Jumaat, 13 April 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Peneroka Felda: Durian Runtuh atau Durian Reput?

Posted: 13 Apr 2012 03:08 AM PDT

KEADILAN memandang serius kenyataan PM Najib bahawasanya kesemua 112,634 peneroka di 317 tanah rancangan FELDA dan 22,468 pekerja FELDA akan mendapat durian runtuh terbesar yang mereka tidak pernah impikan sehingga mereka akan "tersandar, rebah dalam kejutan" hasil tawaran awam permulaan atau "initial public offering" (IPO) FELDA Global Venture Holdings (FGVH) yang dijangka selesai penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada lewat Mei atau awal Jun 2012.

2. Dengan "gula-gula" pilihanraya semanis ini, kami menjangkakan para peneroka dan pekerja FELDA akan menerima saham FGVH secara percuma di samping sejumlah wang tunai sagu hati insentif penyenaraian tersebut.

3. Malangnya, jangkaan tersebut ternyata meleset kerana menurut sumber yang boleh dipercayai, para peneroka dan pekerja FELDA tidak akan menerima saham percuma atau wang tunai insentif penyenaraian.

4. Sebaliknya, KEADILAN difahamkan bahawa:

4.1  Para peneroka dan pekerja FELDA diwajibkan membuat pinjaman dengan beberapa bank terpilih untuk membeli saham FGVH meskipun segelintir daripada mereka mungkin mempunyai simpanan untuk membiayai permohonan membeli saham IPO tersebut

4.2 Walaupun margin pinjaman adalah 100%, tempoh pinjaman adalah untuk 6 bulan sahaja yakni para peneroka dan pekerja terpaksa membayar balik keseluruhan pinjaman dengan simpanan sendiri semasa menerima borang merah jambu/biru ATAUPUN menggunakan hasil jualan saham FGVH di pasaran terbuka nanti untuk membiayai pembayaran balik pinjaman sebelum atau pada tamat tempoh 6 bulan

4.3 Walaupun "stamping fee" diketepikan, para peneroka dan pekerja FELDA masih perlu membayar kepada bank fi dan caj sebanyak RM200 apabila pinjaman dengan rasminya dikeluarkan atau RM100 sebagai rebat jika pinjaman dilunaskan awal semasa borang merah jambu (bagi pekerja) atau biru (bagi peneroka) diterima

4.4 Kadar faedah "daily rest" pada paras 5% setahun yakni lebih 2.5 kali ganda kadar faedah pinjaman mudah bagi National Feedlot Centre (NFC) pada paras 2%

5. Jelas sekali apa yang disifatkan oleh PM Najib sebagai "lonjakan berganda" ini sebenarnya lebih cenderung ke arah membuka peluang niaga baharu dan memberi kesempatan kepada institusi kewangan terbabit mendapat hasil atas titik-peluh dan keringat peneroka dan pekerja FELDA, terutamanya 5 bank pelaburan yang dilantik menyelenggara kesemua perkara berkaitan penyenaraian, 7 bank yang dipilih untuk memberi pinjaman membiayai pembelian saham, dan beberapa syarikat pembrokeran saham yang dilantik untuk menjalankan urusniaga jual-beli saham di pasaran terbuka. Yang paling ketara adalah bil yuran dan caj tinggi yang perlu ditanggung oleh FGVH atas khidmat nasihat dan pengurusan gerak-kerja penyenaraian oleh 2 bank pelaburan domestik dan 3 asing iaitu Maybank Investment, CIMB Investment, Morgan Stanley, JP Morgan dan Deutsche Bank ke atas FGVH.

6. Malah, pendekatan sebegini juga akan menyebabkan kecairan pada pegangan ekuiti Bumiputera dalam FGVH seusai peneroka dan pekerja FELDA menjual saham mereka di pasaran terbuka untuk melunaskan hutang kepada bank. Walaupun KPF dijangka akan kekal sebagai pemegang saham terbesar di samping Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) manakala syarikat asing hanya ditawarkan sebahagian kecil saham dalam IPO FGVH, tiada apa yang menghalang mana-mana pelabur (Bumiputera dan bukan Bumiputera) dari membeli saham FGVH di pasaran terbuka.

7. Lebih malang adalah nasib anak peneroka daripada generasi kedua dan ketiga setelah harapan mereka untuk menjadi peneroka baharu dengan mengusahakan tanah ladang kelapa sawit seluas 360,067 hektar tanpa peneroka milik FELDA Plantations Sdn Bhd berkecai kerana telah dicagar kepada FGVH selama 99 tahun bagi tujuan penyenaraian.

8. KEADILAN menggesa agar PM Najib menghentikan "umpan undi" atau "rasuah politik" seumpama ini dengan serta-merta, dan menerangkan kepada umum perangkap yang tersirat di sebalik ‘durian runtuh’ ini. PM wajib menjawab kepada setiap satu mekanisme di atas bagi meleraikan kebimbangan ramai, lantas benar-benar memberi fokus yang sewajarnya atas hak dan kepentingan mereka yang kurang bernasib baik!

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap
Naib Presiden KEADILAN

Siri Jelajah Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Johor

Posted: 12 Apr 2012 12:58 PM PDT

Jom Bersih 3.0

14 April 2012 (Sabtu)

1)   7.15 mlm – Solat Maghrib –

     Lokasi: Masjid Jamek, Jln Buloh Kasap, Segamat

2)   7.30 – 11.00 mlm – Majlis Makan Malam

      Lokasi: Restoran Siang Hai Kee, Kg Abdullah, Segamat

3)   9.00 – 12.00 mlm – Ceramah Perdana 1 – Jom Bersih 3.0

    Lokasi : 475, Blok 4, PKT 4, Felda Redong, Segamat

4)   9.00 – 12.00 – Ceramah Perdana 2 – Jom Bersih 3.0

     Lokasi: Kampong Tahang Rimau, Segamat

Penceramah:

i.             YB Dato' Seri Anwar Ibrahim

ii.            YBhg Dato' Seri Chua Jui Meng

iii.           YB Tian Chua

iv.          YB Lee Boon Chye

v.           YB Chang Lih Kang

vi.          YBhg Cik Gu Normala Sudirman

vii.         YBhg Suhaimi Said

viii.       YBhg Natrah Ismail

Kerajaan Negeri Putuskan Tanah Berdekatan Kelab UKRC Tetap Milik Rakyat Selangor

Posted: 12 Apr 2012 12:53 PM PDT

Dalam membuat membuat pertimbangan permohonan pihak Ulu Klang Recreation Club (UKRC) yang memohon hakmilik tanah seluas 5.27ekar di mukim Hulu Kelang, Kerajaan Negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan.

Jawatankuasa ini dianggotai oleh Orang Besar Daerah Gombak, Yang Amat Dihormati Dato’ Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh; seorang peguam, Leong Khai Yan; bekas Pegawai Daerah Gombak, Abdul Rahim Salleh dan Dr Jagjit Singh dari Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Jawatankuasa ini bertindak membuat kajian awal dengan mengadakan pendengaran awam dan mengemukakan penemuan serta syor kepada pentadbiran negeri untuk tindakan selanjutnya.  Antara yang dipanggil memberi keterangan termasuklah ahli UKRC, pegawai kerajaan khususnya dari MPAJ dan orang awam.

Dalam satu laporan yang telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada 15 Mac 2012, jawatankuasa telah mendapati antara lain bahawa walaupun UKRC ada membuat permohonan untuk mendapat hakmilik terhadap tanah lapang tersebut kepada pemungut Hasil Tanah Kuala Lumpur pada 14 Februari 1958 tetapi tanah itu hanya diluluskan sebagai tanah lapang untuk Dewan Kelab Masyarakat (Club Community Hall) pada 12 Julai 1958.
 
Jawatankuasa juga telah diberitahu bahawa nama asal UKRC ini ialah Dewan Masyarakat dan Kelab Rekreasi Kuala Ampang sebelum menukar nama kepada UKRC untuk diwartakan pada 6 November 2001 dan menggugurkan nama Dewan Masyarakat.
 
Sejak itu, UKRC  mengenakan bayaran masuk dan yuran keahlian. UKRC juga tidak lagi membenarkan orang awam menggunakan premis tersebut tanpa kebenaran khas daripada pihak pengurusannya.
 
Jawatankuasa Siasatan juga berpendapat  bahawa tanah tersebut diwartakan sebagai tanah lapang pada 19 Oktober 2004 dan ini menjadi bukti tambahan bahawa tanah tersebut tidak pernah dikeluarkan hakmilik kepada UKRC atau mana-mana pihak.
 
Namun begitu, jawatankuasa juga mengesyorkan UKRC diberi hakmilik kepada tapak bangunan kerana ia memberi faedah kepada ahli UKRC dan  dibina menggunakan dana orang awam dan ahli-ahlinya.
 
Ia juga telah mengesyorkan UKRC membayar premium mengikut kadar semasa termasuk tanah dan bangunan. Tambahan pula, UKRC telah menggunakan premis ini tanpa membayar sewa atau cukai pintu kepada Kerajaan Negeri sejak tahun 1950-an.
 
Kerajaan Negeri juga telah dinasihati untuk mengutamakan kepentingan orang ramai dan membina membina dewan baharu menggunakan premium yang dibayar UKRC untuk kegunaan penduduk setempat yang bukan ahli UKRC.

Setelah berbincang dengan ahli Majlis Kerajaan Negeri dalam mesyuarat minggu lepas, Kerajaan Negeri telah berpuashati dan membuat keputusan untuk menerima semua syor-syor yang telah dibuat oleh jawatankuasa tersebut.

Kerajaan Negeri berharap penduduk setempat menerima keputusan ini dengan terbuka kerana siasatan telah dilakukan dengan telus dan adil serta pertimbangan ini dibuat berdasarkan peraturan dan bukti-bukti yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Siasatan.
 
Kerajaan Negeri juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa siasatan ini atas khidmat mereka serta semua penduduk setempat yang telah memberi kerjasama bagi menjayakan siasatan awam ini,

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan:

Nuffnang