Sabtu, 31 Disember 2011

Khalid Samad

Khalid Samad


Politik Islam: Kaedah dan Pendekatan PAS Selangor

Posted: 31 Dec 2011 08:00 AM PST

Saya ingin menjelaskan pandangan saya berhubung kaedah dakwah yang perlu diguna-pakai oleh PAS Selangor dalam keadaan PAS Selangor berada dalam kerajaan bersama PR. Bagi sebahagian orang yang tidak memahami proses dakwah, mereka menganggap kedudukan PAS Selangor sebagai 'minor' partner adalah tidak bermakna dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada perjuangan dakwah Islam yang dibawanya. Kekeliruan ini akan terus menghantui mereka sehingga persoalan ini dijelaskan.

Pada mulanya saya ingin mengatakan bahawa walaupun kerusi PAS adalah agak kurang, namun, kerajaan PR tidak boleh terus berkuasa tanpa adanya PAS bersamanya. Maka kedudukan PAS adalah sepenting parti komponen lain dalam PR. Oleh itu, tanggapan bahawa 'minor' partner adalah tidak berpengaruh atau tidak berkuasa adalah amat meleset sekali.

Kedua, dan ini adalah lebih penting, banyak kekeliruan boleh diperbetulkan oleh PAS sambil berkongsi kuasa dan di sini, saya ingin menjelaskan apa yang boleh diusahakan. Mungkin selama ini wawasan sebegini tidak diperjelaskan dan oleh itu ada yang menganggap tiada yang bermakna boleh dicapai melalui PR. Oleh kerana adanya tanggapan yang negatif yang sebegini, persoalan ini amat penting diperjelaskan sebelum PRU ke 13 ini. Di sini saya jelaskan matlamat yang perlu dicapai oleh PAS walaupun PAS hanya sebahagian dari kerajaan yang memerintah.

1. Membuktikan politik Islam adalah bersih dan PAS mampu menggantikan UMNO
Apabila PAS memerintah Selangor bersama PR, PAS menengahkan barisan pemimpin yang mampu membuktikan bahawa politik tidak semestinya kotor. Sering kita diberitahu "kalau PAS memerintah, sama sahaja. Orang PAS pun akan makan rasuah kerana politik itu kotor". Selama 4 tahun memerintah PAS telah memberi suntikan ubat yang hebat kepada ummat Islam yang telah lama dijangkiti virus belaan UMNO ini. Mereka dapat melihat betapa bersihnya pemimpin PAS dan PR dan dengan itu terbukti bahawa politik tidak semestinya kotor.

Begitu juga pegangan khurafat bahawa hanya UMNO mampu memerintah. Pegangan ini dapat dilenyapkan dari pemikiran ummat Islam apabila terbukti kemampuan pemimpin PAS dan PR memerintah Negeri Selangor dengan baik dan cemerlangnya.

Walaupun ini dilihat sebagai persoalan remeh oleh sebahagian masyarakat Islam, ianya persoalan kefahaman dan aqeedah. Ia perlu diperbetulkan sebelum kita boleh harapkan sesuatu yang lebih dari ummat Islam dan rakyat jelata.

2. Membuktikan keadilan Islam terhadap seluruh manusia
Satu lagi kekeliruan besar yang telah lama disebar-luas oleh UMNO ialah kepercayaan bahawa Islam itu adalah Melayu dan Melayu adalah Islam. Berdasarkan fahaman sebegini, perjuangan untuk menjadikan Melayu sebagai 'tuan' adalah sebahagian dari perjuangan Islam. Berdasarkan fahaman ini juga, maka apa jua penyelewengan dan kezaliman yang dilakukan, sekiranya yang mendapat manfaat adalah beberapa orang kroni Melayu, maka ianya diharuskan oleh Islam. Terbayang jelas seorang yang walaupun terbukti telah songlap RM 250 Juta, bertempik dengan beraninya, "Allah bersama kita. Allah bersama kita".

PAS, dalam kedudukan memerintah melalui PR boleh menggunakan kedudukan yang ada untuk membuktikan keadilan Islam dan hakikat bahawa Islam itu didatangkan untuk manfaat manusia. Melalui tingkah laku para pemimpin PAS dan sikap serta pendirian mereka maka keadilan Islam boleh dizahirkan. Apabila PAS, di atas nama Islam menzahirkan keadilan Islam, maka ketakutan bukan Islam terhadap Islam akan turut dikurangkan. Pada masa yang sama, orang Islam juga akan semakin memahami bahawa Islam itu adalah rahmat untuk seluruh manusia, bukan untuk orang Islam atau orang Melayu sahaja.

3. Meningkatkan kefahaman ummat Islam dan bukan Islam terhadap ajaran Islam
Melalui perkongsian kuasa, PAS boleh berusaha untuk membuka seluasnya saluran dakwah dan pendidikan Islam yang formal dan tidak formal. Kejahilan ummat Islam terhadap Islam perlu ditangani dan begitu juga kekeliruan bukan Islam terhadap Islam. Kejahilan dan kekeliruan ini diusahakan UMNO selama ini supaya mereka kekal berkuasa. Apabila PAS berkongsi-kuasa, maka perlu tangani masalah ini secara berkesan lagi berhemah.

Sekolah agama perlu dibantu. Gaji para guru agama perlu dinaikkan dan segala usaha ke arah pembinaan kefahaman Islam yang mantap perlu dipertingkatkan. Masjid dan Surau perlu dijadikan medan ilmu untuk memuaskan ummat Islam yang sentiasa dahagakan ilmu. Jawatan-jawatan ketua-kampung, ahli JKK, ahli majlis, Nazir Masjid, Imam dan Bilal serta AJK Masjid dan Surau perlu dimanfaatkan untuk mengarahkan ummat Islam dan masyarakat kearah pemahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh. Sebelum ini, di bawah pemerintahan UMNO, kesemua saluran ini ditutup rapat.

4. Perubahan secara paksaan
Berdasarkan apa yang disebut di atas, pasti ada yang tidak berpuas-hati dsan mungkin akan berkata, "Soal membenteras rasuah, keadilan, kefahaman, aqeedah dan ilmu boleh perbetulkan oleh orang lain. Itu kerja dakwah, kita parti politik. Kita ada kuasa, kita guna kuasa dan paksa."

Bagi mereka, selagi jualan arak di Seven-11 tidak dihentikan, kedai-kedai nombor ekor tidak ditutup, adanya manusia muslim yang tidak bersembahyang, tangan pencuri tidak dipotong dan penzina tidak direjam, maka Islam itu tidak berkuasa dan tiada manfaat segala yang lain. Membenteras rasuah, keadilan, kefahaman, aqeedah dan ilmu adalah perkara yang boleh diusahakan oleh golongan 'pendakwah' bukan golongan 'ahli politik Islamik'!

Maka inilah juga sebenarnya sebahagian dari kecetekan ilmu yang ada di kalangan mereka yang menggelar diri sebagai ahli politik Islamik. Mereka menganggap bahawa cara hidup Islam itu perlu dipaksa ke atas masyarakat dan ahli politik Islamik adalah manusia pilihan Allah untuk memaksanya! Sedangkan perjuangan ahli politik Islamik tidak dapat dipisahkan dengan dakwah Islam dan setiap ahli politik Islamik adalah pendakwah.

Ahli politik Islamik boleh diumpamakan sebagai seorang doktor. Masyarakat pula sebagai pesakit. Pesakit sedang mengidap berbagai jenis penyakit sehingga tidak boleh berjalan dan berlari seperti orang yang sihat. Oleh kerana penyakitnya begitu kronik, pesakit terlentang atas katil. Seorang doktor yang bijak akan merawatnya sedikit demi sedikit sehingga pesakit semakin sihat, boleh duduk, bangun berdiri, berjalan dan akhirnya berlari. Sekiranya doktor memaksa pesakit itu untuk terus bangun dan berlari, tanpa terlebih dahulu merawat penyakitnya, pesakit itu akan pitam dan mungkin bertambah parah keadaannya atau lebih teruk lagi akan terus mati.

Kalau tidak mati sekalipun, apa yang dikhuatiri pesakit itu akan menggantikan doktor itu dengan doktor lamanya. Sedangkan semua sedia maklum bahawa doktor lama itulah yang selama ini meracuninya sehingga dia jatuh sakit pada asalnya!

PAS sebagai doktor baru mesti merawat penyakit-penyakit khurafat, kekeliruan dan kejahilan yang ditimpakan ke atas masyarakat oleh doktor asal masyarakat iaitu UMNO. Terapinya panjang kerana penyakitnya kronik. Namun PAS perlu bersabar kerana tidak mahu pesakit itu menggantikannya dengan doktor yang asal yang akan menjadikan penyakitnya semakin kronik.

Inilah kaedah yang perlu diguna-pakai oleh PAS Selangor. Jangan terburu-buru dan jangan memaksa. Tetapi tentukan risalah Islam itu dari segi keadilannya dan rahmatnya sentiasa kedengaran dan kelihatan jelas.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Isu di Shah Alam

Posted: 31 Dec 2011 12:41 AM PST

Kebelakangan ini ada timbul beberapa isu yang melibatkan warga Shah Alam. Oleh yan demikian, saya sebagai Ahli Parlimen ingin menjelaskan pendirian saya berhubung beberapa isu yang akan saya nyatakan di sini dan usaha saya untuk menanganinya.

KENAIKAN SEWA KOMPLEKS PKNS
Saya telah menyatakan beberapa kali kepada pihak berwajib bahawa saya secara peribadinya tidak bersetuju dengan kenaikan sewa secara mendadak yang ingin dikenakan oleh pihak PKNS di Kompleks PKNS. Walaupun saya faham bahawa kadar pasaran adalah jauh lebih tinggi, kenaikan secara mendadak akan pasti membebankan. Saya telah dan akan terus meminta supaya keputusan tersebut dikaji semula.

Setahu saya, pihak penyewa di Kompleks PKNS secara dasarnya bersetuju bahawa kadar sewa tersebut dinaikkan, hanya mereka memohon supaya ianya dinaikkan secara berperingkat dan dengan jumlah yang munasabah.

TENDER KERJA-KERJA PEMBERSIHAN MBSA
Saya telah dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan kawasan MBSA telahpun ditender dan pihak MBSA ingin menawarkan kontrak untuk kerja-kerja ini kepada pihak yang menawarkan harga terrendah. MBSA akan menawarkan kepada yang terrendah walaupun harganya tidak munasabah dan jauh berkurangan dari anggaran MBSA sendiri. MBSA telah menyatakan bahawa sekiranya akhirnya kontraktor berkenaan tidak terbuat kerja-kerja seperti sepatutnya oleh kerana harganya terlalu rendah, maka kontraktor itu akan disenarai hitam dan kerja-kerja tersebut akan ditender kembali.

Saya turut difahamkan bahawa kebanyakan Ahli Majlis MBSA sendiri tidak setuju dengan pendekatan 'cincai' MBSA tetapi bantahan mereka tidak diindahkan.

Saya ingin menyatakan bahawa saya juga tidak bersetuju dengan pendekatan MBSA dalam persoalan ini sekiranya maklumat yang saya perolehi seperti di atas adalah benar. Sekiranya pihak MBSA sendiri mengetahui bahawa harga yang ditawarkan adalah terlalu rendah dan tidak munasabah berdasarkan maklumat dari QS kita sendiri, maka mengapa kita sengaja ingin mencari nahas? Sedangkan harga yang terlalu rendah akan menyebabkan berlakunya kualiti kerja rendah, curi tulang, penipuan dan juga rasuah.

Amalan re-tender membuang masa (dan masa adalah juga wang) dan akan menyebabkan kerja-kerja terbengkalai. Apabila kerja-kerja terbengkalai, maka tanggung-jawab MBSA kepada penduduk TIDAK dipenuhi. Warga Shah Alam yang merupakan klien MBSA perlu diutamakan tetapi atas sebab pendekatan yang tidak bijak, maka MBSA akan menganiaya mereka.

Maka saya menyarankan agar MBSA mengamalkan apa yang biasa dilakukan oleh badan profesional di mana anggaran dilakukan oleh pihak QS yang mahir dan harga yang diterima semestinya 10% +/- dari anggaran ini. Saya harap pendekatan yang profesional dan bukan yang 'cincai' akan dapat diamalkan oleh pihak MBSA dalam persoalan ini dan juga dalam sebarang persoalan pengurusan majlis perbandaran.

Ini perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya lebih-lebih lagi apabila kita ketahui bahawa ada syarikat-syarikat kroni yang mungkin akan sanggup menawarkan harga rendah walaupun terpaksa menanggung kerugian semata-mata untuk mencapai agenda tertentu mereka. Termasuk dalam agenda ini ialah untuk mensabotaj usaha murni MBSA dan kerajaan Negeri Selangor untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan harga yang munasabah dan berpatutan.

Saya difahamkan bahawa kerja-kerja pengangkutan sampah turut akan ditender tidak lama lagi. Beberapa kontraktor pengangkutan sampah telah bertemu saya memohon supaya mereka terus ditawarkan kerja-kerja ini yang baru sahaja mereka ambil alih semenjak Alam Flora dihentikan. Mereka mendakwa bahawa tempoh masa hanya beberapa bulan tidak membenarkan mereka untuk mendapatkan pulangan ke atas pelaburan mereka. Kontraktor-kontraktor ini mendakwa bahawa mereka telah membantu MBSA apabila diperlukan, iaitu apabila Alam Flora ditamatkan perkhidmatannya, tetapi MBSA sekarang tidak mengindahkan masalah yang dihadapi mereka sekiranya ditamatkan perkhidmatan mereka melalui tender ini.

Pada masa yang sama, dikhuatiri bahawa akan ada kontraktor 'kamikaze' yang akan menawarkan harga rendah dan tidak munasabah seperti untuk kerja-kerja pembersihan yang diceritakan di atas. Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan kepada MBSA, sekiranya apa yang dinyatakan oleh pihak kontraktor ini kepada saya adalah benar, supaya MBSA menawarkan kembali kontrak ini kepada kontraktor-kontraktor ini untuk tempoh 2 atau 3 tahun tetapi dengan terlebih dahulu mendapatkan diskaun dari mereka. Melalui ini kontraktor-kontraktor ini tidak akan dizalimi dan pada masa yang sama, penjimatan tetap tercapai. Diskaun sebanyak 10%, sebagai contoh akan mendatangkan penjimatan lebih kurang RM 40 Juta setahun kalau tidak silap saya.

Tempoh 3 tahun pula akan menjamin tempoh perkhidmatan yang memungkinkan pulangan atas pelaburan dan selepas itu, proses tender secara profesional seperti yang disebut di atas dapat diamalkan. Tender ini akan mengamalkan kaedah menawarkan kontrak kepada pihak yang memberi harga yang rendah dan berpatutan di mana harga berpatutan akan berpandukan kepada anggaran QS yang mahir dan berkelayakan.

MASALAH BANJIR DI FOOD COURT SEKSYEN 2
Ini merupakan masalah yang berterusan semenjak food court ini dibuka dan ditadbir oleh pihak pembinanya sebagai sebahagian dari kaedah penswastaan oleh MBSA. Banjir dalam kawasan bawah bumbung food-court ini berlaku walaupun hujan tidak begitu lebat dan menyulitkan peniaga dan pelangan.

Saya berpandangan bahawa masalah ini berpunca dari kesilapan rekabentuk bangunan dan pihak MBSA perlu bertindak segera untuk mengatasinya. Saya difahamkan bahawa peniaga telah membuat aduan berhubung masalah ini beberapa kali tetapi malangnya ianya tidak ditangani dengan cara yang berkesan hingga sekarang.

Saya telah membuat aduan kepada pihak berwajib dan akan terus mendesak supaya masalah ini ditangani dengan segera.

MASALAH KESESAKAN LALU LINTAS ATAS SEBAB ADANYA MAJLIS DI I-CITY
Minggu lepas telah menyaksikan kesesakan lalu lintas yang teramat sekali di Lebuh Raya Persekutuan bagi pengguna yang menuju ke Klang. Puncanya adalah Majlis Sambutan yang diadakan di I-City.

Saya telah beberapa kali menyatakan kekecewaan saya terhadap keadaan ini. Jawapan yang diterima ialah ianya akan diatasi apabila fly-over yang dicadangkan dibina. Saya tidak nafikan kebenaran kenyataan tersebut, tetapi yang saya pertikaikan ialah mengapa majlis seumpama itu terus diadakan dalam keadaan fly-over tersebut belum siap.

Saya akan terus berusaha supaya pihak MBSA dan Kerajaan Negeri lebih perihatin terhadap kesusahan warga Shah Alam khususnya yang tinggal di Seksyen 7 akibat dari penganjuran Majlis di I-City. Status I-City sebagai pusat hiburan/pelancongan adalah tidak wajar memandangkan kedudukannya yang begitu dekat dengan kawasan perumahan dan ketiadaan infra-struktur yang mampu menampung trafik apabila program sebegitu besar diadakan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Jenazah Ayahanda Khalid Selamat Disemadi

Posted: 30 Dec 2011 10:06 PM PST

Oleh: Muhammad Faizal (HarakahDaily)

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Ayah kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Zohor tadi.

Ayahnya Abdul Samad Salleh, 90, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 1 pagi tadi.

Allahyaraham telah dibawa ke IJN pada jam 10 malam semalam setelah mengalami serangan jantung di rumahnya.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Khalid memberitahu ayahnya telah melakukan pembedahan pintasan jantung pada tahun 1996 dan arwah pernah dimasukan ke IJN sebelum ini kerana serangan jantung dan dibenarkan pulah dua hari lepas.

Dalam pada itu Khalid mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin dari Pakatan Rakyat yang telah mengirimkan ucapan takziah kepadanya dan keluarga.

"Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir seperti AJK PAS Pusat Dr Mohd Hatta Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Kamarudin Jaffar dan Dr Siti Mariah Ahmad kerana sudi hadir.

"Tidak lupa terima kasih kepada pemimpin yang bukan Islam dari Keadilan dan juga DAP juga turut mengucapkan takziah kepada saya," jelasnya.

Turut menyampaikan ucapan takziah ujarnya Presiden Keadilan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Dalam pada itu beliau memberitahu kepada mereka yang mengenali arwah agar memaafkannya dan jika ada sesuatu yang belum arwah tunaikan diharapkan agar dapat menghalalkannya atau boleh berjumpa dengannya

Ihsan HarakahDaily
-Pejabat YB Khalid Samad-

Tiada ulasan:

Nuffnang