Selasa, 13 September 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Soalan Parlimen sesi Oktober 2011

Posted: 13 Sep 2011 06:50 AM PDT

1. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menyatakan:
a) perincian model landasan dan hartanah selaku cara pembiayaan projek MRT.
b) senarai tanah-tanah yang akan diambil alih bagi kelangsungan model landasan dan hartanah ini dan jumlah yang dibelanjakan bagi maksud ini.

2. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan:
a)  jumlah dana yang telah digunakan oleh Menteri daripada sumber DBKL dari 2008 hingga akhir bulan Ogos 2011. Sila nyatakan mengikut organisasi penerima dan alasan penggunaan.
b) pecahan penggunaan dana mengikut kawasan parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

3. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Luar Negeri menyatakan tahap persediaan serta langkah-langkah persiapan yang diambil bagi setiap Kedutaan, Pejabat Suruhanjaya Tinggi, dan Konsulat Malaysia di seluruh dunia untuk memastikan semua warganegara Malaysia luar negara mendapat hak mengundi, serta proses pengendalian kertas undi bagi pengundi luar negara.

4. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menyatakan:
a) milik siapa pesawat Airbus A319-IIX yang digunakan semasa percutian YAB Perdana Menteri di Perth, Australia serta kekerapan penggunaan pesawat dan kos terbabit.
b) tindakan diambil terhadap dakwaan salahlaku pembelian T91 "polish tanks" dan "SU-30 Russian aircraft" didedahkan Wikileaks.

5. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pertahanan menyatakan:
a) jumlah kos projek sebenar 'Network Centric Operations' (NCO) Angkatan Tentera Malaysia yang dianugerahkan kepada syarikat Sapura Secured Technologies Sdn Bhd dan mengapa ia dianugerahkan menerusi tender terus.
b) kenapa "roadmap" dan juga 'Keperluan Staf Am', KESAM (general service requirement, GSR) tidak ditetapkan sebelum projek diluluskan.

6. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pelajaran menyatakan:
a) rasional polisi sekolah vokasional yang membabitkan pelajar yang mempunyai keperluan khas, adakah benar ia hanya sampai ke peringkat tingkatan 3 sahaja.
b) mengapa ia tidak diteruskan sehingga tingkatan 5.

7. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan:
a) jumlah staf akademik Universiti Malaya yang telah melepaskan jawatan di universiti tersebut dari tahun 2006-2010 mengikut jabatan. Sila nyatakan sebab mereka melepaskan jawatan.
b) adakah UM berhadapan dengan krisis kekurangan staff akademik berikutan peletakan jawatan mereka.

8. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan rasional Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengadakan projek pembinaan hotel sekitar Angkasapuri, kos pembinaan hotel tersebut serta adakah projek diberi secara tender terbuka ataupun tidak.

9. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan:
a) jumlah kes deraan haiwan peliharaan dari 2005 hingga 2010, dan langkah-langkah yang diambil Kementerian bagi memastikan kejadian deraan dapat diatasi.
b) sama ada undang-undang sedia ada bagi mempertahankan hak haiwan peliharaan serta pemilik haiwan berkenaan adalah mencukupi.

10. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan dasar kerajaan untuk mengelakkan fenomena peminggiran Melayu bandar ("ghettoization"), terutamanya apabila dilihat skim perumahan rumah kos rendah yang sering dibina di kawasan kurang sesuai dan berkualiti rendah berbanding pembangunan di kawasan lain.

11. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pelajaran menyatakan:
a) rasional pemberian 50 biasiswa elit Jabatan Perkhidmatan Awam kepada mahasiswa-mahasiwi yang sedang melanjutkan pengajian di universiti-universiti terkemuka dunia.
b) adakah pemberian 50 biasiswa ini mendiskriminasi pelajar-pelajar lepasan SPM yang tidak berkemampuan walaupun mempunyai keputusan cemerlang.

12. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menjelaskan status kesihatan beliau dan Timbalan Perdana Menteri serta kos rawatan di dalam dan luar negera yang telah dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan kedua-duanya sejak 2008 sehingga sekarang.

13. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menjelaskan elaun-elaun yang diterima oleh Perdana Menteri dan isteri. Sila nyatakan mengikut alasan penggunaan dari tempoh 2008 hingga 2011.

14. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menyatakan berapa banyak program-program rasmi dilaksanakan di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana dari tahun 2008 hingga 2011 dan nyatakan jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan.

15. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah permohonan kewarganegaraan baru yang telah diluluskan mengikut kawasan parlimen dari tahun 2008 hingga sekarang.

Apa salah dengan komisen?

Posted: 12 Sep 2011 08:49 PM PDT

Setelah berlapar, dahaga, menahan nafsu dan kemahuan pada Ramadan, kita menempuh Syawal penuh syukur, menginsafi pemberian Ilahi, beramah serta mengeratkan silaturahim dengan mereka yang dikasihi.

Namun Syawal menjelma dengan seribu kejutan. Pendedahan demi pendedahan oleh Wikileaks mengenai pelbagai tuduhan rasuah pemerolehan (ala komisen) yang dipintas dari kabel maklumat Kedutaan Amerika Syarikat, mengejutkan lagi dunia sempit rakyat yang terus dahaga dengan keadaan ekonomi serba tidak menentu.

Pendedahan terbaru perinci bagaimana pimpinan tertinggi politik Umno, ejen, pegawai-pegawai tertinggi ketenteraan dan kerajaan menerima "komisen" 30 peratus dalam banyak kontrak pemerolehan yang berlangsung.

Kabel didedahkan itu dibuat antara 2004 dan 2009 semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Pertahanan, yang juga Timbalan Perdana Menteri. Sementara waktu, apabila mana-mana pihak, termasuk saya mempersoalkan mengenai pemerolehan persenjataan Kementerian Pertahanan serta soal kapal selam yang hanya boleh menyelam buat seketika, tetapi kebanyakan masa hanya di atas permukaan sahaja, kami dituduh sebagai pengkhianat negara.

Sebenarnya, mereka ini, yang merompak hasil negara menerusi "komisen" yang disapu masuk ke dalam poket-poket persendirian yang merupakan pengkhianat kepada agama, nusa dan bangsa!

Maklumat Wikileaks jelas menunjukkan Umno bergantung pada "komisen" ini sebagai "dana politik" pelaksanaan pelbagai agenda politik sempit, termasuk penambahan pengayaan kocek persendirian mereka.

Saya akan berasa hiba sekiranya benar duit-duit ini diberikan kepada orang Melayu melalui ahli-ahli politik dari Umno, kerana mereka menggunakan duit "haram".

Sebagai orang Melayu dan beragama Islam, kita sentiasa berhati-hati memastikan duit kita terima untuk dibelanjakan bagi membeli makanan, perbelanjaan keluarga dan mungkin untuk orang tua tercinta harus datang dari sumber yang halal.

Justeru menjadi bebanan kepada pemimpin-pemimpin Umno untuk menjelaskan dari mana mereka datang untuk diberikan kepada orang Melayu dalam program-program yang dilaksanakan, adakah duit itu datang dari sumber rezeki tersendiri mereka ataupun daripada "komisen" yang diperoleh melalui kontrak pemerolehan kementerian pertahanan ini?

Soal ini bukan saja mengenai "komisen" tetapi kita sering kali diberitahu jangan persoalkan pembelian alat pertahanan negara kerana ia akan menjejaskan persediaan pertahanan yang kononnya perlu diselubungi seribu satu kerahsiaan. Malangnya, sekarang kerahsiaan itu dijadikan alasan bagi sembunyi seribu satu penipuan.

Persoalannya bukan mengenai keperluan pembelian alat pertahanan, tetapi proses pembelian yang mesti mengambil kira matlamat dan juga manfaat yang terbaik untuk negara.

Pertama sekali, dalam dunia yang makin rapat perhubungan dua hala dan kebertanggungan ekonomi di antara negara- negara serantau, sesebuah negara seharusnya dapat mengelakkan pembaziran menerusi kepintaran dalam memilih sistem pertahanan sesuai.

Sebagai contoh perlukah kita membeli kereta kebal berat atau kereta kebal sederhana ataupun ringan memandangkan keadaan topografi tropika yang wujud? Dan adakah perlunya kapal selam yang menelan belanja besar sedangkan matlamat sama mampu diperoleh dengan kapal perang atau ronda?

Rakyat tidak akan rasa terkilan dengan pilihan sistem pertahanan yang relevan dan sesuai, tetapi tentunya menolak apabila dapati hujah awal pemilihan sebenarnya 'indah khabar dari rupa'.

Dahulu pemilihan pesawat MIG dari Russia dibuat berdasar hujah – ia pesawat terbaik dan tahan lama, malangnya kini kita diberitahu perlu diganti dengan pesawat jet pejuang Hornet dari Amerika Syarikat pula.

Bayangkan kita disuruh beli Lori tiga tan kerana ia besar lasak dan tahan lama sedangkan Perodua MyVi mencukupi untuk menghantar anak ke sekolah yang hanya 1 km jauhnya – bukankah contoh ini jelas menggambarkan amalan yang wajib ditolak?

Bayangkan Koperasi Syarikat kita beli sebuah Proton Saga harga RM200,000 iaitu lima kali ganda harga biasa RM40,000 yang menjadi penanda aras harga pembelian alat – adakah ini amalan menguntungkan atau merugikan rakyat?

Kedua, menjadi kerisauan rakyat adalah proses pembelian yang merugikan negara apabila tidak mengikut perancangan induk pertahanan negara, dan juga tidak telus, bahkan bakal melemahkan pertahanan negara.

Baru-baru ini saya adakan sidang akhbar di hadapan ibu pejabat Kementah di Jalan Padang Tembak – saya aju soalan pada projek "Network Centric Operations" iaitu projek runding terus bernilai RM2 bilion.

Bayangkan kontraktor rumah diupah untuk betulkan bilik air kita tanpa perjanjian jelas dan tidak diletakkan had bajet – bukankah ini menjadi amalan serba membazir lagi tidak bertanggungjawab?

Oleh itu untuk mengelakkan rasuah dan penyelewengan, rakyat wajib diberikan kuasa memantau pembelian dan projek sebegini melalui wakil rakyat di mana satu jawatankuasa pertahanan di Parlimen diwujudkan untuk memastikan ia dilakukan penuh telus demi kepentingan negara bukan pemimpin-pemimpin politik.

Akhir sekali, biarlah pahlawan kita berputih tulang dan bukan berputih mata apabila alat pertahanan yang maha mahal didapati tidak berfungsi. Sudahlah pahlawan negara dikorbankan undi pos dan digadaikan pula kepentingan ekonomi mereka dengan kegagalan LTAT melalui Boustead untuk membeli aset strategik negara daripada Esso Malaysia, inikan pula nyawa dipertaruhkan di medan perang.

Bukankah komisen itu pengkhianatan dalam erti kata sebenarnya?

(Diterbitkan di Sinar Harian, 13 September 2011)

Tiada ulasan:

Nuffnang