Jumaat, 7 Oktober 2011

Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Ayer Hitam

Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Ayer Hitam


Haji Mabrur : Impian Setiap Jemaah Haji

Posted: 07 Oct 2011 09:29 AM PDT

Keinginan setiap insan yang beriman ialah untuk menatap wajah Kaabah di hadapan mata. Sesungggunya beruntunglah kita apabila dapat menunaikan ibadah haji, berazam untuk menghadapi pelbagai ujian getir biarpun lautan manusia sedang mengelilinginya dalam keadaan bertolakan dan bersesakan antara satu sama lain  untuk menatap wajahnya dengan penuh keimanan. Inilah hikmah Allah jadikan Kaabah sebagai kiblat yang satu dalam sembahyang untuk Ummah sejagat.


Sebelum melaksanakan ibadah haji, kita perlu merebut peluang untuk mengerjakan umrah sebanyak mungkin. Ingatlah bahawa jika kita dapat tunaikan 7 kali umrah ganjaran pahalanya menyamai sekali ibadah haji. Perbanyakkan umrah agar ujian mengerjakan haji dapat ditempuhi dengan mudah. Ini adalah kerana masa yang ada agak panjang jika kita pergi dalam trip awal dan pertengahan. Jangan buang masa dengan banyak tidur di bilik hotel sahaja sedangkan inilah masa yang terluang untuk kita melipatgandakan ibadah sunat.    


Dalam perjalanan menuju ke Masjidil Haram dari tempat penginapan, kita jangan lepaskan peluang untuk melihat dari dekat tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW. Tempatnya yang dizahirkan dengan kesan lama yang tidak ada sebarang pengubahsuaian sejak dulu. Tempat ini agak sukar untuk didekati kerana ramai orang yang tidak putus-putus menziarahinya. Di hadapannya pula terdapat kesan sejarah rumah Abu Jahal yang sekarang ini diubahsuai menjadi Baitul Klahaq (tandas).


Walaupun antara kita berbeza ideologi politik tetapi kita bersatu ketika menunaikan ibadah haji. Bersatu atas nama Islam sahaja tidak kerana yang lain. Oleh itu, insaflah kita semua bahawa kita akan kembali bertemu Allah atas pegangan agama yang diredhainya iaitu Islam. Tiada makna dan guna jika Islam yang dianuti  hanya diamalkan ketika musim haji sahaja tetapi selepas selesai ibadah haji maka Islam itu dipinggirkan dalam etika kehidupan seharian kita. 


Ujian paling getir sekali ialah ketika berada berwukuf di Padang Arafah. Keadaan kita yang berihram sepanjang masa dalam tempoh ibadah haji bermula daripada 9 - 14 Zulhijjah sebelum selesai Tahallul Awwal. Kita yang tidak biasa dengan keadaan sebegini boleh menggugat hati nurani kita untuk menanggalkannya. Apakan daya, ini melambangkan ujian Allah kepada semua insan agar patuh dan tunduk pada arahannya. Jika enggan bersedialah kita menempuh balasannya. 


 Apabila selesai menunaikan ibadah haji, kita berpeluang untuk melakukan ziarah di Madinah. Di sana kita akan menumpukan amalan solat 40 waktu di Masjidil Nabawwi. Jangan lepaskan peluang untuk menziarahi Makam Rasulallah SAW, Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab serta perkuburan Al-Baqir. Kita dapat lihat kesan sejarah lampau sebagaimana kita membacanya dalam buku Sejarah Islam. 

Tiada ulasan:

Nuffnang