|  PUTRAJAYA, 30 Sept:  Setelah laporan polis terhadap Felda berhubung pinjaman RM6 bilion yang  dibuat daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak diendahkan,  Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini memanjangkan  laporan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  pula.
 Laporan tersebut menuntut SPRM menyiasat Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Razak selain tiga lagi "orang kuat" Felda iaitu  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan,  Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Pengarah Besar Felda, Datuk  Dzulkifli Abd Wahab. Menurut Presiden Anak, Mazlan Aliman, keraguan timbul  apabila pinjaman dalam jumlah yang besar itu tidak pernah dibentangkan  di Parlimen malah tiada sebarang penjelasan dibuat oleh Ahmad Maslan  meskipun didesak berkali-kali oleh Anak dan banyak pihak lagi. Beliau berkata, Anak mahu SPRM menyiasat ke mana wang tersebut disalurkan dan siapakah yang mengarahkan pinjaman itu dibuat. "Apabila ditanya, Ahmad Maslan tidak pernah memberikan penjelasan yang memuaskan hati mengenai pinjaman itu. "Sebaliknya Tan Sri Isa Samad memberikan jawapan yang boleh  ditertawakan apabila menganggap Felda diiktiraf sehingga ada pihak yang  sanggup memberikan pinjaman dalam jumlah yang besar," kata beliau kepada  pemberita di hadapan pejabat SPRM, dekat sini, petang tadi. Mazlan turut mempertikai motif pinjaman itu dibuat dalam  pada Ahmad Maslan bermati-matian mempertahankan dakwaan Felda stabil dan  mempunyai aset RM19 bilion. "Kalau dah banyak aset, apa perlunya pinjaman dibuat? "Dan apa terma yang dikenakan KWSP terhadap Felda setelah  memebrikan pinjaman itu?" soalnya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan  Pembangunan Wilayah PAS Pusat. Tegasnya, perkara itu harus dijelaskan kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat khususnya peneroka Felda dan pencarum KWSP. Jun lalu, Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar  Ibrahim dalam ucapannya di Parlimen mendedahkan sejumlah RM3 bilion  daripada pinjaman tersebut dipinjamkan kepada Felda Global Ventures. Felda Global Ventures mempunyai masalah pelaburan di luar  negara menerusi Felda Iffico Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT  Etgo Canada, Felda Global Ventures Middle East dan Felda Global Ventures  Arabia. Kerugian terkumpul daripada pelaburan sekitar RM1.7 bilion daripada 1997 hingga 2010 hampir 500 juta. Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Felda, Suzana Wati Idayu  Othman dan Lembaga Pengarah didapati bersalah dalam membuat keputusan  yang menyebabkan kerugian dalam semua pelaburan di luar negara. | 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan