tekanan dari Rohingya untuk bercakap mewakili mereka tetapi berisiko akan menimbulkan kemarahan di kalangan majoriti penduduk Buddha Myanmar. – AFP |
Anak muda penentu undian PRU13 Posted: 16 Jun 2012 07:24 PM PDT 27 Rejab 1433H. [MOD] - Ketika ini Dewan Rakyat sedang berlangsung dengan hangatnya. Wakil-wakil rakyat yang diberi mandat pada Pilihan raya lepas sedang sibuk membahaskan pelbagai rang undang-undang mahupun pertikaian-pertikaian pelbagai isu. Mungkinkah ini merupakan sesi Dewan Rakyat yang terakhir sebelum PRU 13 diadakan. Perkara ini masih lagi menjadi persoalan yang mana Perdana Menteri masih lagi berminat bermain tarik tali, berteka teki tarikh sebenar PRU 13. Apakah yang menjadi kebimbangan PM sehinggakan pecah kepala memikirkan tarikh yang sesuai untuk membubarkan parlimen dan secara tidak langsung memberi laluan kepada PRU diadakan? Adakah BN takut akan tewas atau takut dipersalahkan kerana sebelum ini BN tidak pernah tewas dalam mana-mana pilihan raya umum.? Pakatan Rakyat pula tidak sabar-sabar mahu merobek kubu-kubu kuat Barisan Nasional. PR semakin rancak melaung-laungkan amaran bahawa akan menggantikan BN sebagai kerajaan pusat. BN pula semakin gelisah dengan permain psikologi PR untuk menawan Putrajaya. Namun, perlu diberi perhatian bahawa fenomena pengundian sekarang amat berbeza berbanding 3 ke 4 tahun dahulu. Jika dahulu pengundi mudah disogok dengan pelbagai gula-gula pilihan raya, mudah disogok dengan pelbagai projek express, mudah dikaburi dengan wang ringgit yang banyak. Namun, hari ini perkara yang sama tidak mungkin akan berlaku. Hari ini penentuan kemenangan PRU akan datang adalah undian anak muda atau mahasiswa. Hal ini jelas apabila kedua-dua komponen parti PR dan BN sedang sibuk bergasak untuk memenangi hati anak muda. Dari tawarkan pendidikan tinggi percuma sehinggakan pelbagai program jalankan khusus untuk anak muda. Ternyata anak muda menjadi rebutan menjelang PRU ke 13. Hari ini anak muda bagi pertama menjadi rebutan. Menjadi rebutan sang penguasa yang ingin kuasa. Jelas dari anak muda jangan jadikan peribahasa Melayu menjadi kenyataan "Habis madu sepah dibuang". Di peringkat anak muda, jelas kami mahukan pemimpin yang bersih, amanah, dan adil, mendahulukan rakyat daripada kepentingan diri, mampu membawa kesejahteraan kepada negara. Kami tolak sama sekali pemimpin yang menggunakan kedudukan untuk mengumpulkan harta kekayaan, mendapatkan projek, mengayakan kaum keluarga, mengamalkan rasuah di sana sini, dan tidak mempraktikkan Islam sebagai cara hidup. Anak muda bukan anak patung yang mudah ditipu daya. Kami mampu menilai yang mana baik yang mana batilnya. Sekiranya pemimpin sering membuat onar. Kami akan menghukum mereka di PRU 13 yang bakal tiba. Anak Muda Pencetus Revolusi Kepimpinan Negara. harakahdaily/- |
Posted: 16 Jun 2012 07:14 PM PDT 27 Rejab 1433H. [MOD] - IPOH – Seorang pelajar tingkatan empat maut dalam keadaan tragik apabila kepalanya dihempap lampu jalan selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu merempuh tiang lampu berhampiran Kampung Kuala Pari Hilir, Menglembu di sini, kelmarin. Hentaman kuat itu menyebabkan mangsa, Muhamad Aizat Idrus, 16, maut sertamerta ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pemboncengnya yang hanya dikenali sebagai Azizul, 16, patah kaki kiri dan dihantar ke Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB). Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS itu menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai terbabas sewaktu melalui kawasan selekoh berhampiran projek perumahan di kawasan tersebut. Rakan mangsa, Muhammad Faiz Abd Rahim, 17, berkata, dia sempat mengajak Muhamad Aizat untuk bermain bola sepak bersamanya sebelum arwah beredar untuk bermain sepak takraw di kampung bersebelahan. Menurutnya, dia mengetahui kejadian ketika terserempak mangsa berlumuran darah terbaring di bawah tiang lampu jalan. "Arwah ada singgah di tepi padang untuk lihat kami bermain bola sepak. Dia menolak ajakan kami kerana mahu bermain sepak takraw. "Ketika pulang, saya nampak ada orang ramai menutup mayat arwah dengan menggunakan surat khabar. Jenazah kemudian dihantar ke hospital dengan trak polis," katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan Unit Forensik HRPB di sini. Sementara itu, bapa mangsa, Idrus Sujak, 48, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak bongsunya itu selepas dimaklumkan oleh sepupunya yang kebetulan berada di lokasi kejadian. "Saya tidak percaya dengan apa yang berlaku kerana saya tidak sedar arwah keluar rumah. Saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya. Idrus yang bekerja di Majlis Bandaraya Ipoh memberitahu jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala Pari Hilir, pagi semalam. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian tersebut. sinar harian/- |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan