Rabu, 4 Januari 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


PKR Kota Raja Komited Sepenuhnya Beri Sokongan Kepada Anwar Pada 9 Januari Ini

Posted: 04 Jan 2012 12:01 AM PST

Kota Raja, 4 Januari 2012 - Parti Keadilan Rakyat Cabang Kota bersama-sama sayapnya, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan telah memberikan komitmen 100% untuk turun ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 9 Januari ini untuk memberi sokongan kepada Ketua Umum, Dato Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi perbicaraan Fitnah liwat II.

Satu taklimat pada malam semalam telah diadakan kepada kesemua ahlijawatankuasa Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan Kota Raja yang akan hadir memberikan sokongan.

Taklimat diberikan oleh Ketua Cabang, YB Dr Xavier Jayakumar, Timbalan Ketua Cabang, YB Shuhaimi Shafiei, Ketua AMK, Saudara Azmizam Zaman Huri dan Ketua Wanita, Puan Rozaina Hamzah.

Taklimat yang diberikan mengulas lanjut berkenaan hak-hak untuk ke mahkamah pada 9 Januari nanti mengikut perlembagaan, menjaga keselamatan diri dan mengelak dari diprovokasi oleh pihak-pihak tertentu serta bergerak secara aman.

Bebas Anwar 901: Shahrizat, Najib Boleh Ikut Serta

Posted: 03 Jan 2012 11:46 PM PST

SHAH ALAM: Pakatan Rakyat Selangor mempelawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyertai perhimpunan kempen 'Bebaskan Anwar 901′ di perkarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 Januari ini.

"Tidak terkecuali kita juga menjemput (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai perhimpunan ini. Shahrizat dan Najib juga ada hak untuk berhimpun," kata Setiausaha Publisiti DAP Jenice Lee Ying Ha dengan nada agak sinis.

Beliau yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Teratai berkata demikian berikutan kenyataan Shahrizat semalam yang berkata perhimpunan itu sebagai tidak wajar diadakan kerana akan menimbulkan kekecohan semata-mata.


Shahrizat juga mendakwa perhimpunan itu adalah perhimpunan haram dan boleh mengancam keselamatan orang awam.

"Jika polis jalankan tanggungjawab dengan penuh disiplin maka tidak akan timbul sebarang masalah," kata Jenice Lee pada sidang media Pakatan di sini hari ini.

Ujar beliau, "lihatlah pada Himpunan Bersih 9 Julai dan kes pelajar di Perak bukan para demonstran yang membuat kecoh tetapi ada individu tertentu yang membuat kecoh. Kita banyak pengalaman mengenai hal provokasi ini."

Turut hadir Ketua Penerangan PKR Shuhaimi Shafie dan Ketua Penerangan PAS Saari Sungib.
Kebangkitan rakyat

Shuhaimi, ketika ditanya pemberita, sama ada Pakatan akan memohon permit untuk perhimpunan itu berkata, sepanjang rekod permohonan permit untuk mengadakan ceramah, ia tidak pernah dikeluarkan oleh polis.

"Perhimpunan ini sesuatu yang spontan. Kebangkitan rakyat tentang kes Anwar. Belum pun diadakan perhimpunan, polis dah keluar kenyataan kata jangan datang maka kami tak nampak ia akan diluluskan," kata beliau yang juga Adun Seri Muda.

Menyentuh mengenai persiapan perhimpunan, Shuhaimi berkata terdapat empat kawasan untuk mereka berkumpul nanti tetapi beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

Sementara itu, Saari menjelaskan bahawa ahli-ahli PAS enggan menyertai Himpunan Sejuta Umat tahun lalu kerana perkara itu telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, menganggap Himpunan Sejuta Umat sebagai agenda Umno bertujuan untuk mencetus permusuhan di antara kaum, kata beliau yang juga Adun Hulu Kelang.


Sumber: FreeMalaysiaToday

Anwar : Keputusan 9 Jan Tidak Jejas Peluang Jadi PM

Posted: 03 Jan 2012 11:33 PM PST

PETALING JAYA 03 JAN: Soal siapa yang akan menjadi Perdana Menteri di dalam kerajaan Pakatan Rakyat sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalang dari bertanding tidak timbul kerana muafakat yang kukuh di antara parti komponen.

Sebaliknya, Anwar berkata, jika PR dan rakyat tetap mahunya sebagai Perdana Menteri, soal kelayakannya bertanding tidak relevan kerana dia masih boleh dijadikan Perdana Menteri.

Anwar menjelaskan bahawa jika berlaku senario di mana PR menubuhkan kerajaan pusat selepas pilihanraya umum ke-13, seorang pemimpin dari PR boleh menjadi Perdana Menteri sementara dan mengembalikan kelayakan bertanding kepada beliau.

Beliau berkata ini berlaku di dalam kes negara Turki, di mana Perdana Menteri sekarang, Recep Tayyib Erdogan, dihalang daripada bertanding semasa partinya AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) memenangi pilihanraya umum pada 2002.

"Siapa yang pegang sementara itu bukan perkara pokok. Sepertimana beberapa pemimpin PR kata kalau kita pilih Anwar dalam atau luar penjara bukan soalnya. rakyat sokong maka dengan izin Allah ia akan berlaku."

Beliau berkata demikian di dalam temubual Fokus Berita semalam.

Anwar tidak akan layak bertanding pilihanraya sekiranya mahkamah menjatuhi hukuman di dalam kes liwatnya pada Januari 9.

Seorang hilang kelayakan bertanding dalam pilihanraya selama satu penggal sekiranya dia dihukum tidak kurang dari setahun penjara atau denda dua ribu ringgit.

Tambah Anwar, soal siapa calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat bukan perkara perlu dirunsingkan kerana Pakatan Rakyat membawa dasar bersama yang jelas.

"Hubungan saya dengan tuan guru hadi dan tok guru nik aziz terlalu baik. kami saling mempercayai, saling memohon nasihat dan pendapat.

"Saya tidak fikir ada masalah. Kalau ada muafakat esok siapa yang harus jadi pemimpin sementara dari PKR atau PAS, DAP tidak menawarkan mana-mana calon, saya tidak fikir itu satu masalah."

PR dijangka menurunkan lebih ramai muka muda dan profesional kali ini berbanding pilihanraya umum lalu.

Bahkan sudah ada tokoh individu menawarkan diri dan badan-badan bukan kerajaan turut menyarankan calon tersendiri untuk membantu Pakatan Rakyat.

"Kes yang saya hadapi ini sudah hampir tiga tahun. Sejak saya didakwa kita sudah jangka muslihat untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Maka oleh yang demikian kita memulakan beberapa langkah dan persiapan menjangkakan (muslihat) ini dan Alhamdulillah kita sudah hampir selesai.

Anwar yakin pemenjaraan beliau di tangan pemerintah Barisan Nasional tidak akan mengugat kerjasama PAS-DAP.

"Apakah ia akan jadi longgar andai Anwar dipenjara? Saya tidak percaya kerana hal ini (pilihanraya, dasar bersama) telah ditandatangani oleh pemimpin ketiga-tiga parti."

Anwar berkata, harapan Pakatan Rakyat menakluki Putrajaya cerah kerana mereka telah membuktikan yang mereka mampu mentadbir dengan baik di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Tambahnya rundingan tentang strategi pilihanraya dan pembahagian kerusi antara PAS, DAP dan PKR sudah hampir selesai.

Bahkan Pakatan Rakyat kini lebih bersedia untuk mengancam kedudukan pemimpin-pemimpin kanan Barisan Nasional walau tanpa beliau selaku tonggak dalam PRU-13 nanti.

Jentera ini dikendalikan pemimpin ketiga parti oleh Azmin Ali (Ahli Parlimen Gombak), Anthony Loke (Ahli Parlimen Rasah) dan Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai).

Urusetia dikendalikan oleh wakil ketiga-tiga parti. Walau ada sedikit gambaran seolah-olah saya memainkan peranan yang besar, sebenarnya ia adalah rangkaian pemimpin bekerja seabgai satu pasukan.


Sumber: Selangorkini

Majlis Peguam: Himpunan 901 Dibenarkan Perlembagaan

Posted: 03 Jan 2012 11:26 PM PST

SHAH ALAM, 3 JANUARI : Isu berhubung himpunan 901 sempena dengan pengumuman kes fitnah Liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sama sekali tidak bercanggah dengan undang-undang negara malah dibenarkan oleh Perlembagaan.

Ini kerana himpunan yang bakal diadakan itu sekadar perhimpunan untuk memberi sokongan kepada DSAI yang dibicarakan semenjak hampir 3 tahun lalu berhubung konspirasi untuk mengaibkan Anwar di mata rakyat oleh musuh-musuh politik beliau.

Menurut Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee tidak tertulis di mana-mana perlembagaan pun bahawa kehadiran sebagai tanda sokongan kepada tertuduh di mahkamah adalah satu kesalahan.

"Mahkamah adalah tempat terbuka kepada orang ramai untuk hadir mendengar perbicaraan.

"Malah orang ramai mempunyai hak untuk hadir ke mahkamah apa lagi untuk memberi sokongan kepada tertuduh selain mendengar keputusan yang akan diberikan," ujar Lim memberi ketika dihubungi TV Selangor.

Lim turut memberitahu bahawa jumlah yang akan hadir ke perhimpunan itu nanti bukan satu isu untuk dijadikan alasan pihak berkuasa bahawa perkara tidak diingini akan berlaku.

"Sebaliknya jika pihak polis memberi kerjasama mengawal keadaan, saya tidak melihat sebarang masalah untuk rakyat yang prihatin berhimpun memberi sokongan kepada sesiapapun yang mereka ingini," tegas Lim yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Berhubung dakwaan seorang menteri bahawa Majlis Peguam menjadi alat politik, Lim pantas menjelaskan itu bukan isu yang perlu dibangkitkan.

"Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak atau individu. Sebagai pengamal dan penegak perundangan kami cuma berminat pada asas perundangan iaitu keadilan yang menjadi hak setiap manusia," katanya lagi.

Lim turut membangkitkan sikap 'Double Standard' pihak berkuasa dalam menangani isu-isu seperti ini bilamana perhimpunan yang membabitkan PKR seringkali diprovokasi dengan isu keselamatan.

"Sikap double standard ini sangat mendukacitakan malah menjatuhkan karisma, keupayaan dan professionalisme pihak berkuasa polis dalam menjalankan tugas mereka.

"Sambutan Tahun Baru dihadiri oleh puluhan ribu rakyat dibolehkan dan dapat berlaku dengan baik hasil kerjasama pihak berkuasa juga. Tapi mengapa pula kes seperti ini yang tidak pun melanggar mana-mana undang-undang dijadikan isu?," soal Lim kembali.

Lim dengan positif juga menyatakan bahawa mereka yang akan hadir 9 Januari ini pasti terdiri dari golongan yang cintakan perundangan yang adil dan tidak akan sesekali mencetuskan huru-hara walau apapun keputusan mahkamah seperti yang cuba digemburkan sesetengah pihak.

"Saya harap orang ramai akan hadir memberikan sokongan kepada DSAI. Himpunan ini penting bukan sekadar membela DSAI semata-mata sebaliknya penting kepada orang awam juga berkenaan sistem perundangan negara yang semakin parah.

"Hadirlah beramai-ramai untuk menunjukkan bahawa rakyat hari ini sudah bosan dan jemu dengan konspirasi dan fitnah seperti ini dan rakyat menolak sebarang ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku," ujar Lim lagi.


Sumber: Selangorkini

Kenapa Keputusan Perbicaraan Anwar Penting Untuk Setiap Rakyat Malaysia

Posted: 03 Jan 2012 06:37 PM PST

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menyampaikan penghakimannya dalam perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Keseluruhan prosiding telah  dikutuk dengan meluasnya sebagai perbicaraan bermotif politik, yang seringkali digunakan rejim-rejim kukubesi untuk menghancurkan musuh-musuh politik mereka. Tetapi Anwar memiliki rekod panjang untuk tidak semudahnya menyerah kalah. Beliau telah mengisytiharkan bahawa apa jua keputusan pada 9 Januari ini, beliau tidak akan menyerah. Sebelum ini penjara tidak dapat mematahkan atau mendiamkan suara Anwar, semestinya juga tidak sekarang.

Tetapi apa yang dipertaruhkan di sini lebih daripada sekadar kebebasan peribadi pemimpin pembangkang. 54 tahun yang lalu, rakyat negara ini telah dijanjikan bahawa tanah air mereka yang baru merdeka akan bebas dan demokratik; dan hasrat rakyat itu telah diungkapkan dalam perundangan tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Janji ini telah dengan sengaja dimungkir oleh gabungan politik yang memerintah negara ini sejak hari tersebut sampailah ke hari ini.

Badan kehakiman yang bakal memutuskan penghakiman ke atas Anwar Ibrahim pada 9 Januari,  gagal untuk menegakkan kebebasan asasi yang terkandung dalam Perlembagaan dan membenarkan pihak Eksekutif untuk menginjak-injak hak-hak asas Rakyat. Oleh yang demikian, lebih setengah abad, rakyat telah menderita akibat undang-undang menindas, rasuah berleluasa dan penyalahgunaan amanah jawatan awam untuk keuntungan dan memperkayakan diri sendiri. Rakyat ialah pemilik tanah air ini yang sebenar-benarnya. Namun rakyat hanya menjadi peminta belas ehsan di pintu Putrajaya, di mana para pemimpin Umno/ BN dan mereka yang bergantung kepada kuasanya memerintah rakyat.
 

Lawan kepada rejim Umno adalah pakatan pembangkang yang diterajui Anwar, yang mana paksi tujuannya untuk memansuhkan kesemua perundangan menindas dan anti-demokratik serta mengembalikan kebebasan berperlembagaan kepada rakyat; untuk menamatkan kerugian besar-besaran akibat rasuah; dan untuk memastikan agihan kekayaan negara yang saksama dan adil. Kini Umno cuba untuk menghalang perjalanan hebat rakyat Malaysia ke arah kebebasan dengan cuba membunuh secara politik Anwar Ibrahim melalui sistem pengadilan yang berat sebelah dan mudah dipengaruhi.

Inilah sebabnya kenapa 9 Januari begitu  amat penting untuk setiap rakyat Malaysia. Pendirian Anwar untuk tidak tunduk terhadap suatu sistem yang zalim, memberikan kekuatan dan harapan baru kepada rakyat dalam menghadapi kekuasaan penindas yang zalim itu, malahan mengukuhkan keyakinan rakyat untuk menuntut perubahan dan reformasi. Justeru, iannya merupakan saat-saat kemuncak dalam pertempuran untuk jenis negara dalam mana ingin kita hidup, serta jenis nilai-nilai yang kita mahu wariskan kepada generasi Malaysia akan datang. Apapun jua keputusannya pada 9 Januari ini, kita dapat mengambil hikmat bahawa tidak lama lagi akan tiba pula giliran Rakyat untuk menyampaikan penghakiman terhadap kerajaan zalim dan menganiaya ini.

Di keluarkan oleh,
N SURENDRAN
NAIB PRESIDEN
KEADILAN


3 Januari 2011

Tiada ulasan:

Nuffnang