Ahad, 13 Mei 2012

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


MENGINGATI SEJARAH SEBAGAI PENGAJARAN

Posted: 13 May 2012 10:22 AM PDT


Assalamualaikum.

Saya tidak pasti, sama ada ramai yang mengingati detik 13 Mei semalam. Bagi generasi muda, mereka mungkin tidak faham mengenai peristiwa yang berlaku pada tahun 1969 itu.

Walaupun ia merupakan satu peristiwa yang sangat pahit untuk ditelan dalam sejarah negara, namun ia wajar dikenang sebagai pengajaran kepada semua agar apa yang pernah berlaku itu tidak akan berlaku lagi. Kita bertuah sebenarnya, dalam sebuah negara majmuk sebagaimana kita, kita masih boleh menjalani kehidupan yang sangat harmoni, saling menghormati sesama kita.

Sebenarnya sejarah tidak meninggalkan kita hanya sebagai sejarah untuk kita kenang mengenainya. Namun, sejarah yang berlaku adalah pengajaran yang sangat berguna untuk kita memiliki sesuatu yang lebih baik daripada itu.

Malang sekali apabila terdapat sesetengah pihak yang bukan sahaja takut kepada sejarah tetapi sangat sinis terhadapnya. Saya berpandangan, itu tidak bagus sebenarnya.

13 Mei adalah isu sensetif untuk dibincangkan. Namun, sebagai sejarah yang boleh mengajar kita erti perpaduan, kerjasama dan tolak ansur dalam mengisi kemerdekaan negara bertuah ini, maka bagi saya ia adalah sangat wajar kita kenang dan ingat.

Apatah lagi di saat negara kita kini mulai diresapi dengan anasir-anasir yang mampu memberikan kesan yang tidak baik terhadap perpaduan dan kesepakatan yang telah terjalin sejak sekian lama.

Kepada rakyat, khususnya anak-anak muda, mereka perlu tahu mengenai sejarah tanahair mereka sendiri. Mereka tidak wajar hanya menjadi golongan yang mengikut apa yang ditelunjukkan kepada mereka. Tidak boleh begitu. Bagi saya, generasi muda terutamanya perlu mempunyai pengetahuan sendiri mengenai sejarah negara, barulah mereka akan faham mengenai tanggungjawab mereka terhadap negara bertuah ini.

Apa pun, marilah kita mengingati sejarah. Marilah kita mempelajari sesuatu daripada sejarah itu. Semoga kita akan terus kekal memiliki sebuah negara yang aman, harmoni dan mempunyai masyarakat majmuk yang memiliki semangat setiakawan dan toleransi yang tinggi.

Semuanya, demi Malaysia!

UMNO TERUS JADI PILIHAN RAKYAT

Posted: 13 May 2012 10:08 AM PDT


Assalamualaikum.

Alhamdulillah, sambutan hari ulang tahun kelahiran UMNO tiba lagi. Dalam kita ghairah berusaha membangun dan memajukan negara selain mendahulukan kebajikan untuk rakyat, UMNO kini sudah berusia 66 tahun – satu tempoh yang cukup sarat dengan pengalaman.

Saya sangat teruja dengan sambutan 66 tahun UMNO kali ini. Kemuncak acara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan dihadiri lebih 100,000 orang, ia sebenarnya sangat menakjubkan. Malah, terus-terang saya katakan bahawa gelombang merah yang ditunjukkan oleh ahli UMNO melambangkan mereka sebenarnya sangat bersemangat dan masih setia dengan parti keramat ini.

Jika kita melayari laman social misalnya, pembangkang nampak takut dengan keadaan itu. Lalu seperti biasa, mereka melemparkan pelbagai fitnah dan dakyah bagi mematikan kekaguman rakyat terhadap sambutan yang luar biasa itu.

Hebatnya peristiwa itu ialah, ia berlaku di saat UMNO dikatakan semakin lemah ekoran asakan bertubi-tubi pembangkang. Saya bukannya ingin mendabik dada, untuk meruntuhkan sebuah parti seperti UMNO, apatah lagi oleh sebuah pakatan songsang yang sangat rapuh, ia bukanlah semudah yang mereka laungkan.

UMNO adalah parti yang telah menentukan jatuh bangunnya negara ini. UMNO adalah parti yang telah memakmurkan setiap inci bumi yang ada demi rakyat dan negara. UMNOlah yang telah membentuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat sebagaimana sekarang. Kejayaan itu disokong dengan kerjasama erat daripada parti-parti komponan dalam Barisan Nasional (BN).

Saya melihat, angin perubahan yang sangat kuat berlaku sekarang di mana rakyat, khususnya anak-anak muda sebenarnya masih setia dengan UMNO. Tidak perlu sayalah detailkan mengenai perkara tersebut, tetapi kehadiran begitu ramai anak-anak muda di Stadium Nasional Bukit Jalil telah memadai untuk memberikan jawapan terhadap apa yang saya lontarkan ini.

Bagi saya, UMNO akan terus berada di persadanya dengan hebat dan perkasa. Jasa UMNO tidak mungkin akan dilupai rakyat.

Biarpun perjalanan semakin rumit dan berliku, UMNO sebenarnya sudah bersedia menghadapi apa jua kemungkinan. UMNO mempunyai cara dan kaedah sendiri dalam perjuangannya dalam menentukan survival politiknya terus relevan dengan persekitaran dan kehendak semasa.

Marilah kita berdoa agar UMNO akan terus utuh dan kekal di bumi Malaysia ini. Saya amat optimis bahawa UMNO akan terus berada di hati rakyat Malaysia yang tahu akan jasa serta rekod UMNO dalam memaju dan membangunkan negara.

Pembangkang mungkin boleh membakar emosi rakyat untuk membenci UMNO, namun mereka tidak akan mudah dapat memadamkan hakikat mengenai hasil dan kejayaan UMNO di bumi Malaysia ini.

66 tahun UMNO sangat berjaya dalam perjuangannya, dan di atas sebab itulah, UMNO akan terus kekal hebat sebagai satu-satu parti yang mampu membela nasib rakyat, membawa perubahan terhadap masa depan negara dan menjamin keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran UMNO yang ke 66.

Hidup UMNO!!! … hidup UMNO!!! … hidup UMNO!!! …


Tiada ulasan:

Nuffnang