Jumaat, 14 Oktober 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Lawatan Kerja Dato Seri Anwar Ibrahim Ke Istanbul,Turki

Posted: 13 Oct 2011 07:49 PM PDT

Dato Seri Anwar Ibrahim telah menerima undangan khas ke Istanbul dari Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan untuk menjadi tetamu khas kepada Perdana Menteri Turki.

Selain itu Dato Seri Anwar Ibrahim juga akan menyertai mesyuarat International Institute of Islamic Thought atau lebih dikenali dengan singkatan IIIT,sebuah badan pemikir islam peringkat antarabangsa. Beliau yang ditemani oleh Dato Seri Wan Azizah akan berada disana selama 4 hari bermula dari 13 Oktober 2011 sehingga 16 Oktober 2011.

Pejabat Dato Seri Anwar Ibrahim

This posting includes an audio/video/photo media file: Download Now

Belanjawan 2012 Sahkan GST Akan Dilaksanakan Jika BN Menang PRU 13

Posted: 13 Oct 2011 11:45 AM PDT

Angka-angka unjuran ekonomi yang terkini semakin menunjukkan bahawa ramalan pertumbuhan ekonomi yang digunakan Perdana Menteri di dalam Belanjawan 2012 adalah tidak realistik. Terbaru adalah unjuran yang dibuat Malaysian Institute of Economics Research (MIER) yang menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kepada 4.6%.
 
Berdasarkan realiti ekonomi global, sasaran pertumbuhan 5% – 6% yang digunapakai adalah sukar untuk dicapai. Ini akan memberi kesan kepada jumlah pendapatan negara bagi tahun 2012 akibat kutipan cukai dan hasil lain yang berkurangan berikutan pertumbuhan ekonomi 2012 yang lebih perlahan.
 
Barisan Nasional perlu meminjam sekurang-kurangnya RM46 bilion untuk membiayai defisit Belanjawan 2012; itu pun jika ekonomi tumbuh pada kadar 5% – 6% bagi tahun 2012. Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 adalah terbatas akibat had keberhutangan negara (debt ceiling) yang dihadkan kepada 55% daripada KDNK di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983. Hutang negara sudah pun mencecah 53% dari KDNK berdasarkan angka rasmi Bank Negara Malaysia setakat Jun 2011, maka sebarang hutang baru sudah tentu bertentangan dengan undang-undang negara.
 
Saya berpendapat Perdana Menteri dan pentadbiran Barisan Nasional cukup arif dengan segala angka ekonomi dan had keberhutangan kerajaan di bawah kedua-dua akta tersebut. Saya juga yakin Perdana Menteri telah dinasihatkan bahawa ramalan pertumbuhan 5% – 6% yang digunapakai di dalam Belanjawan 2012 adalah tidak realistik.
 
Ini membawa kepada satu rumusan semata-mata.
 
Belanjawan 2012 yang berjumlah RM232 bilion pada ketika pendapatan negara tidak mampu menampungnya dan keupayaan berhutang kerajaan dihadkan mengesahkan niat Perdana Menteri untuk serta-merta melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya Barisan Nasional kekal berkuasa selepas PRU13.
 
Ini adalah satu pertaruhan yang diambil oleh Perdana Menteri, dengan niat mengabui mata rakyat dan menawarkan gula-gula bermula dengan bayaran dalam Januari 2012 kelak tetapi akan dicukai kembali melalui GST selepas PRU13 kelak.
 
Oleh yang demikian, Biro Politik KEADILAN telah memutuskan semalam untuk bersama-sama dengan Pakatan Rakyat membawa isu GST kepada rakyat sebagai isu utama PRU13 bertujuan memastikan rakyat memahami bahawa "undi kepada BN bermakna undi melaksanakan GST".
 
 
 
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI
13 OKTOBER 2011

Pelantikan Sdr Ahmad Thamrin Mohd Jaini Sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah

Posted: 13 Oct 2011 11:40 AM PDT

KENYATAAN MEDIA
13 OKTOBER 2011

Sukacita ingin dimaklumkan bahawa sdr Ahmad Thamrin bin Mohd Jaini telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah berkuatkuasa 12 Oktober 2011.

Perlantikan sdr Ahmad Thamrin, yang merupakan suatu keputusan penting bagi KEADILAN Sabah telah dibuat selepas proses rundingan dengan pimpinan-pimpinan KEADILAN SABAH diadakan dimana secara keseluruhannya, pimpinan KEADILAN Sabah bersetuju bahawa  beliau merupakan calon yang terbaik untuk menerajui Parti KEADILAN Rakyat Sabah dalam terus mengembang dan menggembeling sokongan rakyat Sabah terhadap KEADILAN, serta dalam persediaan menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti.

Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ketua-ketua Cabang KEADILAN Negeri Sabah serta kalangan anggota-anggota Parti KEADILAN Rakyat Sabah di atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada Majlis Presiden Sabah yang saya pengerusikan dan saya yakin bahawa kerjasama dan sokongan yang lebih baik akan dapat diberikan kepada sdr Ahmad Thamrin.

Sehubungan dengan itu, saya ingin mengumumkan bahawa Majlis Presiden Sabah yang telah ditubuhkan untuk memimpin dan mentadbir KEADILAN Sabah sejak 27 Januari 2011 lalu, dengan ini dibubarkan.

Seterusnya, saya telah juga meminta sdr Ahmad Thamrin untuk segera memulakan rundingan di kalangan pimpinan KEADILAN Sabah bagi menyusun saf pimpinan negeri, yang saya yakin di bawah pimpinan sdr Ahmad Thamrin nanti akan terus berjaya mendapat sokongan dan kepercayaan dari rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak dan keadilan yang sewajarnya menjadi milik rakyat Sabah sendiri, tetapi dikorbankan oleh keborosan dan ketamakan UMNO dan Barisan Nasional selama ini.

Sekian terima kasih.

DATO' SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT

Tiada ulasan:

Nuffnang