Ahad, 19 Februari 2012

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Tahap kuasai jawi membimbangkan

Posted: 18 Feb 2012 05:33 PM PST

Petikan Utusan Malaysia :

KUALA TERENGGANU 18 Feb. -Tahap penguasaan jawi di kalangan pelajar sekolah berasrama penuh dan di sekolah-sekolah agama ternama di negeri ini agak membimbangkan di sebalik kecemerlangan akademik mereka.

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Terengganu menyimpulkan keadaan itu berasaskan tinjauan beberapa pihak termasuk Jabatan Pelajaran sendiri.

Setiausahanya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, masih terdapat kalangan pelajar gagal menulis dan membaca jawi, sedangkan ia merupakan asas bagi subjek teras iaitu bahasa Arab dan sumber penguasaan al-Quran.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak-pihak berkenaan agar mengambil langkah pro-aktif dengan mewajibkan para pelajar yang bakal menyambung pelajaran ke sekolah seumpama itu menduduki ujian khas tulisan jawi.

"Ujian khas tulisan jawi itu perlu dijadikan sebagai syarat tambahan kepada pengambilan pelajar untuk meneruskan pengajian mereka ke sekolah agama," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Memperkasakan Tulisan Jawi Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad di sini hari ini.

Pelancaran program anjuran Gagasan Terengganu dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah itu disempurnakan oleh Pengerusi Masjid Kristal Taman Tamadun Islam (TTI), Datuk Zubir Embong.

Hadir sama, Penolong Pengarah Yayasan Terengganu (YT) yang juga Yang Dipertua Gagasan Kuala Terengganu, Dr. Wan Shaari Wan Ismail; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Abdullah Abd. Rahman dan Penolong Pengurus Pemasaran Utusan Wilayah Timur, Ahmad Din Mahmud .

Syed Anuar juga menyarankan supaya Kementerian Pelajaran menjalankan kajian teliti mengenai perkara itu termasuk meminda sukatan pelajaran sedia ada dalam usaha menarik minat pelajar terhadap tulisan jawi.

Beliau yang memuji usaha Utusan Malaysia yang terus mempertahankan tulisan jawi berharap agar akhbar sisipannya menggunakan ejaan yang diselaraskan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurutnya, langkah itu demi kepentingan semua pihak khususnya para pelajar agar tidak timbul kekeliruan mengenai ketepatan ejaan jawi apabila wujud dua versi yang berbeza.

Sementara itu, bagi menjayakan program tersebut, sebanyak 4,800 naskah akhbar sisipan Utusan Melayu Mingguan (jawi) diedarkan kepada lapan buah sekolah rendah sekitar daerah ini untuk selama lapan minggu bermula 13 Februari lalu hingga 21 Mei ini.

Sepanjang tempoh itu, beberapa siri pertandingan akan diadakan termasuk buku skrap, menulis jawi, membaca jawi dan sudut jawi.

***
Inilah hasil peninggalan Umno yang satu ketika dahulu telah menukarkan tulisan jawi menjadi tulisan kelas kedua yang akhirnya meninggalkan kesan mendalam kepada generasi terkemudian.Kebiasaannya kalau seseorang itu pandai baca jawi,maka akan mudahlah baginya untuk membaca al-Quran.Alhamdulillah kita ada sekolah agama rakyat yang meletakkan tulisan jawi pada tempat yang sepatutnya.

Penduduk minta buka simpang

Posted: 18 Feb 2012 05:22 PM PST

Petikan Sinar Harian :



BUKIT PAYONG - Entah di mana silapnya, jalan di sekitar Pekan Bukit Payong sering rosak walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah melakukan kerja pembaikan seperti menampal dan menurap lubang di permukaan jalan rosak sejak Jun tahun lalu.

Tinjauan Sinar Harian selepas menerima aduan penduduk setempat semalam mendapati, kawasan jalan rosak juga perlu disediakan garisan putih sebagai pemisah be-rikutan laluan itu sentiasa sibuk dengan kenderaan.

Penduduk yang hanya ingin dikenal sebagai Abdullah berkata, dia terkilan kerana jalan yang rosak itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah turut menyumbang kepada kerosakan tayar kenderaan dan kemalangan kecil membabitkan motosikal kerana perlu mengelak lubang.

"Saya lihat kenderaan semakin sibuk tetapi faktor keselamatan di kawasan ini tidak diutamakan. Tambahan pula, pelajar turut menggunakan laluan ini dan ia membahayakan kerana kenderaan tidak bergerak dengan teratur akibat jalan rosak serta tiada garisan (putih)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Bukit Payung, Kamaruddin Mat Amin, 60, ketika diminta mengulas berkata, kerosakan jalan berlaku selepas simpang di jalan utama ditutup sejak tujuh bulan lalu malah alasan ditutup juga tidak dinyatakan.

Menurutnya, PBT menutup jalan simpang ke kanan di jalan utama dari arah Bukit Payong ke Chendering menyebabkan kenderaan berat terpaksa membuat pusingan ke kanan iaitu di jalan hadapan Masjid Bukit Payong sebelum memasuki laluan Pekan Bukit Payong.

"Ini berlaku selepas PBT menutup simpang di jalan utama menuju ke Chendering dari Bukit Payong tidak lama dahulu. Penutupan jalan menyebabkan kenderaan berat terpaksa melalui jalan di pekan untuk masuk semula ke jalan utama Bukit Payong menuju ke Chendering," katanya yang turut berjanji mendesak PBT agar membuka semula jalan tersebut.

Menurut Abdullah, disebabkan penutupan itulah jalan di situ terus mengalami kerosakan walaupun sudah beberapa kali ditampal dan diturap oleh PBT termasuk pihak Majlis Daerah Marang (MDM).

Kamaruddin berkata, simpang itu perlu dibuka semula bagi me-ngelak kesesakan di pekan berkenaan termasuk mengelak kerosakan jalan berlaku secara berterusan akibat kenderaan berat sehingga menjejaskan keselesaan pengguna lain.

Sementara itu, skuad Sinar Harian cuba mendapatkan reaksi pihak PBT mengenai masalah ini namun gagal.

Tiada ulasan:

Nuffnang