Selasa, 18 Oktober 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Hadiah Deepavali Bagi Kuil Puchong

Posted: 17 Oct 2011 03:00 AM PDT

PUCHONG: Setelah lebih 20 tahun berjuang untuk mendapatkan hak tanah, akhirnya Persatuan Penganut Sri Maha Mariamman Devasthanam boleh menarik nafas lega apabila kerajaan Selangor bakal mewartakan tapak kuil ini sebagai hak mereka.

Pengumuman ini sekaligus menjadi hadiah paling bermakna bagi penganut Hindu di sini bersempena perayaan Deepavali yang bakal menjelma.

Perkara ini diumumkan sendiri oleh Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Kinrara, Taresa Kok.

Menurut beliau, sebagai penghargaan kepada pihak pemaju yang sudi mempertimbangkan tuntutan ini, kerajaan negeri akan membantu pihak IOI Groups dari segi pembangunan di kawasan Puchong.

"Baru baru ini dengan kerjasama K. Arumugam dari MPSJ, IOI mengeluarkan satu surat akujanji kepada pihak kerajaan dan MPSJ bahawa mereka akan serahkan tanah ini kepada kerajaan dan kita akan wartakan," katanya di satu sidang media di kuil tersebut.

Hadir bersama di majlis tersebut adalah Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jeyakumar dan ADUN Puchong Gorbind Singh Deo.

Menurut beliau, perkembangan ini merupakan satu langkah positif yang diambil untuk mengekalkan keharmonian penganut agama di Puchong

Sementara itu, Dr Xavier Jeyakumar menyatakan, proses mewartakan tanah ini telah berada di fasa terakhir dan beliau berharap agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin dalam tempoh 60 hari.

Menurut beliau, ini bukan perkara baru yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat di Selangor memandangkan sebelum ini banyak isu yang telah berjaya diselesaikan berhubung masalah rumah ibadat.

"Kalau dikira tanah untuk rumah ibadat, kita telah memberikan lebih 120 lot tanah kepada semua penganut agama di Selangor.

"Tanah-tanah ini merupakan tanah kerajaan yang diwartakan untuk rumah ibadat. Terdapat juga beberapa tanah yang diberikan hasil kerjasama dengan pihak swasta," katanya

Beliau turut mengakui perolehan tanah untuk rumah ibadat di Selangor adalah sukar memandangkan banyak penganut agama lain turut sama menghantar permohonan kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, AJK Persatuan kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, K. Yugapuriyan memaklumkan, tapak kuil ini telah wujud sejak tahun 1877 dengan keluasan 33,000 kaki persegi dan tanah ini dahulunya dimiliki oleh Pilihan Megah Sdn Bhd sebelum diambil alih oleh IOI Groups.

Pada tahun 1980, IOI meminta kuil ini dipindahkan memandangkan kawasan ini ingin dimajukan.

Pertelingkahan mengenai status tapak kuil ini juga pernah berlarutan sehingga ke mahkamah.



Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan:

Nuffnang