Khamis, 8 Mac 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Pembatalan SBPA – Sudah Terhantuk Baru Terngadah

Posted: 07 Mar 2012 07:36 PM PST

KENYATAAN MEDIA – 8 MAC 2012
Sudah Terhantuk Baru Terngadah: Kerajaan Harus Belajar dari Kesilapan SBPA

KEADILAN mengalu-alukan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang baru diumumkan hari ini. Namun, pembatalan ini jelas menunjukkan kegagalan berterusan Kerajaan Umno-BN dalam mengambil kira pendapat golongan yang terkesan sebelum merangka dan mengumumkan dasar-dasar yang begitu penting sebegini.

Kegagalan Kerajaan Umno-BN untuk prihatin akan kewujudan jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah, iaitu di antara gred 1 hingga 54, benar-benar mempamerkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah. Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali.

Hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat berserta wakil-wakil pekerja CUEPACS barulah tindakan seraya 'sudah terhantuk baru terngadah' diambil oleh Perdana Menteri hari ini.

Secara tuntas, berikut merupakan prinsip-prinsip yang wajib diterima pakai oleh kerajaan yang prihatin terhadap nasib pekerja:

1) Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang lebih adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan. Kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji “sara hidup” (“living wage”), dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012

2) SSM yang mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti, tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam.

3) SSM yang lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya.

4) SSM yang mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan didalam kerajaan.

5) SSM akan disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap sepuluh tahun; semakan harus melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan.

Akhir sekali, KEADILAN meletakkan keyakinan bertunjangkan perkhidmatan awam sebagai penggerak pembangunan negara yang terutama, dan mengingatkan semua pihak agar jangan sekali-kali mengenepikan suara mereka.

Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai

Tiada ulasan:

Nuffnang