Khamis, 21 Julai 2011

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Periksa sebelum kompaun

Posted: 20 Jul 2011 06:36 PM PDT



Periksa sebelum kompaun
Sinar Harian 21 Julai 2011

SEREMBAN - Seorang kakitangan swasta hilang sabar selepas dikenakan kompaun sebanyak tiga kali oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana dikatakan meletak kereta tanpa membayar caj parkir di kawasan perniagaan Matrix Court di Jalan Lobak, dekat sini.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai June, 29, berkata, PBT sepatutnya memeriksa dahulu meter caj parkir di kawasan terbabit sebelum mengenakan kompaun ke atas pemilik kenderaan.

"Sistem parkir bermeter yang digunakan sekarang ini menimbulkan masalah kepada orang ramai kerana sering rosak.

"Bagaimana kami mahu bayar jika meter tidak boleh digunakan? Malangnya, pada waktu petang, saya lihat ada notis kompaun mengatakan saya tidak bayar caj parkir," katanya ketika ditemui di lokasi terbabit, semalam.

June yang bekerja di kawasan sama berkata, dia terpaksa kerap keluar dari pejabat untuk memastikan sama ada meter parkir berfungsi dengan baik.

"Kadang-kadang saya masukkan duit tetapi `hangus' begitu sahaja sebab meter parkir masih rosak," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Loke Siew Fook yang meninjau lokasi aduan berkata, PBT perlu mengatasi masalah itu dengan segera supaya tidak menyusahkan orang ramai.

Menurutnya, pemandu atau pemilik kenderaan tidak wajar dipersalahkan kerana mereka tidak dapat membayar caj parkir menggunakan meter yang rosak.

"PBT juga diminta membatalkan kompaun yang dikeluarkan terhadap orang ramai yang berdepan masalah berkenaan.

"Tindakan ini tidak adil kerana bukan mereka yang menyebabkan meter rosak," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9355583.asp

PAS Kuala Pilah utama program kebajikan

Posted: 20 Jul 2011 06:35 PM PDT



Pas utama program kebajikan
Sinar Harian 21 Julai 2011

KUALA PILAH – Pas Kuala Pilah terus membantu dan mempergiat gerak kerja kebajikan rakyat, di sini demi kesejahteraan bersama.

Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Pilah, Zaharuddin Othman berkata, mereka bergerak dari rumah ke rumah bagi membantu mengurangkan masalah rakyat miskin di Kuala Pilah yang masih lagi pada tahap belum memuaskan.

Menurutnya, rakyat miskin di Kuala Pilah adalah tertinggi berbanding daerah lain di Negeri Sembilan.

"Sebanyak 24 peratus daripada jumlah kadar kemiskinan di Negeri Sembilan seperti dikeluarkan Laman Web Rasmi Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, Negeri Sembilan.

"Atas kesedaran, keprihatinan dan tanggungjawab, Pas Kuala Pilah giat melaksanakan program Kebajikan Bersepadu dalam membantu masyarakat memerlukan," katanya.

Zaharuddin berkata, program bersepadu itu adalah kesinambungan program sebelum ini.

"Salah satunya ialah program turun padang menyampaikan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU), orang sakit, warga emas dan ibu tunggal.

"Di samping itu, kami akan membuka Pusat Khidmat di markas Pas Kuala Pilah dan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menerima serta menangani masalah yang dihadapi masyarakat setempat di DUN tersebut," katanya.

Malah katanya, program bersepadu itu juga melibatkan khidmat sosial seperti gotong-royong membersihkan kawasan rumah, membaiki komputer, khidmat tuisyen dan lain-lain.

"Program ini selaras dengan motto Negara Berkebajikan yang didukung Pas dan merupakan penterjemahan secara praktikal makna motto tersebut.

"Pas prihatin dan mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik serta akan terus membantu mereka agar dapat merasai hidup lebih bermakna sama seperti rakyat lain," katanya.

Justeru itu, sebagai permulaan, Pas Kuala Pilah telah turun padang memberikan sumbangan kepada individu di DUN Senaling.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua Pas Kawasan, Abd Karim Shahimi Abd Razak; Bendahari Pas Kawasan Kuala Pilah Shaharudin Abd Rahman; Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat Pas Kawasan, Noorbibah Mahmud dan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Kuala Pilah. Rosidi Yusof.

Sinar Harian turut difahamkan, sumbangan ini akan diteruskan secara berkala dan akan dipergiatkan pada Ramadan yang akan datang serta membantu mereka yang memerlukan untuk menyambut Aidilfitri.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9354374.asp

Tiada ulasan:

Nuffnang