Isnin, 1 Ogos 2011

Direct Free Kick

Direct Free Kick


Kenyataan Akhbar YB Iskandar A. Samad, Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 Negeri Selangor.

Posted: 01 Aug 2011 12:03 AM PDT

Kenyataan YB Iskandar A. Samad

 

CADANGAN PENGAGIHAN KERUSI OLEH PAS SELANGOR DAPAT MEMECAHKAN TEMBOK PERKAUMAN TETAPI ADA PERKARA YANG LEBIH PENTING

 

Kenyataan ini adalah respon kepada laporan sebuah portal berita internet tentang cadangan PAS Selangor agar setiap kawasan Parlimen mempunyai  calon dari setiap parti Pakatan Rakyat.

 

Cadangan tersebut adalah satu usaha murni untuk meningkatkan lagi kerjasama di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat.

 

Di dalam cadangan tersebut, PAS, PKR dan DAP akan mempunyai sekurang-kurangnya seorang calon bagi setiap kawasan Parlimen pada pilihanraya umum akan datang.

 

Cadangan ini tidak bermakna bahawa PAS mahukan bilangan kerusi yang lebih tetapi ia adalah pengagihan semula taburan kerusi yang akan ditandingi. Bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh setiap parti tetap sama seperti pilihanraya umum 2008.

 

Jika cadangan ini diterima, ia akan menunjukkan kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat benar-benar telah menolak sama sekali politik perkauman kerana pembahagian kerusi bukan lagi berdasarkan kaum.  

 

Parti-parti Pakatan tidak lagi dikaitkan dengan kaum tertentu seperti PAS dengan orang Melayu dan DAP dengan orang Cina kerana terdapat kerusi majoriti Cina yang ditandingi oleh PAS dan terdapat kerusi majoriti Melayu yang ditandingi oleh DAP.

 

Tetapi walaupun pembahagian kerusi penting namun bagi negeri-negeri di mana Pakatan telah membentuk kerajaan atau berpotensi membentuk kerajaan, ada perkara yang lebih penting.

 

Polisi-polisi kerajaan yang akan dibentuk lebih penting dipersetujui sebelum pilihanraya.

 

Tanpa persetujuan ini, akan berlaku perselisihan faham yang akan memberi imej yang buruk kepada mana-mana kerajaan dan akan juga melambatkan sistem penyampaian (delivery system) kerajaan tersebut. Oleh itu, polisi-polisi perlu dibincangkan secara terperinci sebelum satu-satu kerajaan dibentuk.

 

Polisi-polisi sebuah kerajaan ditentukan oleh parti atau parti-parti menguasainya. Jika polisi-polisi telah dipersetujui sebelum kerajaan dibentuk maka tidak akan ada rungutan terhadap pemimpin kerajaan, sama ada Menteri Besar atau Exco, yang membuat keputusan bertentangan atau tidak selari dengan hasrat parti-parti yang memenangi pilihanraya. Tidak ada risiko mereka akan bertindak sesuka hati seolah-olah tanpa kawalan.

 

Oleh itu, patut dikaji pengalaman negara-negara lain contohnya kerjasama di antara parti Konservatif dan Liberal Demokrat di UK di mana kerajaan dibentuk setelah setiap polisi-polisi penting dibincang dan dipersetujui terlebih dahulu.

 

Iskandar A. Samad

Timbalan Pesuruhjaya 1

PAS Negeri Selangor

1 Ramadhan 1432 / 1 Ogos 2011

Di Majlis Sambutan Ramadhan ADUN Chempaka dan penyampaian sumbangan kepada masjid-masjid dan surau-surau DUN Chempaka 28 Julai 2011

Posted: 31 Jul 2011 05:18 AM PDT

Setiap masjid telah mendapat RM2,500 dan setiap surau telah mendapat RM1,000. Bantuan ini disampaikan setiap tahun sejak Chempaka diambil alih oleh PAS.

Tiada ulasan:

Nuffnang