Selasa, 10 April 2012

.

.


400,000 pengundi meragukan mungkin penentu 35 kerusi, kata penganalisis

Posted: 09 Apr 2012 11:32 PM PDT

Oleh Shannon Teoh
April 10, 2012
KUALA LUMPUR, 10 April — Lebih 400,000 pengundi meragukan dalam daftar pengundi mampu untuk mengubah 35 kerusi bagi menentukan Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya atau Barisan Nasional (BN) kembali memperolehi dua pertiga majoriti di Parlimen, kata penganalisis politik tanah air.
Penganalisis bebas Ong Kian Ming berkata Projek Analisis Daftar Pengundi Malaysia (Merap) yang dijalankannya mendapati terdapat kira-kira 100,000 ribu nama bermasalah dan digabungkan dengan beberapa isu sebelum ini akan "menjadi 400,000 pengundi meragukan".
Membersihkan daftar penfundi adalah tuntutan utama pembangkang. Dan kumpulan aktivis walaupun BN menegaskan kemenangan PR di lima negeri membuktikan tidak berlaku sebarang keraguan terhadap daftar berkenaan.
Ong (gambar) berkata kepada The Malaysian Insider, perkara itu "hanyalah sebahagian masalah kecil" daripada pelbagai masalah lain yang belum dapat dikenal pastioleh kebanyakan pihak dengan jumlah pengundi sebanyak 12 juta.
"Sekiranya dibahagikan 40,000 dengan 222 kerusi, dianggarkan sekitar 1,800 pengundi. Ini berupaya untuk menentukan 35 kerusi," katanya merujuk kepada kerusi yang memperolehi kemenangan tipis.
"Sekiranya sentimen pengundi sama seperti 2008, ini akan menambah 30 kerusi PR, atau lapan lagi kerusi BN untuk memperoleh majoriti," tambah penganalisis politik ini lagi.
Kerajaan BN hanya memperolehi 140 kerusi, dengan kehilangan majoriti dua pertiga majoriti di Parlimen ketika pilihan raya 2008 termasuk empat negeri, dan Kelantan yang kekal di tangan PAS sejak 20 tahun lalu.
Perikatan itu memerlukan 112 kerusi Parlimen untuk mendapat majoriti dan 148 untuk dua pertiga.
Projek Ong itu turut mengenal pasti 100,000 pengundi dengan 10 isu berkenaan - pengundi berusia lebih 85 tahun, jantina tidak selari dengan kad pengenalan (IC), nama dan tarikh lahir yang sama, dilahirkan di luar negara, pengundi di Lembah Klang yang tidak mempunyai alamat rumah, pengundi pos dengan IC awam, pasangan polis yang menjadi pengundi pos, pasangan polis dan tentera yang mempunyai jantina yang sama, polis dan tentera melebihi had umur persaraan, dan pengundi pos tentera dan polis yang melebihi had umur rekrut.
Namun begitu, menurutnya itu tidak termasuk masalah lain, kerana beribu pengundi didaftarkan pada alamat yang sama dan 42,000 pengundi dengan IC yang tidak ditemui di pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ong turut menjelaskan terdapatnya bilangan yang meragukan pengundi di Selangor, negeri terkaya di negara ini yang mana Datuk Seri Najib Razak pernah berjanji akan menawan kembali dengan "apa cara sekalipun".
Tambahnya, daftar pengundi daripada suku 2011 menunjukkan jumlah pengundi di Selangor mengalami peningkatan mendadak kepada 340,000 atau 21.8 peratus kepada 1.9 juta pengundi sejak pilihan raya 2008 dibandingkan kadar nasional sebanyak 16.3 peratus.
Beliau menunjukkan contoh di Hulu Selangor sahaja mengalami peningkatan 17,000 pengundi, peningkatan 27.1 peratus sejak pilihan raya pada Mac 2008.
Kredibiliti daftar pengundi seringkali dipersoalkan sejak Jawatankuasa Khas Piihan Parlimen (PSC) dibentuk pada tahun lepas bagi menambah baik sistem pilihan raya.
Panel itu telah menyiapkan laporan dalam tempoh enam bulan dan menyerahkan laporan lengkap tersebut kepada Parlimen minggu lepas, namun pembangkang dan pertubuhan awam telah mengkritik berikutan terdapatnya kekurangan cadangan bagaimana ia akan membersihkan daftar pengundi.
Pemerhati pilihan raya Bersih kemudiannya mengumumkan akan mengadakan perhimpunan ketiganya menuntut pilihan raya yang bersih dan adil pada 28 April.
Perdana Menteri Najib telah mengumumkan pembentukan jawatankuasa dwipartisan pada Ogos 2011, selepas dikritik hebat berkenaan pentadbirannya menguruskan perhimpuanan Bersih pada 9 Julai yang menyaksikan ribuan rakyat mengadakan protes jalanan.

Source: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/400000-pengundi-meragukan-mungkin-penentu-35-kerusi-kata-penganalisis/

Pekak(buat tak tahu) pendedahan 'task force' mala petaka negara

Posted: 09 Apr 2012 11:30 PM PDT

KUALA LUMPUR, 10 April: Tindakan kerajaan memekakkan telinga terhadap pendedahan berani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya sebuah task force khas yang mewarga-negarakan warga asing demi menyelamatkan kerajaan BN merupakan suatu malapetaka bagi negara.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar), tindakan terdesak BN itu jauh lebih besar bahaya berbanding semua penyelewengan dana negara, kerana memberi kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan kepada warga asing bermakna menggadai kedaulatan dan masa depan negara.
"Apa erti kuasa politik seandainya keputusan politik ditentukan oleh warga asing yang diberi kad pengenalan sehingga mereka mendapat hak yang sama dengan bumiputera dalam negara ini?
"Tindakan melampau ini tidak seharusnya dipandang sepi oleh pengamal media, sehingga tiada satu pun media arus perdana yang mengangkat isu ini," selar beliau.
Bahkan, kata Tuan Ibrahim, apa yang lebih mendukacitakan ialah sikap badan-badan NGO yang selama ini bertempik mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan tanahair sunyi sepi seolah-olah isu ini hanya rekaan pembangkang.
Mahfuz, yang juga ahli parlimen Pokok Sena sebelum ini mendedahkan wujudnya 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

Mahfuz turut mendakwa bahawa 'task force' tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara  Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Walaupun berat, Wan Ahmad hanya sekadar menafikan dakwaan beliau bahawa tidak terlibat dengan task force berkenaan dan Thajudeen berkata tidak tahu-menahu dengan apa yang didakwa Mahfuz.
Meskipun demikian, Mahfuz mempertahankan kenyataannya kerana mendakwa ada bukti kukuh membuktikan perkara berkenaan.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu turut menyatakan kesediaannya untuk membantu Suruhanjaya Diraja yang akan dibentuk untuk meneliti semua dakwaannya berhubung wujudnya 'task force' tersebut.
"Seandainya ia suatu rekaan, tentulah Mahfuz tidak berani untuk menyenaraikan satu persatu nama yang terlibat kerana ia terdedah kepada tindakan perundangan seperti saman, siasatan dan tindakan undang-undang. Kesediaan beliau untuk memberi segala maklumat kepada Suruhanjaya Diraja, merupakan tindakan berani bagi mendedahkan isu besar ini," terang Tuan Ibrahim.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang berkata parti akan terus mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi meneliti dan membuat siasatan rapi berhubung dakwaan ini.
"Kegagalan kerajaan membentuk suruhanjaya ini dilihat sebagai bukti jelas kebenaran apa yang didakwakan oleh ahli parlimen Pokok Sena," tegas beliau.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/9461-pekak-pendedahan-task-force-mala-petaka-negara

Hapus PTPTN dan Pendidikan Percuma Rasional atau Tidak ?

Posted: 09 Apr 2012 10:20 AM PDT

1.  Isu penghapusan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional [PTPTN] semakin rancak apabila reaksi mahasiswa dan anak muda terhadap tindakan kerajaan menafikan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta. Tan Sri Tajuddin menyebabkan liabiliti tanggungan RM8 bilion. YAB Datuk Seri Najib Tun Abd Razak memutuskan hutangnya sebanyak RM589 juta kepada Dana Harta dihapus kira walaupun tiga tahun lalu mahkamah memerintahkan beliau melangsaikannya.

2. Berbangkitnya  isu PTPTN oleh anak - anak muda dewasa kini, juga ekoran tindakan PTPTN bermaharajalela melebihi Bank  dan dilihat menindas graduan. PTPTN tidaklah dilesenkan sebagai sebuah institusi kewangan di bawah peruntukan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan, apatah lagi tidak dikawal selia di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia. Kalau kita disenaraihitamkan oleh bank kerana tidak membayar hutang, samaada hutang rumah atau kereta, mereka dakwa kita di mahkamah mengikut prosedur, dan kita masih boleh ke mana-mana hatta ke luar negara sekali pun. 

Along Negara.

3. Malangnya kes PTPTN ini, sebagai contoh pada 8 Jun 2011, Mandeep Singh [ isu pelajar UNISEL ] telah menjelaskan tunggakan sebanyak RM2,330.82 dan PTPTN telah mengesahkan pembayaran tunggakan itu, tetapi 6 Julai 2011 pelajar terbabit ditahan di LCCT oleh pegawai Imigresen kerana disenaraihitamkan dalam sistem komputer Jabatan Imigresen Malaysia. Insiden ini menyebabkan PTPTN dilihat tidak ubah seperti Along berlesen.

4. Along berlesen ini terus menjadi igauan ngeri yang sering menghambat keselesaan hidup anak muda yang terlibat.  PTPTN asalnya bukan wajib dipinjam, ia adalah optional disamping biasiswa negeri dan JPA. Namun wang PTPTN terpaksa dipinjam kerana ibu bapa tidak terdaya menanggung bayaran pengajian dan kampus yang tinggi. Sehingga kini negara mempunyai  1.8 juta peminjam PTPTN dan mereka ini antara golongan muda yang berumur 20 hingga 35 tahun. Tapi  lihatlah apa musibah PTPTN ke atas mereka :

a]  Purata sehari seramai 60 peminjam PTPTN ditahan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa.

b] Seramai 69,573 daripada 104,083 peminjam yang disaman oleh mahkamah sehingga Oktober 2011, kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka. (66.9% disaman)

c] Sehingga September 2011, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34% berbanding RM6.04 bilion, jumlah yang sepatutnya diperolehi,  maka seramai 132,801 pelajar telah disenarai hitamkan dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan pinjaman.

Kurangkan beban rakyat 

5. Justeru telah menjadi suatu yang telah diketahui umum bahawa komitmen Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ialah menjaga kebajikan rakyatnya serta dalam masa yang sama memastikan pendapatan negara melalui pertumbuhan ekonomi sihat dan subur. 

6. Maka saya melihat Kerajaan Pakatan Rakyat kelak sangat berpotensi untuk melunaskan komitmen tersebut melalui pembentukan sebuah pentadbiran yang adil, amanah, telus dan berintegriti atau menepati piawaian sebuah kerajaan yang disebut sebagai Good Governence.

7.  Kerajaan selayaknya menjadi Payung Rakyat bukan menjadi Along Negara yang menghambat rakyat. Guna kekayaan anugerah Allah kepada negara kita untuk rakyat dan bangunkan negara melalui pembangunan yang memulangkan manafaat kepada rakyat terbanyak bukan hanya kepada kelompok elit dan kroni. Sebelum ini, sejarah  Kerajaan UMNO dan BN sering dilihat menggunakan wang negara bernilai tinggi untuk bailout dan menjaga kepentingan syarikat GLC dan kroni yang mengalami kerugian besar dan hampir bankrap. Sebagai contoh mudah ialah :

a] MAS yang rugi sebanyak RM478 juta dan kerugian bersih setakat ini, sebanyak RM 1.2 billion. Bagaimana syarikat MAS mampu survive jika tanpa campur tangan kerajaan yang menyokong syarikat berkerugian besar ini ? persoalan lain yang berkaitan ialah bagaimana syarikat yang sepatutnya membawa pulang keuntungan besar tiba - tiba mengalami kerugian berskala besar pula ?

b] Syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan telah membeli Tanjong Energy Holdings, sebuah syarikat penjanakuasa bebas milik Ananda Krishnan yang memiliki loji janakuasa di serata Asia. Dilapor oleh The Singapore Straits Times  bahawa 1MDB telah mengambil alih kepentingan Ananda dalam Tanjong Energy pada nilai RM8.5 Bilion.

c] Menyuntik modal RM750 juta kepada BBMB, sebuah bank milik kerajaan sebelum diambil alih oleh bank milik UMNO, Bank of Commerce dan membentuk Bank Bumiputera Commerce (BCBB)

d] Pembelian saham Technology  Resource Industries (TRI) oleh Dana Harta

e]  Pengambilalihan Celcom, anak syarikat TRI oleh Telekom

f]  Memaksa KWSP membiayai projek LRT Putra serta menyelamatkan L&G dan PLUS

g] Memaksa Petronas membeli saham Proton dan ambil alih Litar Sepang

h]  Pengambilalihan semula MAS oleh kerajaan daripada Tan Sri Tajuddin Ramli yang bernilai RM 1.8 bilion

i] Pengambilalihan syarikat UMNO, Renong dan UEM oleh kerajaan melalui Dana Harta

j] Pelaburan Tabung Haji melalui TH Technologies Sdn Bhd dalam projek ERL dengan penguasaan 80% saham yang menguntungkan kroni Perdana Menteri yang menjadi rakan kongsi YTL Corporation

k] Mamaksa Dana Harta menanggung hutang lapuk berjumlah RM39.326b milik BBMB, Sime Bank dan 66 institusi kewangan yang lain.

l] Memiliknegarakan IWK setelah ia mengalami kerugian.

8. Melalui pentadbiran jimat cermat dan bebas rasuah, saya berkeyakinan Kerajaan Pakatan mampu melunaskan komitmen yang diberi. Selama ini, dibawah pentadbiran UMNO dan BN, dana negara tiris dan bocor lalu mengalir ke longkang projek yang tidak mendatangkan manafaat kepada rakyat terbanyak. Sebagai contoh : [ wang negara boleh dijimatkan jika tiada perkara ini ]

a] Projek Menara 100 tingkat

b] kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya bakal menelan RM65 juta untuk kos tambahan dan pengubahsuaian, menjelaskan bagaimana peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri memecah rekod dengan catatan RM 15.8 bilion.

c] PERMATA [Rosmah]  projek tanpa hasil signifikan kepada pembangunan negara. Perlaburan yang kabur dan tiada pulangan dalam masa terdekat.

9. Realitinya, sejumlah RM 28 bilion kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa sebagaimana yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara 2009.  Jika ketirisan wang negara [peruntukan kerajaan] dapat dikawal, RM 28 bilion dan untung Petronas RM 90 bilion sepatutnya mampu untuk meringankan beban rakyat terutama dalam menjamin masa depan pendidikan rakyat.

Bagaimana PTPTN boleh mansuh.

10. Sebenarnya tidaklah sukar untuk melihat PTPTN ini dimansuhkan. Justeru PTPTN adalah simptom akibat tradisi korporat, komersial dan kapitalisme dalam kampus tempatan sehingga menyebabkan pendidikan tinggi sebagai suatu perjudian sehingga mahasiswa dan keluarga mereka terpaksa bergolok gadai. 

11. Jika Pakatan Rakyat benar - benar mampu mengawal pentadbiran dan dana negara dari pembaziran, rasuah, ketirisan dan penyelewengan ditambah pula keupayaan menjana pertumbuhan ekonomi sihat dan subur, maka kerajaan boleh menyediakan pakej kos pengajian tinggi yang paling minima dan tidak membebankan,  malah boleh sampai ke peringkat menyediakan tawaran pendidikan percuma kepada rakyat. Apabila ini boleh dilakukan dan sepatutnya kerajaan boleh melakukannya, maka dengan sendirinya tiada siapa yang akan pergi menjerut leher di pintu masuk PTPTN.

Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi .
Suatu Sorotan .

12. Kelihatan retorik dan tidak relevan tetapi ia [pendidikan pengajian tinggi percuma] adalah suatu kewajipan asas bagi sesebuah kerajaan adil perlu diberikan kepada rakyat. Negara Libya [era Gaddafi ] pernah mencipta rekod pendidikan percuma dan elaun khas untuk mahasiswa yang berjaya ke menara gading. Libya hanya memutar wang minyak sahaja kepada kebajikan rakyat bukan melalui sumber lain selain polisi kerajaan untuk berjimat.

13.  Belum ada kes atau rujukan negara yang muflis atau mundur kerana pendidikan percuma, sebaliknya pendidikan tinggi adalah modal pembangunan kerajaan bahkan negara akan mudah maju dan makmur jika ramai mahasiswa dapat dihasilkan.

14.  Mahasiswa atau graduan yang kurang atau tiada hutang akan menjadikan mereka lebih fokus untuk memajukan diri, industri dan negara bukan sekadar bekerja over time siang malam untuk memikirkan hutang keliling pinggang.  Natijahnya mahasiswa yang gradusi dengan hutang tinggi akan menghasilkan modal insan robot yang bekerj untuk tembolok sendiri.

15. Negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga peringkat pendidikan tinggi ialah :

Sweden
Norway
Finland
Arab Saudi,
Kuwait
Cuba
Sri Lanka

16. Selepas yuran kampus dihapuskan, tiada lagi keperluan institusi kewangan atau tabung tertentu untuk memenuhi kehendak kapitalisme menara gading. Jua tidak lagi perlu berhutang dari Along Negara dan Along Negara bolehlah gulung tikarnya.

Contoh pengiraan  [Universiti Malaya]

a] 20,000 orang pelajar dengan yuran sebanyak RM3,000 setahun.  

b] RM3,000 x 20,000 orang berjumlah RM60 juta.

c] Jumlah IPTA terkini 20 buah : 

1. Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, 
2. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor,
3. Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor, 
4. Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, 
5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor, 
6. Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pahang, 
7. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), KL, 
8. Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah, 
9. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak, 
10. Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah, 
11. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, 
12. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), N9, 
13. Universiti Teknologi MARA (UiTM), Selangor, 
14. Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu, 
15. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, 
16. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka, 
17. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perlis, 
18. Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Terengganu, 
19. Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kelantan, 
20. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), KL

d] 20 buah x RM 60 juta = RM 1200 juta  [RM 1.2 bilion]

17. Jumlah ini masih mampu ditanggung kerajaan jika pembelian atau bailout syarikat kroni tidak dilakukan secara berleluasa serta wang tiris dikawal sementara wang untung seperti yang dihasilkan oleh Petronas diurus secara telus. Rakyat terbanyak akan mendapat manafaat dari konsep Negara Berkebajikan yang jelas menepati kehendak Allah swt dan melandasi WahyuNya.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka ( pintu pengurniaan rezeki ) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Surah al A'araaf : 96

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan:

Nuffnang