ZULKIFLI BIN NOORDIN |
Posted: 06 Nov 2011 04:20 AM PST Salam 2 all. Teman tertarik dgn tulisan Dr. Mohd Yusri Mohamed yang disiarkan dilaman www.penayusri.com. bertajuk "Mencari Kebenaran Dalam Beragama". Memang diakhir zaman ini ummat Islam kususnya, dan tamadun kemanusiaan umumnya mencari-cari dimana Islam sebenarnuya. Islam yang sepatutnya membawa rahmat kepada kemanusiaan, tetapi hari ini menjadi celaru dan mengelirukan. Bukan kerana Islam itu sendiri, tetapi kerana kecelaruan dan kekeliruan umatnya. Apatah lagi ada kecenderungan dikalangan segelintir mereka yang mengaku ulama dan pejuang Islam yang memperkuda dan memperalatkan Islam untuk tujuan dan kepentingan mereka sendiri, sehingga menyebabkan ramai umat Islam dan bukan Islam menjadi keliru. Mereka menjadi politikus kalkatu yang bukan sahaja sesat tetapi juga menyesatkan orang lain! Semoga penulisan Dr Mohd. Yusri, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa yang juga bekas Presiden ABIM, dan kini merangkap Pengerusi Yayasan Sofa akan dapat merungkai persoalan yang menjadi kekusutan didalam memahami serta menilai sebuah gerakan Islam sebenarnya. Semoga perhimpunan kesatuan umat Islam di Arafah hari ini akan berjaya diterjemahkan keseluruh dunia Islam. Semoga umat yang punya Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Qiblat dan Satu Aqidah akan berjaya menjadi Satu Ummah! Wallahua'lam & Wassalam. Zulkifli Bin Noordin Ahad 10 Zulhijjah 1432 06 November 2011 ############ (Petikan daripada www.penayusri.com) Mencari Kebenaran Dalam Beragama Oleh : Dr. Yusri Mohamed – www.penayusri.com - mantan Presiden ABIM (sekarang bertindak sebagai Pengerusi Yayasan Sofa)DARI NERACA AGMA, hidup ini adalah satu ujian besar daripada Tuhan ke atas hamba-hambaNya. Ujiannya datang dari berbagai sudut. Salah satu sudutnya adalah tuntutan untuk kita menyesuaikan hidup kita mengikut kehendak agama. Lebih daripada itu, kita juga dituntut untuk memperjuangkan agama dalam hidup kita. Tetapi turut perlu diinsafi, terutama bagi kita yang hidup diakhir zaman ini, antara ujian terbesar kita dalam kehidupan beragama adalah untuk mencari dan memilih fahaman dan ikutan yang benar dan murni dalam beragama. Antara Yang Zahir dan Yang BenarAda beberapa faktor yang tambah menyukarkan kita dalam membezakan yang benar dan yang tidak dalam beragama. Masyarakat awam misalnya mudah terpengaruh pada sesuatu yang menonjol, aggresif, lantang dan dilihat yakin. Oleh itu, sering berlaku pihak yang zahirnya lebih berani, lantang, fasih dan mendapat liputan meluas itulah yang lebih didengari dan dianggap betul. Selain daripada faktor itu, aliran yang batil atau keliru dalam agama pula sering turut bercampur dengan kebenaran. Jadi perlulah diingat bahawa kebatilan yang bercampur kebenaran itu lebih berbahaya berbanding dengan kebatilan tulen yang tidak bercampur kebenaran. Samalah seperti bahayanya hidangan menarik yang mengandungi racun berbisa. Disamping itu, dalam konteks masyarakat Malaysia khususnya, saya dapati, ramai juga yang mudah terkeliru dan tidak dapat membebaskan diri daripada kerangka persaingan politik kepartian dalam menilai isu-isu agama. Sedangkan sering juga isu agama yang timbul adalah pertembungan fahaman dan prinsip yang lebih mendasar dan melangkaui batas politik kepartian.Petua-petua Utama.Mencari yang benar dan salah dalam hal agama bukannya mudah dan merupakan ibu segala pencarian dalam hidup manusia. Tiada yang akan berjaya tanpa usaha yang disertai rahmat dan hidayah Allah SWT. Dalam mencari yang kebenaran dalam agama, sangat bertepatan kita merujuk petua masyhur yang diungkapkan dengan fasih oleh Imam Ibnu Sirin dari kalangan Tabiin dalam pesannya, "Ilmu ini (ilmu-ilmu agama) adalah agama kamu, maka hendaklah seseorang itu benar-benar kenal (memilih) daripada siapa dia mengambil agamanya". Inilah petua dan prinsip inspirasi Al-Quran dan al-Sunnah yang sangat asasi dan menyelamatkan. Menariknya, petua ini kurang ditekankan di kalangan mereka yang cenderung membawa fahaman yang Syaaz dikalangan umat ini. Mungkin kerana petua ini tidak menguntungkan mereka. Sebenarnya, jika petua yang satu ini benar-benar dihayati oleh anggota masyarakat, insyaAllah, mereka akan lebih mudah mengenal yang mana intan dan yang mana kaca. Cabaran mengenal-pasti sumber ikutan dan ambilan ilmu agama yang benar disukarkan lagi dengan munculnya, dari awal sejarah Islam, individu dan aliran sesat yang berwajah agama, siap dengan kelayakan zahiriyah dan retorik yang memukau. Contoh yang sangat jelas adalah episod Saidina Ali RA yang ditakdirkan terpaksa menghadapi fitnah kemunculan kelompok Khawarij. Mereka ini yang gagal betul-betul 'mengenali' Saidina Ali RA telah keluar dari mentaatinya atas niat dan asas keagamaan. Mungkin mereka pun merasa perlu membawa perubahan dan tajdid terhadap arus perdana Umat ketika itu. Seperti yang masyhur dalam sejarah Islam, kelompok Khawarij ini zahirnya sangat kuat berpegang dengan agama. Sangat kuat ibadahnya dan tinggi semangat agamanya tetapi terpesong daripada fahaman agama yang benar. Pembunuh Saidina Ali RA, Ibnu Maljam yang muncul daripada kalangan mereka diriwayatkan sedia menghadapi apa sahaja hukuman kecuali dipotong lidahnya kerana mahu lidahnya sentiasa basah dengan zikr. Saidina Ali yang berpengalaman dengan sepak-terajang kelompok sebegini ada berpesan, "Akan ada zamannya, dimana yang batil itulah yang paling zahir dan yang Haq itulah yang paling tersembunyi."Menginsafi pengajaran sejarah dan pesan Saidina Ali ini, janganlah kita mudah terpukau dengan semboyan-semboyan perubahan dan tajdid (pembaharuan). Tidak semua yang melaungkan tajdid itu mujaddid sebenar. Tidak semua orang berimej agama yang ditangkap, dipenjarakan atau diperangi itu pejuang agama yang hakiki! Janganlah kita mudah terkeliru dengan gelar, sijil dan pangkat. Sangat bahaya jika kita terlalu taksub kepada seseorang kerana satu-dua pandangannya yang kita minati atau kebetulan menghentam pihak yang kita tidak sukai. Kenalilah dan kajilah betul-betul seseorang tokoh agama sebelum mengikutnya atau mendokongnya habis-habisan. Janganlah terlalu mudah mempertaruhkan agama kita yang menjadi penentu untung-nasib kita di dunia ini dan di akhirat yang kekal abadi.Tolak Yang Syaaz, Ikutilah Arus PerdanaSelain daripada mengenali latarbelakang dan kecenderungan seseorang yang ingin diikuti, satu lagi panduan yang sangat utama dalam memilih kebenaran dalam agama adalah dengan kesetiaan dengan aliran arus perdana dan mengelakkan aliran-aliran yang Syaaz (ganjil, asing dan kontroversi). Dalam menilai aliran atau tokoh agama sering kali berlaku kekeliruan antara perjuangan yang Syaaz dan memperjuangkan pembaharuan (Tajdid) dalam agama. Islam bukannya anti-perubahan dan Tajdid adalah unsur dinamika yang penting didalam tradisi Islam. Tapi sebagai risalah terakhir yang terpelihara dan dijamin Tuhan Rabbul Jalil, ruang untuk perubahan dan Tajdid dalam Islam adalah jelas dan lebih terbatas berbanding dengan agama dan ideologi lain. Dalam agama Islam, kita boleh isytiharkan dengan yakin bahawa kita tidak perlukan seorang Martin Luther dengan gerakan reformasi Protestantnya seperti yang berlaku dalam sejarah Kristian. Dalam neraca Islam tuntutan perubahan diluar batas-batasnya bukanlah Tajdid yang hakiki tetapi adalah pandangan dan gerakan yang Syaaz. Yang meruntuh dan bukannya membina. Yang melemahkan bukannya menguatkan. Yang memecah-belahkan dan bukannya menyatukan.Mengenali dan menolak yang Syaaz adalah prinsip pokok dalam Islam seperti yang dinyatakan nas-nas termasuk ayat 115, Surah al-Nisa` dan hadith yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menghimpunkan Umat ini diatas suatu kesesatan, dan sesungguhnya Tangan Allah itu bersama al-Jamaah, maka ikutlah as-Sawaad al-A`zam (majoriti ulama) dan sesiapa yang mengasingkan diri maka dia mengasingkan dirinya ke Neraka" (Riwayat Abu Nu'aim, Hakim dan al-Tirmizi seperti disebut oleh al-`Ajluni dalam Kasyful al-Khafa'). Persoalan ini boleh didapati huraiannya dalam perbahasan berkaitan prinsip-prinsip Ijma`, Jumhur, Mu`tamad dan as-Sawaad al-A'zam dalam bab-bab ilmu yang berkaitan. Untuk mengenali dan menilai seseorang adalah tidaklah memadai sekadar membaca kolumnya dan mendengar ucapan-ucapannya tanpa kemampuan menilainya secara kritikal daripada kerangka fahaman agama yang mendalam. Seperti yang kita sebutkan, dalam sejarah Islam, memang sering muncul orang-orang agama bijak berdalih dengan hujah dan dalil agama untuk mendokong fahamannya sehingga menyukarkan orang awam yang tidak kuat latar belakang agamanya serta tidak cukup maklumat untuk menilainya dengan saksama. Tetapi berpandukan petua-petua utama yang baru kita himbau, kita sepatutnya sudah boleh membuat penilaian yang lebih tepat dalam isu beberapa aliran dan tokoh agama semasa yang timbul dalam masyarakat kita. Antara sikap dan pendirian yang Syaaz yang timbul dalam masyarakat kita ialah tidak boleh menerima perbezaan pandangan dalam isu-isu khilafiyyah. Ini merujuk kepada isu-isu yang mana terdapat perbezaan pandangan dikalangan mazhab dan ulama muktabar dalam dunia Islam. Sikap arus perdana dalam soal-soal sebegini adalah tidak menolak, memperlekehkan atau membid'ahkan amalan-amalan tersebut. Malangnya, kita dapati ada tokoh-tokoh tertentu yang banyak mempertikaikan (baca menyesatkan) amalan-amalan yang sudah diterima umum dalam masyarakat kita yang ada asasnya didalam Islam seperti tahlil arwah, bacaan Yaasin diwaktu tertentu dan berubat dengan air yang dijampi. Malah ada yang dengan sinis meminta mereka yang percaya dengan air jampi ini untuk terus menjampi sahaja air di empangan agar semua orang boleh jadi baik! Ada juga percubaan memakaikan imej yang buruk terhadap pendekatan tarekat dalam dunia tasawuf dan keruhanian Islam sedangkan pendekatan tarekat diterima oleh majoriti umat ulama termasuk Ibnu Taymiyyah. Menolak dan mempermasalahkan tasawuf dan tarekat adalah sikap yang bertentangan dengan arus perdana ulama dan umat Islam. Ia juga bererti menolak dan mempertikaikan tokoh-tokoh ulama tanahair yang disepakati jasa dan sumbangan mereka dalam menegakkan agama Islam seperti Tok Kenali, Tuan Tabal, Tokku Paloh, Tok Selehor, Sheikh Abdullah Fahim dan Sheikh Ahmad bin Hj. Mohd Said dan lain-lain yang kesemuanya mesra dengan dunia tasawuf dan tarekat. Sebenarnya kelompok sesat dan batil dalam tarekat adalah kelompok minoriti tetapi ada yang cuba memberi gambaran yang sebaliknya kepada masyarakat. Akhir-akhir ini ada juga yang cenderung mempermasalahkan kedudukan mazhab Syafie sebagai mazhab utama dan rasmi di Negara kita. Sebenarnya pilihan ini adalah pilihan semulajadi berdasarkan sejarah sampainya dan tersebarnya Islam di Nusantara. Kita umumnya memahami sistem bermazhab yang menyebabkan kita tidak terlalu taasub mazhab Syafie. Cuma kita mungkin akan curiga jika ada amalan-amalan kita yang berdasarkan mazhab Syafie hendak dipertikaikan dan ditukar tanpa ada asas dan alasan yang kukuh serta dibuat diluar kerangka fatwa rasmi. Anehnya ada yang membayangkan kita terlalu taasub dengan Mazhab Syafie sehingga ke tahap menganggap Imam-imam lain seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad terkeluar daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jama`ah. Adakah ada dikalangan kita yang ada menganggap begitu? Apapun nama dan gelarannya, tidaklah terlalu sukar mengenali yang tokoh atau aliran yang Syaaz dalam Islam. Jika pandangan dan kecenderungan seumpama ini diberi kebebasan untuk disebarkan dalam masyarakat kita, pelbagai kesan negatif akan timbul. Selain kekeliruan fahaman agama sehingga ke tahap melanggar hak dan adab terhadap para ulama muktabar silam dan semasa, ia juga boleh menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat awam. Peliharalah Keutuhan UmatDari masa ke semasa, Umat Islam di Malaysia di uji dengan munculnya tokoh dan aliran yang menggugat kesepakatan dan keutuhan dalam fahaman beragama. Berkat gandingan Umara-Ulama, setakat ini kesepaduan dan keutuhan suara Umat telah berjaya dipertahankan. Ini membolehkan umat Islam di Malaysia bertahan menghadapi pelbagai gugatan luar dan dalam. Kestabilan dalaman ini membolehkan kita memberi tumpuan kepada agenda lain yang lebih produktif dan membawa kesejahteraan kepada Umat. Tidak dinafikan kita masih dan terus menghadapi perselisihan politik antara parti-parti utama umat Islam di Negara kita dan hal yang satu ini pun sudah merupakan cabaran besar kepada kekuatan Umat. Jika kita tidak berhati-hati, suatu medan atau 'front' pertembungan dalaman yang lebih besar, memeritkan dan merugikan boleh muncul. Saya baru pulang daripada jemputan lawatan sepuluh hari ke Jepun untuk belajar daripada pengalaman kejayaan negara tersebut. Saya perhatikan bahawa salah satu faktor utama disebalik kejayaan mereka adalah kestabilan dalaman masyarakat Jepun yang bersifat homogenous (tidak pelbagai) dari berbagai sudut. Malaysia ditakdirkan sebagai sebuah Negara pelbagai bangsa dan agama. Mengurus kepelbagaian ini tetap menjadi cabaran semulajadi yang besar dan berterusan serta menentukan jatuh-bangunnya Negara kita. Oleh itu amatlah tidak wajar kita hendak menambah lagi pertentangan dalaman dalam tubuh Umat yang akan lebih mengalihkan fokus kita daripada agenda yang lebih membina. WaLlahu a'lam, Semoga Allah Subahanahu Wataala menyelamatkan umat Islam di Malaysia dalam cabaran yang sedia kita hadapi dan menjauhkan kita daripada bebanan yang boleh dielakkan. Yusri Bin Mohamad Pensyarah UIAM, (Bekas Presiden ABIM) |
You are subscribed to email updates from ZULKIFLI BIN NOORDIN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan