MALAYSIA KEKAL GEMILANG BERSAMA ISLAM Posted: 15 Mar 2012 07:19 PM PDT
--
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Agak lama penulis memendam rasa untuk menulis satu tajuk yang berkaitan perbezaan bangsa di Malaysia. Memang isu ini dilihat sensitif, namun bergantung bagaimana ia dipersembahkan dan bergantung pula bagaimana ia dibaca; penulis memberanikan diri.
Memang agak terperanjat apabila mendengar beberapa ahli akademik yang cuba menafikan bahawa Malaysia pernah dijajah. Laungan "Merdeka" yang dijeritkan oleh Almarhum Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abd Rahman Putra al-Haj, di kaca TV sejak kecil, terpahat di telinga penulis.
Almarhum ayahanda penulis yang sempat dengan almarhum Dato' Onn Bin Jaafar dan sezaman dengan Panglima atau Kiyai Salleh Batu Pahat itu, membakar semangat penulis dari kecil, erti mengisi kemerdekaan.
Kehidupan bersama Jemaah Khaujakan, yang dipengerusikan oleh almarhum ayahanda dan bergurukan almarhum Ustaz Haji Othman Azhari, dan zikir ayat 4 yang diamalkan oleh Panglima Salleh, menanam semangat jihad kepada penulis.
Pada waktu yang sama, almarhum ayahanda membesarkan kami dalam semangat pengorbanannya yang sangat tinggi, bersama UMNO untuk mengisi kemerdekaan dan semangat cintakan bangsa. Rumah kami menyaksikan siri-siri mesyuarat mereka.
Uniknya, almarhum ayahanda tidak terlibat "enjoy" dengan golongan moderate Melayu masa itu. Pernah beliau ditawarkan untuk menjadi wakil rakyat oleh almarhum Tun Sardon Jubir; syukur beliau menolak, kerana bukan itu yang dikejarnya.
Semangat Melayu tertanam dijiwa penulis. Semangat berjihad yang tertanam dari amalan wirid Panglima Salleh masih panas dalam darah penulis. Panglima Salleh telah bangkit membunuh ramai komunis di Batu Pahat khususnya. Sejarah membuktikan mereka telah memulakan dulu suasana ketegangan itu, walaupun mereka mendakwa sebenarnya mereka menentang tali barut Jepun mahupun British.
Keberanian dan keberkatan zikir ayat 4, membawa beliau memimpin kumpulan "tentera parang panjang" atau "selimpang merah". Kejayaan itu mendapat perhatian Kebawah Duli Sultan Johor Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar. Baginda bertitah pada 26 Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu. Sejak itu Haji Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima.
Penulis melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang pada 1980-1983. Penulis bertemu dengan seorang murabbi yang berjaya menanam fikrah yang jelas dalam kehidupan penulis. Dr Ustaz Zawawi Ali dan para asatizah lain memainkan peranan sangat penting ketika itu. Penulis sempat membesar pada zaman sebelum dan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai UMNO. Kebingungan, namun pada waktu yang sama kepulangan Tuan Guru Haji Hadi dengan ceramah-ceramahnya, banyak mengimbangkan fikrah penulis.
Mengekalkan semangat cintakan bangsa, semangat berjihad yang terbit dari perjuangan Panglima Salleh, diadun dengan fikrah yang jelas, penulis terus mengejar erti kematangan. Kaedah-kaedah dakwah mula meresap dalam jiwa penulis.
Memahami erti Islam yang bersifat adil, toleransi, anjal, global dan ciri-cirinya yang lain, penulis meletakkan satu kefahaman yang jelas dalam perjuangan ini.
• Bumi Tanah Melayu termasuk sebahagian besar Nusantara adalah bumi yang pernah diperintah oleh Islam. Sistem berajanya, tidak boleh dinafikan telah melaksanakan konsep akidah, akhlak, dakwah dan jihad. Pelaksanaan hukum tertinggi - melalui proses yang panjang - mengizinkan pemerintahan beraja melaksanakan hukum hudud.
• Berlaku pemulihan unsur Hindu-Buddha yang terdapat dalam adat-istiadat di istana. Namun dengan penggabungan dua unsur; raja-raja melayu terdahulu memilih untuk memeluk agama Islam dan berkahwin dengan keturunan Ahli Bait (keturunan yang dinasabkan kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, Sheikh Abdul Qadir Jailani dan lainnya) yang datang berdakwah ke Nusantara, telah mengubah segalanya.
• Usaha terancang gerakan Salib dari Eropah untuk mengembangkan sayap dan pengaruhnya ke Nusantara khususnya Tanah Melayu mula berlaku pada kurun yang ke-15. Dengan menggunakan syarikat-syarikat perniagaan dan disokong oleh pasukan tentera, mereka mula bertembung dengan pemerintahan Islam yang ada.
• Penghayatan Islam dan kekuatan kerohanian, membenteng usaha tersebut. Namun apabila golongan bangsawan, pahlawan dan panglima mula disogok dengan kepentingan dunia, ia sedikit sebanyak memecahkan benteng kukuh tersebut.
• Bermula dengan "penjajahan" Portugis, Belanda dan British, ia menukar persepsi ramai bahawa pemerintahan kononnya masih di tangan istana; sedangkan keputusan dan pengarahan diterbit dari bangsa asing itu.
• Ada yang cuba mempertahankan dengan mengatakan benar Portugis menjajah; semangat dan seruan jihad mengundang mujahidin Islam dari kepulauan Jawa, Bugis, Banjar, Acheh, Riau dan Siak serta lainnya. Tetapi selepas terserah ke British, kononnya mereka "tidak menjajah".
• Pada zaman British, ternyata campur tangan Yahudi sangat jelas. Dulu ia tersembunyi. Kini kita berjaya buktikan. Mustahil ia satu kebetulan atau tidak dirancang. Kemunculan Israel Raya (negara haram) itu bukti mereka ingin menguasai dunia.
• British dengan sengaja membawa seberapa ramai penduduk Cina dan India ke Asia Tenggara. Berilah apa alasan; sama ada sebagai buruh keretapi atau ladang, sebagai tenaga kerja untuk membuka bandar dan menghidupkan perniagaan atau perlombongan. Mereka berjaya memasang bom jangka panjang pada masa itu untuk menghidupkan suasana gawat pada hari mendatang.
• Kebangkitan Jepun menukar wajah Tanah Melayu. British cuba melawankan musuhnya dengan musuhnya yang lain. Kebangkitan Bintang Tiga komunis dibawah pimpinan Mao Tze Tong terus mara. Pintu tanah Melayu terbuka dengan kebanjiran masyarakat Cina.
• Jepun menghalau British. Jepun mengejar dan menghukum komunis. Orang Melayu kebingungan. Saki-baki anti penjajah British masih ada, sebahagian yang lain cuba berkenalan sejauh mana baik dan manfaatnya Jepun. Sekumpulan yang lain pula menumpang semangat anti-British dan anti-Jepun (pada zaman yang berbeza) dengan menyertai Bintang Tiga itu. Alasan takhaluf (penjanjian) dan seumpamanya cuba direalisasikan.
• British membekalkansenjata kepada komunis untuk melawan Jepun. British membawa sebanyak mungkin emas, timah dan kekayaan tanah Melayu keluar melalui Pelabuhan Klang, Pulau Pinang dan Singapura. Bergerabak-gerabak diangkut melalui keretapi ke pelabuhan tersebut.
• Maka Allah utuskan kebangkitan jihad ketika itu. Peranan ulama dan solihin di Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak dinafikan. Di Johor, Panglima Salleh bangkit dengan zikirnya; untuk menyambut perginya British dan peluang untuk membunuh komunis. Ribuan Cina komunis mati dan terjun ke Sungai Batu Pahat menghala ke Senggarang.
• Tanyalah apa peranan almarhum Dato Onn bin Jaafar. Beliau mengejar British ke Singapura, meyakinkan kepada mereka, komunis akan tewas. Tanyalah apa nasihat beliau kepada Panglima Salleh. Panglima Salleh seorang mujahid. Berjaya menggabungkan ilmu kekuatan kerohanian (tasauf) dan ilmu jihad. Cuma barangkali beliau bukan ahli siasah. Peluang keemasan itu terlepas kerana ilmu politik Islam pada zaman itu tertimbus, selepas Tanah Melayu dijajah bertahun-tahun sebelum itu. Dato Onn berjaya memujuk Panglima Salleh memberhentkan jihad dan memberikan kepercayaan kepada beliau mengurus negara.
• Bom jangka panjang yang disebut oleh penulis tadi; di sinilah perbincangannya bermula. British kononnya pergi, selepas menyerahkan kembali Tanah Melayu yang telah berubah wajah itu. Kemerdekaan namanya. Penghayatan anak cucu Raja-Raja Melayu berketurunan arab itu sudah tidak seperti nenda-nenda mereka yang beramal dengan syariat dan berjiwa kerohian tinggi. Suasana istana sebagai simbol Islam sejati sudah tidak sama.
• British memberi peluang masyarakat Cina untuk maju dan menguasai perniaggan sedangkan masyarat Melayu leka diulik dengan ketuanan yang semakin terhakis. Penjajah tentunya tahu, ketuanan tidak bermakna, tanpa kekuatan ekonomi, pendidikan, sosial, kesedaran pegangan agama dan seumpamanya.
• Kaum India majoritinya, dibiarkan di penjuru "estate" dan hidup dengan todi dan terus mundur. Tentunya satu masa nanti mereka akan bangkit untuk menagih ketidakadilan yang ditinggalkan penjajah terancang itu. Ya! di belakang penjajah itu Yahudi yang suka melihat huru-hara di bumi Allah ini.
• Kontrak sosial yang diterima pakai memperkukuh bom jangka panjang yang dirancang itu. Seolah-olah tiada pilihan lain. Apakah masa itu orang Melayu berfikir atau mampu untuk hantar semula masyarakat Cina pulang ke Tanah Besar atau mengirim kaum India pulang ke tanah air asal mereka. Tentunya tidak!
• "Terlepasnya Singapura", menyebabkan ramai pimpinan Melayu tidak setuju, tapi UMNO tiada pilihan lain, taat kepada Presiden yang juga merupakan Perdana Menteri (PM) pada masa itu.
• Usaha untuk menampal keadaan, selepas peristiwa berdarah 13 Mei (sama ada dirancang atau berlaku secara tidak sengaja itu), hanya mampu untuk menangguhkan bom jangka panjang dari meledak. Dasar Ekonomi Baru dengan dua "rukunnya", Membasmi Kemiskinan dan Menyusun Semula Masyarakat dilihat kaku. Memang ada sedikit sumbangannya pada wajah Malaysia hari ini, tetapi ramai mengakui ia tidak menepati sasaran, tetapi menafikan ia tidak gagal pula.
• Tanpa mengatakan DEB itu baik atau buruk; penulis menegaskan, masyarakat Melayu yang telah dimanjakan dengan suasana berselindung di bawah DEB, menjadi tidak prodaktif dan tiada daya tahan lasak. Sebahagian kecil yang berjaya, tetapi keseluruhannya tidak mendidik orang Melayu Bumiputra. Gagal menyusun semula masyarakat dan kemiskinan masih ada berkembang dengan perkembangan semasa. Membandingkan kemiskinan dulu dan kemiskinan kini samalah seperti membandingkan epal dan limau. Pokoknya kemiskinan masih menjalar dalam masyarakat.
• Suasana rasuah, pecah amanah, musnahnya matlamat subsidi yang asalnya baik dan bagus, boros dalam berbelanja dan faktor lainnya, membantu kegagalan DEB.
• Tiba-tiba sampai tempoh dan pencapaian masih ternafi, DEB tidak disambung. Melayu kebingungan. Penulis tidak meminta DEB disambung. Tetapi bagaikan brek kereta ditarik mengejut, tercampaklah para penumpang. PM ketika itu, yang tidak menyambung DEB, punya "taring" dan "kuku" yang mampu menakutkan teman-teman dari masyarakat Cina dan India.
• Zaman PM selepasnya, menyaksikan getaran ledakan bom jangka panjang itu mula ketara. Tanpa DEB dan tanpa PM yang "bertaring" dan "berkuku" masyarakat Cina dan India khususnya, bangkit menagih apa yang mereka rasa patut tagih.
• Sebelum ini, mereka membina kekuatan apa yang patut mereka bina. Mereka terus menguasai ekonomi dengan pelbagai formula seperti Ali Baba. Peluang rasuah untuk memiliki tanah rezab Melayu. Menguasai pendidikan, menguasai perundangan dan lain-lain adalah contoh mereka untuk membela diri setelah sekian lama ternafi. Bom jangka panjang semakin meledak.
• Keputusan PRU sejak 1999, 2004 dan 2008 khususnya, merupakan era perpecahan sesama Melayu yang ketara. Terkeluarnya PAS dari Kerajaan Pakatan akhir 70-an sebelum itu, membina jurang yang sedia ada. Masyarakat Cina dan India merasakan inilah peluang untuk mereka menagih dan menagih apa-apa yang mereka rasakan perlu ditagih. Mereka boleh sahaja menagih daripada parti pemerintah di pusat, mahupun dari mana-mana kerajaan negeri yang ada.
Apakah kita akan membiarkan masyarakat Melayu bagaikan retak bertemu belah? Atau kita akan menjadi golongan yang kononnya ingin menyelamatkan Melayu dan berselindung atas nama Islam; pada waktu yang sama menjadi pemangkin bom jangka panjang yang dipasang oleh penjajah itu.
Seperti biasa, masyarakat Melayu, apabila berbeza pandangan, mereka akan berbeza sehingga seperti bermusuh. Sikap ini mesti dibuang kerana ia melambangkan hilangnya hikmah dan hilangnya matang dari masyarakat bangsa itu.
Masyarakat Cina, walau berbeza fahaman politik, dari aliran dan dialek berbeza, "kelab-kelab" berbeza; mereka pandai bersatu dalam kepentingan pendidikan anak bangsa mereka. Mereka pandai bersatu dalam kepentingan ekonomi bangsa mereka. Kita warga Malaysia boleh belajar daripada mereka.
Nampaknya untuk memastikan ledakan bom jangka panjang yang dipasang oleh penjajah itu tidak menjadi parah dan bertambah berlipat kali ganda, satu alternatif perlu dicari. Bukan sekadar untuk menenteramkan perasaan dan helah bela diri, penulis yakin Islamlah penyelesaiannya.
"Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
(Al-Anfal: 63)
Keimanan kita kepada Allah dan janji-janjiNya, serta usaha matang dari kitalah yang akan merubah alam ini. Merubah hati sesama yang mengaku beriman dan mencampakkan kasih sayang.
Mengajak ummat Islam kembali kepada ajaran Islam satu kerja asas yang tidak boleh ditinggalkan oleh kita semua. Pada waktu yang sama, membuktikan Islam dan nilai-nilainya yang sejagat, adil, saksama, toleransi, sedia berkongsi, memberi ruang, kasih sayang dan ribuan keindahannya yang lain, tidak boleh dinafikan.
Jalan pintas hanya memikirkan kita sahaja dan ketuanan kita, adalah satu kesilapan besar. Keberanian kita mengajak mereka kepada Allah lebih mulia dari kesempitan kita hanya mengajak kepada kesatuan Melayu yang sangat terbatas.
Kita tidak dikira bersyubahat menggadai bumi ini kepada selain kita. Selepas memahamai sejarah silam kita, kita bangkit untuk meyusun berdasarkan "here and now". Keindahan Islam adalah pengganti kemelut yang ada.
Semua pihak tidak mahu isu perbezaan kaum di Malaysia diakhiri dengan tumpah darah. Semua akan rugi dan akan rugi. Menawarkan Islam dan pakejnya yang indah adalah satu penyelesaian. Contoh-contoh baik yang ditunjukkan oleh pemerintah bebrapa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat itu sendiri adalah langkah permulaan yang baik.
NGO-NGO Islam yang semakin rancak menawarkan plan penyelesaian berperingkat adalah satu yang dinantikan. Penerangan-penerangandan usaha taqrib; merapatkan, dengan menganjurkan majlis-majlis dailog dan penerangan, penerbitan buku dan segala bentuk penjelasan-penjelasan sangat dialu-alukan.
Memastikan rasuah dibenteras, pecah amanah dikikis, salah guna kuasa dan sebarang bentuk penyelewengan mesti diperangi bersama. Ketegasan ini akan menyuburkan pintu hidayah buat mereka yang mula mencari alternatif dari Islam itu sendiri.
Mengembalikan peranan istana dan ketaqwaan penghuninya perlu ditingkatkan. Peranan nenda-nenda mereka perlu dikembalikan, jika tidak semua akan mengatakan kewujudan mereka sudah tidak relevan.
Penulis menentang keras usaha menafikan peranan Institusi Istana dalam mengembalikan kegemilangan Islam. Memang kehilangan contoh baik dari mereka akan memburukkan keadaan. Maka dakwah kepada mereka juga menjadi agenda penting buat ummah.
Pada waktu yang sama, jangan ada NGO Melayu yang mengeruhkan keadaan dengan mengajak menaikkan semangat perkauman yang bakal menakutkan mereka kepada Islam.
Ketegasan mempertahankan akidah perlu diteruskan, tetapi menakutkan mereka adalah satu tindakan yang silap. Jagalah halaman rumah Islam itu sebaiknya kerana kita akan mengundang mereka ke halaman kita ini.
Penulis yakin Allah tidak akan membiarkan bumi ini terlepas dari tangan hamba-hamba-Nya selagi hamba-hamba-Nya berusaha untuk mengajak semua kembali kepada-Nya.
(Prof Madya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus adalah Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia.) Kelasi Kapal Marvi Marmara 2010 حـسـن الـديـن مـحـمـد يـونـس hasanuddin mohd yunus |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan