Jumaat, 10 Jun 2011

Khalid Samad

Khalid Samad


Coretan Muktamar Pas ke 57

Posted: 09 Jun 2011 04:47 PM PDT

Dari kedai kopi hingga ke Pak Menteri dan tidak ketinggalan juga yang masih merasakan dirinya Perdana Menteri; telah banyak yang diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat semenjak berakhirnya Muktamar PAS yang ke 57 pada hujung minggu yang lalu.

PROSES PEMILIHAN
Saya telah hadir ke Muktamar di Taman Melewar yang bermula pada Jumaat 3 Jun hingga Ahad 5 Jun pada sekitar jam 4 petang. Ucapan dasar yang disampaikan membentangkan konsep 'Negara Berkebajikan' dan ini didakwa sebagai bukti PAS telah menyimpang dari dasarnya. Yang mendakwa sedemikian adalah UMNO yang dari awal tidak memahami apa yang PAS perjuangkan! Ini akan saya ulas secara lanjut di bawah.

Pada sebelah petang, pengundian dijalankan sambil minit mesyuarat, laporan tahunan dan laporan kewangan dibentang untuk dibahas. Hakikatnya, ini merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh ramai dan setelah selesai, ramai yang tidak sabar-sabar untuk tibanya esok hari kerana ingin mengetahui keputusan.

Amalan baru, 'bidaah hasanah', yang dilakukan pada tahun ini, setiap calon jawatan TP dan 3 NP telah melantik wakilnya untuk melihat proses perkiraan undi. Sambil itu, 5 orang lagi diambil secara rambang dari perwakilan untuk melihat proses tersebut bagi pihak calon AJK PAS Pusat. Bukan soal tidak percaya, tetapi untuk menentukan tiada fitnah yang dapat ditimbulkan lebih-lebih lagi oleh pihak lawan yang begitu kemaruk ingin memburuk-burukkan PAS dan mengadu-domba di kalangan ahli PAS.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan pada keesokan harinya, semua bergegas ke dewan muktamar dengan ada kedengaran bermacam-macam khabar angin. Saya juga turut ingin mendengar keputusan, lebih-lebih lagi untuk jawatan-jawatan tertinggi parti. Malangnya, jam 8.33 pagi saya menerima panggilan dari anak sahabat saya, Abdul Rahman Mayan, memberitahu bapanya baru sahaja meninggal dunia!

AL-MARHUM SAUDARA A. RAHMAN MAYAN
Semua yang bergiat dengan PAS Shah Alam mengenali A. Rahman Mayan. Beliau bergiat sebelum saya tiba di Shah Alam dan merupakan di antara penggerak utama PAS Shah Alam. Dewan restorannya di Temasya Food Court, semasa ianya disewa oleh Al-Marhum, sering digunakan untuk diadakan Mesyuarat Agung, Seminar dan Konvensyen. Beliau merupakan seorang periang, sangat-sangat murah hati dan penggerak yang komited. Beliau di antara pengasas Kelab Penyokong PAS yang sekarang ini telah dinaik taraf menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS. Keikhlasan orang seperti Al-Marhum sebenarnya adalah dorongan bagi diri saya sendiri. Hakikatnya, perjuangan ini panjang dan sukar, tidak mungkin ditanggung seorang diri. Dengan adanya orang-orang seperti Al-Marhum, yang berkorban walaupun bukan dia yang menjadi calon, memberi suntikan semangat untuk kami terus berjuang.

Saya bergegas keluar dari dewan walaupun keputusan belum lagi diperolehi dan terus menuju ke rumah Al-Marhum. Ramai yang telah mula berkumpul. Saya sempat bertahlil ringkas dan membaca Yaa Siin dan sejurus selepas itu, jenazahnya dibawa ke Masjid An-Nahdah Seksyen 18. Saya diberi penghormatan mengimamkan salat jenazahnya dan selepas itu, dengan perasaan yang serba sebak, sempat juga menyampaikan kata-kata ringkas akan kebaikan Allahyarham.

Seterusnya kami mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan di Sek 21 dan sejurus itu berita melalui SMS diterima yang menyatakan keputusan pemilihan, termasuk bahawa saya juga telah dipilih, tidak mampu menyerikan suasana sedih yang menyelubungi kami ketika itu.

Ramai yang berkumpul di tanah perkuburan sehingga 3 khemah yang disediakan tidak mampu menampung jumlah orang yang hadir. Al-Marhum dikenali dan disenangi ramai. Saya yakin tiada hutang yang ditinggalkan tetapi sebaliknya yang berhutang dengannya mungkin ada.

Jam 2 tengah hari, selepas makan tengahari, saya bersama sahabat kembali ke muktamar di Taman Melewar. Keputusan menunjukkan suatu line-up diperingkat tertinggi yang diluar dugaan. Ini kerana, ramai yang menganggap jawatan-jawatan tertinggi akan dimenangi oleh golongan berlatar belakang pendidikan agama secara rasmi. Akhirnya, jelas tidak begitu.

KEPUTUSAN PEMILIHAN
Seperti yang telah dijangkakan, pada keesokan harinya Utusan Malaysia melalak, "PAS menolak kepimpinan Ulama". Apabila saya ditanya mengenai perkara ini, maka saya menjawab bahawa, "pemilihan merupakan pimpinan parti bukan pertandingan 'Anugerah Ulama' terbesar di dalam PAS'! Ianya pemilihan untuk memilih orang yang dianggap paling mampu membuat kerja tertentu. Dalam soal ini, Ulama' atau bukan ulama' tidak relevan sama sekali. Yang relevan, siapa yang boleh membuat kerja-kerja berkenaan. Soal kepimpinan ulama', ianya telah diinstitusikan dalam PAS melalui terbentuknya Majlis Syura Ulama'. Jika ingin memilih ahli Majlis Syura, barulah persoalan ulama' atau tidak diambil kira".

PAS sentiasa dibawah kepimpinan ulama' dengan adanya Majlis Syura Ulama'. Inilah sebabnya perlembagaan PAS dipinda pada tahun 80an dahulu dan ditambah peruntukan 'Majlis Syura Ulama'. Sebelum itu badan ini dengan kuasa-kuasanya tidak wujud. Yang wujud hanyalah Dewan Ulama'. Sekarang adanya Dewan Ulama' dan Majlis Syura Ulama'. Oleh yang demikian, Majlis Syura inilah senenarnya yang paling berpengaruh kerana ia memantau dan menentukan semua yang dilakukan PAS tidak bercanggah dengan Islam.

UMNO yang sendiri menangguhkan pemilihan parti itu, riuh mengenai pemilihan dalam PAS dan bagaimana kononnya PAS mengenepikan ulama'. Hendak termuntah membaca tulisan Utusan Malaysia, lidah tidak rasmi UMNO. Dalam UMNO, ulama di mana? Hanya Biro agama, sepertimana Biro sukan! Tidak segagah Pemuda dan Wanitanya. Malahan tenggelam bila dibanding dengan Puteri dan Puteranya ('Puteri Putera' – maklumlah UMNO ni golongan yang perasan Bangsawan!).

MUKA BARU!
Ada pula yang mengatakan, "dengan naiknya muka-muka baru ini, maka jelaslah satu perubahan menyeluruh telah berlaku dalam PAS!".

Hmmmmmm... Muka baru? Eh sudah lupakah kita semua bahawa pada tahun 2009, jawatan Timbalan Presiden turut ditandingi. Mat Sabu, Husham dan Nasharuddin bertanding. Pada ketika itu, Nasharuddin menang dengan memperolehi lebih kurang 42% dari undi. Yang selebihnya dikongsi di antara Mat Sabu dan Husham. Kali ini, Mat pula yang menang dengan mendapat lebih kurang 40% undi majoriti, manakala bakinya dikongsi pula di antara Tuan Ibrahim dan Nasharuddin.

Husham pula bertanding untuk jawatan Naib Presiden dan beliau merupakan mantan Naib Presiden 2007 – 2009. Maka, mana ada muka baru itu? Bagi saya, semua muka yang sama termasuklah Idris Ahmad, Nik Amar dan Nizar. Nizar pada pemilihan yang lepas telah mendapat undi terbanyak apabila bertanding AJK PAS Pusat sesi 2009 – 2011 dan agak wajar ada yang ingin melihat beliau ke jawatan Naib Presiden. Idris Ahmad pula sebagai mantan Ketua Penerangan. Maka adalah wajar ada yang mencalonkan beliau untuk jawatan Naib Presiden. Begitu juga Nik Amar, orang lama, Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan yang mencalonkan beliau mengambil-kira Kelantan Negeri yang telah lama diperintah PAS.

Seperti yang saya katakan tadi, tiada 'muka baru' hanya apa yang dilakukan perwakilan ialah memilih siapa yang dianggap mereka mampu meneraju parti untuk menghadapi PRU yang menjelang tiba. Ada yang menganggap orang ini, ada yang menganggap orang itu. Namun akhirnya, setelah diketahui keputusan, PAS akan kembali bersatu seperti biasa dan berhadapan dengan UMNO/BN sebagai sebuah parti yang mantap dan gagah. Hakikat ini turut difahami oleh UMNO.

Yang boleh dikatakan 'muka baru', seperti yang disebut DS Presiden, adalah saya dan Wahid Endut. Walaubagaimanapun, saya ini pun tidaklah baru sangat. Dari 1987 hingga 1993 saya pernah menjawat jawatan AJK PAS Pusat. Selepas 1993, saya tidak bertanding dan menumpu kepada usaha diperingkat cawangan dan kawasan. 1997 saya menjadi YDP Shah Alam dan menumpukan usaha di peringkat Negeri Selangor. Pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan, Bendahari dan akhirnya Timbalan Pesuruhjaya 2 Negeri iaitu dari 2001 sehingga 2009. Saya kembali ke peringkat Pusat selepas hampir 20 tahun! Sudah pasti bukan 'muka baru', sebenarnya yang lama itu jugalah!

Begitu juga YB Wahid Endut yang pernah bersama saya dahulu dalam Pemuda Pusat (1983 – 1989) dan seterusnya beliau menumpukan usaha beliau di peringkat Negeri. Menjadi ADUN dan MP Kuala Terengganu. Juga bukan 'muka baru', tetapi baru sahaja dipilih menjadi AJK PAS Pusat.

Bagi saya, pemilihan ini menzahirkan betapa ramainya calon yang layak memimpin PAS dan betapa kayanya PAS dengan pemimpin-pemimpin yang berpotensi! Jauh, jauh sangat bezanya dengan UMNO.

Bagi yang telah mengundi saya, saya ucapkan berbanyak terima kasih di atas kepercayaan tuan-tuan terhadap diri saya. Saya berharap tuan-tuan akan mendoakan saya supaya mampu melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin.

NEGARA BERKEBAJIKAN DAN NEGARA ISLAM
Isu yang turut dilaung-laungkan ialah bahawa kononnya PAS sudah menggugurkan matlamat perjuangannya dan menerima matlamat perjuangan PKR dan DAP. Ini adalah kerana cogan kata yang digunakan PAS adalah 'Negara Berkebajikan' dan bukannya 'Negara Islam'.

Hakikatnya, sekiranya ada parti politik yang ingin mengubah matlamat perjuangannya, ianya bukan dengan mengemukakan cogan-kata tertentu. Ianya mesti melalui pindaan perlembagaan parti tersebut. Selagimana perlembagaan tidak diubah, maka apa cogan kata sekalipun mesti ditafsir berdasarkan perlembagaan yang digunapakai.

Istilah 'Negara Berkebajikan' bagi ahli PAS ialah 'sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah' (Perlembagaan PAS fasal 5).

Istilah 'Negara Berkebajikan' digunapakai kerana ingin memberi penegasan kepada aspek kebajikan yang terjamin dalam sesebuah masyarakat yang sedemikian rupa. Istilah 'Negara Islam' tidak digunapakai kerana penekanan melalui istilah itu adalah hukum-hakam Islam, khususnya Hudud, seolah-olah itu sahajalah apa yang terdapat di dalam pemerintahan yang diinginkan PAS. Sedangkan hukum-hakam Islam, termasuk Hudud, adalah bertujuan untuk menghasilkan kebajikan kepada manusia! Termasuk dalam takrif 'berkebajikan' itu adalah keadilan, kebertanggung-jawaban dan keamanan.

Dalam erti-kata yang lain, istilah 'Negara Berkebajikan' membawa rakyat untuk melihat kepada hasil dan kesudahannya; sambil istilah 'Negara Islam' memperlihatkan mekanisma dan perundangannya.

Jikalau dirujuk di dalam Al-Quran, istilah yang masyhur yang terdapat di dalamnya adalah 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafuur' atau 'Negara yang baik serta pengampunan dari Tuhan'. Ianya merupakan istilah yang menumpukan kepada persoalan hasil yang diinginkan dan hasil ini mampu menarik minat semua pihak.

Lagipun, semua yang mengaji memahami kaedah 'Al-Hukmu yadurru 'alal musamma laa 'alal ismi' atau 'hukum (sesuatu perkara) bergantung kepada perkara yang dinamakan itu, bukan kepada namanya'. Dalam erti kata lain, 'apa ada pada nama, yang penting benda atau isinya!'

SETERUSNYA...
Saya yakin, semua yang kalah bertanding jawatan Timbalan dan Naib akan dilantik kembali. Tugas-tugasan akan diberi dan bahtera yang kita kenali sebagai PAS ini akan terus belayar dengan gagahnya. Tiada yang akan merajuk dan tiada yang akan kecewa kerana di dalam PAS, jawatan sesuatu yang tidak dicari. Ianya amanah dan ianya tanggungan yang berat, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Yang penting ialah untuk bersatu dan bersedia untuk menghadapi PRU. Rakyat mengharapkan kemenangan bagi PAS dan PR yang membawa kepada satu perubahan yang bersejarah. Saf pimpinan yang telah dipilih menggalas harapan ini.

Hanya satu harapan saya di sini, semoga Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) digunakan seterusnya untuk seminar yang sering dianjurkan PAS. Dan juga untuk Mesyuarat Agung Kawasan, tetapi tidak lagi untuk Muktamar Tahunan. Kerana ianya telah menjadi terlalu kecil dan PAS telah menjadi semakin besar.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang