Rabu, 7 Mac 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Jawapan balas terhadap kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur

Posted: 07 Mar 2012 06:57 AM PST

Saya rujuk kenyataan laman web AgendaDaily pada 6 Mac 2012 yang memetik Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, sebagai berkata beliau mencabar saya sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai untuk bersumpah yang saya tidak pernah jumpa pemaju projek, Gasing Meridien Sdn Bhd, yang mendakwa pernah memberi penerangan terperinci kepada saya pada tahun 2009 sebagai satu usaha untuk mengabur dan mengalih pandangan umum daripada perkara dasar di dalam isu ini.

1) Secara asasnya, Pakatan Rakyat menyokong pembangunan. Akan tetapi, ianya haruslah dijalankan dengan menepati standard dan piawaian yang ditetapkan, sekaligus mengurangkan kegusaran dan kebimbangan masyarakat umum tatkala sesebuah projek pembangunan dilaksanakan berhampiran kawasan tempat tinggal mereka.

2) Saya ingin tekankan di sini bahawa hak berkumpul secara aman demi menyatakan pandangan dalam bentuk protes, seperti yang dilakukan JKB Save Bukit Gasing pada 4 Mac 2012, merupakan hak asasi setiap warga negara Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan hak ini mesti dihormati setiap pihak tanpa menyalah tafsir sebagai langkah anti-pembangunan.

Penduduk sekitar Bukit Gasing berhak mendapatkan penjelasan dan penetapan garis panduan di dalam Pelan Induk Kuala Lumpur, kerana ia memberi kesan kepada mereka. Apa yang kita tidak inginkan ialah berulangnya tragedi seperti di Bukit Antarabangsa dan peristiwa hitam seperti Highland Towers.

3) Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya bertanggungjawab untuk mendengar dan berunding dengan semua pihak yang terlibat, termasuklah pihak pemaju. Malah saya telah menghantar surat kepada Gasing Meridien Sdn Bhd, bertarikh 28 Februari 2012, meminta agar pihak pemaju memberikan sesalinan laporan Environmental Impact Assessment (EIA) kepada penyelaras jawatankuasa bertindak (JKB) Save Bukit Gasing, Mr Gary Yeoh.

4) Secara umum, laporan-laporan dan maklumat penting seperti dalam nota kaki di bawah yang diminta JKB Save Bukit Gasing enggan diserahkan untuk penelitian para penduduk. Ini mungkin kerana Datuk Bandar sendiri telah mengakui campur tangan politik di dalam penganugerahan projek sekitar Bukit Gasing dalam satu sesi pertemuan beliau dengan Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur – mengakibatkan berlakunya pencerobohan sebahagian daripada kawasan lindungan Bukit Gasing.

5) Akhir sekali, berikutan penghakiman kes rayuan 108 penduduk Bukit Gasing pada 6 Mac 2012, saya akan menyokong sekiranya penduduk sekitar kawasan Bukit Gasing akan meneruskan dengan proses perundangan yang seterusnya, yang menjadi hak mereka di sisi undang-undang Malaysia.

Sekian.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
7 Mac 2012

=====================================================================

Nota Kaki:

1. Jawatankuasa bertindak (JKB) Bukit Gasing telah memohon sesalinan laporan EIA daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dalam satu mesyuarat pada bulan Mei 2007. Pemaju berkata mereka akan serahkan sekiranya diarah oleh pihak berkuasa. Walaubagaimanapun, pengerusi mesyuarat (YBhg Dato' Hj Bakaruddin Othman) enggan memberi arahan tersebut ("The reports will not be given").

2. Sebab yang diberi mengapa laporan-laporan tersebut tidak diberi kepada penduduk ialah kerana jabatan-jabatan alam sekitar yang terlibat sudah mengkaji laporan-laporan tersebut, dan penduduk harus menerima pandangan jabatan-jabatan tersebut.

3. Kementerian Wilayah Persekutuan kemudian memaklumkan JKB Bukit Gasing dalam satu surat bertarikh 28 September 2007 yang Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Wilayah Persekutuan (JPPKSAS) menyokong cadangan pembangunan pihak pemaju, dan apa-apa bantahan harus dihantar kepada pihak DBKL. Surat tersebut turut menyatakan bahawa laporan Pra-EIA yang disediakan pemaju adalah tidak perlu, dan pemaju telah melakukan sedemikian di atas budi bicara pemaju.

4. JKB Bukit Gasing tidak pernah menerima apa-apa laporan EIA atau teknikal daripada DBKL

5. Laporan-laporan yang diminta JKB Bukit Gasing adalah seperti berikut:

  • Detailed geological survey report, establishing accurate terrain and slope measurements
  • Detailed soil structure report over the proposed development site
  • Detailed and accurate soil erosion and potential landslide points resulting from proposed development plans
  • Geohazard mitigation measures to address risks
  • Geohazard mitigation measure-monitoring requirements that are relevant over the long term
  • Details of both JPPKSAS and DBKL planning department’s technical compliance requirements, including effective monitoring of compliance and penalties for breach of such requirements by the developer
  • Hydrological report.

Tiada ulasan:

Nuffnang