Beliau melalui perutusan hari raya Aidil Adha yang dihantar kepada Harakahdaily berkata, di zaman ini sudah jadi terbalik apabila pemimpin umat Islam mengorbankan agama untuk kepentingan diri dan duniawi.
"Maka menjadi tanggungjawab kepada kita untuk meneruskan pengorbanan dizaman ini, bagi memastikan tertegakkan keadilan Islam yang akan memayungi kesejahteraan hidup manusia pelbagai bangsa dan agama.
"Malanglah dizaman ini, ramai manusia mengorbankan agama untuk kepentingan diri dan duniawi sehingga membiarkan dunia terus rosak dengan jenayah, ekonomi, politik dan sosial yang pincang akibat mengenepikan syariat Allah," katanya.
Aidil Adha ujarnya mengingatkan kita umat Islam tentang pengorbanan nabi-nabi terdahulu menegakkan agama Allah sehingga sanggup meninggalkan segala kemewahan dan keselesaan dunia.
Nabi Ibrahim ujarnya berkorban dengan meninggalkan anak dan isterinya di kawasan yang kering. Begitu juga dengan Nabi Musa yang meninggalkan istana Firaun yang mewah dan juga junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang meninggalkan tanah air tercinta untuk menegakkan syariat Allah," katanya.
Sementara itu, mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam di Malaysia ini.
"InsyaAllah dengan kesedaran yang sama-sama kita bina sempena hari raya ini, akan membuahkan hasil yang baik kepada diri, masyarakat dan negara ini ke arah melahirkan negara yang sejahtera dan adil untuk semua dengan cara mematuhi perintah Allah dalam semua perkara.
"Selamat hari raya, maaf zahir dan batin daripada kami Parti Islam Se-Malaysia PAS," ujarnya yang juga ahli parlimen Marang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan