Ahad, 20 Mei 2012

.

.


Kelantan Juara Piala FA 2012. Penantian 22 Tahun Berakhir

Posted: 20 May 2012 06:55 AM PDT

piala FA: Kelantan akhiri penantian 22 tahun

KUALA LUMPUR - Kelantan mengukir sejarah apabila berjaya menamatkan penantian selama 22 tahun untuk menjulang Piala FA buat kali pertama, setelah menewaskan pasukan berstatus kelab, Sime Darby 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penonton, pasukan yang terkenal dengan gelaran 'The Red Warriors' itu melancarkan serangan ke kubu Sime Darby seawal minit pertama namun berjaya dipatahkan ketua pasukan Sime Darby, Es Lizuan Zahid Amir.

Pemain tengah Kelantan Indra Putra Mahayuddin pula gagal memanfaatkan peluang sepakan percuma yang diberi pengadil pada minit ke-15 apabila cubaanya tersasar dari gawang gol yang dikawal Mohd Redzuan Harun.

Kecewa gagal memecahkan kebuntuan terikat 0-0 pada babak pertama, Red Warriors yang nyata pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan meneruskan asakan yang akhirnya membuahkan hasil apabila dihadiah sepakan penalti pada minit ke-58.

Peluang itu tidak disia-siakan pemain import Kelantan Mohammed Ghaddar yang menceriakan penyokong Red Warriors.

Tersentak dengan jaringan itu, Sime Darby bangkit melakukan beberapa serangan berbahaya namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Mohammed Ghaddar cuba menggandakan jaringan namun sepak deras yang dilakukan olehnya pada minit ke-79 tersasar.

Kelebihan satu gol itu gagal dibatalkan Sime Darby yang akur menyaksikan Piala FA dijulang pasukan Kelantan. Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli menyampaikan trofi kepada Red Warriors.

Ketua pasukan Sime Darby Es Lizuan pula diumum pemain terbaik perlawanan. - Bernama

Kelantan juara Piala FA

KELANTAN muncul juara baru Piala FA dengan menumpaskan KL Sime Darby 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Pasukan itu yang gagal dalam dua percubaan sebelum ini muncul juara untuk menjulang piala baru persaingan FA malam ini.

KL Sime Darby ketinggalan 0-1 apabila Kelantan menjaringkan gol pertama pada minit ke-57 menerusi tentangan penalti - dijaringkan oleh Mohammed Ghaddar.

Kedua-dua pasukan mencari kejuaraan sulung. Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu di final.

Dan, ini kali pertama Sime Darby muncul di final.

Kemenangan ini sekali gus menghancurkan impian pasukan KL Sime Darby untuk mencipta kejutan selaku pasukan berstatus kelab menjuarai Piala FA buat kali pertama dalam kancah bola sepak negara.

Kejayaan ini turut memberi tuah kepada Kelantan apabila berjaya membawa pulang trofi baru yang berharga RM80,000 sekali gus melengkapkan koleksi trofi kejohanan domestik.

Pada perlawanan malam ini, kedua-dua pasukan dilihat seimbang dan agresif pada babak awal perlawanan di mana masing-masing mengasak ke kubu untuk mencipta gol.

Percubaan awal oleh pemain KL Sime Darby, Azmirul Azmi pada minit kesembilan bagaimanapun gagal apabila berjaya ditangkap kemas penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Sejurus selepas itu, sorakan stadium mula bergema apabila giliran Kelantan menguji penjaga gol KL Sime Darby, Mohd Redzuan Harun menerusi rembatan yang sama dari Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-13.

Kemudian, sepakan percuma Indra Putra ditangkap kemas penjaga gawang Sime Darby pada minit ke-20.

Pada minit ke-28, pemain sayap Kelantan, S.Chanturu dijatuhkan selepas membuat larian solo melepasi pemain Sime Darby di sudut kanan pintu gol.

Pemain pertahanan skuad Kijang yang mengalami kecederaan terpaksa dikeluarkan dan Rizal Fahmi Abdul Rosid dibawa masuk pada minit ke-32.

Kelantan memperoleh sepakan sudut yang pertama menerusi Zairul Fitree Ishak namun tandukan Mohd Badhri Radzi hampir berjaya menewaskan penjaga gol Sime Darby.

Tandukan penyerang import Kijang, Muhamad Ghaddar tersasar pada minit ke-41.

Pada babak kedua, Kelantan yang jelas sukar digugat oleh KL Sime Darby mendominasi babak kedua permainan dan keputusan tersebut kekal sehingga tiupan wisel terakhir.

Barisan Pemain:
Kelantan: Khairul Fahmi Che Mat, Zairul Fitree Ishak, S.Subramaniam (Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid), Obinna Nwaneri, Mohd Daudsu Jamaluddin (Mohd Farisham Ismail), Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Mohd Radzi (kapten), S. Chanturu (Mohd
Nurul Azwan Roya), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Mohammed Ghaddar Mahmoud.

Sime Darby: Mohd Redzuan Harun, Es Lizuan Zahid Amir (kapten), Mohd Arif Ismail, Mohd Shazlan Alias, Mohd Fairuz Abdul Aziz, Azmirul Azmi (Mohammad Syukur Saidin), Mohd Nor Ismail, Mohd Shoufiq Khusaini, Leandro Teofilo Santos Pinto (Razali Umar Kandasamy), Mohd Faiz Mohd Isa, Patrick Ronaldinho Wleh (Mohd Asrol Ibrahim).

Pengadil: Suhaizi Shukri



Piala FA: Kafa umum ganjaran masa terdekat

PEMAIN pasukan Kelantan yang menjuarai Piala FA 2012 malam tadi akan menerima ganjaran setimpal dan perkara itu akan diumumkan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) dalam masa terdekat, kata Presidennya Tan Sri Annuar Musa.

"Nilai imbuhan bagi setiap pemain tidak boleh saya beritahu lagi... saya yakin dalam dua tiga hari lagi Kafa sendiri yang akan memaklumkan kepada media," katanya kepada Bernama selepas hadir menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
-SH



















Source: http://greenboc.blogspot.com/2012/05/video-bergambar-kelantan-juara-piala-fa.html

Nik Aziz: Terima PR jika mahu kerjasama Pas

Posted: 20 May 2012 06:52 AM PDT

Nik Aziz: Terima PR jika mahu kerjasama Pas
Nik Aziz (kanan) ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Terengganu di Markas Tarbiyah Pas di Kuala Ibai
KUALA TERENGGANU – Umno perlu bersedia untuk menerima parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR)  - PKR dan DAP sekiranya masih memasang niat untuk menjalin kerjasama politik dengan Pas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Umno wajar menerima ketiga-tiga parti dalam PR memandangkan Pas bukan lagi berseorangan ketika ini dan keputusan perlu dibuat bersama PR.

Bercakap kepada media di sini, beliau bagaimanapun tetap dengan pendiriannya supaya Umno menukar dasar parti itu terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang usaha ke arah penggabungan antara dua parti.

"Saya sebut lama dah. Kalau Umno nak bersatu, parti itu perlu menukar dasar kebangsaan kepada Islam. Ia bukan keputusan seorang tetapi kena buat secara rasmi (bersama PR). Umno (perlu) tukar dasar daripada kebangsaan kepada Islam secara rasmi.

"Kedua, Umno kena terima Pas sekali dengan pakatan kerana kami sudah ada Pakatan dan Pakatan tidak buat khianat kepada kami. Maka lepas kami (Pas) bersatu dengan Umno dan selepas Umno ubah dasar dia, barulah boleh bersama dengan pakatan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyah Pas Kuala Ibai di sini, hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, timbalannya, Datuk Tengku Hasan Tengku Omar dan pimpinan Pas peringkat kawasan.

Terdahulu, Nik Aziz turut mengulangi kenyataan yang pernah dibuat beberapa kali sebelum ini bahawa mengundi Barisan Nasional (BN) tidak akan masuk syurga.

Jelasnya, BN bukan parti yang berteraskan Islam, sebaliknya membawa unsur nasionalisme yang tidak diajar oleh Nabi Muhammad.

"Undi BN tidak undi Islamlah. Dasar BN dasar kebangsaan. Kebangsaan tidak boleh bawa manusia ke syurga kerana kebangsaan ini bukan ajaran Nabi Muhammad saw," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai muzakarah, Nik Aziz memberi respon positif terhadap perkara itu dan menjelaskan ia lebih baik dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Nik Aziz sebelum ini pernah melahirkan syukur terhadap respons yang baik daripada Umno khususnya Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan persetujuan mengadakan pertemuan bersama Pas.

Source: http://www.sinarharian.com.my/politik/nik-aziz-terima-pr-jika-mahu-kerjasama-pas-1.49361

Perjuangan Berasaskan Bangsa Akan Ketinggalan

Posted: 20 May 2012 06:51 AM PDT

Sewaktu menjadi ahli panel satu seminar politik anjuran Pusat Kajian Pilihan Raya dan Demokrasi (Umcedel) Universiti Malaya minggu lalu, semasa ruang soal jawab dibuka, seorang peserta melontarkan pertanyaan yang saya kira penting dan menjadi stigma dalam kepala kebanyakan orang Melayu waktu ini, khususnya ketika hendak membuat pilihan pada PRU 13 kelak.

Soalan itu antara lain mengenai keraguan beliau kepada Pakatan Rakyat yang mana kedudukannya tidak sama dengan BN. Menurutnya di dalam BN ada Umno yang menjadi tunggak kepada gabungan berkenaan di mana Umno adalah Melayu, tetapi dalam Pakatan Rakyat tidak ada mana-mana puak yang menjadi tunggak apa lagi Melayu tidak mendominasi.

Katanya orang Melayu tidak dapat menguasai Pakatan Rakyat apabila kedudukan atau percentage  mengikut kaum hampiran sama saja. Jadi soalya dimanakah kekuatan Melayu di dalam Pakatan Rakyat berbanding dengan Umno di dalam BN. Apa yang penanya itu igin tahu bagaimana masa depan Melayu sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara ini kerana di dalam pakatan itu Melayu tidak dominan macam Umno dalam BN.

Pertanyaan dan persoalan itulah yang dilemparkan oleh Umno kepada orang ramai kini. Yang dijadikan bahan ugutan atau pun ancaman kepada orang Melayu sekiranya orang Melayu tidak memilih Umno. Umno menimbulkan kesangsian mengenai masa depan mereka. Kebimbangan dan kepercayaan seperti itu sebahagian daripada mitos yang dipuja dan dikeramatkan oleh Umno atau pun disulakan dalam minda Melayu.

Pandangan atau pun kebimbangan itu bukan terbit atau idea dari kalangan broker politik di kedai kopi, ruang legar gotel tetapi ia adalah antara isu atau realiti yang dimamah oleh cerdik pandai. Buktinya di dalam seminar berkenaan hampir 100 peratus ia dihadiri oleh golongan akademis yang memahami politik dan juga simpulan-simpulan politik serta sistem demokrasi.

Tetapi kerana ia dilontar dalam forum rasmi begitu untuk mendapat jawaban, ataupun ingin menguji apakah ada jawaban di luar sana terhadap permasalahan itu, walhualam. Tetapi saya lihat soalan itu cuba membimbing orang lain agar ikut terperangkap dalam perminan 'cilok' politik Umno. Saya menjawab persoalan yang dikemukakan itu dengan memberi huraian seperti berikut.

Saya kata, kalau Pakatan Rakyat dalam konteks.. ini Pas masih berfikiran seperti Umno meletakkan soal bangsa atau kaum di hadapan, memang kebimbangan itu berlaku. Tetapi umum kena sedar bahawa matlamat atau perjuangan Pas bukan berdasarkan kepada ras lagi tetapi berdasar kepada realiti.

Realitinya, politik kini kata saya, baik Pas, PKR atau DAP tidak lagi memperjuangkan kaum malahan ideologi juga sudah di kesampingkan. Apa yang ada dalam kotak politik mereka ialah menang dan dapat menumbangkan kerajaan BN. Itu matlamatnya. Politik mendapatkan kuasa sesuai dengan matlamat atau teori Machiavelli - matlamat menghalalkan cara.

Manakala Pas pula telah mesejagatkan perjuangannya dengan meletakkan agama sebagai tonggak utama. Dalam hal ini Pas lebih ke depan dalam merealisasikan realiti politik di negara ini baik mengikut demografi pengundi berasaskan kaum dan juga persefahaman awal semasa membentuk negara ini.

Kata saya, sesiapa yang berjuang berdasar atau mengutamakan kaum akan kecewa kerana politik sebegitu bukan sahaja tidak praktikal lagi tetapi sudah tidak relevan dengan realiti politik negara ini. Umno juga lama kelamaan akan hilang dan lenyap kalau mereka tidak memperbetulkan natijah dan matlamat politik mereka. Kalau Umno berterusan obses memperjuangkan kaum dalam lingkungan diri sendiri, budaya sendiri parti itu lama kelamaan akan pupus. Pada saat dunia melimpahi sempadan 'politik gogak' tidak boleh diamalkan lagi.

Kesimpulan menjawab persoalan tadi, di alaf ini sudah tidak ada kekuatan sesuatu bangsa atau kaum yang akan menjadi tonggak dalam apa juga sistem pemerintah. Soal bangsa bukan lagi asas kepada perjuangan walaupun bangsa itu adalah identiti kepada sesuatu kelompok atau komuniti.Manakala makin tinggi ilmu dan kesedaran diri seseorang individu atau bangsa itu terhadap hakikat kejadian mereka, maka makin jauh mereka akan meninggalkan soal-soal kepentingan bangsa sebaliknya akan mengambil agama sebagai pegangan dan ideologi perjuangan kerana agama itulah yang akhirnya dinilai bukannya bangsa. [wm.kl.10:31 am 20/05/12]

Source: http://msomelayu.blogspot.com/2012/05/renungan-sabtu.html

Muzakarah: Syarat ketat Presiden Pas

Posted: 19 May 2012 07:26 AM PDT



Muzakarah: Syarat ketat Presiden Pas
Abdul Hadi memulakan perjalanan ke Sungai Tersat, Hulu Terengganu ketika Program
Kembara Tarbawi 3, semalam.
SHAH ALAM – Keraguan mulai berlegar. Apakah idea muzakarah dengan Umno yang dicetuskan Pas minggu lalu mampu jadi kenyataan? Ataupun episod kekeruhan dalam isu perpaduan Melayu/ Islam di negara ini akan berlarutan untuk beberapa dekad lagi, malah mungkin selama-lamanya?

Jika demikian, jelaslah tidak akan ada muzakarah yang sebenar melainkan hanya muza-keruh.

Kekeruhan bagi episod kali ini mulai diperlihatkan hanya selepas lima hari Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno pada sidang media di Kuala Lumpur 14 Mei lalu.

Di Marang, Terengganu, semalam, Abdul Hadi sebaliknya menunjukkan tembok yang begitu sukar dilepasi Umno bagi merealisasikan pelawaannya itu.

"Umno tidak ikhlas. Jika benar parti itu ikhlas mahu bermuzakarah dengan Pas, betulkan dahulu sistem pilihan raya. Selagi sistem pilihan raya tak dibetulkan, bagaimana Umno yakin mereka telah bersedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah?" katanya.

Beliau memberi reaksi demikian terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kelmarin dipetik berkata bahawa Umno sedia menyahut ajakan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Abdul Hadi berkata, selagi sistem pilihan raya tidak dibersihkan, ia membuktikan sikap tidak ikhlas Umno dalam isu-isu berkepentingan Islam, atau dalam usaha mempertahankan Islam.

Beliau kemudian mengkritik Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dikatakannya mengekang kebebasan akhbar sekali gus menyekat hak rakyat untuk mendapat maklumat yang adil bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya.

"Negara yang mengamalkan demokrasi yang baik sentiasa memberikan peluang sama rata kepada semua parti politik memandangkan media adalah saksi adil tetapi itu tidak berlaku di negara ini di mana parti memerintah mengongkong semua media.

"Ia menyebabkan rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil. Rakyat hanya mendengar sebelah pihak sahaja. Demokrasi yang macam ini tidak betul, demokrasi yang macam ini salah," katanya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan yang disiarkan kelmarin, turut menyatakan persetujuan bagi cadangan muzakarah dengan Umno dan menyerahkan kepada pemimpin Umno sama ada mahu menjadikan pertemuan itu kenyataan ataupun tidak.

Source: http://www.sinarharian.com.my/politik/muzakarah-syarat-ketat-presiden-pas-1.49269?localLinksEnabled=false

Tiada ulasan:

Nuffnang