Isnin, 23 April 2012

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Bersih 3.0: Pak Samad mahu kekal di Dataran Merdeka

Posted: 23 Apr 2012 01:21 AM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk A. Samad Said secara peribadinya mahu mengekalkan himpunan 'Duduk Bantah' diadakan di Dataran Merdeka, 28 April ini.

Mengulangi pendiriannya berulangkali, beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad (gambar), menegaskan beliau dan Datuk S. Ambiga mempunyai sikap yang sama berhubung perkara tersebut.

"Setakat ini, Ambiga dan saya mempunyai sikap yang sama, iaitu mahu 'Duduk Bantah' ini diadakan di Dataran Merdeka. Tapi, kita ada jawatankuasa yang lebih ramai yang perlu dirujuk.

"Saya secara peribadinya ingin mengekalkan 'Duduk Bantah' ini diadakan di Dataran Merdeka. Sikap saya konsisten. Saya harapkan seluruh jawatankuasa masih bersedia untuk kekal di situ (Dataran Merdeka)," tegas beliau pada sidang media Jawatankuasa Bersih 3.0, di Dewan Perhimpunan Cina, pagi tadi.

Himpunan itu, tambah Pak Samad hanya menyaksikan hadirin duduk sahaja selama dua jam, dan ia tidak akan mendatangkan sebarang ancaman keselamatan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Bersih 3.0, Dr Subramaniam Pillay berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan lokasi alternatif 'Duduk Bantah' itu.

Ia susulan penolakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membenarkan himpunan itu diadakan di lokasi bersejarah tersebut.

"Kita akan bermesyuarat malam ini bersama semua gabungan NGO. Mungkin esok akan ada keputusan konklusif daripada kami," kata beliau.

Bagaimanapun, tegas seorang lagi jawatankuasa pemandu, Maria Chin Abdullah, DBKL tidak menawarkan alternatif kepada Bersih dalam surat penolakan tersebut.

Sambil menegaskan Dataran Merdeka adalah 'milik rakyat', Maria berkata tidak ada sebab mengapa DBKL menolak program tersebut, sedangkan pelbagai program diadakan di lokasi tumpuan pelancong itu.

Antaranya program McDonald's Olympic Day Fun Run pda 17 Julai 2011, Standard Chartered KL Marathon 2011 (26 Jun 2011), BN Youth Ride Fest 2012 (17 dan 18 Februari 2012), World Kidney Day Run 2012 (3 Mac 2012), Nestle 100 Years Celebration (18 dan 19 Mac 2012) dan Konsert DiRaja (21 April 2012).

Minggu lepas, DBKL menolak permintaan Bersih untuk mengadakan himpunan di Dataran Merdeka atas alasan ia bukan satu acara nasional.

Harakah Daily

Fatmi tak yakin kedudukan Najib selepas PRU-13 !

Posted: 23 Apr 2012 01:19 AM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: "Kalau Datuk Najib masih ada di Putrajaya selepas PRU-13 ini bolehlah saya bawa pelajar-pelajar cemerlang UPSR sekolah ini ke sana.

"Namun kerana negara kita mengamalkan demokrasi, kita tidak tahu lagi siapa akan duduk di Putrajaya selepas ini. Kalau gitu kita gi ke masjidlah kerana sapa-sapa tidak boleh larang," kata Setiausaha Politik (SUP) Perdana Menteri, Datuk Fatmi Che Salleh (gambar).

Beliau mendedahkan rasa kebimbangan itu pada ucapan ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Ismail 3 dekat sini, hari ini.

Pada program berkenaan Fatmi yang juga Ketua Umno Kota Bharu menyampaikan buku akaun Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Selain itu ada pelajar miskin yang menerima bantuan E-Kasih. Pelajar darjah satu pula menerima RM100 setiap seorang.

Tahun lepas difahamkan seramai 21 pelajar yang mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah terbabit ditaja tiket penerbangan ke Putrajaya oleh Fatmi.

Bagaimanapun ramai ibu bapa yang hadir di mesyuarat PIBG berkenaan mengeluh panjang kerana bantuan KWAPM sebanyak RM200 belum lagi dimasukkan ke dalam akaun pelajar bagi tahun ini.

Pada ucapan di majlis tersebut Fatmi sekali lagi mengulangi untuk membawa pelajar cemerlang sekolah itu ke Putrajaya sekiranya Najib masih menduduki kerusi Perdana Menteri.

Ibu bapa yang hadir pada mesyuarat tersebut dikehendaki mengesahkan kehadiran bagi mengelakkan anak mereka diambil tindakan pihak sekolah.

Kini mesyuarat PIBG diadakan di banyak sekolah sebagai pentas kempen Umno selepas ceramah yang dianjurkan mereka tidak mendapat sambutan.

Malam Sabtu lalu Umno menganjurkan ceramah berkelompok di rumah seorang penduduk berhampiran Masjid Lundang yang dihadiri beberapa kerat penduduk terutamanya wanita.

Turut kelihatan berucap pada majlis berkenaan pegawai Jabatan Penerangan Kelantan.

Namun program tersebut tenggelam kerana tidak jauh dari situ PAS mengadakan ceramah perasmian Markas PAS UPU Lundang.

Ceramah penerangan Umno terbabit berakhir jam 11 malam. Kemudian beberapa wanita di situ dilihat berjalan menuju ke tempat ceramah PAS pula.

Bilangan yang hadir pada ceramah PAS berpuluh kali ganda lebih ramai berbanding ceramah penerangan Umno yang diadakan di rumah bekas seorang guru.

Sempena pelancaran markas terbabit Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Ketua Muslimat PAS Pusat, Senator Mumtaz Md Nawi menyerah bendera bulan purnama kepada 11 wakil UPU Dun Bunut Payong.

Hadir sama pendakwah bebas, Ustaz Khairul Ikwan, Pengarah Pilihan Raya PAS Kota Bharu, Azahari Abdul Rahman, bekas Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak, Hamid Omar dan Mejar (B) Hassan Mahmood.

Harakah Daily

Taktik 2 pemandu tak menjadi

Posted: 23 Apr 2012 01:00 AM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Taktik dua pemandu lori mengubah suai tangki minyak lori penunda dan kepala treler bagi tujuan membeli diesel bersubsidi tidak menjadi apabila ditahan dalam ser­buan, petang kelmarin.

Serbuan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri pada jam 3 petang di sebuah stesen minyak Jalan Seremban – Tampin, di sini.

Ketua operasi, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim berkata, ia adalah hasil aduan orang ramai dan kegiatan dipercayai dilakukan sejak sebulan lalu.

Menurutnya, dua pemandu lori berusia 30-an ditahan ketika sibuk mengisi tangki minyak masing-masing.

"Mereka yang terkejut ketika ditahan bagaimanapun tidak melarikan diri dan memberikan kerjasama.

"Hasil pemeriksaan mendapati tangki minyak lori penunda dan kepala treler terbabit telah diubah suai kepada tangki khas yang lebih besar bagi membolehkan minyak diesel diisi dalam kuantiti lebih banyak," katanya.

Hishamuddin berkata, pihaknya percaya dua lelaki terbabit menjalankan kegiatan tersebut lebih daripada sekali pada setiap hari sebelum menyimpan minyak berkenaan di tempat pengumpulan.

Menurutnya, modus operandi ialah menggunakan lori penunda dan kepala treler bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kita mengesyaki mereka membeli minyak dalam kuantiti banyak bagi tujuan penyimpanan dan untuk dijual dalam pasaran gelap.

"Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan JPJ telah mengeluarkan saman bagi kesalahan mengubahsuai kenderaan," katanya.

Sinar Harian

Polis umpan ‘duit surat khabar’

Posted: 23 Apr 2012 12:54 AM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

HI-TECH - Polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim, diketuai Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berjaya menahan dua remaja lelaki yang juga suspek curi motosikal berusia 20-an di dua lokasi berasingan kira-kira jam empat dan sembilan pagi, kelmarin.

Difahamkan polis membuat penyamaran sebagai pembeli sudah berurusan dengan dua suspek berasal dari Baling itu sejak tiga hari lalu dan menetapkan kawasan tempat letak kereta Hospital Kulim sebagai tempat dimana mereka akan berjumpa.

Polis berjaya mengaburi pandangan suspek dengan hanya menggunakan keratan surat khabar sebagai duit.

Kira-kira jam tiga pagi, suspek pertama masuk ke perkarangan hospital dan menuju ke tempat dijanjikan dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Suspek kemudian memaklumkan polis, harga motosikal jenis Yamaha 125Z dipesan terpaksa dinaikkan dari RM500 kepada RM1,100 kerana ia motosikal baru.

Polis bersetuju dengan harga ditawarkan, tetapi mendesak suspek menunjukkan motosikal dimaksudkan terlebih dahulu berikutan suspek sebelum itu enggan berbuat demikian.

Hampir dua jam berbincang akhirnya suspek bersetuju menunjukkan motosikal Yamaha 125Z yang dilaporkan hilang dua hari lalu.

Setelah bersetuju, polis kemudian menunjukkan 'wang' yang ada dan meminta suspek menunjukkan motosikal Yamaha LC 135 itu.

Namun disebabkan curiga dengan perlakuan di sekeliling tempat perbincangan diadakan, suspek pertama bersama dua lagi rakannya masing-masing membawa motosikal curi cuba melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya ditahan.

Suspek menunggang motosikal Yamaha 125Z dan Yamaha LC 135 memecut melarikan diri dari kawasan hospital, tetapi dipintas polis sebelum salah seorang daripadanya merempuh pembahagi jalan di hadapan hentian bas, manakala seorang lagi terbabas.

Mereka kemudian melarikan diri ke semak berhampiran, sementara suspek yang berjaya ditahan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim.

Pemeriksaan mendapati suspek ditahan mempunyai rekod lampau mencuri motosikal, sementara usaha menjejaki dua lagi suspek terus dijalankan dengan bantuan Pertubuhan Prihatin dan Kebaktian Masyarakat Kulim.

Kira-kira jam sembilan pagi semalam, ketika unit MPV polis dari Balai Polis Hi-Tech sedang membuat rondaan, mereka menemui seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berjalan berseorangan di kawasan taman perumahan.

Apabila MPV mendekati suspek, dia bertindak melarikan diri sebelum ditahan dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut serta mengaku pernah mencuri motosikal di Sungai Petani dan Kulim.

Ibu suspek turut di balai polis kelihatan menangis sebaik suspek dibawa keluar dalam keadaan bergari sebelum pindahkan ke Balai Polis Kulim.

Dengan tertangkapnya suspek terlibat, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian motosikal berlaku di sekitar Kulim dan Hi-Tech.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh mengucapkan tahniah kejayaan anggotanya sehingga tertangkapnya suspek.

Menurutnya kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

"Kita akan membanteras dan menahan semua penjenayah terlibat dalam kegiatan curi motosikal di sekitar Kulim hingga ke akar umbi. Kejayaan ini tidak dapat diperoleh tanpa bantuan orang ramai.

"Saya berterima kasih terhadap kerjasama diberikan dan berharap agar hubungan baik antara orang awam dan polis terus terjalin," katanya.

Ghuzlan berkata, sehingga kini polis telah mengenal pasti beberapa lokasi dipercayai tempat menyimpan motosikal curi dan tempat tinggal suspek terlibat.

Sinar Harian

2 lelaki didenda, terima rasuah tukar keputusan ujian dadah

Posted: 23 Apr 2012 12:47 AM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BHARU - Dua lelaki didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan bersubahat menerima rasuah RM5,000 untuk menukarkan keputusan ujian dadah, tahun lepas.

Hakim Mohd Nasir Nordin memerintahkan Khairuz Fizran Abdul Kadir, 25, dan Mohd Norizam Sabran, 29, masing-masing membayar denda RM5,000 dan RM6,000 atau penjara tiga bulan selepas mereka mengaku salah atas tuduhan pilihan.

Kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur didakwa menerima rasuah daripada pemilik kedai emas, Loh Ah Ba @ Hsih Mei Hsing, 63, sebagai dorongan menggunakan pengaruh pegawai daripada Jabatan Kimia Johor Bharu untuk menukarkan keputusan ujian dadah.

Khairuz Fizran dan Mohd Norizam didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Nasi Kandar Shafina Sdn Bhd, di nombor 22-02, Jalan Tun Abdul Razak, Susur 6, Taman Suria Muafakat, di sini, kira-kira pukul 9.20 malam, 16 Jun 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 163 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mereka pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Mengikut fakta kes, pada Februari 2011, suami kepada rakan Loh, iaitu Gan Kok Seng, 53, telah ditangkap oleh polis berkaitan kes dadah dan sehubungan itu, Loh telah meminta bantuan daripada kedua-dua tertuduh yang dikatakan mempunyai kenalan daripada Jabatan Kimia Johor Bharu.

Kedua-dua tertuduh ditangkap pada 16 Jun 2011, pukul 9.20 malam selepas menerima wang itu di Restoran Nasi Kandar Shafina, selepas wanita itu melaporkan kepada SPRM pada hari yang sama, pukul 6.30 petang.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noorfazlin Hamdan dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Sinar Harian

Remaja dakwa dicucuh rokok, seterika panas

Posted: 23 Apr 2012 12:34 AM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun berasal dari Bandung Indonesia membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam sembilan malam kelmarin setelah mendakwa didera oleh majikannya sejak beberapa bulan lalu.

Mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah hanya mahu dikenali sebagai Ayu berkata, dia datang ke negara ini sejak lima bulan lalu.

Menurutnya, sebelum ini dia dijanjikan bekerja di sektor industri, bagaimanapun terpaksa menjadi pembantu rumah apabila tiba di sini.

"Sepanjang bekerja di rumah majikan, aku sering dimarahi olehnya. Lebih menyedihkan apabila badan aku turut dicederakan. Kerana tidak tahan dengan sikapnya, aku telah melarikan diri sebelum membuat lapo-ran polis.

"Aku datang ke Malaysia untuk bekerja dan mendapatkan wang, tetapi sebaliknya berlaku. Dari mula aku bekerja sehinggalah hari aku meninggalkan majikan aku, aku terus diseksa," katanya yang ditemui di luar Balai Polis Kulim.

Ayu mendakwa, majikannya turut bertindak mencucuh puntung rokok ke muka dan badannya, selain turut mencederakannya dengan menggunakan seterika panas.

Menurutnya, dia pernah memberitahu majikannya sekiranya perbuatan mereka tidak berubah, dia akan melarikan diri, sebaliknya dirinya pula diugut.

"Suami majikan mengugut aku supaya jangan balik lagi ke rumah sekiranya aku melarikan diri dari rumah mereka. Jika ejen menghantar aku balik ke rumah mereka, pasangan suami isteri itu akan bunuh aku," katanya.

Menurutnya dia akan menunggu wakil kedutaan Indonesia datang ke balai polis untuk menghantarnya balik ke Indonesia.

"Aku terpaksa berhutang hampir RM10,000 untuk datang bekerja di sini. Sebaliknya aku terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat bekerja," katanya.

Sinar Harian

Kontraktor papan iklan maut terjatuh tangga

Posted: 23 Apr 2012 12:27 AM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KANGAR – Seorang kontraktor papan iklan maut akibat terjatuh setinggi kira-kira 10 meter ketika menurunkan papan iklan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pengkalan Asam, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, Lim Teik Hock , 48, bersama dua lagi rakannya sedang menurunkan papan iklan terbabit, namun disebabkan keadaan papan tanda yang berat menyebabkan kedudukan Teik Hock tidak stabil dan terjatuh dari tangga yang dinaikinya.

Rakanya, Anuar Awang, 53, berkata, ketika itu, dia dan seorang lagi rakanya berada di sebelah kiri dan mangsa seorang diri berada di sebelah kanan papan tanda terbabit, namun ketika mereka sedang menurunkan papan tanda itu, Teik Hock hilang kawalan dan terjatuh.

"Pagi ini kami menurunkan dua keping papan tanda, papan tanda yang pertama sudah berjaya diturunkan, semasa menurunkan papan tanda kedua inilah kedudukan Teik Hock tidak stabil dan terjatuh dari tangga.

"Dia (Teik Hock) terjatuh dengan mukanya tersembam ke tar, tidak sangka kemalangan ini menyebabkan dia mengalami kecederaan parah dan meninggal," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tunku Fauziah (HTF), semalam.

Sementara itu, adik mangsa, Lim Hock Soon, 46, berkata, sebelum ini dia pernah meminta abang sulungnya itu berhenti daripada melakukan pekerjaan yang berbahaya itu, namun tidak diendahkan mangsa.

Hock Soon berkata, dia tidak menyangka permintaan supaya abangnya itu bersara daripada melakukan pekerjaan itu berakhir apabila dia dimaklumkan rakanya bahawa Teik Hock terlibat dalam kemalangan ketika menurunkan papan tanda.

Katanya, dia dimaklumkan doktor bahawa ketika kemalangan itu berlaku, terdapat darah yang berkumpul di kerongkongnya.

"Sebelum ini, saya pernah memberi cadangan kepadanya untuk berhenti daripada melakukan pekerjaan itu dan bekerja dengan saya, namun disebabkan minatnya dalam bidang itu, dia tidak mengendahkan kata-kata saya.

"Dia juga tidak memaklumkan kepada saya bahawa dia akan pergi bekerja pada hari ini (semalam), sedangkan sepatutnya dia mula bekerja pada minggu hadapan, tidak sangka dia akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan dan mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut.

Sinar Harian

Mangsa lemas ditemui tersangkut pada ranting pokok

Posted: 23 Apr 2012 12:25 AM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Kerja mencari dan menyelamat yang dijalankan sejak Khamis lalu dihentikan selepas penemuan mayat mangsa lemas di lebih kurang 200 meter dari jeti Semenang, dekat sini.

Pegawai Operasi, Nazri Mohamat, berkata, sepasukan menyelamat mengadakan operasi mencari dan menyelamat sepanjang Sungai Perak bagi mencari seorang mangsa yang dipercayai lemas selepas turun memancing udang bersama anaknya.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Ramlan Ahmad, 34, ditemui tersangkut pada ranting pokok oleh pihaknya kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Ketika ditemui mayat itu dalam keadaan terlentang dan berpakaian lengkap malah kami mendapati terdapat kecederaan pada punggung mangsa.

"Lelaki ini merupakan bapa kepada kanak-kanak yang turut lemas dijumpai pada Jumaat lalu, selepas mereka turun bersama-sama untuk memancing udang di Sungai Perak pada pagi Khamis lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, pada Sabtu lalu Sinar Harian menyiarkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ditemui lemas di celah rumput berikutan bot yang dinaiki terbalik, di Sungai Perak, kira-kira 200 meter dari Jambatan Sultan Yusuf dekat Ladang Nova Scotia.

Nazri berkata, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Teluk Intan, bagi tindakan selanjutnya.

"Penemuan kedua-dua mangsa adalah hasil kerjasama polis, Bomba dan Penyelamat dari Hutan Melintang, Teluk Intan, Unit Skuba dari Pulau Pangkor, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk," katanya.

Sinar Harian

Orang Asal Perak, Pahang diangkut ke Kelantan

Posted: 23 Apr 2012 12:08 AM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG: Ramai di kalangan pemimpin masyarakat tempatan di sini mendakwa sekumpulan masyarakat Orang Asal yang berhimpun di hadapan Kompleks Kota Darulnaim baru-baru ini dibawa khas dari Pahang dan Perak.

Kata mereka hanya sekitar 20 peratus sahaja penduduk Orang Asal yang diangkut dari Gua Musang dengan ditaja khas pihak tertentu.

Jurucakap badan bukan kerajaan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat Orang Asal di sini berkata, hanya segelintir sahaja penduduk Orang Asal dari Pos Belatim yang diangkut khas ke Kota Bharu menyertai perhimpunan tersebut.

"Rata-rata masyarakat Orang Asal di sini memang saya kenal. Tetapi sebahagian besar yang diangkut ke SUK baru-baru ini bukan penduduk Orang Asal tempatan.

"Mereka diangkut dengan tujuh bas yang disewa khas dan ditaja pihak tertentu," katanya di sini.

Pada 15 April lalu sekumpulan penduduk Orang Asal berdemontrasi di hadapan Kota Darulnaim dan menyerah memorandum mendesak kerajaan negeri mewarta tanah adat mereka.

Perhimpunan itu didakwa dianjur Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan yang diketuai Azmi Badol.

Ekoran itu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan sebahagian besar masyarakat Orang Asal terbabit bukan berasal dari Kelantan.

Namun media semalam melaporkan Azmi menafikan Orang Asal terbabit berasal dari luar Kelantan dan mendesak Menteri Besar memohon maaf.

Jurucakap NGO terbabit mendakwa perhimpunan berkenaan sebenarnya ada kaitan dengan Jaringan Orang Asli Semenanjung yang mendesak kerajaan-kerajaan negeri mewartakan tanah adat.

Malah ia turut disertai Orang Asal dari Selangor dan termasuk juga seorang peguam di kalangan kaum terbabit.

"Buat apa desak Menteri Besar mohon maaf, sedangkan bukti cukup jelas Orang Asal dari luar Kelantan yang dikerah berhimpun di depan SUK baru-baru ini," ujarnya.

Pada Febuari lalu sekumpulan Orang Asal dipercayai didalangi Jaringan Orang Asal Semenanjung mengadakan demontrasi dan sekatan jalan raya di Kuala Betis, Gua Musang.

Ekoran itu penduduk Orang Asal tempatan, Ajom A/L Alang membuat laporan polis kerana tidak senang dengan tindakan JOAS yang disifatkan menganggu kehidupan mereka.

Ini kerana kumpulan terbabit sebahagian besar bukan penduduk Orang Asal tempatan, sebaliknya didatangkan dari Perak dan Pahang.

Sebelum ini Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menjelaskan kawasan seluas 100 hektar di Pos Jedip dalam proses untuk diwartakan sebagai penempatan masyarakat Orang Asal.

Selain itu pada 2010 kerajaan negeri menyerah surat hak milik tanah kepada 89 penduduk Orang Asal di Pos Sendrop, Lojing.

Harakah Daily

Tan Sri Kadir, Catriona Ross bakal meriahkan makan malam PAS Titiwangsa

Posted: 22 Apr 2012 11:58 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa akan menganjurkan Majlis Makan Malam dan Pelancaran Dana PRU ke 13 Parlimen Titiwangsa pada 30 April 2012.

Majlis yang akan bermula jam 8.30 malam itu akan diadakan di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut akan dimeriahkan dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir.

Selain beliau, seorang lagi adalah Puan Catriona Ross, selebriti terkenal yang telah berhijrah ke dunia dakwah.

Antara pemimpin PAS yang akan hadir pula termasuk Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, yang juga ahli parlimen angkat untuk parlimen Titiwangsa.

Selain beliau Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, timbalannya Dr Siti Mariah Mahmud serta AJK PAS Pusat Ustazah Nuridah Saleh dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Tuan Haji Mohamad Noor Mohamad.
Difahamkan Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir yang akan menyampaikan pidatonya turut akan mengumumkan suatu kejutan pada majlis itu.

Bagi mereka yang ingin membeli kupon dengan harga serendah RM100 untuk satu kupon dan RM1,000 semeja, boleh menghubungi pihak penganjur di talian 012 4646292 atau 019 9988997.

Harakah Daily

Apa jadi dengan Awang Adek?

Posted: 22 Apr 2012 11:56 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

APA Najib dan UMNO hendak buat dengan Dr. Awang Adek Husein yang disambung menjadi senator pada 8 April lalu?

Yang menariknya dia adalah UMNO paling kanan di Kelantan selepas Dato Seri Mustapa Mohamad. Dia calon Menteri Besar kalau Barisan Nasional menang. Atau menteri kabinet kiranya BN berkuasa lagi jika Dato Pa jadi menteri besar.

Tetapi dia dijadikan senator lagi sedang PRU 13 sudah tinggal kurang dari 100 hari.

Adakah dia tidak bertanding dalam PRU itu, memadai kekal sebagai senator? Jika BN menang lagi bolehlah jadi menteri atau timbalan menteri selama tiga tahun saja. Penggal senatorshipnya yang terakhir. Selepas tiga tahun dia tamat dan hilang kelayakan jadi menteri kecuali dia menang pilihan raya Parlimen di mana-mana.

Kalau dia jadi calon Parlimen dalam PRU ini, dia kena letak jawatan senator. Dia tidak boleh senator lagi selepas itu kerana tempohnya sudah tamat. Seseorang hanya boleh jadi senator dua penggal.

Kalau dia kalah tetapi BN berkuasa lagi di Putrajaya, dia tidak boleh jadi menteri lagi kerana tidak layak lagi jadi senator.

Pengalaman Dato Wan Ahmad Farid Wan Salleh adalah contoh terbaik. Dia jadi Timbalan Menteri sebagai seorang senator. Sebaik senatorshipnya disambung dia meletak jawatan kerana jadi calon BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Tiba-tiba dia kalah. Kelayakan jadi senator sudah habis. Maka lucut jawatan timbalan menterinya. Jika dia terus jadi senator, dia boleh kekal jadi timbalan menteri hingga 7 April lalu. Tiada penggal ketiga bagi seorang senator.

Adakah Awang Adek akan letak jawatan senator untuk bertanding PRU 13 ini? Dia boleh jadi calon DUN dan boleh juga jadi calon Parlimen serentak. Bertuah kalau menang kedua-duanya atau menang salah satu. Dan mungkin juga kalah kedua-duanya.

Tiada siapa terfikir PAS akan kalah di Kelantan kecuali dengan kehendak Allah. Kalau PAS berkuasa lagi dan Awang Adek menang DUN, bolehlah dia jadi ketua pembangkang. Tetapi jika kalah lagi di Parlimen Bachok, Putrajaya masih di tangan BN, Awang Adek hilang peluang jadi timbalan menteri atau menteri.

Kiranya dia tidak meletak jawatan sebagai senator, kiranya BN menang lagi Awang Adek boleh kekal sebagai timbalan menteri atau menteri selama tiga tahun lagi.

Jika dia memilih untuk tidak menjadi calon, berpuas hati sebagai senator, maka dia tidak kira anak jantan dalam politik. Semasa PAS tidak meletakkan calon Muslimat dulu, senator itu dikira jawatan untuk orang perempuan saja. Kiranya BN mengekalkan Awang Adek sebagai senator, maka BN mengibaratkan Awang Adek sebagai orang perempuan saja.

Datuk Seri Najib telah mensyaratkan calon BN adalah terdiri dari orang yang boleh menang. Ketua UMNO Bahagian atau Anggota Majlis Tertinggi UMNO yang dirasakan tidak menjadi calon yang boleh menang, maka dia tidak akan dicalonkan.

Tempat yang sesuai bagi calon yang payah menang itu adalah di Dewan Senat saja. Awang Adek sudah tidak dapat mengulangi kemenangan di Bachok tahun 2008. Dia kalah dengan calon dari luar Kelantan yang bukan orang Kelantan.

Kalau dengan bukan orang Kelantan dari dari luar Kelantan pun dia pernah kalah, maka apakah dia boleh menang kalau berlawan dengan orang Bachok sendiri?

Mungkinkah Najib mengekalkannya sebagai senator kerana dia tidak dianggap calon winnable?

Wan Ahmad Farid telah dikritik kerana menerima tawaran disambung semula kerusi senat sedang kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada masa itu sudah kosong. Kemudian dia meletak jawatan senator yang baru disambung itu untuk menjadi calon. Adakah Awang Adek akan mengulangi politik yang dilalui oleh Wan Farid?

Apa UMNO buat pada Awang Adek dengan menjadikannya senator lagi pada ambang denggi pilihan raya sudah melanda?

Harakah Daily

Isu ponteng perlu dipandang serius

Posted: 22 Apr 2012 11:53 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BERA – Sejauh mana isu ponteng sekolah di daerah ini dipandang serius komuniti memandangkan masih ada kes penglibatan pelajar dengan aktiviti gejala sosial seperti merokok, dadah mahupun gejala maksiat dilakukan pada waktu sekolah.

Walaupun laporan statistik dikeluarkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menunjukkan penurunan 0.46 peratus isu ponteng sekolah di seluruh negeri ini pada tahun lalu, namun ia tidak seharusnya dipandang ringan pihak berkenaan terutamanya pihak sekolah, ibu bapa atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD), Md Shabudin Wok berkata, aktiviti ponteng sekolah ini bukan sahaja menyebabkan pelajar terlibat ini tidak akan mendapat pendidikan sempurna malah boleh membawa mereka terjerumus dalam gejala seperti penagihan dadah.

Menurutnya, ada di kalangan pelajar sekolah terlibat dengan najis dadah sanggup ponteng sekolah untuk melepaskan gian.

"Walaupun ada di kalangan mereka yang mendapat didikan cukup daripada ibu bapa tetapi pengaruh rakan sebaya membolehkan mereka berubah.

"Hanya kerana mahu melepaskan gian, mereka sanggup ponteng sekolah sedangkan pada waktu paginya, mereka lengkap berpakaian seragam sekolah," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Md Shabudin berkata, selalunya mereka akan menukar pakaian selepas keluar dari rumah dan berjumpa rakan sebaya di kawasan yang dijanjikan bagi mengelak mereka dicekup.

Katanya, antara sasaran mereka ialah kawasan ladang, rumah tinggal atau pun bandar berdekatan asalkan kawasan itu jauh dari orang yang mereka kenali.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kanak-kanak Daerah, Muhammad Amin Sardi berkata, golongan remaja adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan apa yang berlaku di persekitaran mereka.

Katanya, sikap ingin mencuba pada awalnya, berubah menjadi lebih serius apabila ada di kalangan mereka yang mula terasa tercabar melihat kehebatan rakan sebaya yang lebih berani melanggar peraturan sekolah.

"Mereka ini memang pantang dicabar. Tetapi sayang, mereka hanya berani sahut cabaran yang ke arah negatif sahaja.

"Untuk bertindak ponteng sekolah bagi mereka itu hanya perkara kecil kerana mereka lebih bijak memboloskan diri menerusi pintu rahsia yang dicipta mereka," katanya.

Menurutnya, aktiviti ponteng sekolah ini sebenarnya lebih memberikan imej negatif bukan sahaja kepada mereka tetapi kepada pihak sekolah dan ibu bapa terbabit.

Sinar Harian

Bekas tentera tidak mampu bayar baki hutang

Posted: 22 Apr 2012 11:50 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MENTAKAB - Seorang bekas tentera merayu pihak berkenaan membenarkannya membayar hutang pembelian rumah yang kini berjumlah RM52,534.14 secara ansuran kerana tidak mampu membuat pembayaran sekali gus seperti diminta.

Rosely Salleh, 57, berkata, tambahan pula dia kini bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji hanya RM900 sebulan.

"Saya berkhidmat sebagai tentera selama 10 tahun, tetapi tiada pencen kerana berhenti awal. Dalam hal ini, saya merayu kerajaan membantu saya dan prihatin mengenai nasib kami sekeluarga.

"Ketika berkhidmat sebagai tentera, saya sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan tanah air. Sehubungan itu, saya harap kerajaan dapat membantu kerana saya benar-benar tidak mampu membayar jumlah tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Rosely berkata, dia juga bimbang jika mereka sekeluarga dipaksa keluar sekiranya tidak membayar jumlah dikehendaki.

Tambahan pula katanya, mereka tidak tahu ke mana tempat perlu dituju kerana tiada tempat tinggal lain.

"Rumah ini saya beli pada 1992. Ketika itu, rumah ini berharga RM26,889. Namun pada 2002, sampai surat meminta saya membayar sebanyak RM35,703.87 sebelum meningkat kepada RM52,534.14.

"Dengan pendapatan sebagai pengawal keselamatan, saya perlu menyara tujuh anak. Isteri, Hasiah Osman, 58, pula tidak bekerja di samping menghidap darah tinggi serta gastrik," katanya.

Rosely merayu bantuan orang ramai untuk meringankan beban mereka sekeluarga dengan memberi sumbangan ke akaun Ambank 101-002-005884-6 atau Maybank milik Hasiah, 156020320683.

Sinar Harian

Kami rindukan adik, pulanglah...

Posted: 22 Apr 2012 11:49 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TEMERLOH – Kehidupan pasangan suami isteri, Syed Daud Syed Ibrahim dan Jamilah Nordin dihantui kebimbangan apabila anak mereka, Sharifah Norazmira, 16, tidak pulang ke rumah sejak dua minggu lalu.

Syed Daud 52, yang bertugas sebagai kakitangan Jabatan Perhutanan dan tinggal di kuarters kerajaan dekat Seberang Temerloh berkata, anaknya itu dilaporkan hilang sejak 9 April lalu ketika dia dan isteri menghantar anak kedua keluar bekerja di bandar ini.

Menurutnya, ketika itu Norazmira atau mesra dipanggil 'adik' tinggal bersama datuk dan neneknya yang kebetulan berada di rumah.

"Hari itu, dia mengadu sakit perut dan tidak ke sekolah walaupun pada mulanya semua kelengkapan sudah disediakan termasuk wang belanja RM3.

"Saya keluar hampir jam 10 pagi untuk menghantar anak kedua, Sharifah Norazmida bekerja. Dalam tempoh setengah jam sahaja, Norazmira keluar sehelai sepinggang tanpa disedari datuk dan neneknya," katanya, semalam.

Syed Daud berkata, selepas menyedari kehilangan anaknya itu, dia dan isteri segera membuat laporan polis, namun sehingga hari ini masih tiada petunjuk di mana anaknya berada.

Menurutnya, Norazmira tidak pernah berkelakuan pelik seperti itu kerana dia seorang pemalu dan jarang keluar rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga.

"Pertama kali dia bertindak seperti ini membuatkan kami sekeluarga runsing mengenangkan nasibnya sekarang.

"Pada mulanya, kami sekeluarga mencari menerusi kawan-kawannya termasuk rakan sekelas di Sekolah Menengah Telok Sentang. Namun, mereka tidak tahu ke mana dia pergi membuatkan kami sekeluarga buntu," katanya.

Syed Daud berkata, dia juga menggunakan khidmat lebih 10 pengamal perubatan Islam hingga ke Negeri Sembilan untuk mengetahui lokasi sebenar adik berada.

Menurutnya, keluarganya sering melakukan solat hajat dan menggunakan pelbagai ikhtiar lain untuk bertemu semula dengan adik.

"Akibat musibah ini, kehidupan kami sekeluarga tidak terurus hingga menyebabkan prestasi kerja saya merosot," katanya.

Syed Daud berkata, dia merayu mana-mana pihak memaklumkan kepada dia atau polis jika tahu di mana anaknya berada.

"Saya juga merayu jika ada sesiapa mengambil anak saya, tolonglah pulangkan. Saya berjanji tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas mereka. Saya bersedia berbincang kerana kami sekeluarga terlalu merindui adik," katanya.

Menurutnya, pihak yang mengetahui di mana anaknya atau mempunyai sebarang petunjuk berkaitan boleh menghubungi talian 0119941736 atau 0179736930.

Sinar Harian

Pekerja kontrak mengaku salah ceroboh rumah

Posted: 22 Apr 2012 11:47 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja kontrak Telekom mengaku bersalah menceroboh masuk rumah milik seorang kontraktor di Kampung Kubang Palas, Bukit Payong, Marang pada 16 April lalu di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Muhammad Nasharizam Ghani, 19, dari Kampung Kubang Palas, Bukit Payong, Marang mengaku melakukan pencerobohan jenayah di dalam kawasan rumah milik Abdullah Mamat, 57, kira-kira jam 12.15 tengah malam bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas.

Dengan itu, Muhammad Nasharizam mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Pendaftar Mahkamah Sesyen Rosila Nik menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh jatuh hukum di Mahkamah Majistret Marang.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, pemilik rumah berkenaan berada di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang.

Kira-kira jam 12.15 tengah malam, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya yang berada di Dungun kerana anaknya menerima maklumat daripada sepupunya yang berada di Kampung Kubang Palas, memaklumkan rumah mereka telah dimasuki orang.

Tanpa membuang masa, Abdullah bersama rakannya bernama Mat Amin telah membuat intipan dan semasa itulah, Mat Amin terserempak dengan tertuduh yang dikenali sebagai Mat Jang, bersama rakannya tidak dikenali berlari ke arah sebuah motosikal yang ditinggalkan di hadapan surau di tepi pagar rumah, lalu melarikan diri.

Hasil pemeriksaan di sekitar rumahnya, Abdullah dapati cermin tingkap di bahagian stor dipecahkan, namun tiada barang yang hilang.

Abdullah mengambil keputusan membuat laporan polis bagi memastikan rumahnya tidak lagi terus menjadi sasaran penyangak memandangkan pada Februari lalu, rumahnya sudah diceroboh.

Susulan itu, tertuduh ditangkap dirumahnya pada hari sama kejadian kira-kira jam 6.30 petang di kediamannya di Kampung Palas, Bukit Payong, Marang.

Sebelum ini, Sinar Harian keluaran 18 April lalu melaporkan, seorang kontraktor bertindak berani menyerang penjenayah berkenaan berbekalkan sepucuk senapang patah, gara-gara terlalu geram sejurus mengetahui rumah miliknya yang ditinggalkan, dipecah masuk,

Dalam kejadian itu, kontraktor terbabit telah melepaskan tembakan dan terkena pada kaki salah seorang daripada penjenayah terbabit yang cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadirannya.

Bagaimanapun, kontraktor itu tidak menyangka peluru penabur yang dilepaskan terkena salah seorang suspek.

Sinar Harian

Kes guru tampar murid selesai

Posted: 22 Apr 2012 11:45 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEGAMBUT – Kes tampar dan tendang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Segambut selesai apabila ibu bapa dan guru terbabit berdamai dalam satu pertemuan di rumah murid berkenaan, kelmarin.

Pertemuan yang diatur Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan itu berakhir apabila kedua-dua belah pihak ibu bapa dan guru besar terbabit menarik balik laporan polis dibuat berhubung insiden yang berlaku.

Bapa murid itu, S Saravanan, 40, berkata, pihaknya memaafkan guru terbabit di atas apa yang berlaku dan berharap kejadian terbabit tidak akan berulang.

"Saya maafkan guru itu dan saya juga berbesar hati apabila diberitahu PIBG akan bertanggungjawab jika anak saya mengalami masalah kesihatan sampingan disebabkan insiden itu," katanya.

Menurutnya, anaknya S Suryakaran kini beransur pulih dan sihat seperti sediakala selepas mendapatkan rawatan hospital.

Dalam pertemuan itu, PIBG turut memberikan sumbangan berupa ubat-ubatan serta wang tunai bagi meringankan beban keluarga itu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PIBG, Rashid Yaakob berkata, tujuan pihaknya campur tangan adalah untuk menyelesaikan kes berkenaan.

"Ini antara tanggung jawab PIBG itu menyelesaikan masalah ini dan kami berharap juga jika ada masalah membabitkan guru dan murid ini, ibu bapa atau penjaga murid berkenaan boleh membuat aduan kepada kami," katanya.

Sinar Harian

Persie dinobat pemain terbaik PFA

Posted: 22 Apr 2012 11:43 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PENYERANG Arsenal, Robin Van Persie dinobatkan sebagai pemain terbaik sepanjang tahun oleh Persatuan Bola Sepak Profesional (PFA) atas pencapaian cemerlangnya musim ini.

Pemain berusia 28 tahun itu dijulang sebagai pemain terbaik dengan mengenepikan pesaing terdekatnya, Wayney Rooney setelah berjaya menjaringkan 34 gol dalam persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL) serta membantu Gunners berada di kedudukan ketiga terbaik liga itu.

"Ia adalah sangat istimewa kerana semua pemain melakukan yang terbaik untuk menang anugerah ini.

"Jadi ini satu penghormatan besar kepada saya setelah mereka fikir saya layak untuk digelar pemain terbaik tahun ini," kata Persie.

Tambahnya, tanpa sokongan daripada semua pihak terutama rakan sepasukan, dia mungkin tidak akan dapat mencapai pencapaian terbaik setakat ini.

"Tanpa mereka saya mungkin tidak akan berjaya, sebagai contoh Theo Walcott yang telah banyak membantu saya dan saya betul-betul menghargainya," katanya lagi.

Sementara itu, Kyle Walker yang tampil konsisten sebagai pemain pertahanan Tottenham pula dinobatkan sebagai pemain muda terbaik dengan menewaskan pemain lain iaitu Gareth Bale, Daniel Sturridge, Alex Oxlade-Chamberlain, dan juga Danny Welbeck.

Sinar Harian

Kes penipuan pakej umrah: Salah faham jadi punca

Posted: 22 Apr 2012 08:39 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MASJID TANAH - Salah faham menjadi antara punca seorang ustaz sekolah pondok di sini, dikatakan menjadi dalang sebalik kes penipuan pakej umrah baru-baru ini.

Mudir Sekolah Pondok Solok Duku, Razali Yusoffl, 51, berkata, dia banyak menerima pertanyaan mengenai perkara itu selepas berita mengenai penipuan pakej umrah itu disiarkan.

Menurutnya, penggunaan perkataan 'ustaz' dalam siaran media itu bagi merujuk kepada individu yang menawarkan pakej umrah itu tidak tepat kerana dia bukan berstatus ustaz tetapi adalah pemilik syarikat yang mengendalikan pakej berkenaan.

"Pemilik syarikat itu telah melantik saya sebagai ketua rombongan umrah berkenaan.

"Saya sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit, juga tidak benar saya dikatakan bertemu dengan Makcik Enap (mangsa yang membuat laporan polis mengenai penipuan pakej itu) kerana yang bertemunya adalah pekerja syarikat berke­naan," katanya dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, pemilik syarikat itu, yang dilabelkan sebagai seorang ustaz juga bukan seorang ustaz dan bukan seorang tenaga pengajar di sekolah pondok berkenaan.

Katanya, salah faham itu mungkin timbul kerana dia ada mengambil inisiatif mengadakan kelas bimbingan kepada bakal jemaah di sekolah pondok berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu diambil kerana ramai jemaah merasa bimbang bila tiada kelas bimbingan diadakan walaupun tarikh penerbangan sudah semakin hampir.

"Saya adakan kelas bimbingan bukan atas arahan syarikat terbabit tetapi atas dasar tanggungjawab saya sendiri terhadap bakal jemaah.

"Apabila penerbangan umrah itu dibatalkan, mangsa ada menelefon saya dan saya telah terangkan segalanya kepada be­liau. Bagaimanapun, beliau tetap tidak mahu menerima penjelasan saya.

"Sebagaimana saya terangkan, saya sama sekali tidak terbabit dengan pakej ini, bukan saya yang menjanjikan pakej umrah atau menerima bayaran jemaah. Saya cuma dilantik sebagai ketua rombongan," katanya.

Difahamkan, hampir semua mangsa yang terbabit dalam kes itu membuat laporan polis terhadap syarikat terbabit tetapi dinasihatkan supaya merujuk kes ke Tribunal Pengguna untuk tindakan selanjutnya.

Sinar Harian

2 soalan 'maut' bakal buat Najib 'kecut perut'

Posted: 22 Apr 2012 08:38 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PERMATANG PAUH: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan berdepan dua soalan maut dari wartawan dalam dan luar negara apabila menjadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia nanti.

Soalan pertama adalah kenapa harga minyak boleh diturunkan apabila Pakatan Rakyat memerintah negara sedangkan ketika Barisan Nasional (BN), bukan hanya mustahil untuk diturunkan, malah berdepan kenaikan setiap tahun.

Soalan kedua kata Anwar, bakal ketua pembangkang itu akan ditanya adakah Malaysia akan bankrap selepas harga minyak diturunkan Pakatan Rakyat.

"Dua soalan itu pasti menjadi fokus utama takkala Najib menduduki kerusi Ketua Pembangkang.

"Wartawan seluruh dunia inginkan penjelasan Najib yang selama ini memberitahu rakyat bahawa kerajaan pimpinanya akan kekurangan wang ataupun boleh bankrap jika mengisytiharkan penurunan harga minyak, " kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Rakyat Permatang Pauh di Taman Cermai, Sama Gagah, semalam.

Menurutnya, dua soalan itu sudah memadai untuk Najib 'kecut perut' kerana selama ini dia membohongi rakyat semata-mata mahu mengekalkan kuasa dan hegemoni BN.

Adalah mustahil kata Anwar, jika pendapatan Petronas RM80 bilion setahun tidak boleh membantu rakyat dengan menurunkan harga minyak.

"Najib bila kena soalan itu pasti kecut perut sebab nak kata sokong takut Umno marah, (kalau) kata tak sokong rakyat marah.

"Begitu juga dengan persoalan tentang adakah negara akan bankrap kalau minyak diturunkan. Najib akan jadi serba salah, " ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Mengulas isu pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Anwar turut membawa contoh sikap Perdana Menteri Turki.

Menurutnya, apabila perdana menteri Turki berjaya memerintah negara, beliau membuat perubahan dengan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat dan berbeza dengan pemerintahan sebelum ini.

Adalah satu kelemahan besar bagi perdana menteri Turki jika tidak mampu berikan pendidikan percuma pada anak bangsanya.

Namun kata Anwar, Perdana Menteri Malaysia langsung tidak timbul perasaan belas kasihan terhadap pelajar yang terpaksa menanggung hutang untuk belajar.

"Perdana Menteri Turki kata dia nak letak muka di mana jika tidak boleh berikan pendidikan percuma pada rakyat sebab ramai yang berada di pedalaman Turki tidak mampu.

"Cara hutang menghadkan rakyat yang miskin memasuki univesiti. Itu baru sikap seorang pemimpin " terangnya diikuti laungan reformasi beberapa kali.

Turut serta berucap dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Saleh Man, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Haji Omar Hasan.

Harakah Daily

Gempa bumi sederhana landa kepulauan Tanimbar, Indonesia

Posted: 22 Apr 2012 08:34 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter berlaku di wilayah Kepulauan Tanimbar, Indonesia pada 11.37 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata gempa itu berpusat di 513km tenggara Ambon, Indonesia dan 1,917km tenggara Semporna, Sabah.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. -- Bernama

Sinar Harian

Wanita pekerja pusat urut dakwa dipukul polis

Posted: 22 Apr 2012 08:31 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang pekerja wanita berusia 42 tahun di sebuah pusat urut di Taman Rakyat, mendakwa dipukul sekumpulan anggota polis sewaktu ditahan ketika serbuan di premis berkenaan 14 April lalu.

Lay Suet Peng mendakwa dipukul di bahagian kepala dan belakang menyebabkannya terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, beberapa anggota polis termasuk seorang wanita datang melakukan pemeriksaan dan menahan saya serta seorang lagi pekerja setelah mendapati pusat urut itu tidak berlesen.

"Saya baru dua bulan bekerja di kedai urut refleksologi ini dan difahamkan ia mempunyai lesen dan pemiliknya sedang dalam proses menukar nama premis perniagaan ini," katanya.

Menurutnya, sewaktu dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, dia cuba melarikan diri setelah curiga kerana semua anggota berpakaian biasa sewaktu serbuan malah hanya seorang yang menunjukkan kad kuasa polis.

"Sewaktu bergelut untuk lari, saya tertepis mulut seorang anggota polis, luka sikit. Kemudian mereka gari saya, dipukul dan dimaki ketika berada di dalam kenderaan polis. Saya dibebaskan kira-kira lima jam selepas ditahan.

"Saya tidak puas hati dengan tindakan itu dan membuat laporan di IPD Kota Setar 19 April lalu agar tindakan sewajarnya diambil terhadap anggota berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi Sinar Harian, berkata, polis akan menyiasat dakwaan wanita berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke IPD Kota Setar, wanita itu bertindak agresif dan menyebabkan kecederaan­ terhadap dua anggota termasuk seorang anggota wanita yang mengandung.

"Kita akan menyiasat laporan yang dibuatnya. Malah kita akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan terhadap wanita itu kerana bertindak agresif dan menghalang tugas polis," katanya.

Sinar Harian

EPL: Mancini anggap MU tetap pilihan jadi juara

Posted: 22 Apr 2012 08:30 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PENGURUS Manchester City, Roberto Mancini masih menganggap Manchester United (MU) sebagai pilihan untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini walapun kelab itu telah merapatkan jurang mata ekoran kemenangan ke atas Wolves, semalam.

Dalam perlawanan semalam, City menewaskan Wolves 2-0 manakala MU hanya seri 4-4 dengan Everton.

Jika Manchester City menang pertemuan dengan MU pada 30 April ini, maka ia akan kembali ke kedudukan teratas dari segi perbezaan gol.

Dalam satu kenyataan kepa BBC, Mancini berkata: "Mereka sentiasa berada di atas dan masih di hadapan dengan kelebihan tiga mata."

"Lagipun selepas ini, mereka mempunyai dua perlawanan yang mudah, dan ia berbeza dengan kami yang tidak mempunyai peluang untuk menang perlawanan akan datang," kata beliau lagi.

Tambah Mancini, dengan rekod memenangi 19 gelaran sebelum ini, beliau yakin mereka akan terus berada di kedudukan yang terbaik untuk bergelar juara kali ke-20.

"Buat masa ini, kami tidak mempunyai sebarang tekanan kerana kami tidak membuat sebarang jangkaan untuk menang.

"Apa yang penting kami mahu menamatkan musim ini dengan cemerlang," kata Mancini.

Kedua-dua pasukan itu telah mengumpulkan 83 dan 80 mata dengan melengkapkan 35 perlawanan setakat ini.

Sinar Harian

Sorok dadah dalam kotak minuman terbongkar

Posted: 22 Apr 2012 08:28 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh berdepan huku­man­ mati mandatori setelah taktiknya menyorokkan dadah jenis heroin di dalam kotak minuman terbongkar pada 10 April lalu.

Tertuduh, Fairuz Ghadafi Zam-Zam, 32, dari Kampung Banggol Durian, Jalan Kubang Bujuk, di sini, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, mengedar dadah jenis heroin seberat 50.30 gram (berat kasar) pada 10 April lalu kira-kira jam 3 pagi di tepi jalan KM49, Kota
Bharu, Kampung Sungai Bari, Sungai Tong, Setiu.

Bagaimanapun, Fairuz Ghadafi hanya mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu dibacakan di hada­pan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rosila Nik.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan. Rosila menetapkan 5 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda.

Sebelum ini, tertuduh berjaya diberkas bersama barang kes iaitu tujuh botol serbuk dadah jenis heroin oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dalam satu Rondaan Cegah Jenayah.

Tertuduh ketika itu sedang berehat di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipercayai milik adiknya dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Kuala Terengganu.

Siasatan awal mendapati tertuduh menjalankan kegiatan menjual dadah sejak dua tahun lalu dengan mendapatkan beka­lan­ dadah itu dari negara jiran iaitu Thailand.

Tertuduh yang turut positif dadah jenis methamphetamine dan morphin semasa ditahan juga pernah meringkuk di penjara selama lima tahun sebelum ini serta turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau termasuk jenayah dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

Sinar Harian

Pelajar Upsi murung sebelum maut jatuh bangunan

Posted: 22 Apr 2012 08:27 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MUAR – "Kebelakangan ini arwah kelihatan murung dan suka menyendiri," kata Noralis Mohamad, 22, rakan sekelas Fatima Mina Md Juferi, 22, iaitu pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) yang terbunuh selepas dikatakan terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di universiti terbabit petang kelmarin.

Menurutnya, dia tidak mengetahui punca arwah murung dan dilihat sudah berlarutan sejak beberapa semester.

"Arwah juga menjadi semakin pendiam apabila masuk semester empat dan pernah bertanya kepada arwah tentang masalah yang dihadapinya, tetapi dia hanya membisu sahaja.

"Semasa tahun pertama pengajian dia kelihatan ceria seperti pelajar lain dan difahamkan masalah yang dihadapinya berkaitan keluarga," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Kampung Jeram Bukit Batu, Bakri, di sini, semalam.

Seorang lagi rakannya, Munira Mamud, 21, berkata, rakaman melalui kamera litar tertutup (CCTV) di Upsi menunjukkan arwah memasuki lif ke tingkat lima blok bangunan kuliah pada kira-kira jam 5.15 petang kelmarin secara bersendirian.

Menurutnya, insiden itu turut disedari seorang pelajar yang kebetulan­ sedang menghadapi peperiksaan di dalam dewan di situ dan mahu ke tandas lalu terlihat satu objek melayang dan jatuh ke atas ruang pejalan kaki.

"Pelajart terbabit memaklumkan kepada pensyarah yang kemudian menghubungi ambulans.

"Beberapa pelajar yang berada di lokasi sempat mengajar mengucap ketika arwah masih bernafas," katanya.

Munira berkata, Fatima Mina juga menunjukkan perubahan ketara beberapa hari sebelum kejadian seperti tidak mempedulikan orang yang bercakap dengannya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa Iskandar Ali, 40-an, berkata, anak saudaranya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika kali terakhir mereka bertemu dua minggu lalu.

"Arwah seorang yang rapat dengan adik-beradiknya yang lain," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu merupakan penuntut semester empat Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 6, tengah hari semalam.

Sinar Harian

10 resolusi konvensyen hala tuju Felda

Posted: 22 Apr 2012 07:58 PM PDT

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Konvesyen hala tuju Felda yang berlangsung di Universiti Industri Selangor semalam membuat 10 resolusi khas bagi menentukan kedudukan Felda pada masa hadapan.

Presiden Anak, Mazlan Aliman menjelaskan resolusi yang diperolehi ini adalah hasil kesepakatan semua yang hadir sama ada melalui perbentangan kertas kerja oleh panel, ulasan mahupun soal jawab peneroka yang hadir.

"Hari ini lahirlah satu resolusi khas untuk kita membawa menentukan hala tuju Felda pada masa hadapan apatah lagi setelah Pakatan Rakyat diberi mandat untuk memerintah negara ini.

"Melalui resolusi ini juga kita dapat menaikan martabat Felda pada tahap yang sepatutnya bukannya menjadikan Felda sebagai satu gadaian untuk memperolehi wang secara segera," jelasnya sewaktu membaca resolusi hala tuju Felda.

10 resolusi yang dicapai semalam adalah:

1. Menentang penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) di atas tiga perkara utama;

a. Penglibatan syarikat yahudi yang merangkumi 20%;

b. Melibatkan tanah Felda Plantation yang sepatutunya diagihkan kepada generasi kedua; dan

c. Melibatkan Koperasi Permodalan Felda (KPF).

2. Tanah Felda Plantation mesti diagihkan kepada generasi kedua Felda dan rakyat yang layak;

3. Koperasi Felda di peringkat rancangan diberi peranan utama mengendalikan kebun-kebun peneroka dan bukannya Felda Technoplant;

4. Membuka peluang pekerjaan kepada generasi kedua dalam perladangan, perniagaan dan seluruh pengurusan Felda;

5. Jawatan pengerusi Felda hendaklah diberikan kepada anak peneroka;

6. Memperuntukkan kuota ahli lembaga pengarah Felda dan 47 anak-anak syarikat Felda kepada generasi kedua Felda sebanyak 50%;

7. Mewujudkan Universiti Felda untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan dan pakar-pakar dalam bidang perladangan, bioteknologi dan sebagainya dari anak-anak peneroka;

8. Mewujudkan perumahan generasi kedua Felda melalui projek Bandar baru Felda;

9. Memberi pembiayaan mudah melalui institusi-institusi kewangan kepada peneroka, generasi kedua dan kakitangan Felda untuk menambah caruman saham dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF); dan

10. Menghapuskan hutang-hutang peneroka yang tidak munasabah.

Dalam pada itu, resolusi tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak selewat-lewatnya Mei depan untuk diambil tindakan.

Harakah Daily

Tiada ulasan:

Nuffnang