Ahad, 23 Oktober 2011

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


KEHIDUPAN SAYA LEBIH TENANG, BERUBAH DEMI KEBAIKAN - SHAM KAMIKAZE

Posted: 22 Oct 2011 06:04 PM PDT


RAMAI orang bercakap mengenai perubahan diri komposer dan pemuzik, Shamril Mohamed Salleh atau lebih popular sebagai, Sham Kamikaze sejak beberapa bulan lalu. Jika orang ramai terkejut, rupa-rupanya Sham juga terperanjat dengan reaksi orang ramai terutama kelompok peminatnya. Ini kerana secara tiba-tiba namanya menjadi sebutan ramai - baik di kalangan penggiat industri hiburan dan kelompok masyarakat lain yang mengikuti perkembangan empunya diri ini. 

Segala-galanya bertitik tolak daripada pertemuannya dengan Imam Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman as-Sudais yang ternyata memberi kesan mendalam kepada dirinya hingga membawa kepada perubahan hakiki seperti yang dilihat hari ini. 

Perubahan yang berlaku ke atas diri saya ibarat bom jangka. Bukan saja memberi kebaikan kepada diri sendiri, malah saya kini mampu memberi dorongan dan semangat kepada masyarakat luar. - Sham Kamikaze 

Lebih selesa dengan berkopiah dan mengenakan pakaian santai, Sham tenang memulakan cerita perubahan dirinya yang menurutnya, bukan saja memberi kebahagiaan dalam kehidupannya suami isteri, malah mencetus inspirasi dan dorongan kepada masyarakat.

"Perubahan yang berlaku ke atas diri saya ibarat bom jangka. Bukan saja memberi kebaikan kepada diri sendiri, malah saya kini mampu memberi dorongan dan semangat kepada masyarakat luar.


"Inilah yang selalu dikatakan, hijrah dalam kehidupan bukan hanya untuk diri sendiri tapi ia memberi juga sinar kepada semua orang sekeliling kita," katanya dalam sesi temuramah dan fotografi bersama Inspirasi di studio Balai Berita, minggu lalu. Pada sesi itu, Sham ditemani isteri tersayang, Farazila Abdul Jabar yang sporting memberi pelbagai aksi bersama suami di hadapan lensa jurugambar Khairunisah Lokman.


Sham berkata, jika difikirkan secara logik akal, perubahan dirinya ini berkat doa keluarga dan isteri yang tidak pernah henti mendoakan agar dirinya berubah ke arah kebaikan. 

Ini kerana, tidak berapa lama selepas isteri dan ibu bapanya pulang dari mengerjakan umrah, Sham mula merasakan perubahan dalam dirinya.


"Ketika itu, saya mula merasakan sudah tiba masanya untuk saya berubah dan dalam pencarian ini, banyak yang saya temui. Jika dulu liat bangun menunaikan solat subuh, tapi kini tidak perlu disuruh saya akan bangun secara tiba-tiba.


"Malah saya merasakan perjalanan hidup seharian lebih teratur berbanding dulu. Jika dulu bangun tengahari dan segala perkara dijalankan agak lewat, tapi kini tidak lagi," katanya.

Sham yang kini sibuk mendalami dan memperbaiki ilmu agama menyatakan, jika diberi hidayah Allah kepada hamba-Nya, setiap perkara yang dilakukan akan menjadi senang.


Akui Sham, ketika zaman muda, segala-galanya ingin dicubanya. Malah, jika orang melihat caranya berpakaian, mungkin ada yang mengucap panjang. Aksesori mengalahkan wanita, malah di rumah, beliau menyediakan tempat simpanan khas untuk aksesori.


Malah solat yang dilakukan hanyalah sebagai syarat dan jika terlepas, ia dibiarkan berlalu tanpa rasa sesal. Namun, kini Sham mengakui, jika terlewat sedikit pun dalam menunaikan solat, beliau akan berasa bersalah dan menyesal.


Kata Sham, bukanlah bermaksud ingin menunjukkan diri alim, tapi inilah perasaan yang sering muncul tatkala tidak menunaikan perintah Allah.


"Saya memanjat rasa syukur kerana Tuhan memberikan hidayah ketika saya masih muda. Masih sihat dan senang, bukan ketika saya dihimpit kesusahan. Saya sedar jika Allah SAW mahu memberikan petunjuk, Dia tidak kira siapa dan di mana. 


"Aktiviti saya juga berbeza sekarang. Dulu, sentiasa sibuk membuat rakaman, menggubah lagu dan bermain gitar, kini aktiviti saya banyak dihabiskan di masjid dan surau di seluruh negara," katanya.

Ini kerana Sham banyak menerima undangan menyampaikan ceramah dan motivasi mengenai perubahan drastik yang berlaku ke atas dirinya.


"Ada yang bertanya kepada saya, sudah cukupkah ilmu di dada untuk memberi ceramah. Tapi saya tegaskan, saya bukan memberi ceramah agama tapi lebih kepada berkongsi pengalaman dan motivasi diri.


"Malah ramai yang menjemput saya kerana mereka merasakan kehadiran saya mampu menarik minat golongan remaja berkunjung ke surau dan masjid sekali gus mengimarahkan lagi majlis," katanya.


Kehadiran Ramadan lepas sangat dinantikan Sham kerana jika selama ini pengertian Ramadan pada dirinya hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata, kali ini beliau ingin menghayati pengertian bulan Ramadan dan kelebihannya. Sehubungan itu, banyak masa dihabiskan di surau dan masjid kerana menerima undangan memberikan ceramah dan jemputan berbuka puasa.


"Boleh dikatakan kami jarang berbuka puasa di rumah. Jika ada pun hanya bersahur itu pun bergantung kepada keadaan. Mujur isteri saya memahami dan jika undangan sekitar Lembah Klang dan Selangor, saya akan membawa isteri saya bersama.


"Jika jauh dan memerlukan masa beberapa hari, saya tidak membawa isteri kerana rumah tangga juga perlu dijaga dan jika kami berdua keluar, khuatir rumah tidak terjaga pula," katanya.

(BAGAIMANA PULA PENDAPAT ISTERI SHAM..?) 
Ikuti kisah seterusnya esok ...

Tiada ulasan:

Nuffnang