Isnin, 12 September 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Kontrak Untuk Semua, Selangor Mahu Keluarkan Lesen Kontraktor

Posted: 12 Sep 2011 02:04 AM PDT

SHAH ALAM 12 SEPT : Kerajaan negeri Selangor akan mengeluarkan sendiri lesen kontraktor Kelas F bagi memastikan setiap kontraktor di negeri Selangor mendapat peluang yang sama rata dalam mendapatkan projek-projek pembangunan dinegeri ini.

Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, pengeluaran lesen kontraktor itu akan merangkumi bumiputera dan bukan bumiputera.

"Sekarang di Selangor akan ada lesen Kelas F untuk semua kontraktor. Saya telah mencadangkan perkara ini pada mesyuarat exco tertutup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sebuah forum anjuran Persatuan Perniagaan India Malaysia (MIBA) baru- baru ini.

Forum berjudul 'Pertempuran Memenangi Hati Dan Undi Masyarakat India' itu mengumpulkan ahli politik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, ahli akademik, masyarakat sivil dan ahli perniagaan.

Dr Xavier juga berkata, cadangan untuk mengeluarkan lesen kontraktor itu adalah untuk membuktikan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim telus dan tidak mendiskriminasikan mana- mana kaum dalam mendapatkan kontrak kerajaan negeri.

Berpegang kepada prinsip "kontrak adalah untuk semua", Dr Xavier berkata cadangan ini akan mewujudkan persaingan sihat dikalangan kontarktor untuk membida kontrak pembangunan kerajaan negeri.

Beliau menambah, meskipun cadangan itu berdepan dengan banyak rintangan diperingkat persekutuan, namun sekurang- kurangnya ia diluluskan diperingkat kerajaan negeri.

Sehingga kini, Dr Xavier menjelaskan beberapa projek besar telah pun ditenderkan oleh kerajaan negeri Selangor. Antaranya, projek pemuliharaan Sungai Klang dan skim perumahaan dan pembangunan bandar campuran di Tanjung Dua Belas, Bukit Beruntung dan Ijok.


Sumber: TVSNEWS

Nasib Pemandu Teksi Selangor, Kuala Lumpur Bakal Terbela

Posted: 10 Sep 2011 12:45 AM PDT

KLANG 10 SEPT: Keperitan hidup yang dialami pemandu-pemandu teksi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang terbeban sejak sekian lama akibat eksploitasi golongan yang tidak bertanggungjawab bakal menemui titik noktah apabila Pakatan Rakyat akan membawakan suara mereka ke parlimen bulan hadapan.  

Lanjutan daripada Forum Teksi Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi Selangor dan Kuala Lumpur yang diadakan pada penghujung Julai lalu di Dewan Sivik MBPJ, hari ini mereka berkumpul dengan penuh semangat untuk memperjuang kebajikan mereka.

Menurut Exco Selangor, Ronnie Liu, parlimen adalah medium paling tepat untuk pemandu-pemandu teksi menyuarakan kegusaran dan segala masalah yang dihadapi mereka selama ini.

"Saya bercadang agar persatuan pemandu teksi di bawah penasihat dan pengerusinya untuk membuat satu memorandum lengkap dengan 10 resolusi ke parlimen agar ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat boleh membawa suara anda ke palimen,"kata Ronnie.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi Selangor dan Kuala Lumpur di Berkeley Corner Restaurant, Klang hari ini.

Forum Teksi Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi Selangor dan Kuala Lumpur yang diadakan pada 31 Julai 2011 yang lalu di Dewan Sivik MBPJ adalah untuk mengenalpasti masalah-masalah yang sudah lama dihadapi oleh kebanyakan pemandu teksi di Malaysia serta sebarang eksploitasi terhadap mereka. 

Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri forum tersebut komited untuk membawa 10 resolusi penyelesaian masalah para pemandu teksi yang telahpun didrafkan oleh persatuan tersebut.

Antaranya adalah peruntukan PERKESO serta faedah Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk pemandu-pemandu teksi yang selama ini tidak pernah diusulkan, pengkajian semula perjanjian 'hire-purchase' serta isu pemberian permit teksi kepada pemandu-pemandu teksi dan bukan melalui syarikat teksi yang kebiasaannya akan memonopoli pemberian permit tersebut.

Anwar yang juga Penasihat PKR ketika menghadiri forum tersebut turut berkata, pemandu teksi merupakan suatu 'campaigning force' kerana mereka merupakan golongan yang kerap berinteraksi dengan masyarakat sejagat.

Mengulas lanjut, Ronnie turut berkata bahawa kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat akan berjuang mendepani masalah kebajikan para pemandu teksi yang selama ini tidak terbela.

"Kita tidak boleh lakukan banyak perubahan kerana kita masih kerajaan negeri, tetapi sekiranya kami berjaya ke Putrajaya, semua ini akan terjawab dan tertunai"katanya sambil menerima tepukan para pemandu teksi yang hadir.

Sekurang-kurangnya 100 pemandu teksi turut hadir pada sidang media petang ini.

Hadir sama ialah Penasihat Persatuan Pemandu Teksi Nadi Negara, R.Kengadharan dan Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Nadi Negara, S. Manuharan.

Dalam perkembangan yang sama, Penasihat Persatuan Pemandu Teksi Nadi Negara, R.Kengadharan menggesa agar kerajaan pusat menghentikan sistem pemberian permit secara longgok kerana amalan tersebut menekan kehidupan pemandu-pemandu teksi sejak sekian lama.

"Saya ingin tekankan, bahawa pemberian permit secara longgok kepada syarikat-syarikat wajib diberhentikan serta merta oleh kerajaan, syarikat-syarikat ini bermaharajalela sedangkan ia memberi rasa tidak senang kepada para pemandu teksi,"ujar beliau.

TvSelangor difahamkan, amalan pemberian permit secara longgok, menguntungkan syarikat teksi yang hanya bertindak mengaut keuntungan sebagai orang tengah sedangkan pemandu teksi yang bertungkus lumus mencari rezeki terus hidup terbeban.

Senario ini jelas tergambar apabila sekurang-kurangnya 45 ribu pemandu teksi sekitar Selangor-Kuala Lumpur terpaksa membayar purata RM45 sehari untuk permit dan sewa kenderaan sedangkan mereka terpaksa menanggung sendiri risiko kesihatan, cuaca serta kos penyeleggaraan kenderaan sendiri.

"Kalau kita mahu tranformasikan negara, mahu melihat transfromasi masyarakat, kenapa kebajikan pemandu teksi terus terbiar, adakah salah buat kerajaan untuk melihat serius perkara ini?,"soal beliau.


Sumber: TVSNEWS

Kerajaan Selangor Sasar Golongan Belia Capai Pendapatan Minimum RM3,000 Sebulan

Posted: 10 Sep 2011 12:30 AM PDT

SHAH ALAM 10 SEPTEMBER: Sebagai aset penting kepada negeri Selangor, kerajaan negeri menetapkan sasaran supaya golongan belia mencapai jumlah pendapatan RM 3,000 sebulan sebagai skala minimum untuk setiap keluarga di negeri ini keluar daripada paras kemiskinan.

Jelas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, golongan belia di Malaysia pada masa kini berada di zaman yang penuh dengan peluang dalam usaha meningkatkan produktiviti masing-masing berbanding dengan golongan belia di negara luar.

"Saya berharap pemilihan belia dengan kerja adalah berasaskan kepada keupayaan dan produktiviti mereka.

"Saya mengharapkan setiap belia akhirnya akan mendapat ganjaran dan pendapatan yang melebihi. RM 3,000 sebagai satu target negeri Selangor untuk menentukan setiap keluarga di negeri ini tidak berada di bawah paras kemiskinan," katanya.

Perkara ini diumumkan Abdul Khalid ketika ucapan perasmian Sambutan Hari Raya Bersama Belia Negeri Selangor bertempat di I-City Walk, Shah Alam.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Puan Seri Salbiah Tunut, barisan kepimpinan kerajaan negeri, adun dan ahli parlimen serta warga kerja pelbagai jabatan negeri Selangor.

Hampir 20,000 orang belia hadir untuk merasai bersama kemeriahan Sambutan Hari Raya bersama Belia Negeri Selangor.

Menerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Belia, kerajaan negeri melancarkan enam bidang utama bagi mewujudkan keseimbangan dalam usaha memenuhi keperluan dalam kalangan belia.

Enam bidang tersebut adalah kepimpinan, ekonomi, kemasyarakatan, kebudayaan, pendidikan dan kesukanan.

Abdul Khalid menambah, belia merupakan nadi utama kepada mana-mana negara dalam usaha membawa perubahan dan kebangkitan revolusi seperti yang berlaku kebelakangan ini.

Golongan belia juga turut diminta supaya memberikan pandangan dan teguran terhadap pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan sistem pemerintah yang sedia ada dapat diperbaiki demi kesejahteraan rakyat Selangor.

Dalam pada itu, golongan belia yang sudah berumur 21 tahun ke atas diingatkan supaya mendaftar sebagai pengundi dan bersedia untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara dalam memastikan sistem demokrasi negara dapat dilaksanakan.

Penganjuran ini merupakan inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan-jabatan kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Sukan Selangor dengan tujuan meraikan belia tempatan khasnya belia seluruh Negeri Selangor.

Sambutan Aidilfitri ini juga turut dimeriahkan dengan penyapaian sumbangan kepada 73 atlet negeri Selangor yang berjaya mengharumkan nama negeri dalam arena sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komenwel, Sukan Asia dan Piala AFF Suzuki 2010 yang lalu.

Hadiah berbentuk moke-up cek diserahkan sendiri oleh Tan Sri Abdul Khalid yang bertindak selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Negeri Selangor.

Secara keseluruhan, atlet Sukan Komenwel mendapat insentif berjumlah RM 64,600, diikuti atlet Sukan Asia Guangzhou 2010 dengan jumlah RM 97,000 dan pemenang piala AFF Suzuki 2010 dengan jumlah RM 30,000.

Selangor Catat Pelaburan RM5.2 Bilion Dalam Tempoh Enam Bulan Pertama 2011

Posted: 10 Sep 2011 12:00 AM PDT

SHAH ALAM 10 SEPT : Negeri Selangor mencatatkan pelaburan berjumlah RM5.2 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Dalam satu kenyataan, pejabat Menteri Besar Selangor berkata dalam tempoh ini, Selangor menerima pelaburan asing sebanyak RM3.1 bilion dan pelaburan tempatan sebanyak RM2.1 bilion.

"Sebanyak 135 projek telah diluluskan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini dan membuka 9,847 peluang pekerjaan.

"Daripada 135 projek ini, 89 adalah pelaburan baharu manakala 46 adalah mengembangkan pelaburan sedia ada," katanya.

Mengikut pecahan sektor, industri pembuatan elektronik mencatatkan pelaburan tertinggi dengan RM1.3 bilion daripada 18 projek yang diluluskan membabitkan RM110 juta pelaburan tempatan dan RM1,149 bilion pelaburan asing.

Jepun menjadi pelabur terbesar di Selangor dengan 13 projek membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM1.136 bilion, diikuti Korea Selatan sebanyak RM652 juta (tiga projek) dan Singapura dengan RM510 juta (8 projek).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata jumlah ini menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi pelabur asing dan tempatan terhadap kerajaan negeri.

"Selangor mencatatkan pelaburan tempatan dan asing yang seimbang dengan mencatatkan 135 projek berbanding negeri-negeri lain yang merekodkan antara 2 hingga 93 projek sahaja," katanya.


Sumber: TVSNEWS

MB Selangor Ke Jerman Tarik Pelabur

Posted: 07 Sep 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 7 SEPT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan melakukan lawatan kerja rasmi ke Jerman bermula 11 hingga 16 September ini bagi mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelaburan paling menarik di negara ini.

Sepanjang berada di Jerman, menteri besar dijadualkan melawat beberapa kilang di Wiesbaden, Stuttgart, Muenchen, Bitterfeld-Wolfen dan Munich selain mengadakan beberapa siri dialog dengan pengusaha kilang di negara berkenaan, lapor malaysiakini.

Rombongan perniagaan ini akan turut disertai Exco Kerajaan Negeri, Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC), Dato' Jabar Ahmad Kembali.

Dalam lawatan kerja rasmi ini, menteri besar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat terhadap Minister President of Baden Wurtterberg untuk memperkenalkan Selangor dan peluang-peluang pelaburan.

Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) semalam, menteri besar berkata, lawatan kerja ini bagi menarik lebih ramai pelabur Jerman ke Selangor terutama dalam industri berkaitan teknologi hijau.

Beliau berkata, Selangor telah menerima pelaburan RM2 bilion menerusi kilang pengeluaran sel suria, Q-CELLS, yang beroperasi di Banting.

"Industri teknologi hijau berkembang pesat di seluruh dunia dan kita komited untuk menjadikan Selangor sebagai peneraju industri ini," kata menteri besar.


Sumber: TVSNEWS

Sumbangan 11 Kipas Siling Kepada Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis

Posted: 25 Aug 2011 03:00 AM PDT

Sungai Kandis, 25 Ogos 2011 - Pada hari ini YB Dr Xavier Jayakumar telah melungkan masa ke Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis untuk menyumbang sepuluh kipas siling.

Turut hadir bersama ke sekolah tersebut adalah Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Shah Alam, Encik Abdul Manap.

YB Dr Xavier Jayakumar berharap dengan adanya sumbangan kipas untuk diletakkan di tapak perhimpunan dan kantin sekolah akan dapat memberikan keselesaan kepada murid-murid sekolah tersebut.








Melawat & Menghulur Sumbangan Kepada Keluarga Miskin di Taman Sentosa

Posted: 24 Aug 2011 04:00 AM PDT

Taman Sentosa, 24 Ogos 2011 - Sebagai sebahagian program sumbangan hari raya pada tahun ini, YB Dr Xavier Jayakumar bersama isterinya, Puan Sheila Devaraj telah melawat sebelas keluarga miskin di Taman Sentosa pada hari ini.

Kesemua mereka tidak pernah ke pejabat DUN sebelum ini tetapi telah dikenal pasti oleh Ketua JDM, Encik Veeran. Lawatan dari rumah ke rumah dan bertemu mereka mendapati mereka masih lagi tidak mengetahui program-program kerajaan negeri seperti Skim Mesra Usia Emas dan TAWAS.

Ini menunjukkan banyak lagi kerja yang perlu dilakukan bagi menerangkan kepada mereka tentang program-program kerajaan negeri serta faedah yang dapat mereka nikmati.

Dr Xavier Jayakumar mengucapkan penghargaan kepada Encik Veeran dan Cik Mahaletchumy yang bersusah-payah mencari keluarga-keluarga miskin untuk dikenalpasti menerima sumbangan dan bantuan.













Program Sumbangan Dodol Di Kampung Bukit Badak

Posted: 21 Aug 2011 04:00 AM PDT

Bukit Badak, 21 Ogos 2011 - Program Jom Kacau Dodol yang dianjurkan oleh Ranting Bukit Badak dan AJK telah diadakan di simpang masuk Kampung Bukit Badak pada hari ini.

Turut hadir pada program tersebut adalah YB Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja, isteri YB Dr Xavier Jayakumar, Puan Sheila Devaraj dan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Klang, Encik PS Rajoo dan Encik Azmi.

Sebanyak tujuh dulang dodol telah diagihkan kepada orang ramai. Program tersebut mendapat sambutan orang ramai yang sedikit sebanyak menyebabkan kesesakan lalu lintas disitu. 








Tiada ulasan:

Nuffnang