Jumaat, 10 Februari 2012

Khalid Samad

Khalid Samad


Hassan dan Alasan

Posted: 10 Feb 2012 07:13 AM PST

InsyaAllah ini merupakan kali terakhir saya menulis berhubung dengan Hassan Ali dan episod keluarnya beliau dari PAS. Kalau masih tidak kenal perangainya selepas membaca ulasan ini dan apa yang saya tulis sebelum ini, saya sudah tidak boleh kata apa.

Saya teramat setuju dengan kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa beliau sepatutnya meletak jawatan sebagai ADUN Seri Gombak memandangkan beliau menang kerusi tersebut di atas tiket PAS. Kemenangan ini datang bersama penat lelah dan pengorbanan ahli PAS dan penyokong yang sekarang ini dipandangnya dengan penuh hina dan jelik.

Oleh itu, 9 alasan yang diberinya hanya mendedahkan kebuntuan dirinya sendiri. Lebih banyak yang dicakap, lagi banyak yang terdedah. Saya tidak akan menulis kembali alasan-alasannya, tetapi akan terus memberi respon satu per satu.

ALASAN HASSAN YANG PERTAMA
Ahli mesyuarat PAS Pusat adalah pimpinan parti dari sudut eksekutifnya (perlaksanaan). Mereka dipilih oleh perwakilan di muktamar. Dengan menyatakan mesyuarat PAS Pusat dikuasai 'golongan parasit' bermakna:

a) Perwakilan muktamar tidak pandai membuat pilihan dan adalah pro parasit. Ini merupakan satu kenyataan yang menghina pihak perwakilan dan keputusan yang telah mereka buat. Oleh kerana dianggap dirinya lebih bijak, maka keputusan mesyuarat tidak dihormati Hassan Ali.

b) DS Presiden dan ulama' lain yang juga merupakan ahli mesyuarat tidak mampu menangani hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh 'golongan parasit'. Mereka terpaksa akur kepada kehendak golongan ini. Ini satu penghinaan kepada DS Presiden dan ulama' lain yang merupakan ahli mesyuarat.

c) Beliau mengakui bahawa dirinya sendiri tidak mampu berhujjah untuk meyakinkan mesyuarat akan kebenaran pendiriannya.

Sekiranya itulah pandangan beliau terhadap perwakilan dan pimpinan PAS, maka amat wajar beliau tidak bersama PAS. Lebih baik beliau tubuh organisasi sendiri dan menjadi Presidennya. Sekiranya khuatir ianya akan dianggotai orang-orang yang tidak mampu beliau berhujjah, maka lantiklah diri juga sebagai Timbalan, Naib dan Setiausahanya.

ALASAN HASSAN YANG KEDUA
Surat dan sebagainya adalah hanyalah formaliti. Hassan Ali tidak hadir mesyuarat bulanan untuk beberapa bulan selepas tidak dilantik sebagai Pesuruh Jaya PAS Selangor. Namun beliau dihubungi oleh pimpinan Pusat dan Negeri. Sebahagian beliau layan, sebahagian beliau buat tidak endah seperti Dato Dr. Mahfuz, Ahli Majlis Syura Ulama' dan PJ Johor yang saya difahamkan telah datang ke rumahnya bersama isterinya tetapi tidak dibuka pintu. Beliau turut dinasihati TGNA dan pimpinan yang lain. Hakikatnya amaran keras yang pernah diberi dalam kes sebelum ini sudah memadai sebagai alasan memecat kerana beliau melanggarnya secara terang-terangan.

ALASAN HASSAN YANG KETIGA
Selepas pertemuan dengan TGNA di mana TGNA telah menyebut semua isu telah pun selesai, mengapa Hassan Ali tuduh pula Harakahdaily menipu dan memutar-belit kenyataan TGNA? Sikap menyerang PAS, termasuk media PAS, adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan. Kredibiliti media PAS perlu diusahakan dan dipertahankan, bukan disanggah begitu sahaja! Tindakan sedemikian hanya menguntungkan pihak musuh. Itu bukti masalahnya belum selesai dan permintaan maafnya tidak bermakna. Hanya manis di mulut.

ALASAN HASSAN YANG KEEMPAT
PAS tidak tersasar. Dasar PAS Islam. Islam mampu melindungi hak Melayu dan kaum lain dan juga institusi Raja. Tidak perlu diletak Melayu dan Raja setaraf dengan Islam sehingga dasar PAS menjadi 3. Islam sempurna dan tidak perlu ditokok tambah.

Soal istilah 'Negara Berkebajikan' tidak merupakan masalah kerana konsep ini tetap tertakluk kepada definasi yang berpaksikan perlembagaan PAS iaitu Islam. Ianya hanya istilah untuk menjelaskan bahawa Negara yang ingin dibentuk oleh PAS berdasarkan Islam bersifat berkebajikan, bukan kejam dan zalim seperti yang didakwa UMNO.

Soal kepimpinan ulama, ini juga tidak diubah oleh PAS. PAS menginstitusikan kedudukan ulama' dalam parti dengan tertubuhnya 'Majlis Syura Ulama' yang kesemua ahlinya adalah ulama'. Bagi seorang yang mendakwa ingin mengikut kepimpinan ulama, Hassan Ali sepatutnya membuktikan apa yang didakwanya. Ini sebaliknya! Majlis Syura Ulama tidak kata apa-apa, Hassan Ali pula yang pandai-pandai mengeluarkan fatwa bahawa PAS telah terkeluar dari landasan asalnya. Ini bukan hendak ikut ulama' tetapi ingin ulama' ikut cakapnya! Atau adakah ulama' juga dianggapnya sebagai parasit?

Soal ukhuwwah Islamiyah dan akhlak Islam yang kononnya tidak lagi menjadi amalan dalam PAS; saya tidak nampak pimpinan PAS menghina pimpinan lain dengan gelaran seperti parasit atau sebagainya kecuali Hassan Ali sendiri! Sepatutnya Hassan Ali menunjukkan contoh ukhuwwah dan akhlak Islam yang kononnya diingin-inginkan.

ALASAN HASSAN YANG KELIMA
Bagi saya alasan ini merupakan pengakuan yang saya tunggu selama ini. Hassan Ali mengaku bahawa dia sememangnya tidak mahu pada PR dan kerap kali mencadangkan kedudukan PAS dalam PR dikaji semula. Sedangkan keputusan untuk bersama dengan PR dan mengukuhkan PR adalah keputusan muktamar, bukan mana-mana golongan dalam PAS. Maka beliau sendiri apabila diamanahkan dengan apa-apa jawatan dalam PAS sepatutnya memahami jawatan itu perlu dimanfaatkan untuk mencapai matlamat dan strategi yang dipersetujui PAS, bukan agenda dirinya sendiri! Sekiranya beliau tidak setuju, sepatutnya beliau melepaskan jawatan-jawatan ini dan benarkan orang lain berusaha untuk mencapai kehendak parti.

Tetapi berlaku sebaliknya; jawatan hendak tetapi guna ikut kepala sendiri. Ini yang dikatakan tidak amanah. Ini yang dikatakan khianat. Parti suruh kukuhkan PR, tetapi beliau berkali-kali berusaha untuk membawa PAS keluar PR! "Kaji semula kedudukan dalam PR" cara cakap penuh diplomatik. Maknanya keluarlah tu. Tetapi apabila sudah keluar hendak buat apa? Gabung dengan UMNO lah pula!

Empat tahun terbuang kerana Hassan Ali mengejar agenda sendiri.

ALASAN HASSAN YANG KEENAM
Alasan ini juga merupakan satu pengakuan yang saya tunggu-tunggu. Hassan Ali mengaku beliau tidak mampu menjalankan tugasnya. Dia mengakui bahawa dia "menghadapi kesukaran dan suasana serba salah" bukan kerana kekurangan pada orang lain tetapi kekurangan dirinya sendiri. Hassan Ali tidak tahu bagaimana untuk melaksanakan kerjanya dalam suasana berbilang kaum dan berbilang bangsa serta fahaman. Dia hanya mampu buat kerja apabila semua sudah setuju dengan dirinya dan ikut sahaja cakapnya.

Yang saya hairan, mengapa dia keluarkan pengakuan ini setelah dipecat? Kalau dia memahami jawatan dia adalah suatu amanah dan dia memang menghadapi kesukaran dan serba salah, sepatutnya dari awal lagi dia beritahu pimpinan; "Saya tidak mampu. Tunggu semua sudah setuju untuk ikut saya baru beri balik jawatan dan tanggung-jawab ini kepada saya. Saya tidak mampu untuk berhujjah dengan mereka yang tidak setuju dengan apa yang saya cuba lakukan". Serah sahaja kepada mereka yang sanggup dan mampu berhujjah".

Sebenarnya, inilah di antara cabaran yang mesti dihadapi oleh gerakan Islam. Samada dengan orang Islam mahupun yang bukan Islam, iaitu kemampuan untuk berhujjah untuk membuktikan kebenaran Islam dan ketepatan pendekatannya. Bukan hanya dengan 'bull-doze' sahaja.

ALASAN HASSAN YANG KETUJUH
Soal pimpinan, yang Hassan Ali gemar menggelar sebagai 'parasit dalam PAS', lebih suka mendengar pandangan dari DAP dan PKR adalah kerana mereka memahami bahawa kita berada dalam kerajaan campuran. Maka pandangan semua pihak mesti didengari. Kalau ada yang tidak setuju, maka perlu dibincang dan dibahaskan.

Yang malangnya Hassan Ali hanya ingin dengar pandangannya sendiri dan sanggup memutar-belit fakta dalam usaha memenangkan pandangan sendiri.

ALASAN HASSAN YANG KELAPAN
Hassan Ali merasakan dia tidak dapat buat kerja nahi mungkar dalam pentadbiran Selangor. Apa itu 'mungkar' ini ada yang dipersetujui bersama, ada yang tidak dipersetujui bersama. Bagi yang dipersetujui bersama, seperti rasuah dan penyelewengan, kronisma dan pecah amanah, boleh dicegahi bersama atas nama PR. Bagi yang tidak dipersetujui bersama pula boleh mencegahnya dengan kaedah 'bil lisan' atau dengan lidah atas nama PAS.

Dalam beberapa perkara, seperti penjualan beer dalam kawasan majoriti Islam, PAS boleh berhujjah dengan bijak dan lancar supaya mendapat persetujuan rakan-rakan di dalam PR supaya ianya dilarang walaupun ianya tidak dilihat sebagai sesuatu kemungkaran dari sudut perspektif orang bukan Islam. Ini telahpun bejaya dilaksanakan dan mendapat persetujuan semua pihak.

Pada masa yang sama, PAS boleh juga melancarkan kempen anti-arak yang melibatkan semua, Islam dan bukan Islam. Konsep hak asasi manusia, kebebasan individu, hak untuk memilih adalah perkara yang terdapat dalam ajaran Islam. Itulah sebabnya Islam tidak dipaksa ke atas masyarakat. Kita sebagai ummat Islam mesti menghayati perintah Allah yang bermaksud "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, serta contoh dan nasihat yang baik dan berhujjah dengan mereka melalui cara yang terbaik". Amat malanglah jika Hassan Ali menganggap bahawa Islam tidak mengiktiraf bahawa manusia itu mempunyai hak asasi dan tidak boleh diperlakukan sesuka hati atau bahawa Islam itu perlu dipaksa ke atas masyarakat tanpa mengakui adanya hak memilih dan kebebasan individu.

ALASAN HASSAN YANG KESEMBILAN
Hassan mengadu dia sering diserang oleh pimpinan 'parasit PAS' apabila dia melakukan sesuatu melalui jabatan yang di bawah penguasaannya seperti MAIS, JAIS dan LZS. Perkara ini mungkin perlu beliau tanya dirinya sendiri mengapa ianya berlaku. Mungkin dia sendiri tidak berbincang dengan pimpinan PAS Pusat dan Negeri mengenai keutamaan atau awlawiyyat yang perlu diusahakan terlebih dahulu. Maklumlah, untuk berbincang dengan manusia yang beliau lihat sebagai 'parasit' apa gunanya.

Setahu saya beliau tidak pernah berbincang persoalan ini di dalam mesyuarat PAS Negeri yang diadakan sebelum ini. Saya berasa pelik mengapa semua ini diluahkan hanya selepas dia dipecat. Kedua, adakah benar MAIS, JAIS dan LZS di bawah 'penguasaannya'? Itu perlu tanya, MAIS, JAIS, LZS dan Hassan Ali sendiri.

KESIMPULAN
Bagi saya semua alasan yang diberi hanya alasan semata-mata.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

DAP Kuasai Malaysia Negara Republik

Posted: 10 Feb 2012 06:30 AM PST

Saya tidaklah mempunyai PhD, tetapi saya ingin meminta jasa baik Hassan Ali untuk menjelaskan bagaimana dengan hanya bertanding 46 kerusi Parlimen, DAP boleh menang 112 kerusi? Untuk menguasai Malaysia, DAP perlukan 112 kerusi iaitu lebih 50% dari kerusi Parlimen sebanyak 222 kerusi. Sedangkan DAP hanya bertanding 46 kerusi.

Maka sudah pasti ianya satu thesis menarik jikalau ianya boleh dibuktikan bahawa DAP boleh menangi 112 kerusi dengan hanya bertanding 46 kerusi! Itu tidak termasuk persoalan bagaimana DAP boleh mendapat majoriti 2/3 yang akan diperlukan untuk mencantumkan Malaysia dengan Singapura dan dijadikan Malaysia sebuah Republik!

Amatlah malang sekali nasib Hassan Ali. Sudah mula merapu dan cakap tidak menentu. Lebih baik beliau berehat seketika, insafi apa yang sedang dilaluinya dan kembali ke pangkal jalan. Jangan termakan dengan hasutan puak UMNO yang jelas hanya mempergunakan beliau.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Shah Alam Kota Maksiat?

Posted: 10 Feb 2012 06:24 AM PST

Saya turut mendengar tuduhan Hassan Ali berhubung diri saya dan bagaimana Shah Alam sudah menjadi Kota Maksiat dengan konon bercambahnya rumah urut, tempat perjudian dan sarang arak. Ianya bertujuan untuk menyerang saya, tetapi ianya terkena tepat kepada batang hidung MBSA. Hassan Ali sebenarnya menuduh pihak perlesenan dan penguat kuasa MBSA membenarkan Shah Alam menjadi kota maksiat.

Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Dato Bandar. Beliau seorang yang berkerja keras bagi menjaga Shah Alam dari dicemari dengan aktiviti yang tidak sihat dan oleh itu amat duka cita denga tuduhan liar yang dibuat. Tetapi, apabila ditanya hotel mana, rumah urut mana dan kedai judi mana, saya tidak pula dapat menjawab kerana Hassan Ali main pukul rata.

Oleh itu, saya rasa Hassan Ali perlu sebut, hotel mana yang menjadi sarang pelacur. Adakah ianya De Palma, Blue Wave atau Concorde? Atau hotel bajet dan kalau ianya benar, yang mana satu. Ini adalah untuk berlaku adil supaya tidak terpalit semua pengusaha hotel di Shah Alam. Atau adakah mengikut pandangan beliau, semua hotel bajet merupakan rumah pelacuran dan hotel besar pula tidak. Atau semua hotel pun sama sahaja?

Begitu juga dengan kedai pengusaha refleksologi. Adakah semuanya rumah pelacuran? Kalau bukan semua, yang mana satu? Adakah Hassan Ali menganggap Dato Bandar sudah menjadi Bapak Ayam dan pihak penguat kuasa semua ibu ayam atau anak ayam? Cakap jangan ikut sedap mulut. Memang nampak gah dan sensasi tetapi jangan sampai kita memfitnah dan dengan itu menzalimi orang yang tidak bersalah.

Ahli Majlis memaklumkan kepada saya bahawa mereka kerap membuat pemeriksaan dan tidak kurang juga dengan serbuan. Hassan Ali ikut serbuan sekali tetapi sudah heboh satu kampung, mereka ini buat hampir setiap minggu, tetapi tidak pula kecoh. Saya telah minta MBSA menjawab isu ini dan saya harap mereka akan jawab dalam masa terdekat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Ribut di Taman Bukit Subang

Posted: 10 Feb 2012 06:21 AM PST

Baru-baru ini Taman Bukit Subang dilanda ribut. Rumah pangsa Teratai dan Apartmen Melur dan Kiambang mengalami kerosakan. Begitu juga bangunan surau, dewan dan juga tadika.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak MBSA, Bomba, Polis, Pertahanan Awam, Pejabat Tanah, Pejabat kebajikan, Lembaga Zakat, Penghulu Ali, ADUN, PAS dan PKR, Unit Amal dan semua yang terlibat dalam operasi membantu. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor atas kesanggupan mereka membantu dengan kos baik pulih.

Semoga semua dirahmati Allah di atas pengorbanan dan keprihatinan masing-masing. Semoga warga Teratai, Melur dan Kiambang bersabar dengan ujian yang menimpa mereka. insyaAllah kita mampu mengatasinya dengan kerjasama dan keikhlasan hati. Semoga melalui ujian ini setelah dihadapi dengan tabah dan penuh kerjasama akan terhasil hubungan yang lebih mesra dan rapat di kalangan warga Taman Bukit Subang.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Berkaitan:Mangsa Ribut Di Bukit Subang Gembira Dapat Bantuan

Tiada ulasan:

Nuffnang