:: cina islam | 2011 :: |
- Banjir Batu 8 Gombak akan diatasi segera
- Tun M dicabar akui Umno bukan pejuang merdeka
- Saintis hasilkan kucing bersinar
- PAS pantau janji isentif pekebun Risda
- Milik siapa sejarah Malaysia
- Dua ‘merisik’ guna parang
- Penerima tauliah Jais tidak langgar syarat
- Zainal dan Ghani cuba tukar sejarah
- Bayi lelaki ditinggal di depan pintu rumah
- Karikatur 'kekejaman komunis' di Utusan pula...
- Campak dalam longkang lepas bunuh
- Menyamar pekerja awam untuk tipu wanita
- Bina jambatan dengan akar pokok
- Restoran guna sos ada DNA babi
- Trafik ibu kota perlahan, jalan utama ditutup
- Penduduk Muslim-Kristian bergaduh di Ambon
- Harakahdaily disoal polis isu Mat Indera
- Paip minyak meletup, 100 penduduk mati
- Dinding, lantai mereput
- 15 tahun jadi hamba abdi
- Ibadat solat didik budaya hidup berdisiplin, hargai masa
- Kereta rempuh rumah
- Keadaan Jerebu Di Singapura Bertambah Buruk
- Hanya Umno yang kenali komunis baik atau bahaya
- Mesir kembali darurat
Banjir Batu 8 Gombak akan diatasi segera Posted: 13 Sep 2011 02:00 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - GOMBAK, 13 Sept: Masalah banjir yang berlaku di Batu 8, Gombak utara akan diambil tindakan segera ekoran mesyuarat khas bersama Jabatan Pengaliran Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selasa depan. Ia akan diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Gombak Setia, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali selepas selesai menguruskan pengebumian jenazah salah seorang penduduk Gombak, Allahyarhum Osman Awang, 90 tahun akibat diserang sakit jantung. "Saya difahamkan oleh petugas khas PKM DUN Gombak Setia, Mohd Nor Husin dan Ketua Zon 9 Gombak Zulkifli Ibrahim ketika mereka membuat lawatan ke kawasan tersebut memaklumkan bahawa masalah banjir yang berlaku setiap kali hujan berpunca daripada projek pembersihan aliran air sungai Gombak yang dikendalikan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu (UMNO/BN). Projek tersebut tergendala walaupun pampasan telah diberikan oleh beberapa penduduk disini," katanya. Justeru itu, bagi mengatasi masalah ini, satu mesyuarat khas dengan semua jabatan yang terlibat bagi mengatasi isu banjir akan diadakan dengan segera. "Kita harap semua jabatan dapat memberi kerjasama dengan menyediakan laporan daripada setiap jabatan," kata Hasan kepada media selepas menyerahkan Sumbangan Khairat Kematian Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa pertama RM1000 kepada keluarga waris arwah Allahyarhum Osman Awang di Tanah Perkuburan Batu 8, Gombak kelmarin. Sementara itu, Petugas Khas PKM DUN Gombak Setia, Mohd Nor Husin pula berkata, Projek pembersihan aliran air sungai Gombak tergendala sebelum Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) memerintah lagi. Berbagai aduan diberikan oleh penduduk kepada Adun terdahulu namun tiada tindakan drastik diambil walaupun terdapat nyawa penduduk terkorban apabila musim hujan. "Kita difahamkan oleh beberapa penduduk, kerajaan terdahulu telah memberi pampasan kepada beberapa penduduk disini tetapi projek yang menelan lebih RM100 Juta terbengkalai tanpa diambil tindakan oleh kerajaan terdahulu. "Kita benar-benar rasa kesal dengan kerja yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu tanpa memberi hasil yang baik kepadan rakyat," katanya. Akibat kerja yang dilakukan sekerat jalan menyebabkan kebanyakkan penduduk disini terpaksa membina rumah mereka dengan tinggi atau membuat tembok bagi mengelak berlakunya banjir. "Oleh yang demikian saya harap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera demi menjaga keselamatan penduduk," kata Mohd Nor Husin. | |
Tun M dicabar akui Umno bukan pejuang merdeka Posted: 13 Sep 2011 01:50 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 13 Sept: Jika bersetuju bahawa Malaya tidak pernah dijajah, Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar untuk mengakui bahawa Umno bukanlah pejuang kemerdekaan, cabar Dewan Pemuda PAS Pusat. Ketua penerangannya Riduan Mohamad Nor berkata, kenyataan bekas perdana menteri itu yang menyokong kenyataan Datuk Zainal Kling bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British boleh memberi maksud Umno bukan pejuang kemerdekaan. "Apakah Dr Mahathir berani mengaku bahawa UMNO bukanlah pejuang kemerdekaan sebenar kerana negara tidak pernah dijajah. "Apakah juga Dr Mahathir mahu menafikan sumbangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang diangkat selama ini seperti Tunku Abdul Rahman, Dato' Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang dan lain-lain," soalnya dalam satu kenyataan hari ini. Selain itu beliau turut mencabar Tun Mahathir menyatakan pendirian sama ada British layak diangkat sebagai pejuang negara manakala Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Bostamam, Tok Janggut, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Saleh, Rentap, dan lain-lainnya sebagai pengkhianat negara, atau sebaliknya. Menurutnya, kenyataan Tun M kelmarin itu telah menambah kekusutan dalam pemikiran rakyat terhadap sejarah kemerdekaan negara. Sebelum ini katanya, rakyat dikelirukan dengan kenyataan penuh kontroversi oleh Zainal yang juga Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) berhubung isu sama. "Zainal Kling telah menimbulkan keserabutan dalam pemikiran rakyat Malaysia, Tun Dr Mahathir pula menambah lagi kekeruhan terhadap rakyat Malaysia. "Banyak persoalan yang bermain di fikiran rakyat sekarang ini, jika Malaya tidak pernah dijajah, mengapa kita sambut Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun? Dan jika Malaysia tidak pernah dijajah, apakah UMNO boleh dianggap pejuang kemerdekaan," soalnya lagi. Dalam pada itu, beliau berkata gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan lebih dahulu ditubuhkan sebelum Umno. Ianya termasuk Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan pada 1938, diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 1945 dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API)yang ditubuhkan pada Februari 1946, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS). Umno pula ujarnya hanya ditubuhkan pada tahun 1946 lewat beberapa tahun selepas penubuhan gerakan-gerakan tersebut. "Saat gerakan nasionalis kiri ini melaungkan slogan merdeka ,Umno masih dengan slogan "hidup Melayu". "Umno telah diharamkan pada tahun 1988. Umno yang ada kini hanya Umno baru yang ditubuhkan selepas diharamkan tahun 1988. Roh Umno zaman 'kemerdekaan' telah berkubur sejak itu," tegasnya. harakahdaily/- | |
Saintis hasilkan kucing bersinar Posted: 13 Sep 2011 01:48 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Sekumpulan saintis AS menghasilkan seekor kucing yang bersinar-sinar dalam kajian mereka untuk menangani penyakit virus Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) Apabila kucing itu diletakkan di bawah cahaya biru, bulu, misai dan kuku kaki haiwan berkenaan kelihatan bersinar dengan warna hijau.. Kumpulan penyelidik berkenaan menggunakan gen yang mengeluarkan kilauan untuk menandakan kehadiran sejenis protein yang dimasukkan ke dalam telur haiwan tersebut. Protein itu diambil daripada monyet Macaque. Kajian itu disiarkan kelmarin dalam jurnal Nature Methods yang menyatakan gen monyet tersebut dimasukkan ke dalam telur kucing. Saintis-saintis juga memasukkan gen obor-obor yang menyebabkan sel-sel kucing menjadi berkilauan. Ujian ke atas sel-sel yang diambil dari kucing itu menunjukkan ia mampu menangani virus yang menyebabkan AIDS ke atas kucing. - Reuters | |
PAS pantau janji isentif pekebun Risda Posted: 13 Sep 2011 01:45 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - KUALA LUMPUR,13 Sept: PAS akan membuat pemantauan bagi memastikan pekebun kecil mendapat insentif untuk projek tanaman semula getah di bawah Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda). Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) berkata, PAS menyambut baik pengumuman kerajaan untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM121 juta kepada Risda bagi menampung kos penanaman semula getah di seluruh negara bermula tahun depan. Namun katanya, pemantauan harus dibuat bagi memastikan peruntukan itu sampai kepada pekebun kecil yang memerlukan. "Saya mengalu-alukan pengumuman Risda akan dapat peruntukan RM121 juta sebab apa yang berlaku sebelum ini, peruntukan untuk duit tanam semula itu tidak mencukupi. "PAS akan memantau untuk memastikan pekebun kecil yang dalam proses untuk tanam semula mendapat insentif yang sepatutnya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Semalam, Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Tamby Chik meminta pekebun kecil khususnya yang kurang berkemampuan merebut peluang untuk memohon projek penanaman semula getah di ladang mereka. Mazlan yang juga Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat juga berkata, peruntukan itu juga diharapkan dapat menangani masalah kelewatan pembayaran insentif sebelum ini. "Pihak kami telah mengadakan pertemuan dengan pihak Risda sebelum ini dan mereka mengaku kelambatan pembayaran insentif kepada pekebun disebabkan peruntukan yang diberikan kerajaan tidak mencukupi. "Jadi dengan pengumuman itu saya fikir masalah kelewatan dan juga kegagalan untuk mendapatkan wang tanam semula getah ini tidak berbangkit lagi," katanya. Selain itu, beliau juga menggesa Risda turut membayar insentif pekebun kecil yang tidak dapat dibayar sebelum ini, bukan hanya membuat pembayaran untuk tahun hadapan sahaja. "Peruntukan ini untuk tahun 2012 sahaja jadi kita minta pekebun yang tak dapat insentif pada tahun 2011 dibayar juga. Mana boleh kerajaan bayar untuk tahun 2012 tapi tak bayar yang lepas-lepas. "Kalau hanya bayar untuk tahun 2012 nampak sangat ianya untuk menghadapi pilihan raya," katanya | |
Posted: 13 Sep 2011 01:35 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - 13 SEPTEMBER – Adakah sejarah yang ditimbulkan pada peristiwa Bukit Kepong diisi dengan fakta-fakta yang tepat? Dan apakah nama 'Mat Indera' itu wajar dianggap sebagai pengkhianat bangsa atau pejuang kemerdekaan? Isu Bukit Kepong dan penelitian semula Tanggal 5.00 pagi, 23 Februari 1950, Malaya di bawah jajahan British dikejutkan dengan peristiwa berdarah serangan komunis terhadap rumah pasung (balai polis) Bukit Kepong sehingga melibatkan banyak nyawa terkorban. Peristiwa ini menjadi titik hitam bagi seluruh anggota rumah pasung Bukit Kepong yang menyebabkan ramai keluarga kehilangan korban. Difahamkan, sekitar 200 gerila komunis yang diketuai Goh Peng Tun menyerang rumah pasung terbabit. Berlaku pertempuran di antara pihak komunis dan anggota polis yang diketuai Sarjan Ray Dancey. Antara yang terlibat sama di dalam pertempuran terbabit termasuklah Sarjan Jamil Muhd Shah serta 15 anggota polis platun campuran tugas am dan konstabel polis marin yang dipimpin Sarjan Jamil. Selepas pertempuran sengit berlangsung hampir 5 jam, pihak komunis berjaya menawan rumah pasung terbabit dan mereka membakar bangunan-bangunan di sekeliling mereka. Kesan ini meninggalkan kemusnahan dan menyebabkan banyak nyawa terkorban di kalangan pihak komunis dan anggota polis semasa berlaku pertempuran terbabit. Namun, kisah berkenaan isu Bukit Kepong selalu diperdebatkan kerana tiada fakta-fakta sahih dikumpulkan secara rasmi, malah, kajian berkenaan kisah ini hanyalah diperoleh melalui sumber sekunder. Penelitian dibuat berdasarkan naratif pengalaman mereka yang terlibat sendiri dengan peristiwa ini. Selain itu, versi penceritaan sejarahnya semakin kabur kerana ianya hanya diperolehi melalui cerita-cerita waris keturunan mangsa kejadian yang diperceritakan semula, yang bercampur aduk dengan mitos dan legenda. Siapakah Mat Indera? Mat Indera sering dikatakan seorang pejuang nasionalis kiri Melayu yang menyertai Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya yang mengambil tindakan mengangkat senjata melawan penjajah British. Pemimpin komunis Melayu Abdullah C.D dalam memoirnya yang secara terang-terangan mengaku Mat Indera adalah orang kuat Rejimen Ke-10 di Johor tetapi versi lain pula termasuk satu kajian pelajar Universiti Malaya pada 1973 mengatakan Mat Indera adalah nasionalis Melayu yang kuat beragama Islam yang telah bersama-sama dengan komunis untuk menentang penjajah British. Persoalan di sini adakah wajar Mat Indera dianggap sebagai pejuang kemerdekaan? Pertama, harus diingati bahawa peristiwa Bukit Kepong berlaku sebelum tarikh kemerdekaan diisytiharkan pada 31 Ogos 1957. Maka, secara teknikalnya, Malaya masih lagi di bawah naungan King George VI sebagai tanah jajahan British. Oleh yang demikian, sebarang pertentangan terhadap penjajahan sebelum Merdeka termasuk daripada UMNO, MCA, MIC, PKMM, API, AWAS, PKM dan banyak lagi wajar dianggap sebagai usaha membebaskan Malaya. Kedua, Mat Indera, seorang berfahaman nasionalis kiri terpaksa mengangkat senjata apabila parti politik perjuangan kiri seperti PKMM, API dan AWAS sudah pun diharamkan oleh British pada tahun 1947 kerana menggugat gagasan penjajahan di bumi Malaya. (Perlu diingat bahawa selepas parti-parti nasionalis kiri diharamkan, PKM masih halal dan bebas bergerak sehingga British mengisytiharkan darurat pada 1948). Di atas kesempatan itulah, pejuang-pejuang kemerdekaan awal terpaksa menggunakan jalan yang lebih radikal untuk menuntut kemerdekaan. Di antaranya Abdullah CD, Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh. Ketiga, perjuangan menuntut kemerdekaan dengan cara radikal sekali pun, mereka wajar menerima pengiktirafan sebagai pejuang anti-penjajah. Mereka tiada pilihan lain kerana penjajah telah mengharamkan parti atau gerakan mereka. Sebagai contoh, Jose Rizal yang merupakan pendiri Katipunan juga mengambil jalan radikal dan tetap dianggap sebagai wira kebangsaan Filipina menentang penjajah Sepanyol. Revolusi Indonesia yang dikepalai mantan Presiden Republik Indonesia pertama, Sukarno, juga terlibat dalam gerakan subversif bersama-sama Jeneral Sudirman, Jeneral Nasution, Tuanku Imam Bonjol menentang Belanda dalam perang menuntut kemerdekaan. Malah, nama-nama seperti Cut Nyak Dien, Raden Adjeng Kartini turut diiktiraf sebagai pejuang nasionalis walau pun mereka mengangkat senjata. PKM sebelum dan selepas Merdeka Parti Komunis Malaya yang dirasmikan penubuhannya oleh Ho Chih Minh di Negeri Sembilan pada 1930 merupakan sebuah parti berideologi Marxisme-Leninisme dan Maoisme. Ia adalah antara segelintir pertubuhan politik yang bergerak bebas sebelum Perang Dunia Kedua. Semasa pendudukan Jepun, PKM di bawah unit Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA) telah bekerjasama dengan unit komando British menentang penjajahan Jepun. Pada masa yang sama Kesatuan Melayu Muda yang dipimpin oleh pejuang nasionalis kiri Ibrahim Yaakob bekerjasama dengan Jepun bagi membebaskan bumi Malaya daripada cengkaman British. Jepun menerima kerjasama KMM hanya kerana mahu mengekalkan kuasa di Malaya manakala perjuangan bersenjata PKM menentang Jepun dipersetujui British kerana ia membabitkan kepentingan penjajah Inggeris di Asia Tenggara. Selepas Jepun menyerah diri pada 1954, konflik tercetus apabila PKM menguasai Malaya selama 14 hari sebelum pentadbiran tentera British kembali ke tanah jajahannya. Di sini timbul konflik di antara PKM dan British. Ketegangan itu berlarutan hingga 1948 apabila British mengharamkan PKM dan PKM pula melancarkan perang gerila untuk menghalau penjajah. Dengan kebenaran British, Tunku Abdul Rahman yang memimpin Majlis Perundangan Malaya (setelah UMNO, MCA dan MIC menang pilihan raya umum pertama) mengadakan rundingan damai di Baling pada Disember 1955 dengan wakil PKM Rashid Maidin dan Chin Peng. Rundingan ini gagal apabila Tunku mensyaratkan PKM meletak senjata, menyerah diri dan disoal siasat oleh kerajaan Majlis Perundangan Malaya yang masih di bawah jajahan British sebelum apa-apa keputusan dibuat sedangkan PKM memohon untuk aktif dalam politik tanah air tanpa menggunakan kekerasan. Oleh kerana rundingan ini berlaku sebelum Merdeka, PKM masih layak digelar pejuang kemerdekaan. Namun, tindakan PKM untuk berkeras mengangkat senjata selepas 31 Ogos 1957 menimbulkan banyak persoalan tentang perjuangan komunis di Malaya. Apakah PKM pasca-Merdeka mahu menjatuhkan kerajaan Malaya merdeka secara kekerasan? Adakah PKM mahu menubuhkan negara satelit komunis China atau Rusia melalui keterlibatan mereka dalam gerakan Communist International? Lantas, PKM pasca-Merdeka hanyalah bertujuan membela kepentingan ideologi politik mereka semata-mata. Sedangkan pada masa yang sama gerakan kiri di Malaya seperti Partai Rakyat Malaya dan Partai Buruh Malaya yang telah membentuk Socialist Front telah memilih jalan demokrasi berparlimen walau pun mereka ditekan dan ditindas oleh kerajaan Perikatan. Jadi tidak salah jika dikatakan bahawa perjuangan PKM selepas Merdeka adalah penentangan terhadap kerajaan yang dipilih oleh rakyat, dan bukan lagi usaha menuntut kemerdekaan. Meluruskan garisan sejarah Sebagai sebuah penelitian semula, fakta sejarah tidak seharusnya diselewengkan. Biarlah ia kekal sebagai warisan yang terbela hingga ke anak cucu-cicit kita walau pun ada yang pahit untuk ditelan. Tidak dinafikan bahawa PKM sememangnya sebuah parti politik yang mengamalkan perjuangan bersenjata, malah pimpinannya menerima pingat daripada empayar British kerana bersama menentang penjajahan Jepun. Untuk menolak sejarah perjuangan PKM menentang penjajah Jepun dan kemudiannya British sebelum Merdeka adalah tidak adil dan bersifat pembohongan sejarah. Pejuang-pejuang nasionalis kiri seperti Burhanuddin Al-Helmy (yang bukan komunis tetapi tokoh Islam yang memimpin PKMM dan PAS), Ahmad Boestamam (yang mempimpin API dan Partai Rakyat), Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (yang memimpin Partai Buruh), Shamsiah Fakeh, Abdullah CD, Rashid Maidin (kesemuanya PKM) dan Mat Indera sendiri adalah antara insan-insan Melayu yang memperjuangan kemerdekaan negara. Mereka berjuang dengan rakan-rakan dari pelbagai parti dan pertubuhan dari kalangan bukan Melayu demi membebaskan bumi Malaya daripada penjajahan dan membentuk sebuah negara pelbagai kaum dan agama. Pengkajian sejarah perlu diteliti dan diteruskan demi menegakkan kebenaran yang terselindung oleh kepentingan politik semasa. Kata-kata Winston Churchill bahawa "sejarah ditulis oleh orang yang menang" wajarlah dimuhasabahkan semula. Ini kerana pengorbanan wira-wira tidak didendang itu tidak boleh diabaikan untuk meluruskan kembali penceritaan sejarah yang tepat. Sejarah Malaysia sepatutnya ditulis oleh orang yang cintakan kebenaran, tidak berpihak dan hanya mahu fakta ditafsirkan dengan jujur dan ikhlas. Kata-kata George Santayana, "mereka yang melupakan sejarah pasti akan mengulangi (kesilapannya)" harus dititipkan demi perjuangan yang bernama keadilan untuk semua. – Roketkini.com | |
Posted: 13 Sep 2011 01:25 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Satu majlis merisik bertukar huru-hara apabila dua penjenayah bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam rumah dan menyamun wang tunai serta barang kemas dipakai anggota rombongan merisik, selain menetak dua daripada mereka yang cuba melawan. Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam kelmarin di sebuah rumah di Batu 4, Jalan Gombak, dekat sini, dan nilai keseluruhan barang kemas serta wang tunai yang dilarikan dianggar RM50,000. Difahamkan, anggota rombongan merisik itu membabitkan ibu, bapa, abang dan kakak serta bakal pengantin lelaki berusia 20 hingga 50 tahun pergi ke rumah bakal pengantin wanita untuk merisik dan menetapkan tarikh perkahwinan Sumber polis berkata, ketika perbincangan keluarga kedua-dua pihak, dua lelaki berusia 30-an yang bersenjatakan parang meluru ke dalam rumah. Menurutnya, dua penjenayah itu mengacukan parang dan mengarahkan semua mangsa menyerahkan wang tunai dan barang kemas dipakai. "Bimbang dicederakan, keluarga kedua-dua bakal pengantin patuh arahan itu dan menyerahkan barang kemas seperti gelang, rantai dan subang kepada suspek. metro/- | |
Penerima tauliah Jais tidak langgar syarat Posted: 13 Sep 2011 01:15 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] -
| |
Zainal dan Ghani cuba tukar sejarah Posted: 13 Sep 2011 01:02 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - Kenyataan Profesor Zainal Kling bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British telah menimbulkan pelbagai polemik baru. Kenyataan Zainal setaraf sahaja dengan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang tiba-tiba menukar kenyataannya kepada Mat Indera adalah komunis. Sedangkan, melalui buku 'Pengukir Nama Johor' yang diterbitkan pada tahun 2004 oleh Yayasan Warisan Johor, Mat Indera dinobatkan sebagai salah seorang hero Johor. Buku itu merekodkan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukannya komunis. Namun kerana Umno sudah berpendirian Mat Indera adalah komunis dan bukannya pejuang kemerdekaan, Abdul Ghani terpaksa menukar kenyataan kepada Mat Indera adalah komunis. Semuanya mahu mengesahkan bahawa Umno sentiasa tidak salah walaupun Ghani terpaksa menukar balik kandungan buku yang beliau buat kata pengantarnya sebelum ini. Namun nampaknya pegangan Mat Indera adalah komunis tidaklah sekejap mana, mungkin kerana ia banyak bertentangan dengan fakta sejarah. Hari ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia (gambar)di muka depannya mencatatkan Mat Indera bukan lagi komunis tetapi "lelaki tempatan yang bersekongkol dengan komunis." Kes Zainal Kling pun sama sahaja. Mohamad Sabu mendakwa hero sebenar peristiwa Bukit Kepong adalah Mat Indera bukannya polis yang bertugas di rumah pasong Bukit Kepong itu. Ini kerana, kata Mat Sabu, Mat Indera menyerang rumah pasong British kerana polis ketika itu (tahun 1950) adalah polis British yang sedang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu. Jadi untuk membetulkan versi Umno bahawa polis ketika itu adalah bertugas untuk tanah air, negara dan bangsa, datanglah Zainal Kling atas nama Majlis Profesor Negara berkata, negara tidak pernah dijajah oleh British. British hanya penaung sahaja bukan penjajah. Jika tanah Melayu ketika itu tidak dijajah oleh British maka betullah kata Umno bahawa Mat Sabu telah menghina polis yang berpejuang mempertahankan negara. Inilah cerita yang cuba hendak diberikan kepada rakyat negara ini. Komen Husam Saya tertarik dengan komen yang diberikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa semalam. Bagi Husam, kerajaan khasnya Menteri Pelajaran perlu menarik balik semua buku sejarah di sekolah-sekolah di negara ini jika benar kenyataan yang dibuat oleh Profesor Zainal Kling, negara ini tidak pernah dijajah. "Saya mahu Umno termasuk perdana menteri, timbalan dan khasnya Menteri Pelajaran membuat pendirian, apakah sikap mereka terhadap kenyataan itu. "Jika benar kenyataan itu, semua buku teks sekolah perlu ditulis semula," kata Husam kepada wartawan Harakahdaily. (Lihat video di sini). Beliau mengulas kenyataan Zainal Kling yang mendakwa negara ini tidak pernah dijajah dan hanya dilindungi sahaja. Bagi Husam yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan, pemimpin Umno kena bertanggung jawab dengan kenyataan yang dibuat oleh Zainal Kling itu kerana dia ahli Umno. Sehubungan itu juga, beliau meminta supaya Zainal bertaubat kerana kenyataan beliau boleh merosakkan negara. "Bagi saya sejarawan seperti ini pada saya boleh merosakkan negara kita kerana mereka boleh putar belit fakta semata-mata untuk membolehkan Umno menjadi juara pada setiap masa. "Prof Zainal kena bertaubat dan jangan melampau dengan memutar belitkan fakta sejarah," kata Husam. Menurut Husam, sudah sekian lama British dalam dokumen-dokumennya di London menganggap Malaya adalah tanah jajahan mereka. Oleh itu, apabila Zainal Kling membuat kenyataan sebegini, ia satu usaha untuk menulis semula sejarah yang sudah dimaktubkan dalam pelbagai dokumen sejarah. Bagi Husam, jika kita menganggap orang puteh adalah rakan kita yang sama-sama mentadbir negara ini, ia satu usaha untuk merombak dokumen sejarah. Ini kerana, bagi orang puteh, Tanah Melayu adalah sebahagian dari negara koloni mereka. Jika kita bersetuju dengan kenyataan itu, kata Husam, kita juga kena berkata bahawa JWW Birch, residen British yang dibunuh oleh Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak adalah rakan kita juga bukannya penjajah. "Orang puteh ini pandai, mereka tidak buang raja tetapi mengaut semua harta negara kita. Kalau mereka buang raja, sudah tentu rakyat negara ini memberontak dan menghalau mereka," kata Husam. Inilah kisahnya dan lihatlah dari perspektif yang betul agar kita tidak tertipu oleh sejarah kerana ada yang berkata "yang menang menulis sejarah, yang kalah menulis pusi". | |
Bayi lelaki ditinggal di depan pintu rumah Posted: 13 Sep 2011 01:00 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - RAS AL-KHAIMAH: Seorang lelaki Emiriyah Arab Bersatu yang berjalan pulang selepas solat Jumaat terkejut ketika menemui seorang bayi yang ditinggalkan di depan pintu rumahnya, kata polis, semalam. Menurut polis, lelaki berkenaan menemui bayi yang dibungkus dengan selimut itu di hadapan pintu rumahnya. Dia kemudian menyerahkan bayi terbabit ke Hospital Saqr untuk pemerikasaan. Sumber hospital memberitahu bayi yang berkulit putih itu dalam keadaan sihat. Polis berkata, kebanyakan bayi yang dibuang hasil daripada perhubungan tanpa nikah dan majoriti ibunya adalah pembantu rumah. | |
Karikatur 'kekejaman komunis' di Utusan pula... Posted: 13 Sep 2011 12:45 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - Tok Imam dan bilal surau dipaksa makan daging babi panggang sebelum mereka ditembak... Warga emas dan kanak-kanak dicampak ke dalam api yang sedang marak.... Ia antara enam karikatur kontroversi oleh pelukis Hamzah Mohd Amin yang memaparkan kekejaman komunis ke atas orang ramai. Karikatur itu disiarkan di akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini. Menurut edisi cetak dan juga online - akhbar itu melaporkan Hamzah, 71, datang ke pejabat Utusan semalam bahi menyerahkan sendiri karikatur yang dilukisnya itu. "Generasi hari ini tidak mengetahui penderitaan hidup pada zaman komunis, jadi saya berusaha menghasilkan lukisan ini beberapa minggu lalu supaya mereka mendapat gambaran tentang kekejaman komunis dan mengapa kami sangat bencikan mereka. "Generasi muda hanya mendengar cerita daripada datuk dan nenek mereka tetapi tidak pernah terbayang bagaimana komunis menyeksa tahanan. Menerusi lukisan ini, saya harap mereka akan sedar tentang kekejaman komunis dan menjadikannya pengajaran," katanya kepada akhbar itu. Sangat geram Antara lukisan yang dianggap paling kontroversial ialah paparan beberapa lelaki yang bermata sepet dan memakai uniform keperangan mengacukan pistol serta memaksa tok imam dan bilal surau memakan babi panggang. Hamzah turut memberi gambaran tindakan komunis mengurung ahli keluarga tahanan di sebuah rumah dan kemudiannya membakar rumah berkenaan. Dia juga menggambarkan mayat-mayat tahanan itu dijadikan baja di kebun sayuran dan hasilnya pula dijadikan bekalan makanan kumpulan pengganas tersebut. Utusan juga memetik Hamzah berkata lukisan tersebut dihasilkan beberapa minggu lalu bertujuan memberi gambaran keadaan sebenar kekejaman komunis terhadap rakyat negara ini. Katanya, walaupun telah menjangkau usia 71 tahun, dia masih tidak dapat melupakan keganasan yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap rakyat dan mahu generasi pada hari ini juga mengetahui perkara itu. Menurut Hamzah yang berasal dari Batu Pahat, Johor, dia terpanggil untuk menghasilkan karikatur berkenaan kerana geram serta kecewa apabila ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengangkat kumpulan pengganas tersebut sebagai hero. "Saya sangat geram dan marah apabila komunis diberikan pengiktirafan. Mereka telah melakukan pelbagai kekejaman termasuk mengoyak, memijak, melumur kitab suci al-Quran dengan najis sebelum membakarnya. Para imam serta bilal di masjid dan surau pula dipaksa memakan daging babi sebelum dibunuh. "Bagaimana kumpulan pengganas tersebut boleh kita iktiraf?" katanya dipetik akhbar milik Umno itu lagi. Hamzah pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pelukis dan beliau pernah mencipta logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digunakan pada 1963 sehingga 1997. malaysiakini/- | |
Campak dalam longkang lepas bunuh Posted: 13 Sep 2011 12:45 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - SERDANG: Seorang lelaki warga asing mati dipercayai dibunuh dua rakan sebelum mayatnya dicampak ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Bandar Satu, Pusat Bandar Puchong, di sini, semalam. Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu disedari orang awam yang terkejut melihat sekujur tubuh di dalam longkang di situ sebelum menghubungi polis. Difahamkan, mangsa warga Myanmar berusia 20-an, bergaduh dengan dua rakan senegaranya masing-masing berusia 27 dan 29 tahun. Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata mayat mangsa ditemui di dalam longkang selepas dicampak suspek. Katanya, mereka mabuk sebelum bergaduh menyebabkan dua rakan membunuh mangsa dengan jubin marmar. "Siasatan menunjukkan mangsa maut akibat parah di kepala selepas dihentak dengan jubin marmar di kepala sebanyak dua kali," katanya di sini, semalam. Beliau berkata, siasatan unit forensik memungut 16 spesimen di tempat kejadian termasuk satu serpihan jubin marmar yang digunakan suspek untuk memukul mangsa. Menurutnya, polis menyerbu dua rumah sewa di Jalan Bandar Satu dan Jalan Bandar Dua, Pusat Bandar Puchong sebelum menemui dokumen pengenalan diri dua suspek berserta gambar. Suspek pernah bekerja berdekatan tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Siasatan lanjut dijalankan bagi mengumpul maklumat kejadian. | |
Menyamar pekerja awam untuk tipu wanita Posted: 13 Sep 2011 12:30 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - DAMMAM: Polis Ahsa semalam berkata mereka menahan seorang warga Saudi berusia 40-an yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan perkhidmatan awam kepada beberapa wanita dengan niat menipu dan memeras ugut mereka. Jurucakap polis wilayah selatan, Leftenan Kolonel Ziyad Al-Riqaiti berkata, suspek yang tiada kaitan langsung dengan Kementrian Perkhidmatan Awam berjaya menipu sejumlah besar wanita. Beliau berkata, siasatan mendedahkan suspek biasanya menghubungi wanita yang memohon pekerjaan di kementerian itu. Dia kemudian memberitahu mangsa boleh membuat susulan mengenai permohonan jika mereka membayar sejumlah wang kepadanya dan merahsiakan hal itu. Ziyad berkata, siasatan mendapati suspek sudah memperdaya sebilangan wanita muda dan memeras mereka selepas memperoleh data peribadi mangsa. | |
Bina jambatan dengan akar pokok Posted: 13 Sep 2011 12:00 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - DUA buah jambatan akar yang terdapat di kampung Nongriat, negeri Meghalaya, India. NEW DELHI - Penduduk sebuah kampung di negeri Meghalaya, India membina sebuah jambatan dengan menggunakan akar pokok. Jambatan semula jadi itu berusia beratus-ratus tahun dan ia mampu untuk menampung berat 50 orang pada satu-satu masa. Ia dibina menerusi sistem mengalihkan akar pokok yang dilakukan oleh penduduk kampung tersebut sejak ratusan tahun lalu. Akar itu diajar supaya ia bergerak menyeberangi sungai. - Agensi | |
Restoran guna sos ada DNA babi Posted: 13 Sep 2011 12:00 AM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - SALAH sebuah restoran makanan yang disamak oleh JHEAINS selepas didapati menggunakan sos yang mengandungi DNA babi di Seremban. SEREMBAN – Sebanyak 15 premis makanan termasuk restoran makanan segera popular dan berstatus halal di negeri ini serta beberapa negeri lain dikesan menggunakan sos serta beberapa bahan yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi. Perkara tersebut terbongkar selepas pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan pemeriksaan mengejut di premis berkenaan pada bulan lalu. Hasil pemeriksaan tersebut mendapati, premis terbabit masih menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce yang disahkan mengandungi DNA babi oleh Jakim. PRODUK sos HP dan Tabasco Pepper yang didapati mengandungi DNA babi. Seorang jurucakap JHEAINS berkata, susulan itu semua premis makanan tersebut termasuk semua peralatan yang digunakan premis berkenaan terpaksa menjalani proses samak. PRODUK sos HP dan Tabasco Pepper yang didapati mengandungi DNA babi. Katanya, premis berkenaan yang termasuk beberapa buah restoran, kedai kek dan restoran makanan segera telah disamak sebagai syarat untuk mereka memperoleh sijil halal. "Kita melakukan pemeriksaan di premis-premis berkenaan selepas pihak Jakim mengesahkan bahawa dua sos berkenaan dan satu serbuk penaik jenama Puratos mengandungi DNA babi," katanya di sini semalam. Menurut jurucakap itu, ketika pemeriksaan, pemilik premis berkenaan mendakwa mereka tidak tahu bahawa produk yang digunakan oleh mereka mengandungi DNA babi. Kosmo | |
Trafik ibu kota perlahan, jalan utama ditutup Posted: 12 Sep 2011 11:30 PM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - Keadaan trafik di sekitar ibu kota bergerak perlahan berikutan beberapa jalan utama ditutup secara berperingkat mulai hari ini hingga Jumaat sempena sambutan kemerdekaan negara dan Hari Malaysia. Jurucakap Trafik Jalan Bandar berkata trafik perlahan sehingga pukul 10 pagi juga disebabkan terdapat pelajar sekolah rendah bercuti kerana peperiksaan bertulis Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula hari ini. "Sekiranya pelajar sekolah tidak bercuti hari ini, kemungkinan berlaku kesesakan teruk di sekitar ibu kota kerana ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah dan orang ramai berpusu-pusu ke tempat kerja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Beliau berkata jalan utama yang ditutup bermula pukul 8.15 pagi melibatkan Jalan Travers, Jalan Mahameru, Jalan Damansara (Carcosa Seri Negara), Jalan Lembah, Jalan Perdana (Masjid Negara), Bulatan Hishamuddin, Jalan Tembusu, Jalan Cenderasari, Jalan Kinabalu, susur Bukit Aman dan Jalan Raja. Turut ditutup ialah Jalan Leboh Pasar Besar, Jalan Lebuh Ampang dan Jalan Tun Perak, Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Munsyi Abdullah, Jalan Dang Wangi dan Jalan Mahkamah Persekutuan. - Bernama | |
Penduduk Muslim-Kristian bergaduh di Ambon Posted: 12 Sep 2011 11:30 PM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - SEKUMPULAN penduduk Muslim dan Kristian bergaduh dengan bersenjatakan parang dan batu di Ambon kelmarin. AMBON – Pasukan keselamatan dikerah ke wilayah timur Indonesia selepas kumpulan penduduk Muslim dan Kristian bergaduh dengan bersenjatakan batu dan parang, kata beberapa pegawai semalam. Dalam kejadian itu, seramai tiga orang maut dan 80 lagi cedera. Menurut seorang ketua polis trafik, Kapten Marinus Djati, keganasan tersebut berlaku di bandar Ambon kelmarin selepas khabar angin tersebar bahawa seorang penunggang teksi motosikal yang mati dalam kemalangan jalan raya telah diseksa dan dibunuh oleh penduduk Kristian. Kumpulan penduduk Muslim dan Kristian bergaduh selepas lelaki itu dikebumikan. Kedua-dua kumpulan itu saling membaling batu dan mengayun parang selepas berbalas cacian. Para perusuh itu juga membakar rumah, kereta dan motosikal walaupun polis cuba untuk menyuraikan mereka dengan melepaskan tembakan amaran. Dua daripada mereka yang terbunuh itu merupakan pelajar sekolah. Menurut jurucakap polis, Mejar Jeneral Anton Bachrul Alam, kira-kira 200 anggota pasukan keselamatan daripada unit khas ditempatkan di Ambon untuk mengawal ketenteraman. – AP | |
Harakahdaily disoal polis isu Mat Indera Posted: 12 Sep 2011 11:13 PM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - Polis menyoal siasat tiga wartawan akhbar web PAS Harakahdaily berhubung penyiaran sebuah artikel berhubung laporannya mengenai tokoh kontroversi Mat Indera. Ketua pengarangnya Zulkifli Sulong (kiri) berkata, sehingga 11.55 pagi, Pengarang Azmi Yusof dan Pengarang Berita Mohd Nazri Abdullah masih disoal siasat dua pegawai polis daripada ibu pejabat daerah (IPD) Sentul. "Saya sendiri akan disiasat selepas ini. Sekarang masih menunggu giliran," katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi. Menurutnya, artikel yang disiasat disiarkan dalam web itu pada 5 Ogos. Beliau bagaimanapun tidak ingat judulnya. Artikel itu antaranya mengulas buku keluaran Yayasan Warisan Johor (YWJ) Pengukir Nama Johor yang dipetik Timbalan Presidenn PAS Mohamad Sabu bagi mempertahankan dakwaan bahawa Mat Indera wira sebenar dalam tragedi Bukit Kepong. Polis tiba di ibu pejabat Harakahdaily di Jalan Pahang di ibu negara kira-kira jam 11 pagi tadi, kata Zulkifli. malaysiakini/- | |
Paip minyak meletup, 100 penduduk mati Posted: 12 Sep 2011 10:00 PM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - NAIROBI: Kira-kira 100 orang maut apabila paip minyak meletup dan terbakar di kawasan miskin di ibu kota Kenya, semalam. Kata komander polis kawasan, Thomas Atuti, "Kami sedang menunggu beg mayat." Letupan berlaku di kawasan perindustrian Lunga Lunga yang dikelilingi oleh kawasan setinggan Sinai yang padat. Seorang penduduk, Joseph Mwego berkata, "Ada kebocoran di paip itu dan penduduk menadah minyak yang keluar. "Kemudian terdengar satu letupan yang kuat, diikuti api besar dan asap tebal," katanya. - AFP | |
Posted: 12 Sep 2011 09:45 PM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - TANJUNG PIANDANG – Keadaan rumah yang semakin uzur, di Parit Tanjung Piandang Darat, di sini, membimbangkan keluarga Jamil Azomi Hassan, 50, apabila kawasan dapur dan bilik air kini membahayakan keluarga itu. Jamil Azomi berkata, dapur rumahnya semakin usang kerana dinding dan lantai mengalami kerosakan dan mereput. Menurutnya, bilik air juga sudah begitu daif dan hanya berpintukan sehelai kain. "Saya tidak mempunyai peruntukan untuk tujuan baik pulih ini kerana sudah tidak bekerja akibat faktor usia. "Kini hanya bergantung harap dengan pendapatan anak untuk urusan perbelanjaan harian," katanya kepada Sinar Harian. Jamil berkata, jika dilihat dari luar rumahnya, pasti tidak akan percaya dengan keadaan rumah yang daif itu. Menurutnya, pemimpin kampung tidak pernah datang menjenguk, mungkin tidak menyangka rumahnya itu mengalami banyak kerosakan. Katanya, diharap pihak berkenaan dapat melihat sendiri keadaan rumahnya seterusnya memberi bantuan baik pulih rumah. "Saya amat berharap bahagian dapur dan bilik air di baik pulih oleh pihak bertanggungjawab. "Jika saya punya kemampuan saya sendiri akan usahakan untuk memiliki sebuah rumah yang sempurna, malangnya saya tidak ada peruntukan ini," katanya. sinar harian/- | |
Posted: 12 Sep 2011 09:30 PM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - LONDON: Polis Britain menyerbu sebuah tapak karavan dan menyelamatkan 24 lelaki yang ditahan dan dipaksa hidup dalam keadaan yang kotor seperti hamba, semalam. Kira-kira 200 anggota polis menyerbu tapak karavan Grenn Acres di Leighton Byuzzard dan menahan empat lelaki dan seorang wanita kerana disyaki melakukan jenayah perhambaan. Menurut polis, lelaki yang dibebaskan kebanyakannya rakyat Britain dan beberapa lelaki dari Timur Eropah. Pegawai detektif berkata, kesemua mangsa adalah orang tidak berumah atau kaki botol. Pasukan polis Bedfordshire telah melakukan siasatan berterusan mengenai kes yang mengatakan mangsa telah ditahan tanpa rela dalam keadaan yang teruk dan dipaksa bekerja tanpa diberi gaji. Kata Detektif Ketua Inspektor Sean O'Niel dari Unit Jenayah Utama Bedfordshire dan Hertfordhire, "Kesihatan mereka tidak memuaskan dan tempat tinggal mereka tinggal juga sangat kotor dan sempit." Katanya, "Kami percaya, sebahagian mereka telah tinggal dan bekerja seperti hamba abdi selama beberapa minggu, tapi ada yang sudah 15 tahun." Katanya lagi, "Mereka direkrut dan disuruh datang ke sini dengan janji diberi 80 pound (RM385) sehari. Makan dan minum ditanggung. "Tapi apabila mereka tiba di sini, rambut mereka dipotong dan mereka tinggal di dalam kandang kuda, anjing dan karavan buruk." -AFP | |
Ibadat solat didik budaya hidup berdisiplin, hargai masa Posted: 12 Sep 2011 09:27 PM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - ALLAH berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya solat itu ialah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (Surah al-Nisa', ayat 103) Semua amal ibadat manusia disukai dan diterima oleh Allah. Ibadat adalah jambatan menghubungkan manusia dengan Penciptanya. Hasil pelaksanaan ibadat dapat meningkatkan darjat ketakwaan ke hadrat Allah di samping menggilap kualiti jiwa kemanusiaannya. Semakin baik dan ikhlas ibadat seseorang Muslim, maka semakin dekat hatinya kepada Allah dan semakin baik hubungannya sesama manusia. Petikan al-Quran: Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. – Surah al-Ankabut, Ayat 45 Untuk berhubung secara terus dengan Allah tidak memerlukan sebarang alat komunikasi canggih, memadailah seorang Muslim bermunajat pada bila-bila masa dan di mana juga melalui ibadat solat. Solat itu tiang agama dan kemuncak nilai atau etika kehidupan Muslim. Rasulullah menganjurkan umatnya melaksanakan ibadat solat tepat pada waktunya. Baginda SAW pernah ditanya oleh Ibnu Mas'ud: "Apakah amalan yang paling afdal? Jawab Baginda: Menunaikan solat tepat ada waktunya. Kemudian Ibnu Mas'ud bertanya lagi: Selepas itu, apa pula? Jawab Baginda: Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Akhirnya Rasulullah ditanya lagi: Kemudian, apa lagi? Ujar Baginda: Berjihad pada jalan Allah." (Hadis riwayat Bukhari) Antara hikmah solat ialah mendidik umat hidup dengan budaya 'tepat pada waktunya' sekali gus menggambarkan pentingnya masa dalam kehidupan seorang Muslim. Di samping itu, ibadat solat juga melatih umat hidup secara tertib dan berperaturan. Fungsi solat juga sebagai penawar ketenangan hati di samping membersihkan jiwa dan raga daripada sebarang kekotoran. Rasulullah SAW menegaskan bahawa solat adalah penyejuk mata hati Baginda. Kesan yang paling besar terhasil daripada pelaksanaan ibadat solat dengan penuh khusyuk dan ikhlas, ia berupaya menghalang seseorang Muslim daripada keinginan melakukan kemungkaran, baik tindakan mahupun perkataan. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 45) Firman ini secara jelas menegaskan solat penawar atau jalan penyelesaian ampuh untuk mencegah amalan tidak bermoral dan jenayah yang membarah dalam kehidupan manusia sejagat. Dalam erti kata lain, ibadat solat tonggak mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan hidup umat Islam. Sesaat seorang hamba Allah berdiri tegak menunaikan ibadat solat, dia tidak boleh menoleh ke kanan mahupun kiri melainkan meluruskan pandangan wajahnya ke arah tempat sujud. Mereka juga terikat dengan ikrar dibaca dalam solat, inilah solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk-Mu ya Allah Tuhan sekalian alam. Ibadat solat jika dilaksanakan dengan sempurna dan ikhlas akan memantulkan ketenangan hati, keimanan mapan dan ketrampilan akhlak yang terpuji. HARIAN METRO/- | |
Posted: 12 Sep 2011 09:00 PM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - BUCKIMHAMSHIRE: Bukan selalu kita bangun pagi dan lihat sebuah kereta tersepit di pintu masuk rumah. Tapi, itulah yang berlaku kepada seorang pemilik rumah apabila sebuah kereta Vauxhall Astra merempuh rumahnya di Oliffe Way, Aylesbury, Buckinghamshire, akibat terlalu laju. Pemandu kereta itu dikatakan telah memandu antara 80-100 batu sejam dan hilang kawalan ketika melalui sebuah bulatan dan merempuh hadapan rumah milik Miriam dan Ormund Robin. Rempuhan kuat itu menyebabkan bilik air di bahagian bawah rumah itu pecah. Dinding rumah yang pecah bertaburan di laman hadapan. "Tiba-tiba saja saya mendengar satu bunyi yang kuat," kata Miriam. "Apabila saya keluar untuk menyiasat, saya amat terperanjat melihat kereta itu. "Tubuh saya menggeletar dan waktu itu saya takut kalau rumah ini akan terbakar. "Kalaulah waktu itu saya ada di bilik air bawah, tentu saya akan mati," katanya. Jurucakap polis Thames Valley berkata, dua orang di dalam kereta itu telah ditahan. -DM | |
Keadaan Jerebu Di Singapura Bertambah Buruk Posted: 12 Sep 2011 08:45 PM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - SINGAPURA: Keadaan jerebu di Singapura bertambah buruk, menurut Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA). Bacaan PSI 24-jam ialah 69 pada pukul 7 malam Isnin, yang tertinggi setakat tahun ini dan bagaimanapun ini masih lagi dalam tahap sederhana. Kawasan paling teruk ialah bahagian utara dan barat Singapura sementara timur republik ini kekal pada tahap baik dengan bacaan 48. Oleh kerana jerebu berterusan, jumlah kes berkaitan bernafasan di sini dijangka meningkat. -BERNAMA | |
Hanya Umno yang kenali komunis baik atau bahaya Posted: 12 Sep 2011 08:30 PM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - ULASAN Apabila terbongkarnya fakta bahawa Umno telah mengadakan hubungan dengan Parti Komunis Cina (CPC) dengan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetiba membuat kenyataan bahawa "komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu." Kata perdana menteri: "Komunis sekarang lain, komunis dulu lain, dulu mereka ingin kuasai negara dan sebarkan ideologi yang tak beri hak kepada rakyat. Kita baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah tinggalkan ideologi lama mereka." Jika kita mengikut logik Najib, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara. Sekiranya rakyat mengikut logik presiden Umno yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara. Mungkin atas logik tersebut juga rasanya, sebab utama beliau sedia berbesan dengan anak pemimpin Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia. Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bila mana dalam ambang perhimpunan BERSIH 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin PSM dalam Akta Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis? Bukankah ini melanggar logik Najib sendiri? Sebab kalau komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu, kenapa pula mereka ditahan di bawah Akta Ordinan Darurat? Seolah-olah kalau Umno yang mengadakan hubungan dengan komunis, maka komunis itu komunis baik; kalau parti lain "asalkan bukan Umno", maka komunis itu komunis jahat. Kena tanya Umno, MPN Maka, sesiapa yang nak mengadakan MoU dengan mana- mana kumpulan parti yang dianggap komunis, kena tanya Umno dahulu kerana hanya Umno dapat membezakan mana komunis baik, mana komunis yang bahaya. Dan kalau nak tahu sesuatu negara itu dijajah atau tidak kena tanya pula Majlis Profesor Negara (setahu kita, negara lain tak ada majlis begini) atau mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Rasanya Majlis Profesor Negara dan Dr Mahathir sajalah yang tepat boleh menentukan siapa yang secara teknikalnya kena jajah, siapa negara yang naungi saja. Jajah secara zahir, di mana kekayaaan hasil bumi negara seperti bijih timah dirakus adalah tidak sah secara teknikal, maka sesiapa yang jawab sebegini dalam ujian sejarah patut diberi markah kosong. Bila mana Majlis Profesor Negara membuat kesimpulan bahawa negara tidak pernah dijajah, ini bermakna sesiapa yang lawan orang putih dulu, sebenarnya ia lawan orang Melayu. Cuma kalau nak tahu orang Melayu ini bahaya ataupun tidak, ini pun kena tanya Umno dulu. Bomoh Umno akan telek dalam air pinang, dan umum untuk pengetahuan dunia adakah Melayu ini bahaya atau tidak. Kalau Melayu itu kehijau-hijauan, maka segala daripadanya adalah bahaya dan mengancam Umno. Kalau Melayu itu kebiru-biruan maka ia Melayu yang baik, maka keistimewaan diberi - segala untuknya halal, bagi orang lain akan jadi haram. Rasanya bukan rakyat sahaja, bahkan ahli-ahli Umno turut keliru dengan permainan politik pemimpin Umno yang sendiri melondehkan hipokrit sendiri di khalayak ramai. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah ketua penerangan PAS Pusat. Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini. | |
Posted: 12 Sep 2011 08:18 PM PDT 15 Syawal 1432H. [MOD] - KAHERAH - Pemerintah tentera Mesir me-ngumumkan akan menggunakan undang-undang darurat di negara itu, kelmarin, menandakan kekacauan kembali tercetus, dipercayai akibat ketidakpuasan hati rakyat terhadap pentadbiran Majlis Tertinggi Tentera. Menteri Dalam Negeri, Mansour El-Essawy berkata, undang-undang tersebut akan digunakan bagi menghentikan aktiviti seperti sekatan jalan raya oleh orang awam, penerbitan maklumat salah dan pemilikan senjata. Mansour turut memberi amaran keras bahawa polis akan menembak sesiapa yang menyerang pejabat kementeriannya atau balai polis, tindakan serupa seperti yang didakwa dilakukan bekas presiden, Hosni Mubarak semasa berhadapan kebangkitan rakyat, awal tahun ini. Keputusan menggunakan undang-undang kecemasan itu dibuat selepas ribuan penunjuk perasaan menyerang bangunan kedutaan Israel dan balai polis, kelmarin, menyebabkan tiga orang terbunuh dan lebih 1,000 cedera. Kebanyakan rakyat Mesir dilaporkan tidak senang dengan pentadbiran tentera yang dilihat gagal memenuhi permintaan penunjuk perasaan. sinar harian/- |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2011 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan