Khamis, 19 April 2012

.

.


PTPTN: Haram caj lebihi kos sebenar

Posted: 18 Apr 2012 08:01 PM PDT

WAN NASRAH ABDUL RAHIM
18 April 2012
Ketua Hal Ehwal Penyelidikan, Akademi Penyelidikan Syariah Kewangan Islam Antarabangsa (Isra), Dr As
SHAH ALAM - Semua empat mazhab ulung sepakat bahawa kontrak perjanjian yang dikenakan caj perkhidmatan melebihi kos sebenar adalah haram.

Ketua Hal Ehwal Penyelidikan, Akademi Penyelidikan Syariah Kewangan Islam Antarabangsa (Isra), Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, melalui piawaian syariah adalah tidak dibenarkan bagi institusi pinjaman mengenakan peratusan yang tidak munasabah.

Katanya, caj perkhidmatan yang dikenakan mestilah mewakili kos sebenar perkhidmatan dan bukannya sekadar peratusan berasaskan nilai atau jumlah pinjaman yang diberikan.

"Skim pinjaman pendidikan mestilah bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan syarak, terutamanya dalam konteks riba," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

"Malah, Majlis Syariah AAOIFI (Organisasi Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam) dan Majlis Fiqh Sedunia di bawah Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) mengeluarkan resolusi yang jelas dengan menyatakan bahawa caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal.

"Piawai Syariah AAOIFI adalah seiring dengan Resolusi 13 yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa OIC. Ini bermakna sebarang caj yang dikenakan mestilah berasaskan kos pengurusan yang sebenar dan bukannya sekadar meletakkan peratusan seperti satu peratus, dua peratus atau tiga peratus daripada jumlah pinjaman.

Menurutnya, kitab syariah Al-Sunan Al-Kubra Lil-Baihaqi menjelaskan setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjaman adalah riba.

"Riba yang berkaitan dengan amalan memberi hutang dinamakan riba al-qard atau riba al-duyun. Hutang atau pinjaman tidak boleh dikenakan sebarang caj tambahan sama ada bersifat faedah atau perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, Majlis Fatwa OIC dan Piawai Syariah AAOIFI membenarkannya apabila caj dikenakan berasaskan kos pengurusan sebenar tanpa terikat kepada nilai hutang peminjam. Maka caj tersebut boleh dikenakan kepada peminjam tanpa mengira jumlah atau nilai hutang yang diberikan.

"Ia tidak termasuk dalam pengiraan kos sebenar perkhidmatan pengurusan hutang seperti gaji pekerja, sewa tempat, aset dan pengangkutan serta perbelanjaan umum yang meliputi pengurusan institusi.

"Semua ini bagi mengelakkan wujudnya unsur-unsur riba yang diharamkan. Apa yang penting ialah elemen riba tidak boleh di kompromi sama sekali," katanya.

Beliau berharap caj perkhidmatan dimansuhkan dan bukan memansuhkan pinjaman PTPTN, kerana ia adalah hutang yang perlu dijelaskan oleh peminjam.

Menurutnya, PTPTN tidak wajar dimansuhkan kerana ia boleh memberi manfaat kepada pelajar secara menyeluruh, berbanding skim biasiswa yang memfokuskan kelompok pelajar elit yang cemerlang akademiknya.

Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/ptptn-haram-caj-lebihi-kos-sebenar-1.40761

PTPTN: Aktivis mahasiswa mahu jaminan PM

Posted: 18 Apr 2012 07:59 PM PDT

300 mahasiswa himpun tuntut mansuh PTPTN
SHAH ALAM - Aktivis mahasiswa, yang berkhemah di Dataran Merdeka sejak Sabtu lalu, bertekad akan terus berada di premis itu sehingga kerajaan bersedia mengadakan perbincangan dengan mereka berkenaan dengan tuntutan meminta pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberi jaminan bahawa kerajaan akan membincangkan tuntutan berkenaan.
"Ya, kami ada mendengar apa yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Saifuddin Abdullah) meminta kami mengosongkan Dataran Merdeka.
"Itu adalah pandangan peribadi, cadangan individu. Kami mahu Perdana Menteri sendiri memberikan respons. Kami menghormati pandangan Datuk Saifuddin, tetapi apa yang kami mahukan ialah pendirian kerajaan, jaminan Perdana Menteri," kata Safwan ketika dihubungi Sinar Harian Online awal pagi tadi.
Ketika dihubungi, pihaknya masih berada di Dataran Merdeka dengan menganjurkan 'kuliah' di Dataran Merdeka.
Dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian Online petang semalam, Saifuddin menasihatkan kumpulan mahasiswa yang terus berkhemah di Dataran Merdeka agar menghentikan tindakan mereka secepat mungkin kerana tuntutan mereka sudah pun didengari.
Saifuddin berkata, langkah itu perlu kerana kawasan dataran tersebut turut digunakan untuk pelbagai acara lain, contohnya Konsert Diraja pada 21 April ini sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14.
Menurutnya, oleh sebab itu, kumpulan mahasiswa tersebut haruslah juga menghormati tuntutan orang lain terutamanya dalam konteks ini.
"Isu PTPTN memang dekat terutamanya kepada pelajar, oleh itu saya memahami sentimen mereka dalam isu ini.
"Mahasiswa ini perlu menghormati tugas pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang amat proaktif dan baik sekali menangani kes ini, jadi mereka juga perlu hormat orang lain," katanya.
Kata Saifuddin lagi, walaupun beliau menghormati tuntutan mahasiswa ini dan menyedari perhimpunan adalah sebahagian dari sistem demokrasi, namun ia tetap ada batasan-batasan yang perlu diikuti.
Safwan berkata, sehingga Kerajaan Pusat berkomited untuk mengadakan perbincangan dengan mereka, pihaknya akan terus mengadakan demonstrasi dan berkhemah di Dataran Merdeka.
Mengenai pandangan Menteri Penganjian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang meminta mahasiswa yang mengadakan demonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN supaya memulangkan pinjaman mereka jika tidak bersetuju, Safwan berkata, Najib dan menteri berkenaan perlu bertanggungjawab dengan kenyataan sedemikian.
"Kami mahu Khaled dan Perdana Menteri menjawab dengan cara penuh bertanggungjawab. Kami terpaksa mengambil pinjaman sebab tiada pilihan lain. Kami tidak akan mengambil pinjaman jika kerajaan menyediakan pendidikan percuma di universiti awam, ini isunya sekarang," katanya sambil menambah, para pelajar tiada pilihan lain kecuali mendapatkan kemudahan PTPTN.
"Sebagai contoh dalam kes saya, saya tidak memperoleh biasiswa untuk mengikuti pengajian jurusan pendidikan.
"Jika saya, saya dari Terengganu, mahu memohon biasiswa Yayasan Terengganu, saya perlu mendapatkan pengesahan bahawa permohonana saya telah ditolak oleh PTPTN, jadi apa pilihan yang kami ada," katanya lagi.
Katanya, itu sebab pihaknya memohon skim pinjaman dimansuhkan dan disediakan pendidikan percuma.

Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/ptptn-aktivis-mahasiswa-mahu-jaminan-pm-1.40708

Tiada ulasan:

Nuffnang