Ahad, 7 Ogos 2011

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


UMNO LEBIH BAHAYA DARIPADA WAHABI - KETUA PENERANGAN PAS PUSAT

Posted: 06 Aug 2011 07:19 PM PDT


Keghairahan Umno melalui agensi Majis Keselamatan Negara (MKN) membuat tuduhan mengaitkan Wahabi dengan pengganas bukanlah sesuatu yang baik untuk negara.

Wahabi yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab mempunyai perbezaan dalam perkara furu', bukan soal penafian prinsip Islam. Kerana itu, ia diterima dan dianuti oleh kerajaan Arab Saudi dan beberapa negara lain.

Arab Saudi, sekurang-kurangnya telah melaksanakan hukum hudud, Qisas dan Takzir, akan tetapi Malaysia masih terkial-kial mencari formula mengatasi masalah jenayah dalam negara.

Umno dalam sejarahnya pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum syarak, memperlekehkan sunnah nabi, menganggap negara akan mundur kalau melaksanakan Islam, bahkan lebih teruk dari itu, ada sebilangan pemimpin Umno pernah menanggap politik suku agama suku.

Fahaman sekular yang dianuti oleh sebahagian pimpinan tertinggi menyebabkan Islam hanya ditadbir sebagai satu jabatan, bukan sebagai satu sistem kehidupan manusia.

Bukankah ini bukti fahaman Umno yang berdasar sistem pragmatisme sebenarnya jauh lebih bahaya dari Wahabi?

Tuduhan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan pengganas bukanlah perkara baru, bahkan ianya selaras dengan anggapan Amerika Syarikat terhadap gerakan Islam.

Cuma yang agak menghairankan bilamana ulama muda Umno juga tergolong senarai pengganas?

Apakah Kementerian Dalam Negeri tidak bercadang mengenakan mereka di bawah Ordinan Darurat, sebagaimana nasib enam aktivitis PSM yang sehingga kini rakyat tidak tahu apa jenis ancaman yang mereka bawa kerana menyokong BERSIH 2.0?

Kerana kalau benar ulama muda Umno ini ada kaitan dengan pengganas, bukankah ia sudah pasti menjadi ancaman kepada keselamatan negara?

Sehubungan itu, saya bersetuju dengan pandangan bekas mufti, Dr Asri Zainul Abidin agar 40 ulama muda Umno ini menyemak kembali penyertaan mereka dalam Umno.

Tidak terfikirkah bahawa apabila ulama Umno pun dicop sebagai pengganas, bukankah ini bermaksud pemimpin mereka lebih hebat lagi?

Tapi, apa yang hairannya, inilah Umno. Bagi mereka, kerja membunuh kerjaya politik musuh dalaman atau luaran mereka adalah satu kerja yang halal dan wajib dilaksanakan asalkan kuasa politik mereka terjaga.

ISU GEREJA : PAS AKAN UMUM PENDIRIAN RASMI ESOK

Posted: 06 Aug 2011 04:26 PM PDT


KUALA LUMPUR, 6 Ogos — PAS akan membuat pendirian rasmi berhubung serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama esok selepas mendapatkan penjelasan daripada Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Ali.

"Kami akan membuat pendirian esok, apakah pendirian PAS esok... kita tunggu esok," kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man  ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

PAS akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat esok, di mana Hasan merupakan salah seorang ahlinya.

Hasan merupakan Exco Kerajaan Negeri bertanggungjawab kepada hal ehwal agama Islam.

Dalam satu kenyataan semalam, PAS Selangor menuntut penjelasan Hasan berhubung dakwaan ada usaha mahu memurtadkan orang Islam pada satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Khalid Samad berkata, selain itu pihaknya juga mahu menunggu laporan Jais mengenai serbuan itu yang turut disertai polis.

"Kita harap ada kebijaksanaan dalam isu seperti ini. Kita simpan komen akhir sehinggalah dapat laporan Jais dan mesyuarat dewan (harian) bersama Hasan Ali untuk dapatkan penjelasan lanjut lagi.

"Kita nak tengoklah apa bukti yang dia (Hasan) kata ada itu," katan beliau pada sidang media di pejabatnya di sini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu setakat ini, hanya Hasan yang mengaitkan program anjuran Harapan Komuniti dengan tujuan mahu memurtadkan umat Islam.

"Jais sebelum ini memberi alasan terdapat bukti penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

"Setakat ini , 'kecuali satu' tiada mana-mana pihak yang mengaitkan persoalan pengembangan agama bukan Islam terhadap penganut Islam," tambah Khalid.

Kelmarin, kira-kria 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira 10 malam.

Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.

Hasan mempertahankan tindakan Jais.

Sementara itu dalam temu bual kepada HarakahDaily, Tuan Ibrahim berkata "diiharapkan Jais dapat tampil ke depan untuk menjelaskan keadaan sebenar dan hasil siasatan untuk mengelakkan fitnah terhadap gereja, kerajaan Selangor, nama baik Islam dan Jais sendiri berkeliaran di bulan Ramadhan yang mulia ini. Mohon maaflah sekiranya tersilap."

"Sememangnya Islam melarang kita melakukan fitnah terhadap sesuatu perkara, tetapi di waktu yang sama jangan kita melakukan sesuatu yang boleh mengundang fitnah," nasihat beliau.

Akhbar itu turut membawa cerita pengalaman Tuan Ibrahim.

"Ini adalah cerita sebenar daripada pengalaman saya yang sikit ini. Semasa saya bekerja di UiTM dahulu, satu hari ketika berjumpa dengan kawan di sebuah restoran Melayu di sekitar kawasan kampus untuk membincangkan sesuatu saya telah memesan jus oren. Semasa air buah dihidangkan, tauke yang menyediakan air buah tersebut dalam satu cawan gelas yang ada jenama arak bermula huruf 'G'. Saya memintanya dengan baik untuk menukarkan gelas tersebut.

"Bos, air ini halal, tapi gelasnya… akan mengundang syak wasangka dan fitnah daripada pelajar-pelajar saya dan juga kepada kedai," kata saya.

Kata beliau terdapat dua pengajaran di sebalik peristiwa itu iaitu manusia seperti biasa mempunyai sangka buruk – apabila mereka ternampak "saya meminum daripada gelas arak, kebanyakan pelajar, terutamanya pelajar Islam yang tidak mengenal arak, akan mempunyai syak wasangka bahawa sememangnya air dalam gelas itu ialah arak walaupun ia warna oren di sebuah restoran Melayu."

"Dan tauke pula akan dilihat sebagai sebagai peniaga yang tidak bertanggungjawab kerana sanggup menjual arak," katanya lagi.

"Pengajaran satu – janganlah mereka terlalu cepat mempercayai fitnah tanpa siasatan terlebih dahulu. Adakah saya bersalah sekiranya saya minum dari gelas arak tersebut?

"Saya tidak boleh salahkan orang yang menyangka saya minum arak daripada gelas tersebut, lebih-lebih lagi gelas yang saya pegang itu ialah gelas arak walaupun dalamnya jus buah oren," katanya lagi.

Kata beliau sudah tentunya "ya kerana saya telah melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah terhadap saya walaupun air yang diminum itu halal dari gelas yang bersih."

"Pengajaran kedua – janganlah kita melakukan sesuatu benda yang boleh mengundang fitnah Kesimpulannya, manusia digalakkan bersangka baik terhadap sesama sendiri dan juga cuba elakkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah," kata beliau sambil menambah, isu Jais menjadi polemik besar akibat dua perkara iaitu "mudah mempercayai fitnah dan melakukan perkara-perkara yang mengundang fitnah."

Tuan Ibrahim menasihatkan agar pihak Jais, dalam kesungguhan mereka mencegah kemungkaran agama Islam,  pihak jabatan agama juga harus sentiasa beringat untuk mesti mengelak sebarang elemen buruk dalam melaksanakan peraturan yang ada kerana yang akan terjejas dalam tindakan tersebut ialah kerajaan negeri dan Jais sendiri, lebih-lebih lagi ia turut memberikan kesan terhadap nama baik Islam.

"Dalam melaksanakan peraturan yang ada, kita mesti mengelak sebarang eleman buruk, kerana yang akan terjejas dalam tindakan tersebut ialah kerajaan negeri dan Jais sendiri, lebih-lebih lagi ia turut memberikan kesan terhadap nama baik Islam," kata beliau.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang juga menasihatkan agar Jais, sebagai sebuah badan pengawal agama harus bertindak mengikut lunas peraturan dan prosedur yang ada.

"Keghairahan mencegah kemungkaran tidak seharusnya dilihat sebagai campurtangan terhadap agama lain, dan di waktu yang sama, usaha elemen pencegahan mesti diteruskan," katanya lagi.(malaysianinsider)

Tiada ulasan:

Nuffnang