Sabtu, 24 September 2011

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Posted: 23 Sep 2011 06:27 PM PDT

Bersih gesa lapan tuntutan sebelum PRU 13

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil menggesa kerajaan menunaikan lapan tuntutan dalam usaha melakukan reformasi pilihan raya, sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menegaskan, pilihan raya tidak harus diadakan sebelum Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen (PSC) dibentuk.

"Jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar ikhlas untuk melakukan transfomasi politik di negara ini, beliau perlu menunaikan tuntutan kami sebelum mengadakan pilihan raya.

"Jika tidak, ia ibarat cakap-cakap kosong. Malah penubuhan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen juga tidak membawa apa-apa makna kepada pembaharuan pilihan raya di negara ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersih di sini.

Menurut Maria, Bersih bersedia untuk bekerjasama dengan PSC bagi memastikan hak dan kepentingan rakyat dipenuhi.

Bagaimanapun katanya, jawatankuasa itu perlu telus dalam melaksanakan pembaharuan tersebut dan menerima maklum balas daripada rakyat.

Pada perhimpunan 9 Julai lalu, Bersih mengemukakan lapan tuntutan iaitu pembersihan senarai pengundi, reformasi sistem undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh berkempen minimum 21 hari, akses media yang adil dan telus, memperkukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.

PSC dianggotai lima ahli Parlimen kerajaan Barisan Nasional (BN), tiga pembangkang dan 1 bebas dijangka memulakan tugas melakukan penambahbaikan sistem pilihan raya sedia ada.

Rabu lalu, Pakatan Rakyat yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan menyertai PSC bagi melihat sejauh mana komitmen perdana menteri melakukan reformasi pilihan raya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan nama lima Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menganggotai jawatankuasa itu.

Sementara itu, Dr Subramaniam Pillay yang juga ahli jawatankuasa Bersih mengumumkan Bersih akan melancarkan kempen 'Tunaikan 8 Tuntutan, Barulah PRU -13′ di Dewan Perhimpunan Cina KL Selangor di ibu negara pada 30 September ini.

"Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai lapan tuntutan untuk reformasi pilihan raya dan sebagai peringatan kepada kerajaan supaya menunaikan perkara ini sebelum PRU ke-13," jelasnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=20846

Posted: 23 Sep 2011 06:25 PM PDT

Simpanan tunai Selangor RM1.1b, pecah rekod 28 tahun

SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor menambah simpanan tunai sebanyak RM200 juta dalam tempoh enam bulan ini, menjadikan jumlah terkumpul RM1,100 juta dan merupakan rekod kewangan paling baik dalam tempoh 28 tahun.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, sejak 2008 hingga Jun 2011, Selangor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah lebih RM35,000 juta.

Manakala sejak Januari hingga 30 Jun tahun ini sahaja, pelaburan di Selangor bernilai RM5,200 juta iaitu 18 peratus dari keseluruhan pelaburan di dalam negara.

Menurut Khalid, pelaburan tersebut terdiri dari pelaburan domestik sejumlah RM2,100 juta dan pelaburan asing berjumlah RM3,100 juta.

"Ini bermakna Selangor berada di tempat teratas dalam keseluruhan pelaburan di dalam negara," katanya pada Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Selain Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, lapor Harakahdaily.

Menurut Khalid, sebanyak 135 projek yang terdiri dari 89 projek baharu dan selebihnya 46 projek sedia ada, membuka sebanyak 10,000 peluang pekerjaan.

Ini bermakna, ujarnya, kerajaan Selangor sekarang bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil negeri tetapi juga berjaya melaksanakan pengurusan kewangan dengan cekap dan berkesan.

Beliau menambah, program "Merakyatkan Ekonomi Selangor" yang mengandungi pelbagai program kebajikan bagi membantu rakyat menikmati hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Katanya, rakyat dari pelbagai kaum, latar belakang belakang pendidikan dan kecenderungan politik, layak menerima bantuan menurut program dan skim yang ditawarkan kerajaan negeri sejak Jun 2008, sejajar dengan misi menjadikan Selangor sebuah negeri idaman, maju dan berkebajikan.

Beliau berkata, sejak dasar itu diperkenalkan 100 hari selepas menerajui pentadbiran Negeri Selangor, sejumlah RM500 juta telah disalurkan terus kepada rakyat Selangor.

Selain itu, katanya Skim Air Percuma 20 meter padu berjumlah melebihi RM387 juta, Skim Tabung Warisan (RM1.8 juta), Hadiah Anak Masuk Universiti (RM19 juta), Skim Usia Emas dan OKU (RM49 juta) dan Skim Mikro Kredit Luar Bandar dan Kemiskinan Bandar yang kini melebihi RM2 juta dan berbagai-bagai bantuan kemasyarakatan yang akan diberikan secara berterusan.

Rakyat Selangor juga, kata beliau menikmati hasil dari pengurusan hasil pasir yang kini dijalankan secara tersusun kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri yang memperoleh keuntungan RM12 juta setakat bulan Jun tahun ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=20829

Tiada ulasan:

Nuffnang