Selasa, 25 Oktober 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Selamat Menyambut Hari Deepavali

Posted: 25 Oct 2011 06:56 AM PDT

Setiap kali menjelang Hari Deepavali, saya teringat kepada intipati di sebalik perayaan ini yang diraikan masyarakat India beragama Hindu. Makna di sebalik festival bercahaya ini membawa kita merenung setiap saat kehidupan yang wujud dengan cahaya dan juga kegelapan.

Walau saling bertentangan, ada kalanya pabila kegelapan bermaharajalela, kita semua mengharap dan berusaha untuk meniti hari bilamasa cahaya menyinari seluruh semesta. Mengikut kepercayaan penganut agama Hindu, pada Hari Deepavali ini, cahaya yang mewakili kebenaran dan kebaikan berjaya mengalahkan kegelapan yang mewakili ketidakadilan dan kejahatan.

Hakikatnya, kita hidup dengan berharap akan cahaya yang bakal menjelma; di lapangan, masih ramai yang belum mengecapi kemenangan yang digambarkan dalam perayaan ini. Secara khusus, saya teringat akan nasib masyarakat yang majoritinya India yang masih menetap di Estet Ladang Bukit Jalil, di satu penjuru Lembah Pantai – seiring dengan kad ucapan Hari Deepavali saya yang mereka sendiri gubahkan.

Estet ini yang wujud sebelum Malaya merdeka lagi kini hampir menjadi kenangan – cuma sekitar 40 penduduk asal masih menetap di situ, disebabkan arus pembangunan yang menelan kawasan berdekatan. Arus pembangunan ini telah dizahirkan dalam bentuk arahan yang kini memaksa mereka meninggalkan tempat tinggal mereka ini, tanpa pampasan yang memadai penduduk yang membanting tulang bekerja sehingga 4 generasi lalunya sebagai penoreh getah.

Akan tetapi para penduduk Estet Ladang Bukit Jalil enggan berganjak, dan akan terus bertahan, kerana mereka menaruh harapan yang disimbolkan menerusi Hari yang penuh bercahaya ini – di mana selaku penduduk yang telah 4 generasi lamanya mengukir sejarah di halaman tersebut, berhak mendapat sekurang-kurangnya tanah empat ekar – sekadar sekangkang kera – dalam usaha mereka meneruskan penempatan, perumahan, kehidupan bersama keluarga dan jiran tetangga yang mereka kasihi.

Moga harapan mereka dipenuhi dengan masa depan yang penuh bercahaya lagi bermakna.

Untuk mereka, dan semua warga Malaysia yang menyambut Festival Bercahaya ini: Deepavali nal valthukkal!

Apabila telaga minyak kering

Posted: 25 Oct 2011 04:14 AM PDT

"Salam sejahtera. Saya seorang rakyat Malaysia. Saya cintakan negara kita. Malaysia cukup indah, tapi ada macam-macam masalah. Tak perlulah saya sebutkan, kita tahu apa masalah ini. Masa depan negara kita terletak di tangan kita sendiri. Ingatlah, apa pun terjadi Malaysia ini negara kita. Ia memang banyak masalah. Malaysia perlukan kita semua. Ingatlah walau apa pun terjadi, negara ini adalah negara anda. Ia negara kita. Malaysia perlukan kita semua."
Itulah kata-kata Tengku Razaleigh Hamzah dalam video Undilah yang diharamkan penyiarannya di stesen-stesen televisyen. Ini realiti sekarang tetapi hakikatnya, Malaysia cukup bertuah kerana kaya dengan pelbagai sumber asli, terutama minyak dan gas. Khazanah ini semestinya digunakan untuk manfaat rakyat generasi ke generasi.

Sebaliknya, ia diguna untuk keuntungan pihak terpilih di mana dalam generasi ini jika tidak ada perubahan dasar dan amalan pengurusan yang strategik, rakyat akan terus menjadi mangsa kepada apa yang Perdana Menteri sebutkan sebagai perangkap sumber asli (resource trap) atau sumpahan sumber (the oil curse) – di mana negara-negara yang kaya dengan sumber minyak akan lebih autokratik, pembangunan ekonomi tidak seimbang dan jurang kemiskinan akan melebar.

Adakah negara kita termakan dengan sumpahan sumber ini? Pada hemat saya, memang negara kita menyaksikan bahana sumpahan sumber dalam penyalahgunaan pendapatan sumber minyak dan gas negara yang boleh dibahagi kepada lima, iaitu sebagai Sumber Ketirisan Ekonomi, Sumber Herotan Ekonomi, Sumber Pemborosan Belanjawan Kerajaan, Sumber Kewangan 'Gelap' dan Sumber Krisis Ekonomi Generasi Muda.

Pertama, Petronas dijadikan kerajaan sebagai sumber ketirisan ekonomi. Sejak 1974 Petronas peroleh keuntungan (pendapatan tolak perbelanjaan) RM700 bilion. Sekiranya nisbah 30 peratus diambil kira sebagai ketirisan 'perbelanjaan' sebagai wang komisen orang tengah, mungkin kah keuntungan Petronas cecah RM1.0 trilion? Ke mana pergi jumlah wang begitu besar ini?

Kedua, Petronas diarah kerajaan menjadi penyumbang sumber herotan ekonomi. Subsidi gas dan petrol yang kurang saksama mencetus herotan ekonomi di mana subsidi 'tenaga' dinikmati pelabur asing sebagai sumber kos rendah bila ditambah dengan kos buruh asing yang rendah akan terus memerangkap dan menjerut potensi peningkatan manufacturing value chain untuk negara – tidak seperti di Jepun, Korea dan Singapura di mana mereka ini miskin sumber asli tapi kaya sumber modal insan.

Ketiga, Petronas menjadi telaga buta kewangan untuk belanjawan boros kerajaan. Sepatutnya hasil khazanah negara digunakan secara bijak seperti di Norway yang menubuhkan Tabung Hasil Minyak Negara untuk menabung bagi generasi masa depan apabila sumber minyak habis. Tabung negara Norway hanya membenarkan empat peratus hasil pendapatan minyak (bukan 40 peratus seperti di negara kita) digunakan dalam belanjawan negara.

Keempat, Petronas menjadi sumber kewangan 'gelap' di mana segala akaun dan pengurusan kewangan syarikat tidak perlu dilaporkan kepada Parlimen untuk pengetahuan umum. Oleh demikian kita dapati sumber wang Petronas digunakan untuk pelbagai 'projek khidmat negara' seperti Malaysia Philharmonic Orhestra yang berbelanja tinggi, membina Putrajaya dengan kos berganda dan pelbagai projek mega yang membazir.

Kelima, lebih dari persoalan penyalahgunaan dan pengurusan tidak strategik sumber asli negara adalah apa yang akan berlaku apabila telaga minyak kering? Apakah ini akan cetuskan krisis ekonomi generasi muda kelak yang akan memperlihatkan negara bukan saja miskin sumber asli, tetapi modal insan kerana kurang tumpuan dan pelaburan pendidikan strategik ketika mewah?

Apabila telaga minyak kering, kerajaan terpaksa mencari sumber pendapatan lain seperti menambah pelbagai jenis kutipan cukai baru seperti GST, menaikkan yuran perkhidmatan kerajaan seperti pendidikan, kesihatan, tol, tarif elektrik dan semua yang boleh dinaikkan sehingga beban rakyat berganda.

Oleh itu tidak terlambat untuk rakyat menuntut agar dasar dan pengurusan sumber minyak dan gas negara dipulihkan dengan bijaksana melalui dua pendekatan iaitu Petronas diletakkan di bawah kawal selia Parlimen dan keuntungannya digunakan 10 tahun untuk menjayakan gagasan revolusi pendidikan yang akan membina kapasiti daya saing rakyat.

(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian, 25hb Oktober 2011)

Tiada ulasan:

Nuffnang